Headlines News :
Home » » Mengekang propaganda, sentimen kebencian di media sosial

Mengekang propaganda, sentimen kebencian di media sosial

Written By zabidi on Sunday 22 November 2020 | November 22, 2020


 Oleh Dr Murni Wan Mohd Nor 

 Kematian pemimpin kumpulan Daesh, Abu Bakr al-Baghdadi dalam serbuan oleh tentera Amerika Syarikat (AS) pada 2019 dipercayai bertujuan mengurangkan pengaruh keganasan kumpulan itu dalam kalangan pengikutnya di seluruh dunia. Malangnya, itu tidak berlaku.

Abu Bakr nampaknya berjaya menanam sikap radikal dalam pemikiran pengikutnya dan tindakan keganasan dilakukan menjadi cerminan pandangan alam yang ekstrem. Legasinya terus hidup dan tersebar luas melalui platform media sosial, bahayanya lebih dahsyat daripada yang kita bayangkan.

Adalah suatu yang salah, sekiranya kita menyangka ucapan kebencian tidak akan memberi kesan negatif dalam kehidupan sebenar. Kajian menunjukkan medium dalam talian menjadi pilihan strategik oleh organisasi pengganas dengan menyasarkan individu yang mempunyai cara fikir sama supaya dapat direkrut bagi mengembangkan pengaruh mereka.

Daesh menggunakan media sosial seperti Facebook, Twitter dan YouTube serta aplikasi Telegram untuk mengabsahkan kedudukan mereka sebagai 'penyelamat' yang sedang 'berjihad' membebaskan golongan tertindas dan mengemukakan pandangan songsang mengenai rupa cita kerajaan 'Islam'.

Propaganda mereka ini disebarkan dalam bentuk poster dan imej grafik, video, majalah seperti Dabiq dan Rumiyyah serta medium lain sepertinya.

Usaha ini berjaya meraih simpati ramai untuk menyertai organisasi pengganas, walaupun tidak mengenali antara satu sama lain. Inilah permulaan perangkap dipasang untuk menyuburkan pemikiran radikal.

Pada 2015, Jawatankuasa Menangani Keganasan, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC-CTC) menganggarkan sekitar 30,000 pejuang warga asing dari seluruh dunia, tiba di Syria dan Iraq selepas terpengaruh dengan agenda berkenaan menerusi media sosial.

Persoalannya, bagaimana seseorang boleh terpengaruh dengan idea dan pemikiran radikal hanya melalui dalam talian yang biasanya usaha itu diketuai mereka yang tidak pernah ditemui? Bagaimana seseorang tanpa mengira jantina dan dilihat sebagai waras, boleh berubah secara tiba-tiba menjadi radikal hingga akhirnya ke arah ekstremisme?

Daesh bukan satu-satunya kumpulan pengganas menggunakan media sosial untuk menyebarkan pengaruh mereka. Laporan menunjukkan kumpulan white supremacist juga menggunakan platform media sosial untuk berkongsi mesej propaganda dan fahaman radikal kepada pihak lain.

Keberkesanan kaedah itu terbukti apabila beberapa siri kejadian tembak rambang dan pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di AS dan beberapa negara lain, didapati berpunca penyebaran agenda radikal menerusi dalam talian.

Sebagai contoh, penyerang bertanggungjawab terhadap kejadian tembakan di El Paso, Texas pada 2019, memuat naik manifesto kebenciannya menerusi media sosial. Hal demikian turut dilakukan penyerang sebelumnya.

Ramai rakyat Malaysia berfikir keadaan kita masih selamat daripada situasi keganasan seperti yang kian merebak di Syria dan negara lain. Walaupun kita bersetuju insiden keganasan dalam negara bukan suatu normal, ia pernah berlaku dan boleh berlaku lagi pada masa hadapan sekiranya kita tidak proaktif mengekang penularan rasa kebencian. Ucapan kebencian digunakan bagi mempengaruhi orang awam dan melahirkan generasi pelapis ahli kumpulan ekstrimis.

Dalam satu kerjasama penyelidikan dengan Dr Ahmad El-Muhammady, perbincangan keganasan dalam kumpulan aplikasi Telegram dikendali seorang ahli kumpulan pengganas yang amat dikenali berasal dari Malaysia, Wanndy dianalisis.

Dalam pemerhatian itu, Wanndy dilihat berjaya mempengaruhi minda seseorang melalui proses menjadikan keganasan sebagai suatu kebiasaan.

Ini bukan kaedah baharu digunakan untuk menanam sifat radikal. Kaedah sama digunakan kepemimpinan Nazi menyebarkan propaganda hingga mengakibatkan pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica dan pembersihan etnik Tutsi oleh etnik Hutu di Rwanda.

Sentimen kebencian ini akan perlahan-lahan menghilangkan sifat kemanusiaan dan memangsakan suatu golongan hingga mesej kebencian menjadi kebiasaan dan diterima sesebuah komuniti masyarakat. Contohnya, etnik Hutu menggunakan istilah menyinggung perasaan, membangkitkan stigma dan tidak berperikemanusiaan kepada etnik Tutsi seperti: subversive, lipas, feudal lord dan musuh.

Di sinilah kita perlu menilai semula tindakan kita sebagai komuniti masyarakat. Kita tidak boleh berdiam diri apabila melihat ucapan kebencian menular.

Ketika ini, sudah menjadi seakan-akan kebiasaan buah mulut sesama etnik dan kaum masing-masing serta berlangsungnya adegan menuding jari dengan membabitkan aspek keagamaan apabila berlaku suatu masalah, kita sering menuding salah kepada kumpulan lain.

Perkara ini jelas kelihatan ketika negara berhadapan pandemik COVID-19. Masyarakat memandang berat kepada isu peningkatan kes COVID-19. Situasi ini mungkin menyumbang kepada wujudnya ucapan kebencian dan kemarahan dalam talian kerana masing-masing cuba mencari sesuatu atau seseorang untuk dipersalahkan.

Satu penyelidikan dibuat The Centre menunjukkan terdapatnya peningkatan mendadak ucapan boleh dikategorikan sebagai rasis, dikongsi di pelbagai platform media sosial, bahkan peningkatan itu selari dengan meningkatnya jumlah kes positif COVID-19.

Pada mulanya, kita melihat kesalahan itu diarahkan kepada China hingga bangsa Cina di negara ini turut menerima tempiasnya. Kemudian, kesalahan itu dihalakan pula kepada kluster Tabligh dan sesiapa sahaja berkaitan dengannya.

Selepas itu, masyarakat seakan-akan 'bersatu' pula menghamburkan kebencian kepada pendatang dan pelarian sebelum menghalakan kesalahan penyebaran COVID-19 yang meningkat kembali kepada suatu golongan masyarakat pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ini bukan bermakna kita tidak boleh memberikan pandangan atau meluahkan kritikan berkaitan polisi dan dasar, bahkan itu hak demokrasi perlu dihormati. Namun, kita boleh menggunakan ruang demokrasi untuk memberikan pandangan sebaik mungkin, lebih berhati-hati dan mengambil kira pelbagai pertimbangan.

Jika tidak berhati-hati, kata-kata kebencian menyebabkan diskriminasi, kebencian dan permusuhan. Kita boleh ambil contoh situasi ucapan kebencian dihalakan kepada pelarian di negara ini dalam kekhuatiran menghadapi pandemik COVID-19, amat mengejut dan menakutkan, khususnya apabila kita mengimbas kembali sifat ihsan dan pemberian pelbagai sumbangan kepada nasib pelarian.

Tanpa sedar, terdapat segolongan masyarakat yang mempamerkan tanda ekstremisme melalui penggunaan kata-kata kebencian dan tidak berperikemanusiaan untuk menyerang golongan migran dan pelarian.

Impak ucapan kebencian boleh menjadikan suatu situasi bertambah buruk dan kesannya boleh membinasakan mana-mana individu dan kumpulan terpinggir. Akhirnya, ini akan memberi kesan kepada kita apabila turut menyumbang kepada perpecahan perpaduan sosial.

Oleh itu, kita perlu bermuhasabah terhadap apa jua pilihan kata dan tindakan dalam talian selepas kita mengetahui banyak bukti menunjukkan kebencian disebar menerusi dalam talian boleh memberi kesan dalam kehidupan sebenar. Malah, kadang-kala ia boleh membawa kematian.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan,

Universiti Putra Malaysia

Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER