Headlines News :
Showing posts with label Teknologi. Show all posts
Showing posts with label Teknologi. Show all posts

Mudah kongsi maklumat peribadi punca kebocoran data


ISU kebocoran dan penjualan data peribadi bukanlah sesuatu yang baharu. Di negara ini, ia mula mendapat perhatian susulan laporan mengenai dakwaan berlaku ketirisan empat juta data peribadi masyarakat awam melalui laman sesawang Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketirisan data peribadi ini membabitkan Application Programming Interfaces (API) yang dicipta untuk sistem myIDENTITY di bawah seliaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Ketirisan itu mencetuskan kebimbangan awam terutama pengguna yang menjadi mangsa kejadian berkenaan. Susulan daripada dakwaan ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan dengan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din menegaskan pihaknya memandang serius hal itu dan bekerjasama dengan JPN juga LHDN untuk mengenal pasti punca kebocoran data awam.

Bagaimanapun, berlaku kebocoran dan pencerobohan data peribadi menyebabkan orang ramai mula bimbang dan hilang kepercayaan terhadap pihak yang seharusnya bertanggungjawab melindunginya.

Antara punca berlaku kebocoran data peribadi kepada pihak ketiga mungkin menerusi pembabitan orang dalam di sesebuah agensi berkaitan yang bersekongkol dengan penjenayah profesional.

Mereka adalah orang yang dipertanggungjawabkan dalam sebuah institusi kerajaan atau bukan kerajaan untuk mengelola, mengurus dan memproses segala data peribadi awam bagi tujuan tertentu sama ada maklumat pendaftaran, percukaian, telekomunikasi, perbankan dan institusi kewangan serta syarikat penerbangan.

Tindakan tidak bertanggungjawab ini membolehkan penjenayah membuat kad pengenalan atau pasport palsu menggunakan segala maklumat peribadi orang awam yang dicuri daripada pangkalan data.

Dalam kes tertentu, penggunaan data peribadi orang lain menyebabkan orang awam yang tidak bersalah dikaitkan dengan kes jenayah gara-gara pemalsuan identiti.

Seandainya penjenayah berjaya dalam modus operandi mereka dan tidak dapat diatasi dengan segera, keselamatan orang ramai terancam.

Dalam hal ini orang ramai juga perlu berhati-hati memberikan maklumat peribadi kepada pihak yang tidak dikenali terutama melalui media sosial. Sikap gemar berkongsi data peribadi secara berleluasa turut menjadi punca kebocorannya.

Hari ini, dapat dilihat ramai orang tidak sedar tindakan mereka berkongsi aktiviti, status atau gambar di media sosial turut berupaya mendedahkan data peribadi mereka.

Memuat naik data peribadi secara terbuka di media sosial membolehkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menyalahgunakannya.

Ada masanya, orang awam seronok berkongsi gambar mereka dalam media sosial tanpa menyedari terdapat maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan atau pasport yang boleh dilihat secara umum. Perkara ini harus sentiasa diawasi.

Hal ini bermakna orang ramai perlu sentiasa berwaspada melindungi data peribadi mereka seperti mewujudkan kata laluan yang sukar ditembusi pada akaun media sosial atau perbankan dalam talian.

Elakkan diri daripada mempercayai individu atau laman web yang menawarkan peraduan atau skim memberi keuntungan dalam tempoh singkat. Seandainya perlu membuat salinan dokumen peribadi seperti kad pengenalan, lakarkan dua garisan pada kertas berkenaan dengan menyatakan tujuan salinan dibuat.

Isu ini bukan satu perkara yang boleh dipandang enteng. Masa depan dan maruah individu bergantung kepada kerahsiaan data peribadi.

Dr R Mohan dan Siti Nuraisyah Abdul Wahab
Pusat Pengajian Pendidikan Universiti Utara Malaysia (UUM)

Penggodam WhatsApp mampu sekat akses pengguna berdasarkan Nombor Telefon

 


Oleh Shahrul Yusof

Aplikasi permesejan popular dunia, WhatsApp menawarkan ciri perlindungan data pengguna melalui enkripsi hujung-ke-hujungnya. Justeru, membolehkan hanya penghantar dan penerima mesej berkenaan sahaja yang mengetahui isi kandungannya.

Bagaimanapun, baru-baru ini terdapat satu kelemahan telah diketemukan yang membolehkan penggodam menggunakan nombor telefon pengguna untuk menyekat pengguna ke aplikasi WhatsApp.

Forbes melaporkan kelemahan ini boleh memberi kesan terhadap jutaan pengguna aplikasi permesejan berkenaan. Ini kerana penggodam tersebut hanya memerlukan nombor telefon pengguna berkenaan untuk membuat sekatan.

Cara yang digunakan

Penggodam yang melakukan serangan ini akan melakukannya melalui dua proses.

Pertama, melalui kod verifikasi SMS yang diterima apabila memasang WhatsApp pada telefon baharu. Kebiasaannya, untuk pemasangan WhatsApp pada telefon pintar baharu, anda akan menghantar permintaan mendapatkan kod verifikasi dari WhatsApp.

WhatsApp kemudiannya akan cuba mengesahkan melalui kod verifikasi sama ada anda merupakan pengguna yang sebenar nombor telefon berkenaan untuk menggunakan aplikasinya pada telefon baharu anda.

Bagaimanapun, jika penggodam yang melakukannya, mereka tidak akan menerima kod SMS pengesahan tersebut. Seterusnya, mencegahnya dari mengakses ke akaun WhatsApp mangsa.

Tetapi, penggodam masih lagi boleh menghantar permintaan mendapatkan kod berkenaan berulang-kali sehingga akaun mangsa disekat untuk 12 jam. Mangsa tidak dapat mengakses ke WhatsApp sepanjang tempoh tersebut.

Keadaan akan menjadi lebih teruk lagi jika penggodam melaporkan kepada WhatsApp melalui e-mel dengan mendakwa telefon mereka dicuri dan meminta akaun sasarannya dikunci untuk suatu tempoh yang panjang.

Masalahnya di sini adalah, di pihak WhatsApp tiada sebarang langkah selanjutnya bagi mengesahkan sama ada e-mel berkenaan benar-benar dihantar oleh mangsa atau si penggodam. Apa yang boleh diharapkan, melalui kaedah pengesahan berbilang peranti WhatsApp yang akan diperkenalkan kelak dapat membantu mengatasi permasalahan ini.

Kelehaman ini bagaimanapun tidak memberikan akses kepada penggodam terhadap kandungan dan data peribadi milik pengguna. Ianya sekadar menghalang mangsa dari mengakses ke akaunnya sahaja.

Oleh yang demikian, pengguna dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengamalkan langkah-langkah keselamatan serta melindungi data peribadi di apa jua aktiviti dalam talian.

Mengekang propaganda, sentimen kebencian di media sosial


 Oleh Dr Murni Wan Mohd Nor 

 Kematian pemimpin kumpulan Daesh, Abu Bakr al-Baghdadi dalam serbuan oleh tentera Amerika Syarikat (AS) pada 2019 dipercayai bertujuan mengurangkan pengaruh keganasan kumpulan itu dalam kalangan pengikutnya di seluruh dunia. Malangnya, itu tidak berlaku.

Abu Bakr nampaknya berjaya menanam sikap radikal dalam pemikiran pengikutnya dan tindakan keganasan dilakukan menjadi cerminan pandangan alam yang ekstrem. Legasinya terus hidup dan tersebar luas melalui platform media sosial, bahayanya lebih dahsyat daripada yang kita bayangkan.

Adalah suatu yang salah, sekiranya kita menyangka ucapan kebencian tidak akan memberi kesan negatif dalam kehidupan sebenar. Kajian menunjukkan medium dalam talian menjadi pilihan strategik oleh organisasi pengganas dengan menyasarkan individu yang mempunyai cara fikir sama supaya dapat direkrut bagi mengembangkan pengaruh mereka.

Daesh menggunakan media sosial seperti Facebook, Twitter dan YouTube serta aplikasi Telegram untuk mengabsahkan kedudukan mereka sebagai 'penyelamat' yang sedang 'berjihad' membebaskan golongan tertindas dan mengemukakan pandangan songsang mengenai rupa cita kerajaan 'Islam'.

Propaganda mereka ini disebarkan dalam bentuk poster dan imej grafik, video, majalah seperti Dabiq dan Rumiyyah serta medium lain sepertinya.

Usaha ini berjaya meraih simpati ramai untuk menyertai organisasi pengganas, walaupun tidak mengenali antara satu sama lain. Inilah permulaan perangkap dipasang untuk menyuburkan pemikiran radikal.

Pada 2015, Jawatankuasa Menangani Keganasan, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC-CTC) menganggarkan sekitar 30,000 pejuang warga asing dari seluruh dunia, tiba di Syria dan Iraq selepas terpengaruh dengan agenda berkenaan menerusi media sosial.

Persoalannya, bagaimana seseorang boleh terpengaruh dengan idea dan pemikiran radikal hanya melalui dalam talian yang biasanya usaha itu diketuai mereka yang tidak pernah ditemui? Bagaimana seseorang tanpa mengira jantina dan dilihat sebagai waras, boleh berubah secara tiba-tiba menjadi radikal hingga akhirnya ke arah ekstremisme?

Daesh bukan satu-satunya kumpulan pengganas menggunakan media sosial untuk menyebarkan pengaruh mereka. Laporan menunjukkan kumpulan white supremacist juga menggunakan platform media sosial untuk berkongsi mesej propaganda dan fahaman radikal kepada pihak lain.

Keberkesanan kaedah itu terbukti apabila beberapa siri kejadian tembak rambang dan pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di AS dan beberapa negara lain, didapati berpunca penyebaran agenda radikal menerusi dalam talian.

Sebagai contoh, penyerang bertanggungjawab terhadap kejadian tembakan di El Paso, Texas pada 2019, memuat naik manifesto kebenciannya menerusi media sosial. Hal demikian turut dilakukan penyerang sebelumnya.

Ramai rakyat Malaysia berfikir keadaan kita masih selamat daripada situasi keganasan seperti yang kian merebak di Syria dan negara lain. Walaupun kita bersetuju insiden keganasan dalam negara bukan suatu normal, ia pernah berlaku dan boleh berlaku lagi pada masa hadapan sekiranya kita tidak proaktif mengekang penularan rasa kebencian. Ucapan kebencian digunakan bagi mempengaruhi orang awam dan melahirkan generasi pelapis ahli kumpulan ekstrimis.

Dalam satu kerjasama penyelidikan dengan Dr Ahmad El-Muhammady, perbincangan keganasan dalam kumpulan aplikasi Telegram dikendali seorang ahli kumpulan pengganas yang amat dikenali berasal dari Malaysia, Wanndy dianalisis.

Dalam pemerhatian itu, Wanndy dilihat berjaya mempengaruhi minda seseorang melalui proses menjadikan keganasan sebagai suatu kebiasaan.

Ini bukan kaedah baharu digunakan untuk menanam sifat radikal. Kaedah sama digunakan kepemimpinan Nazi menyebarkan propaganda hingga mengakibatkan pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica dan pembersihan etnik Tutsi oleh etnik Hutu di Rwanda.

Sentimen kebencian ini akan perlahan-lahan menghilangkan sifat kemanusiaan dan memangsakan suatu golongan hingga mesej kebencian menjadi kebiasaan dan diterima sesebuah komuniti masyarakat. Contohnya, etnik Hutu menggunakan istilah menyinggung perasaan, membangkitkan stigma dan tidak berperikemanusiaan kepada etnik Tutsi seperti: subversive, lipas, feudal lord dan musuh.

Di sinilah kita perlu menilai semula tindakan kita sebagai komuniti masyarakat. Kita tidak boleh berdiam diri apabila melihat ucapan kebencian menular.

Ketika ini, sudah menjadi seakan-akan kebiasaan buah mulut sesama etnik dan kaum masing-masing serta berlangsungnya adegan menuding jari dengan membabitkan aspek keagamaan apabila berlaku suatu masalah, kita sering menuding salah kepada kumpulan lain.

Perkara ini jelas kelihatan ketika negara berhadapan pandemik COVID-19. Masyarakat memandang berat kepada isu peningkatan kes COVID-19. Situasi ini mungkin menyumbang kepada wujudnya ucapan kebencian dan kemarahan dalam talian kerana masing-masing cuba mencari sesuatu atau seseorang untuk dipersalahkan.

Satu penyelidikan dibuat The Centre menunjukkan terdapatnya peningkatan mendadak ucapan boleh dikategorikan sebagai rasis, dikongsi di pelbagai platform media sosial, bahkan peningkatan itu selari dengan meningkatnya jumlah kes positif COVID-19.

Pada mulanya, kita melihat kesalahan itu diarahkan kepada China hingga bangsa Cina di negara ini turut menerima tempiasnya. Kemudian, kesalahan itu dihalakan pula kepada kluster Tabligh dan sesiapa sahaja berkaitan dengannya.

Selepas itu, masyarakat seakan-akan 'bersatu' pula menghamburkan kebencian kepada pendatang dan pelarian sebelum menghalakan kesalahan penyebaran COVID-19 yang meningkat kembali kepada suatu golongan masyarakat pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ini bukan bermakna kita tidak boleh memberikan pandangan atau meluahkan kritikan berkaitan polisi dan dasar, bahkan itu hak demokrasi perlu dihormati. Namun, kita boleh menggunakan ruang demokrasi untuk memberikan pandangan sebaik mungkin, lebih berhati-hati dan mengambil kira pelbagai pertimbangan.

Jika tidak berhati-hati, kata-kata kebencian menyebabkan diskriminasi, kebencian dan permusuhan. Kita boleh ambil contoh situasi ucapan kebencian dihalakan kepada pelarian di negara ini dalam kekhuatiran menghadapi pandemik COVID-19, amat mengejut dan menakutkan, khususnya apabila kita mengimbas kembali sifat ihsan dan pemberian pelbagai sumbangan kepada nasib pelarian.

Tanpa sedar, terdapat segolongan masyarakat yang mempamerkan tanda ekstremisme melalui penggunaan kata-kata kebencian dan tidak berperikemanusiaan untuk menyerang golongan migran dan pelarian.

Impak ucapan kebencian boleh menjadikan suatu situasi bertambah buruk dan kesannya boleh membinasakan mana-mana individu dan kumpulan terpinggir. Akhirnya, ini akan memberi kesan kepada kita apabila turut menyumbang kepada perpecahan perpaduan sosial.

Oleh itu, kita perlu bermuhasabah terhadap apa jua pilihan kata dan tindakan dalam talian selepas kita mengetahui banyak bukti menunjukkan kebencian disebar menerusi dalam talian boleh memberi kesan dalam kehidupan sebenar. Malah, kadang-kala ia boleh membawa kematian.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan,

Universiti Putra Malaysia

Alibaba mula misi cari sejuta 'influencer'

HONG KONG: Alibaba Group Holding Ltd merintis penggunaan hos penstriman secara langsung untuk menjual segala-galanya daripada telefon pintar hinggalah gincu di China.

Kini, gergasi e-dagang terbabit mahu mengulangi kejayaan itu di seluruh dunia dengan bantuan sejuta pempengaruh atau 'influencer' daripada platform TikTok hinggalah Instagram.

AliExpress, pasaran dalam talian syarikat bagi pembeli di luar China, sedang mencari personaliti media sosial untuk mempromosikan gedung dalam talian di seluruh dunia.

Ia mahu menarik lebih 100,000 pembina isi kandungan tahun ini ke dalam AliExpress Connect, sebelum meningkat kepada sejuta orang dalam masa tiga tahun.

Platform itu menawarkan perkhidmatan pemadanan, membantu memadankan pempengaruh sosial media dengan jenama serta perniagaan yang mahu memasarkan produk mereka.

Tumpuan awal adalah Eropah, di mana Russia, Perancis, Sepanyol dan Poland merangkumi majoriti penggunanya.

Alibaba berharap dapat mengulangi kejayaan yang dinikmatinya melalui 'peneraju pandangan utama' (KOL), yang meningkatkan jualannya dalam pasaran Taobao.

"Bagi Taobao dan AliExpress, isi kandungan sosial adalah kaedah untuk mempelbagaikan penawaran, namun bukan untuk menjana pendapatan," kata Ketua Operasi AliExpress, Yuan Yuan kepada Bloomberg News.

Pempengaruh akan membantu pengguna kekal dengan platform berbanding hanya membuat pembelian sekali saja.

"Sasarannya adalah untuk mengumpulkan pengguna, mengekalkannya dan menggalakkan mereka untuk kekal aktif."

Gergasi media sosial global seperti Facebook Inc juga sudah menambah ciri-ciri baharu yang menyokong pembelian dalam talian.

Di Amerika Syarikat (AS), lebih 75 juta pengguna rangkaian sosial berusia 14 tahun ke atas dijangka membuat sekurang-kurangnya satu pembelian dalam talian tahun ini, meningkat lebih 17 peratus berbanding 2019, menurut firma penyelidikan eMarketer.

Pempengaruh dan pembina isi kandungan boleh mendaftar ke dalam Connect menggunakan TikTok, Instagram, Facebook dan akaun media sosial lain.

Yuan berkata, AliExpress menyasarkan untuk membantu sekurang-kurangnya 100 daripada sejuta pempengaruh meraih pendapatan lebih AS$1 juta setahun dalam masa tiga tahun.

"Hanya jika boleh menjana wang sebanyak itu mereka akan bermotivasi membina isi kandungan yang bagus untuk platform kami," katanya.
-Bloomberg

Sebar maklumat secara sihat dalam media sosial


Umum tahu media sosial wadah komunikasi penting untuk menyebarkan maklumat dan berita, termasuklah dalam politik.

Ketika musim pilihan raya, media sosial digunakan secara meluas. Kalau dahulu parti politik hanya mengguna risalah atau cebisan kertas untuk disebarkan kepada pengundi. Kini hanya menggunakan telefon bimbit, pengguna dapat berkongsi dan mencipta rangkaian yang disertai ramai.

Ini memudahkan urusan penyampaian dan perkongsian maklumat berlaku. Arahan dan percambahan idea juga mudah dijelmakan. Inilah teknologi moden yang banyak memberi kesan kepada urusan kehidupan kita seharian, lebih-lebih lagi kepada orang politik.

Contoh paling dekat kemenangan Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Sungguhpun bentuk muka buminya berbukit dan jaringan jalan raya terhad, maklumat dan ‘cebisan politik’ tetap sampai ke tangan pengundi dengan pantas.

Begitu juga di PRK Semenyih yang sudah semestinya elemen media sosial digunakan meluas untuk penyebaran maklumat.

Apa pun, komunikasi membabitkan pengguna ramai sukar dikawal. Inilah cabaran terbesar dalam era komunikasi moden.

Beretika suarakan pendapat

Tidak salah menyuarakan pendapat, cadangan dan idea, namun biarlah mengikut etika dan saling menghormati antara satu sama lain.

Di negara kita, sensitiviti dan hormat menghormati antara kaum perlu diberi perhatian. Tidak perlu muat naik berita atau gambar menyinggung perasaan kaum tertentu.

Agama adalah isu sensitif yang perlu ditangani dengan bijak. Perbezaan kepercayaan, adat dan fahaman sukar dibendung, namun konteks itu bukanlah sesuatu yang patut dibincang mengikut emosi.

Bagi calon bertanding, perlu diberi garis panduan dan tatacara berkempen. Pihak yang menguasai media sosial mempunyai kelebihan membentuk pengaruh.

Mereka tidak perlu mengeluarkan modal besar dan ini memudahkan kerja ‘pemasaran politik’ dibuat.
Kalau dulu media tradisional seperti televisyen, radio dan surat khabar menjadi medium penting, namun kini semuanya boleh dilakukan menggunakan hanya telefon bimbit.

Namun aktiviti ziarah rumah ke rumah untuk kempen pilihan raya masih diamalkan. Begitu juga pengedaran risalah di pasar tani atau di pasar malam.

Ia lumrah kerana calon bertanding perlu memperkenalkan diri di khalayak ramai. Bagi pengundi, inilah masa terbaik untuk kenal dengan lebih dekat calon atau wakil mereka.

Penggunaan media sosial tidak dikawal boleh menjejaskan keamanan dan kestabilan negara. Nasihat saya, berkempenlah secara sihat, beretika dan bertamadun, serta hindari sentimen pecah-belah.

Zamri Sarji,Centre for Foundation Studies (CFS) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan

Cara padam akaun Facebook

Bosan dengan media sosial terutama Facebook, apa kata anda padamkan teruskan akaunnya dan hindarkan diri anda daripada dunia ‘bawang’.

Tapi, anda sudah memindah naik banyak foto dan video yang disimpan dalam pelayan Facebook dan anda tidak mahu ia lenyap begitu saja.

Ini cara mudah untuk padam Facebook, tapi boleh pindah turun semua data foto dan video anda, namun perlu diingatkan sebaik teknik ini dilakukan, tiada penyesalan atau peluang kedua untuk mengaktifkannya semula.

Simpan atau save salinan foto dan video dengan pilih ‘Settings’ dan cari ikon ‘Download a copy of your Facebook data’.

Selepas pindah turun semuanya, anda boleh cari ‘account deletion page’ dalam ruang carian pada Facebook dan pilih ‘Delete my account’. Ia agak tersorok kerana Facebook sendiri tidak mahu anda memadamkannya.

Sebaik memadamnya, ia mengambil masa 90 hari untuk semua pos dan foto dipadamkan daripada pelayan Facebook.

Sementara itu, maklumat mengenai anda masih akan berlegar di Internet.

Dominasi Facebook Messenger yang semakin ketara

Oleh Azleen Abdul Rahim

SEKIRANYA anda ingin meng­hubungi pemilik laman web tertentu secara terus, biasanya anda akan mengisi nama, alamat e-mel dan sedikit nota melalui satu borang yang ada di situ untuk meminta individu atau jenama tadi menghubungi anda kembali. Betul?

Kini, terdapat cara baharu yang lebih praktikal, mudah dan cepat iaitu dengan menggunakan butang Facebook Messenger yang berada di skrin laman web. Kemudahan yang baharu dilancarkan pada peng­hujung tahun lalu kini boleh didapati dengan menggunakan fungsi plug-in yang terdapat pada platform laman web anda.
Facebook membenarkan butang Messenger untuk diletakkan di dalam laman web tanpa perlu lagi melayari aplikasi Facebook. Borang dalam talian yang wujud dan biasanya digunakan pada laman-laman web sebagai langkah call-to-action bakal menjadi sejarah sedikit masa lagi setelah wujudnya fungsi baharu Messenger ini. Malah, ia juga mampu untuk mengurangkan penggunaan e-mel di antara pelanggan dan jenama.
Sejak sebulan lalu, lebih banyak laman web yang saya lihat rata-rata mula menggunakan butang Facebook Messenger, yang ‘timbul’ pada skrin komputer atau peranti mudah alih anda. Ia berbentuk bulat, bersaiz kecil dan berwarna biru muda iaitu warna korporat Facebook yang mempunyai logo Messenger ala-ala seperti kilat tetapi mendatar.
Ketika Facebook melancarkan Messenger pada 2011, ramai yang tidak begitu peka dan berminat untuk menggunakannya. Ramai yang lebih suka kepada aplikasi Whats­App yang lebih mudah.

Selang tujuh tahun selepas itu, Facebook Messenger kini mempunyai lebih 1.3 bilion individu dan 60 juta jenama perniagaan yang menggunakannya dalam satu-satu masa. Ini disebabkan oleh pengenalan yang dilakukan Facebook khusus kepada komuniti perniagaan yang membolehkan mereka berinteraksi dengan para pelanggan mereka dengan lebih mudah dan pantas melalui aplikasi Messenger yang boleh dimuat naik di laman web perniagaan masing-masing.
Sebenarnya ia baharu sahaja diperkenalkan pada November 2017 dan tahun 2018 ini bakal menyaksikan dominasinya dalam interaksi yang berbentuk masa sebenar, yang juga bakal mengambil alih tempat Whats­App sebagai platform ulung bagi khidmat pesanan pantas.
Butang Facebook Messenger ini akan sentiasa terpampang di skrin walaupun anda leka melayari pelbagai muka surat yang ada di laman web jenama tersebut. Ini seolah-olah menggambarkan jenama tadi mempunyai pusat khidmat pelanggan 24 jam yang sentiasa bersedia dan menanti anda untuk berinteraksi tentang apa sahaja persoalan dan masalah yang timbul pada bila-bila masa sahaja sepanjang mereka berada di laman web itu. Ia juga membuatkan jenama tadi kelihatan besar dan gah walaupun hakikatnya ia mungkin ha­nyalah sebuah jenama mikro yang menjalankan perniagaan itu secara hobi atau separuh masa.
Daripada perspektif pemasaran ke dalam atau inbound marketing pula, ia mewujudkan kekuatan daya saing yang tinggi yang hampir sama de­ngan kekuatan yang wujud pada jenama-jenama besar. Para pe­langgan yang berminat tentang sesuatu produk atau ingin bertanya dengan lebih lanjut tentang lokasi perniagaan, perta­nyaan biasa dan harga produk tertentu kini tidak perlu lagi menghantar e-mel dan me­nunggu beberapa hari untuk mendapatkan jawapan. Atau tidak perlu juga untuk keluar dari laman web dan masuk ke laman Facebook untuk menaip pertanyaan tadi di kotak Messenger yang terdapat pada laman Facebook Page jenama tadi bagi mendapatkan jawapan segera. Proses-proses yang melambatkan ini kini boleh dilupakan yang bakal menjadi kenangan.
Itu daripada perspektif khidmat pelanggan dan pemasaran inbound. Facebook Messenger memperkuatkan dominasi mereka dengan membenarkan juga anda untuk menghantar pemasaran keluar atau Inbound Marketing­. Melalui Messenger, penghantaran mesej yang anda ingin sampaikan kepada para pengikut anda boleh dihantar secara terus dalam bentuk penulisan, gambar dan sebagai­nya.
Saya yakin sektor industri mikro, kecil dan sederhana amat mengalu-alukan kemudahan ini memandangkan ia disediakan secara percuma. Tanpa memerlukan aplikasi-aplikasi lain yang terlalu teknikal dan canggih, fungsi Messenger sudah mencukupi bagi mereka. Segala bentuk promosi, kempen dan pengumuman, semuanya boleh dikendalikan dengan mudah.
Sebagai sebuah jenama yang sedang meningkat naik, anda akan ketinggalan jauh sekira­nya tidak berkomunikasi de­ngan lebih proaktif dan pantas dalam menjawab pertanyaan pelanggan. Jadi ambil kesempatan ke atas fungsi Facebook Messenger dan masukkan fungsi ini ke laman web anda untuk mendapatkan interaksi yang lebih berkualiti. Ini mampu menarik bakal pelanggan dengan lebih kuat berbanding pesaing terdekat anda.

Jangan jadi hamba telefon bimbit

Oleh Amirul Akmal Redzwan 

Telefon bimbit kini boleh dikatakan menjadi satu keperluan untuk semua orang. Telefon bimbit bukan sahaja menjadi alat penghubung antara satu sama lain tetapi gajet itu diperlukan untuk membantu seseorang menyelesaikan tugas mereka.

Begitupun, penggunaan telefon bimbit ketika memandu boleh mengundang padah dan membahayakan nyawa orang ramai berpunca daripada sikap pemandu yang tidak bertanggungjawab.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kesalahan menggunakan telefon bimbit harus dititikberatkan kerana ia boleh menyumbang kepada nahas jalan raya.

“Kami menganggap ia sebagai satu kesalahan yang serius kerana ia bukan sahaja melibatkan diri sendiri tetapi turut membabitkan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

“Sehubungan itu, kami akan menjalankan penguatkuasaan secara berterusan bagi menunjukkan bahawa pihak kami komited dalam menangani masalah ini,” katanya baru ini.

Nahas

Pada 13 November lalu melaporkan, kajian yang dilakukan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) mendedahkan, 43.4 peratus pengguna jalan raya menggunakan telefon bimbit ketika memandu kereta dan menunggang motosikal sehingga mendorong berlakunya nahas.

Sementara itu, Pakar Psikologi Trafik Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Rozmi Ismail berkata, kajian Miros itu amat membimbangkan dan tidak boleh dipandang enteng oleh semua pengguna jalan raya.

Katanya, punca utama kemalangan kerana menggunakan telefon bimbit adalah disebabkan gangguan dari segi konsentrasi pemandu itu sendiri.

“Apabila memulakan sesuatu perbualan, fokus mereka akan lebih tertumpu kepada konteks perbualan tersebut sehingga mengabaikan risiko berlakunya kemalangan.

“Oleh itu, bagi pemandu yang ingin menggunakan telefon bimbit, mereka disarankan agar memberhentikan dahulu kenderaan di kawasan yang selamat sebelum membuat sebarang panggilan atau membalas mesej,” katanya.

Jelas beliau lagi, untuk mengatasi masalah ketagihan terhadap telefon bimbit, seseorang itu perlu bijak menggunakannya bagi mengelak mereka daripada menjadi hamba gajet tersebut.

“Semuanya terpulang kepada individu itu sendiri. Manusia dikurniakan akal dan fikiran. Mereka boleh memilih sama ada mahu menjadi hamba terhadap telefon bimbit atau tidak. Kesalahan baharu
“Hal ini kerana perbuatan memandu sambil menggunakan telefon bimbit dianggap memandu secara berbahaya dan boleh didakwa melakukan kesalahan mengikut kaedah 17A dalam kaedah-kaedah lalu lintas jalan 1959 serta boleh dikenakan kompaun sebanyak RM300,” ujarnya.

Dalam pada itu, memandu sambil menggunakan telefon bimbit antara 20 kesalahan baharu yang akan dihubungkan dalam pangkalan data MySikap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi pelaksanaan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) berkuatkuasa tahun depan.

Awas adalah gabungan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) yang dilaksanakan pada 15 April lalu. Pesalah-pesalah jalan raya dikenakan mata demerit di bawah Sistem Kejara.

Ketika ini, hanya kesalahan memandu melebihi had yang dibenarkan dan melanggar lampu isyarat terdapat dalam sistem tersebut.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memberitahu, pada ketika ini data-data menunjukkan jumlah kemalangan jalan raya membabitkan penggunaan telefon bimbit semakin membimbangkan.

“Kami dapati memandu sambil menggunakan telefon semakin meningkat dan kami ada data-data menunjukkan peningkatan kemalangan jalan raya kerana guna telefon bimbit. Kami mesti tambah 20 lagi kesalahan di bawah sistem demerit yang akan dimulakan tahun hadapan.

“Antara kesalahan yang bakal dimasukkan ke dalam pangkalan data itu ialah memotong di garisan berkembar, memotong kenderaan secara berbahaya, menggunakan laluan kecemasan, membawa lebih muatan daripada had yang ditetapkan dan muatan terjatuh atau tumpah sehingga menyebabkan bahaya kepada pengguna jalan raya,” katanya.-Kosmo

China Mendominasi Senarai Teratas Super Komputer

Ya, jangan tak pecaya kerana sekarang negara China telah mengatasi negara Amerika Syarikat dalam senarai paling banyak sistem super komputer terpantas di dunia. Negara China sekarang mempunyai 202 mesin super komputer iaitu merupakan pencapaian paling tertinggi di dunia, menurut laman kajian Top 500.

Amerika Syarikat mempunyai 143 sistem super komputer dan sebenarnya ia masih tahap terendah sejak 25 tahun yang lalu, tetapi masih mendapat tempat kedua.

Jepun diletakkan tangga ketiga dengan 35 sistem super komputer dan Jerman tangga keempat dengan 20 sistem super komputer.

Hal ini disebab faktor utama iaitu, peningkatan pelaburan China dalam penyelidikan dan pembangunan, serta menurut satu kajian lain baru-baru ini, negara china kini menyumbang kira-kira 20% daripada jumlah pengeluaran R & D di dunia.


Super komputer DKRZ yang berada di Jerman

Sedikit fakta sains tentang super komputer: 

Super komputer biasanya berskala besar dan merupakan sistem yang sangat mahal kerana memaparkan puluhan ribu pemproses yang direka untuk menjalankan tugas-tugas pengiraan khusus yang intensif.

Contohnya termasuk, kajian perubahan iklim, simulasi senjata nuklear, prospek minyak, ramalan cuaca, data DNA dan pemodelan biomolekul

Prestasi super komputer biasanya diukur dalam petaflops (satu ribu triliun operasi terapung per saat). Flop boleh dianggap sebagai langkah dalam perhitungan.

Komputer terpantas China yang dinamakan sebagai Sunway Taihu Light kini mengekalkan pendahulunya sebagai yang paling cepat di dunia iaitu sebanyak 93 petaflops.

Sebaliknya, Titan yang terpantas Amerika Syarikat kini menduduki tempat kelima di dunia, dengan prestasi sebanyak 17.6 petaflops.


Angka tersebut sebenarnya menunjukkan China telah mengatasi Amerika Syarikat dari segi prestasi agregat, menyumbang 35.4% daripada jumlah kuasa pemprosesan senarai berbanding Amerika Syarikat 29.6%.

Erich Strohmaier salah seorang pengasas bersama itu memberitahu berita BBC bahawa banyak sistem di negera China telah diwujudkan untuk mendapatkan wang dengan pemilik menyewakan kuasa pemprosesan mereka kepada firma tempatan dan antarabangsa.


Erich memberitahu kenapa dua sebab utama belaku pekara ini terjadi:

Salah satunya adalah prestasi yang ditunjukan dengan menjadi peneraju utama dalam pasaran yang dulu menjadi contoh utama penguasaan teknologi Amerika Syarikat.

"Yang satu lagi berkaitan dengan penerokaan saintifik dan keselamatan negara dan sebenarnya banyak sistem ini digunakan untuk tujuan pengiraan yang berkaitan dengan sistem senjata."

Telefon pintar rawat diabetes

SHANGHAI - Para saintis di China berjaya menggunakan telefon pintar untuk mengawal tahap gula dalam tubuh penghidap diabetes.

Proses yang menggabungkan biologi dan teknologi itu berjaya dilakukan terhadap tikus makmal yang menghidap penyakit ber­kenaan tetapi jurnal Science Translational Medicine menyifatkan ke­jayaan itu boleh diaplikasikan terhadap pelbagai penyakit lain dan rawatan menggunakan ubat.

Menurut penyelidik di East China Normal University di sini, pendekatan ini membuka laluan kepada 'era baharu’ dalam dunia perubatan.
Langkah pertama yang dilakukan ialah menukar sel normal secara genetik untuk mengeluarkan ubat bagi mengawal tahap gula dalam darah seperti insulin tetapi hanya melalui tindak balas cahaya.

Teknologi berkenaan dikena­li sebagai optogenetics dengan sel-sel berkenaan akan bertindak apabila didedahkan kepada gelombang khas cahaya merah manakala LED tanpa wayar serta aplikasi telefon pintar digunakan untuk mengawalnya.

Lapor portal BBC, para penyelidik berkenaan memasukkan sistem tersebut pada bahagian ba­wah kulit tikus dan berjaya me­ngawal diabetes dengan sentuhan pada skrin telefon.

Kata mereka, penemuan itu mampu membuka laluan untuk era baharu berhubung ketepatan glo­bal, digital dan peribadi perubatan.

Para saintis hanya perlu me­ngambil setitik darah untuk menge­tahui tahap gula dalam darah haiwan agar mereka boleh mengira jumlah ubat yang perlu dilepaskan dalam tubuh haiwan tersebut.
Matlamat utama ialah untuk menghasilkan sistem automatik sepenuhnya yang boleh mengesan tahap gula dan mengeluarkan sejumlah bahan kimia terapi.

Namun begitu kajian itu masih pada peringkat awal dan tidak terhad kepada penyakit diabetes ke­rana sel boleh dibangunkan untuk mengeluarkan pelbagai jenis ubat.

Perisian Wajib Pasang Setiap Kali Selepas Melakukan Format

Oleh Arya Putra

1.Google Chrome/Firefox

Rasanya tak perlu diceritakan secara terperinci akan keperluan memasang pelayar web ini. Setiap satunya mempunyai kelebihan tersendiri. Terserah kepada citarasa masing-masing. Abam sendiri menggunakan Chrome untuk kesemua aktiviti internet.

2.SM Player/VLC

Pemain media semua dalam satu ini mampu memainkan pelbagai format media tanpa perlu memasang codec tambahan. VLC sering menjadi pilihan terutama pengguna Linux. Manakala abam pula memilih SM Player dek kerana boleh 'boost' volume melalui tetapan.

3. Winamp/Spotify

Mungkin ada yang akan kata ianya 'redundant' dengan nombor 2, tetapi pada abam, aplikasi/perisian Winamp ini tidak ada tukar gantinya. Ia pemain muzik terbaik dengan ciri-ciri yang tiada tolok banding. Ada pelbagai pemain muzik di internet yang boleh dipilih, tetapi hanya ada satu Winamp yang terunggul.

Spotify pula abam gunakan untuk strim lagu dengan mudah, yang dah disiapkan dalam satu senarai main. Senang nak strim lagu raya. Heheheh.

4. WinRAR

WinRAR adalah aplikasi pengekstrak dan pemadat yang premium. Selain ciri-cirinya yang banyak (yang biasanya abam tak teroka pun), ia juga menyokong ciri tema. Kalau bosan dengan tema asal, boleh tukar saja dengan mana-mana yang terdapat di internet (terutamanya di Deviant Art).

5. Revo Uninstaller

Betul, pengguna masih boleh menyahpasang aplikasi melalui Control Panel tu, tapi jangan tak tahu, masih ada yang 'terlepas pandang'. Dengan Revo Uninstaller, nyahpasang dilakukan secara total termasuklah apa yang tertinggal di registry.

6.OpenVPN

Hah, tak payah la abam nak tulis panjang lebar, sementelah blog ini pun banyak sudah menulis tentang VPN umumnya dan OpenVPN khususnya. Abam sendiri menggunakan TheLan VPN sebagai servis VPN terbaik dan termurah yang boleh didapatkan.

7. Internet Download Manager

Hahah, Internet Download Manager (IDM) ni abam bagi nama secara umum lah. Kalau pendek cerita, mana-mana pemuat turun lain yang anda lebih gemari juga boleh digunakan, EagleGet dan FlareGet sebagai contoh. Tiada pemuat turun tak lengkap rasanya.

8. Perisian Pejabat

Microsoft Office adalah alat (tool) yang mesti ada bagi melengkapkan sistem operasi. Melainkan anda memang hanya menjadikan PC anda sebagai tempat operasi untuk bermain permainan dan pusat media, maka perisian pejabat tidak dapat tidak wajib dipasang.

9. Netspeed Monitor

Sebenarnya aplikasi ini tidaklah begitu kritikal kepentingannya, tetapi dah jadi 'habit' pulak pada diri abam sendiri, suka melihat kelajuan internet sewaktu menggunakannya. Apabila perlahan sekurang-kurang kita tahu berapakah 'keperlahanannya' tu. Heheheh. Dengan itu bolehlah kita troubleshoot pula apa yang tak kena.

10. TeraCopy

Kalau dalam Windows 10, rasanya dah tak perlukan kepada aplikasi ini. Tetapi dalam Windows 7, ia masih relevan. Sedikit-sebanyak ia dapat melajukan proses salin dan tampal pada sistem anda.

11. DFX Sound Enhancer

Eheh, abam tak klasifikasikan ini sebagai wajib lah, tetapi kalau anda memang jenis 'kaki muzik', pasanglah ia. Pasti anda tidak akan dapat melayani muzik tanpanya selepas ini.

12. Pembaca PDF

Pada abam, abam lebih suka menggunakan Foxit Reader berbanding pembaca PDF yang lain. Ia banyak pilihan pada tetapan untuk menyesuaikan kegunaannya dengan diri kita. Siap ada tema.

Jadi inilah sedikit-sebanyak perkongsian aplikasi yang perlu dipasang selepas setiap kali anda format peranti anda. Sekiranya ada cadangan untuk tambahan, anda boleh komen.

Benarkah Kad Berasaskan PayWave Mudah Digodam?

Oleh  Arib Ismail

Satu perkara yang hangat diperkatakan hari ini apabila satu akhbar tempatan menyiarkan isu penyeluk saku digital yang mampu menggodam maklumat kad berasaskan PayWave dengan hanya menggunakan telefon pintar. Kad jenis ini telah diimplementasikan secara menyeluruh pada majoriti kad bank setelah digalakkan penukarannya bermula tahun lalu di Malaysia.

Saya mencuba aplikasi yang diperkatakan mampu “menggodam” maklumat kad PayWave atau kad yang mempunyai sokongan contactless ini.

Aplikasi ini sebenarnya bukanlah aplikasi yang direka untuk menggodam tetapi dilihat sebagai aplikasi analisis yang mampu membaca maklumat daripada kad tersebut. Ia hanya boleh dipasang pada telefon berasaskan Android dan satu fungsi wajib yang perlu ada adalah kebolehan Near Field Communication (NFC). Walaupun ia tidak direka untuk godaman, hasil maklumat yang diperolehi masih ada kemungkinan untuk menjayakan sesuatu transaksi.

Berikut adalah maklumat yang diperolehi melalui aplikasi tersebut selepas berjaya mengesan kad berasaskan PayWave:
1. Nombor kad debit/kredit anda
2. Tarikh luput kad
3. Transaksi terkini (sekitar dua minggu)
4. Log yang dipenuhi dengan kod unik


Umumnya, tiga maklumat yang diperlukan untuk membuat pembayaran online iaitu:
1. Nombor kad debit/kredit anda
2. Tarikh luput kad
3. Nombor CVV (nombor 3 digit di belakang kad)
Satu maklumat yang tidak diperolehi oleh aplikasi ini adalah nombor CVV iaitu nombor yang tertera di belakang kad. Walaupun aplikasi ini tidak memaparkan nombor CVV ini, dengan penggunaan 3 digit nombor, ia masih ada kemungkinan untuk diteka di bawah 999 kali.
Perlukah anda risau?
Pertama sekali, aplikasi ini menggunakan gelombang NFC pada telefon pintar sekaligus memerlukan jarak yang sangat dekat untuk membaca kad PayWave ini. Secara teknikal, gelombang ini mampu mengesan dalam jarak 4cm sahaja daripada terminal pembayaran atau telefon pintar. Tetapi apabila diuji, saya perlu meletakkan kad betul-betul berhampiran di belakang telefon, barulah ia berjaya membaca kad PayWave ini. Sekiranya saya meletakkan kad ini jauh dengan jarak melebihi 1cm, ia akan memberikan rajah di bawah.


Ini bercanggah dengan apa yang diperkatakan oleh akhbar tersebut yang mana penggodam mampu memperoleh data dalam lingkungan satu 1 meter. Ia terlalu jauh untuk penggunaan telefon pintar dengan bantuan NFC setakat ini. Teknologi NFC hanya akan berlaku proses pemindahan data apabila berada di bawah lingkungan 4cm.¹

Gambar dari @syafiquesazali / Twitter Perkara ini diperkuatkan melalui info daripada Maybank mengenai pembayaran secara contactless


Selain itu, kebanyakan transaksi pembayaran online kini juga telah dipertingkatkan dengan sistem 3-D Secure — memerlukan anda memasukkan kod yang dihantar kepada telefon anda sebelum menjayakan sesuatu transaksi. Ini menyukarkan penggodam meneruskan transaksi atas ketiadaan akses kepada telefon pintar anda secara fizikal. Melainkan telefon pintar anda turut digodam, kemungkinan besar sesuatu transaksi itu akan turut berjaya.


Seperkara lagi, sekiranya maklumat kad anda dicuri, anda masih akan menerima mesej pada telefon anda untuk setiap transaksi yang berlaku menggunakan kad anda. Jadi, anda masih mempunyai peluang untuk menghubungi pihak bank bagi memaklumkan transaksi yang berada di luar pengawasan anda.
Saya masih skeptik dan apakah langkah-langkah untuk mengelakkan maklumat kad PayWave saya dicuri?
Terdapat beberapa solusi seperti membalut kad dengan aluminum dan sampul kad anti gelombang yang mungkin memerlukan anda mengeluarkan sedikit wang untuk melindungi kad anda. Sungguhpun begitu, masih terdapat beberapa cara lain yang anda boleh praktikkan untuk mengelakkan maklumat kad dicuri.
Apabila berada pada sesuatu lokasi, pastikan anda sentiasa meletakkan jarak anda apabila dihampiri oleh orang yang tidak dikenali. Ini mengelakkan penggodam mengambil kesempatan untuk menyeluk saku secara fizikal atau digital dengan teknik mengalih perhatian anda.
Anda juga disarankan untuk menyimpan kad anda pada bahagian yang tidak terjangka oleh penyeluk saku. Lokasinya ada baiknya tidak perlu disebutkan di sini untuk mengelak pemberian idea kepada penjenayah. Ikut kepada kreativiti dan keselesaan anda untuk meletakkan kad tersebut.

Jadi bagi anda yang mempunyai kad berasaskan PayWave, proses untuk memperoleh maklumat kad ini sebenarnya memerlukan jarak yang begitu dekat sebelum ia berjaya dipintas. Sekiranya ia berjaya dipintas, maklumat yang diperolehi juga masih belum mampu untuk menjayakan sesuatu transaksi dan memerlukan penggodam untuk meneka nombor CVV dengan tekaan sehingga 999 kali. Pastinya dalam tekaan tersebut, pihak bank akan menyahaktifkan kad tersebut kerana ada cubaan untuk meneka nombor ini secara berkali-kali.
Seperkara lagi, dengan sistem pembayaran 3-D Secure yang diimplementasikan pada pembayaran online, ia juga menyukarkan penggodam kerana memerlukan penggodam mendapatkan telefon pengguna secara fizikal untuk melihat kod yang dihantar, sebelum mampu untuk meneruskan pembayaran.
Walau bagaimanapun, segala kemungkinan masih perlu dititikberatkan pengguna daripada apa jua jenis ancaman godaman. Beberapa perkongsian yang disampaikan di atas semoga dapat memberikan manfaat untuk kita agar keselamatan maklumat kad tidak digadai dan tumpas ke tangan orang asing.

1. http://nearfieldcommunication.org/technology.html
2. http://www.maybank2u.com.my/WebBank/pinPay-FAQ.pdf

Kad debit tidak selamat? Data senang dicuri, dakwa pakar

Cip terbaru kad debit yang baru diperkenalkan awal tahun ini lebih risiko kepada kecurian data, dakwa seorang pakar keselamatan teknologi maklumat.

Kelemahan kad yang berciri payWave atau berasaskan PIN ini menggunakan gelombang dengan kemudahan transaksi pembayaran tanpa sentuh, kata Mohd Nizam Mohd Salleh kepada Harian Metro.

“Telefon pintar dilengkapi teknologi komunikasi frekuensi berkuasa tinggi jarak dekat tanpa wayar. Untuk lebih mudah difahami, kegunaannya seperti SmartTAG, apabila wang akan tolak sekiranya dikesan gelombang pada kad berkenaan, sama ada kad debit atau kad kredit.

“Penjenayah yang sudah menyedut segala maklumat kad ATM mangsa secara automatik mampu menyeleweng akaun berkenaan termasuk menggunakannya untuk membuat pembelian,” katanya.

Tambah Mohd Nizam, penjenayah boleh mengesan gelombang radio urus niaga ini dalam jarak kurang semeter melalui aplikasi yang dimuatturun daripada telefon pintar.

Selepas data itu diperolehi, penjenayah boleh melakukan transaksi dengan mengimbas telefon pintarnya di mesin payWave, lapor akhbar itu lagi.

Namun pengguna masih boleh menyimpan data mereka apabila membalut kad ATM payWave dengan foil aluminium atau memiliki dompet khas yang menghalang gelombang dikesan.

Bagaimanapun presiden Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (Aibim) mempertahankan teknologi kad debit baru ini yang mempunyai ciri keselamatan tinggi dan sukar diklon.

"Apa pun sekiranya pelanggan bimbang dengan kad baharu diperkenalkan, dinasihatkan supaya pergi ke bank dan minta supaya tutupkan atau mematikan kebolehan teknologi menggunakan 'wave' di kad berkenaan," kata Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid.

Muat Turun Sehingga 5 Kali Lebih Pantas Tanpa Menggunakan IDM

Kebiasaannya, buat anda yang memang jenis hebat dalam bidang IT ni (bahasa lainnya nerd, kih kih kih) akan menggunakan Internet Download Manager atau IDM, untuk memuat turun sesuatu.

Namun, bagi mereka yang hanya menggunakan internet sekadar menonton YouTube, melayari internet sambil bersosial di laman Facebook, Twitter, dan Instagram, penggunaan IDM mungkin agak asing.

Apa cara paling mudah untuk membantu golongan ini? Ya, dengan cara memberikan mereka sebuah pelayar web yang sudah siap tersedia untuk digunakan bagi apa juga yang ingin mereka lakukan.

Citrio, sebuah pelayar web berasaskan Chrome yang mempunyai pemuat turun (Download Manager) terbina dalaman seakan-akan IDM kelajuannya. Diulangi, seakan-akan IDM kelajuannya (maknanya bukan paparan antaramuka pengguna a.k.a GUI - mohon jangan salah faham).

Berikut adalah antara ciri-ciri menarik pada Citrio:

1. Pemuat Turun Terbina Dalaman

Pemuat turun memang dah ada dalam mana-mana pelayar web, namun adakah ianya efisien seperti IDM, tambah lagi yang ada pada Chrome? Tidak bukan. Sudahlah tidak efisien, tak laju pula. Di sinilah bezanya pemuat turun yang ada pada Citrio. Ianya selain dapat mengesan video-video yang ada di laman YouTube (versi HD), ia juga dapat menguruskan semua aktiviti muat turun, termasuklah resume proses muat turun yang tersekat.





2. Pemain Media

Mungkin ciri ini tidak terlalu penting untuk sesetengah orang, kerana pada saya sendiri, saya lebih memilih menggunakan pemain video luaran seperti VLC dan SM Player untuk memainkan media-media. Namun ciri ini kadangkala memudahkan untuk kita melihat terlebih dahulu (pratonton) apa-apa media yang telah dimuat turun.


3. Pemuat Turun Torrent

Oh ya, selain pemuat turun fail-fail 'biasa' di internet, Citrio juga mempunyai pemuat turun torrent terbina dalaman. Ia menyokong pautan magnet dan fail .torrent. Ini bererti anda sudah tidak lagi memerlukan klien torrent lain. Cukup sekadar memasang Citrio, anda sudah dapat semua dalam satu.




4. Penyekat Iklan

Kalau anda buka laman omghackers, mohon whitelist ya. Tetapi untuk laman lain, ikut sukalah. Heheh. Penyekat iklan yang dipasang secara sedia dalam pelayar web ini tidak memerlukan sebarang konfigurasi. Ia akan terus menyekat sebarang iklan sebaik sahaja pelayar web Citrio membuka mana-mana laman.


5. Penukar Proksi

Saya difahamkan bahawa penukar proksi yang terbina dalaman ini sudah mempunyai proksi yang sedia digunakan sebaik sahaja Citrio dipasang. Namun setakat ini ianya kosong sahaja tanpa ada apa-apa tetapan proksi. Buat masa ini anda perlu letakkan sendiri proksinya. Saya akan sahkan perkara ini dengan menghubungi pembangun Citrio.


Paling penting, pelayar ini serasi dengan semua extensions yang ada untuk Chrome. Tak lupa juga anda boleh menggunakan akaun Google pada Citrio ini untuk menyelaraskan data-data dari Google Chrome.

Anda boleh muat turun pelayar web serba guna ini melalui pautan di bawah. Jangan lupa komen setelah anda mencubanya ya. Buat masa ini Citrio terdapat untuk sistem operasi Windows dan Mac.

Muat Turun: Citrio Browser

Kurangkan guna gajet pujuk anak

Oleh Siti Zarinah Sahib

Ibu bapa yang mempunyai anak kecil kini sering menggunakan peralatan mudah alih seperti telefon pintar dan tablet untuk memujuk atau mengalih perhatian dengan memainkan kartun atau permainan video.

Walaupun penggunaan teknologi untuk mendisplin atau mengalih perhatian anak dianggap sesuatu yang senang, ia juga boleh membawa risiko pendedahan melampau kepada kanak-kanak.

Keadaan ini menyebabkan ketagihan kepada peralatan berkenaan yang mengakibatkan situasi kanak-kanak hilang minat terhadap aktiviti lain dan sering menunjukkan tanda gelisah, cemas serta masalah tingkah laku.

Akademi Kanak-kanak Amerika (AAP) mengesyorkan kanak-kanak berusia antara dua dan lima tahun tidak sepatutnya terdedah kepada skrin peranti melebihi satu jam sehari. Ini kerana dalam tempoh beberapa tahun pertama kehidupan mereka, otak kanak-kanak berkembang dengan pantas dan mereka sepatutnya belajar melalui interaksi dengan manusia bagi membina kemahiran sosial.

Bagaimanapun, dalam garis panduannya, AAP meminta untuk mempertimbangkan kualiti kandungan dalam peranti dan bukan sekadar menetapkan had masa semata-mata.

Menyedari hal ini, sempena ulang tahun ke-4, Gymboree Play and Music, peneraju dunia dalam penyediaan kelas bagi bayi dan kanak-kanak, menganjurkan sesi dialog bagi membincangkan aspek positif dan negatif membesarkan kanak-kanak dalam persekitaran kehidupan generasi berteknologi.

Ahli panel yang dijemput terdiri daripada penulis buku The Mindful Mum, Michelle Lim Chua, Perunding Pakar Pediatrik dan Pengasas Pusat Pakar Kanak-kanak Baby and Beyond Dr Chow Su Lin dan Pengarah Urusan Gymboree Play and Music Malaysia Ooi Kim Koon yang diadakan di cawangan Gymboree Play and Music di Bangsar Village, Kuala Lumpur.

Sesi dialog berkenaan membincangkan pelbagai aspek membesarkan kanak-kanak dengan mengurangkan penggunaan teknologi dalam kehidupan harian.

Menurut Dr Chow, pada usia sebulan hingga lima tahun adalah tempoh ibu bapa mendidik anak dengan cara membina corak minda mereka. Ini kerana sepanjang tempoh ini kanak-kanak sedang mengalami perkembangan sosial, emosi dan kognitif yang pesat. Perkukuhkan hubungan dengan mereka dalam tempoh ini untuk membina asas teguh yang akan berkekalan sepanjang hidup mereka.
“Pada usia ini, anak akan menunjukkan sifat nakal dan menakjubkan yang dianugerahkan kepadanya.
Oleh itu biarkan mereka meneroka persekitaran dan belajar menerusi perkara di sekeliling mereka,” katanya.

Kata Michelle, ibu bapa perlu melihat hubungan teknologi dan media sosial dengan anak. Kemudian tanya diri sama ada ibu bapa menampilkan contoh tingkah laku yang sihat dan seimbang yang dapat diikuti generasi masa depan.

Dengan lebih daripada 700 pusat di 40 negara di seluruh dunia, Gymboree Play & Music muncul sebagai peneraju global dalam pembangunaan awal kanak-kanak. Kurikulum yang diguna pakai dibangunkan oleh pelbagai pakar kanak-kanak khusus untuk membantu ibu bapa memahami dan menyaksikan sendiri impak besar yang dicetuskan oleh permainan, muzik dan seni ke atas bayi baru lahir sehingga ke usia lima tahun dengan peningkatan enam bulan sekali untuk memenuhi kemampuan dan perkembangan unik setiap kanak-kanak.

Gymboree Play & Music berperanan sebagai tempat ibu bapa mendapatkan pengalaman bermain sebenar dengan anak sambil mengenali dengan lebih dekat diri mereka sendiri.

Ibu bapa juga akan dapat mengikuti: 

1. Kelas muzik untuk mempertingkatkan perkembangan dengan menggunakan lagu, tarian dan peralatan pergerakan.

2. Kelas seni untuk mencetuskan imaginasi dan melahirkan ekspresi diri.

3. Pelbagai bentuk permainan membina yang membabitkan fizikal, sosial, lakonan, penyelesaian masalah.

4. Peralatan canggih menggabungkan estetika penyelidikan dan pembelajaran daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan budaya bertujuan memberikan pengalaman bermain yang universal dan abadi.

Selama 40 hari bermula pada 12 November, Gymboree Play & Music menyambut ulang tahunnya yang ke-40 di seluruh dunia. Di Malaysia, ia akan mengadakan sambutan dengan gaya Gymboree sebenar untuk keluarga yang mempunyai anak-anak kecil termasuklah PlayGym, beg hadiah, perbincangan ahli panel dengan ibu bapa juga pertemuan anak-anak dengan maskot.

Menurut Ooi, pihaknya sangat teruja membawakan kanak-kanak bermain dan meneroka bagi mengukuhkan perhubungan ibu bapa dengan anak-anak.

“Kami menyasarkan menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi yang diharapkan ibu bapa untuk anak mereka dan ingin mengukuhkan kedudukan di Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Buat duit dengan game

Oleh Afiq Hanif

Industri game di negara ini semakin mendapat perhatian terutama dalam kalangan remaja.
Ramai pemain dan pasukan dibentuk serta bersaing bukan saja di peringkat tempatan namun menempa nama di persada antarabangsa.

Namun, kita perlu bertindak bukan saja sebagai pengguna namun potensi lebih besar iaitu bersedia menjadi pembangun game terbabit.

Di Malaysia, program lima hari seperti Level Up KL menjadi pemangkin kepada anak muda, pembangun game tidak kira bernaung di bawah syarikat atau bergerak bebas untuk menyertai pelbagai aktiviti yang bukan saja sembang kosong tetapi menuntut ilmu dan membuka peluang di peringkat lebih tinggi.

Level Up KL akan berlangsung 5 hingga 9 November ini di Kuala Lumpur yang dianjurkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan turut ditaja Media Prima Digital Sdn Bhd (MPD) dalam usaha melahirkan bakat dan produk tempatan ke peringkat lebih tinggi setaraf pembangun game lain yang popular.

Sejauh mana tarafnya? Sudah pasti di peringkat tertinggi apabila ia menjadi acara Asia Tenggara dan bukan membabitkan seminar semata-mata tapi peluang menjual produk kepada pembangun luar atau memperkenalkan produk kepada penerbit berpotensi.

Selama lima hari, aktiviti dianjurkan begitu menarik minat seperti seminar industri, padanan rangkaian (bertindak sebagai networking) dan perniagaan, Anugerah Game Mudah Alih Antarabangsa SEA (IMGA), SEA Game Jam 2016, padanan projek, pensijilan Unity dan GameFounders Asia - Demo Day.

Pengarah Kandungan Kreatif dan Bahagian Teknologi MDEC Hasnul Hadi Samsudin berkata, ia kali kedua Level Up dianjurkan memandangkan sebelum ini tiada acara khusus untuk pembangun game dan hanya tertumpu pengguna semata-mata seperti Comic Fiesta atau acara e-sukan lain.

“Tiada acara atau program khusus untuk pembangun memasarkan produk mereka,” katanya.
Katanya, Malaysia memerlukan acara berkredibiliti seperti Level Up bagi industri game dan seminar sendiri seperti Persidangan Pembangun Game (GDC) di Amerika Syarikat atau Casual Connect yang paling hampir dengan Malaysia.

“Fokus banyak kepada pengguna dan tumpuan perlu diberikan kepada pembangun game sama ada mereka mempunyai syarikat atau pembangun bebas,” kata Hasnul.

Level Up KL mempunyai dua fokus utama iaitu SEA Game Jam iaitu pertandingan membangunkan game dalam masa 48 jam secara berkumpulan tidak kira sama ada dari Malaysia atau negara Asia Tenggara lain.

Selain itu, kami mempunyai IMGA yang sudah bertapak lebih 11 tahun dan MDEC membawanya secara eksklusif ke Malaysia.

“Pengadil akan datang dan memilih aplikasi game mudah alih terbaik di peringkat Asia Tenggara selepas mereka bermain sendiri game terbabit,” katanya.

Malah, MDEC turut menawarkan pensijilan game Unity bagi memberi pengiktirafan antarabangsa sebagai pakar dalam pembangunan aplikasi game yang tiketnya juga ditawarkan bersama Level Up pada harga murah.

Level Up sebelum ini mendapat sokongan padu daripada pembangun Indonesia.

Menariknya juga, antara pemenang pada salah satu acara tahun lalu memperoleh geran Cabaran Pencipta Harta Intelek (IPCC) bagi memperkasakan produk mereka.

“Hadir ke Level Up dan memperoleh geran IPCC berjaya membuktikan produk mampu ke pergi jauh ke depan,” katanya.

Kenapa pembangun perlu menyertai Level Up?

“Ia acara khas untuk pembangun game dengan tema ‘Level Up Locally Growing Globally’, inisiatif MDEC dalam menaik taraf keupayaan mereka,” kata Hasnul.

Ia platform sesuai untuk belajar, mencipta hubungan rangkaian dan menjual produk masing-masing memandangkan Level Up acara bersifat serantau dengan kehadiran nama besar seperti EA, Sony, Ubisoft dan Bandai Namco.

“Mereka mungkin mencari pembangun untuk membangunkan sesuatu iaitu vendor mereka,” katanya.
Katanya, syarikat gergasi ini mempunyai akses kepada peserta Level Up dan mampu melihat keupayaan syarikat tempatan.

“Mereka juga akan memberi seminar dalam beberapa siri khas,” kata Hasnul.

Sehingga kini, Level Up mengesahkan 35 penceramah dan masih menyasarkan sehingga 50 lagi bagi sesi seperti panel perbincangan atau ‘keynote’.

“Kami sasarkan sekurang-kurangnya 400 pembangun hadir.

“Tahun lalu kami mencatatkan lebih 450 peserta namun kami tidak boleh membuka lebih banyak ruang kerana mahu pembangunnya mendapat sesi lebih rapat dengan aktiviti yang ada,” jelas Hasnul.
Terdapat 60 pembangun dan penerbit berstatus MSC yang ada di Malaysia sekarang namun lebih 700 penggiat industri berada di Malaysia.

“Lebih ramai lagi hanya sebagai pencinta game sebab itu kami mahu mereka ini melangkah ke perniagaan,” katanya.

Hasnul berkata, pencipta game sangat teruja membangunkan game namun ramai tidak mengambil peluang perniagaan hasil game terbabit.

“Ya, kamu boleh buat game yang bagus tapi jika tiada pelan perniagaan, anda tidak boleh membawa game anda ke lonjakan berikutnya sebab itu wujudnya Level Up ini dan aktiviti lain seperti GameFounders,” tegas Hasnul.

MDEC menawarkan mentor juga bagi membolehkan mereka sedia untuk maju.
“Syarikat game bukan lagi game saja tapi menjadi syarikat analisis data yang boleh membaca data pengguna dan melihat peluang menghasilkan pendapatan daripadanya,” kata Hasnul.

Ramai yang berupaya mencipta game tapi ramai yang tidak tahu menarik perhatian pengguna membayar sesuatu daripada game terbabit. Akhirnya pengguna bermain secara percuma saja.

“Kami mahu mereka faham bagaimana buat duit daripada game ini kerana ramai pengguna tak mahu membayar untuk game tapi ada syarikat tempatan yang berjaya membuatkan pengguna bayar secara berterusan untuk game dibangunkan,” jelas Hasnul.

MDEC juga kini dalam proses membuka hab Level Up di Kuala Lumpur sebagai pusat komuniti untuk pembangun game yang dilengkapi akses teknologi dan program mentor.

“Kalau anda bersedia atau mahu menjadi sebahagian pencipta game, sertai kumpulan di Facebook terlebih dulu seperti GameJam Collective Malaysia dan Game HQ untuk menyertai perbincangan dan mempelajari selok-belok mengenai pembangun game,” kata Hasnul.

Tonton dengan Orion

Peranti realiti maya (VR) semakin mendapat tempat di hati pengguna teknologi sebagai aksesori tambahan hiburan telefon pintar mereka setakat ini.

Malah, harga yang semakin merudum menjadi pemangkin semangat untuk mendapatkan set VR berbanding setahun dua dulu.

Penguji berjaya memperoleh Orion S1 yang mempunyai harga patut iaitu hanya RM288 saja malah lebih murah jika anda melihat beberapa laman e-dagang di Malaysia.

Cara gunanya hampir menyamai Google Cardboard apabila anda memerlukan telefon pintar untuk dimuatkan di ruang depan, tetapi kaedah memasukkannya sangat mudah dengan satu klip saja pada skrin depan.

Dari aspek rekaan, ia nampak seakan-akan agak terlalu plastik, tetapi dengan keupayaan menyokong telefon bersaiz 4.6 inci hingga 6.2. inci memang berbaloi memilikinya.

Bersaiz 240 x 180 x 100mm, Orion S1 mempunyai butang tambah tolak di atas skrin bagi memudahkan pengguna zum masuk atau keluar mengikut keselesaan sudut pandangan mata sendiri.

Jangan risau dengan bunyi bising kerana set VR ini mempunyai fon telinga sendiri yang disambungkan ke telefon meskipun sudut pasangnya mungkin sedikit kurang selesa namun ia bukan masalah besar.

Orion S1 juga mempunyai pembesar suara stereo yang terletak di sisi fon telinga sekiranya pengguna memilih untuk mahu audio kuat.

Terdapat butang OK untuk memilih kandungan yang terpapar di skrin manakala butang ‘Volume Down’ boleh digunakan sebagai ‘rewind’ atau ‘skip’.

Sudut ruang kepala boleh diselaraskan mengikut keselesaan, tetapi kalau anda sayangkan rambut, memang sukarlah menggunakannya.

Penguji mendapati set ini lebih sesuai untuk menonton video secara lebih dekat dan aplikasi juga memerlukan sedikit penambahbaikan dari aspek kandungan.

Selepas menonton melebihi 40 minit, penguji mencabut set VR ini dari kepala dan berehat sebentar sebelum menyambung kembali siri yang digemari.

Mungkin itulah yang patut anda lakukan apabila menggunakan mana-mana set VR bagi mengelakkan mata dan minda terlalu ‘stress’.

INFO
ORION S1
- HARGA: RM288
- PENGEDAR: ECS ICT Berhad
- CIRI: Set VR
- PRO: Harga murah
- KONTRA: Rekaan

Facebook medium 
perniagaan terbaik

DENGAN pertambahan jumlah pengguna media sosial setiap tahun, jelas menunjukkan orang ramai begitu kerap menghabiskan masa di hadapan gajet masing-masing untuk melakukan pelbagai perkara termasuk membeli-belah.

Keadaan itu menyebabkan berlakunya peningkatan aktiviti perniagaan dalam talian khususnya melalui medium Facebook. Berniaga melalui media sosial seperti Facebook bukan sahaja mudah malah prospek pasarannya juga luas. Mungkin pelanggan mereka terdiri daripada pembeli yang berada di luar negara.

Cuma perlu diawasi kaedah pembayaran yang disediakan bagi mengelakkan berlaku sebarang penipuan. Dalam pada itu tidak dinafikan Facebook adalah antara media sosial yang menjadi pilihan orang ramai kerana aplikasi ini mudah dan mesra pengguna.

Pada tahun 2014, satu pusat pengumpulan data pernah melaporkan bahawa Malaysia berada pada ranking ke-17 sebagai negara yang memiliki ramai pengguna akaun Facebook iaitu kira-kira 12 juta orang.

Oleh itu, tidak hairanlah majoriti peniaga dalam talian memilih Facebook sebagai platform terbaik untuk mereka menjual barangan selain menjadikannya tempat pemasaran serta promosi barangan paling berkesan.

Rata-rata peniaga menggunakan laman peminat Facebook atau lebih dikenali sebagai fan page untuk menjalankan perniagaan masing-masing. Di samping mempunyai butik atau kedai yang boleh dikunjungi, peniaga bebas mempromosikan barangan jualan masing-masing melalui fanpage milik mereka.

Dengan fanpage, pemilik akaun Facebook hanya perlu ‘like’ fanpage tersebut tanpa perlu ‘bersahabat’ dengan peniaga dalam talian. Aplikasi ini adalah langkah yang paling mudah untuk mencari pelanggan di samping menjimatkan masa serta kos. Berniaga melalui Facebook juga boleh menjimatkan tenaga tanpa perlu lagi memasarkan barangan mereka dari satu lokasi ke lokasi lain.

NORKISH MUNIH
USIM

Powerbank saiz kad ATM

Memilih powerbank memang nampak biasa dan tidak meremehkan namun kalau silap membeli memang amat merugikan.

Antara ciri yang perlu diberi tumpuan ketika memilih powerbank termasuk harga, keupayaan dan ketahanannya sama ada lasak atau kapasiti bateri pada saiz kompak.

Atas alasan terbabit, penguji mencuba ASUS ZenPower Pro dan mendapati ia powerbank patut dimiliki terutama jika anda membawa banyak gajet lain bersama yang memerlukan cas pantas.
ASUS ZenPower Pro mempunyai rekaan yang ringkas dan minimalis namun saiznya berukuran seakan-akan kad ATM anda memang mudah dibawa ke mana saja.

Meskipun saiz terbabit nampak skeptikal, ia membawa kapasiti sehingga 10500mAh sekali gus paling tinggi jumlahnya berbanding model lain pada saiz hampir sama.

Melihat pada bentuk fizikal, ia mempunyai dua slot port USB dengan lampu LED pada permukaan sama sebagai indikator.

Difahamkan, ia mendapat pengiktirafan antara powerbank paling selamat di dunia.
Pada berat hanya 230 gram, ASUS ZenPower Pro mempunyai keupayaan Qualcomm Quick Charge 2.0 yang pantas mengecas gajet anda.

Penguji berjaya mengecas ZenFone 3 sehingga 50 peratus dalam tempoh 40 minit.

Mengikut rekod, anda boleh mengecas iPhone 6 penuh dengan kadar bateri 1810mAh sehingga 3.7 kali menggunakan powerbank yang 100 peratus kuasa atau iPhone 6 Plus dengan kadar 2.3 kali.

Beberapa kali penguji sengaja menjatuhkan powerbank ini ke lantai dan ia tidak memberi kesan kepada kuasa baterinya meskipun ada sedikit kecacatan pada bentuk fizikal namun ia masalah kecil kepada anda.

Terdapat lampu LED sebagai poin tambahan bagi powerbank dan membantu ketika dalam gelap apabila anda terkial-kial mencari barang.

Untuk mengecasnya sehingga 100 peratus pula, penguji cadangkan anda membiarkannya semalaman atau sembilan jam.

Tahap bateri pula seperti biasa dapat dilihat pada empat lampu kecil yang satu untuk rendah dan empat jika ia penuh.

Kemerdekaan dan teknologi

Oleh Afiq Hanif

Kemerdekaan yang dikecapi membolehkan usaha menjadikan Malaya negara yang bebas dengan acuan tersendiri.

Selepas 59 tahun, arus pembangunan negara semakin hangat menerusi pelbagai perubahan yang memberi impak kepada kehidupan seharian rakyat daripada hanya megah dengan pertanian kepada sektor lebih menguntungkan.

Dalam menghadapi 10 tahun akan datang, kemerdekaan yang membawa erti pembangunan juga tidak terlepas dari arus pemodenan terutama membabitkan teknologi semakin canggih.

Beberapa perubahan ketara teknologi perlu menjadi fokus untuk Malaysia meneruskan kecemerlangan.
Daripada hanya menjadi hamba beralih kepada pemacu pembangunan digital yang boleh membuatkan negara lain terlopong meskipun Malaysia masih muda secara relatifnya.

Internet untuk segalanya (IoT) 

IoT mula menunjukkan taring, bermakna mungkin periuk nasi anda sendiri akan dipasang dengan Internet membolehkan anda memasak nasi jauh dari rumah.

Peranti elektronik mengambil alih manusia untuk menjadi pengguna Internet paling besar dalam dunia baru yang membabitkan sensor elektronik, rumah pintar dan tanda atau tag yang mampu mengesan tabiat serta pergerakan pengguna.

Revolusi teknologi masa depan menyaksikan manusia, perkakasan elektronik, objek dan pangkalan data berhubungan dalam masa sebenar melalui Internet.

Dalam dunia masa kini, kita menuju ke era baru yang nyata menyaksikan Internet muncul sebagai kuasa utama pelbagai penggunaan sedangkan manusia hanya menjadi minoriti.

Di Malaysia, pelaksanaan Pelan Induk Internet Untuk Segalanya (IoT) menjadi petunjuk masa depan Internet yang lebih luas.

Jika ada pendekatan yang jelas, tidak mustahil Malaysia akan menjadi peneraju di rantau Asia Tenggara dalam IoT.

Kajian menunjukkan, terdapat 50 bilion peranti disambungkan di Internet pada tahun 2020 berbanding jumlah penduduk yang ketika itu hanya berjumlah 7.6 bilion.

Kenderaan cekap tenaga (EEV) 

Sudah ada Dasar Automotif Negara (DAN) 2014 diperkenalkan dua tahun lalu dan antara agenda diberi penekanan dalam insentif berkenaan membabitkan pengeluaran kenderaan cekap tenaga (EEV) dan mendorong menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran kenderaan dalam segmen itu menjelang 2020.
Namun masih perlu diberi lonjakan kerana ia agak perlahan terutama membabitkan pemilikan dalam kalangan rakyat.
Antara sebabnya sudah pasti membabitkan harga yang mahal meskipun EEV penting dalam menjamin kestabilan persekitaran hijau yang Malaysia nikmati sekarang.
Jika dilihat beberapa tahun kebelakangan ini terdapat beberapa syarikat memperkenalkan pelbagai model kenderaan dalam segmen EEV iaitu kenderaan elektrik dan hibrid namun ia belum menjadi pilihan.
Nasib baik inisiatif kenderaan seperti bas elektrik diperkenalkan di Melaka menjadi pemula yang baik apabila kita bercakap mengenai pengangkutan awam.
Teknologi kesihatan
Ia perlu diketengahkan bagi mengumpul sebanyak mungkin data pesakit yang boleh membantu mengurangkan masa menunggu dan merawat secara lebih cekap.
Jika perkakasan dan perisiannya boleh disesuaikan dalam suasana kesihatan di negara ini, tahap kecekapan boleh meningkat berkali ganda.
Maklumat kesihatan pesakit perlu diselaraskan yang boleh diakses mereka di mana saja dan ia memerlukan prasarana mampu urus, mengumpul, menterjemah serta menghantar data.

Sudah pasti ia memberikan jaminan kepada rakyat yang lebih sihat dengan penggunaan teknologi.

Sekolah digital 

Mengajar subjek pengekodan memang langkah terbaik bagi sekolah di Malaysia namun paling penting, sistem persekolahan yang diubah secara menyeluruh menjadi lebih digital.

Paling asas, pengajaran berasaskan papan putih atau papan hitam mungkin boleh ditukar kepada skrin yang lebih interaktif.

Ia sekali gus meningkatkan kualiti pembelajaran selain mengurangkan penggunaan kertas.

Sekolah boleh memanfaatkan aplikasi untuk komunikasi antara ibu bapa dan pelajar yang memungkinkan pemantauan dan interaksi lebih efisien.

Malah penggunaan gajet elektronik seperti peralatan multimedia seperti persembahan slaid dan ‘power point’ membolehkan guru menyampaikan pelajaran dengan cara lebih ‘hidup’.

Ia pembelajaran menyeronokkan yang memberi pengalaman audio dan visual kepada murid malah perhatian murid serta interaksi dengan guru lebih tinggi.

Bandar pintar 

Lihat saja perancangan bandar yang belum sempurna memandangkan kekangan tertentu. Teknologi boleh menjadikannya lebih baik.

Beberapa model bersepadu termasuk sistem trafik, pengawasan dan pengurusan kerajaan boleh diuruskan dengan teknologi yang tidak tertumpu kepada hanya tumbuhnya bangunan seperti cendawan semata-mata.
 

TAWARAN ISTIMEWA

Headlines News

Iklan

Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER