Abu Bakr nampaknya berjaya menanam sikap radikal dalam pemikiran
pengikutnya dan tindakan keganasan dilakukan menjadi cerminan pandangan
alam yang ekstrem. Legasinya terus hidup dan tersebar luas melalui
platform media sosial, bahayanya lebih dahsyat daripada yang kita
bayangkan.
Adalah suatu yang salah, sekiranya kita menyangka ucapan kebencian
tidak akan memberi kesan negatif dalam kehidupan sebenar. Kajian
menunjukkan medium dalam talian menjadi pilihan strategik oleh
organisasi pengganas dengan menyasarkan individu yang mempunyai cara
fikir sama supaya dapat direkrut bagi mengembangkan pengaruh mereka.
Daesh menggunakan media sosial seperti Facebook, Twitter dan YouTube
serta aplikasi Telegram untuk mengabsahkan kedudukan mereka sebagai
'penyelamat' yang sedang 'berjihad' membebaskan golongan tertindas dan
mengemukakan pandangan songsang mengenai rupa cita kerajaan 'Islam'.
Propaganda mereka ini disebarkan dalam bentuk poster dan imej
grafik, video, majalah seperti Dabiq dan Rumiyyah serta medium lain
sepertinya.
Usaha ini berjaya meraih simpati ramai untuk menyertai organisasi
pengganas, walaupun tidak mengenali antara satu sama lain. Inilah
permulaan perangkap dipasang untuk menyuburkan pemikiran radikal.
Pada 2015, Jawatankuasa Menangani Keganasan, Majlis Keselamatan
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC-CTC) menganggarkan sekitar 30,000
pejuang warga asing dari seluruh dunia, tiba di Syria dan Iraq selepas
terpengaruh dengan agenda berkenaan menerusi media sosial.
Persoalannya, bagaimana seseorang boleh terpengaruh dengan idea dan
pemikiran radikal hanya melalui dalam talian yang biasanya usaha itu
diketuai mereka yang tidak pernah ditemui? Bagaimana seseorang tanpa
mengira jantina dan dilihat sebagai waras, boleh berubah secara
tiba-tiba menjadi radikal hingga akhirnya ke arah ekstremisme?
Daesh bukan satu-satunya kumpulan pengganas menggunakan media sosial
untuk menyebarkan pengaruh mereka. Laporan menunjukkan kumpulan white
supremacist juga menggunakan platform media sosial untuk berkongsi mesej
propaganda dan fahaman radikal kepada pihak lain.
Keberkesanan kaedah itu terbukti apabila beberapa siri kejadian
tembak rambang dan pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di AS dan
beberapa negara lain, didapati berpunca penyebaran agenda radikal
menerusi dalam talian.
Sebagai contoh, penyerang bertanggungjawab terhadap kejadian
tembakan di El Paso, Texas pada 2019, memuat naik manifesto kebenciannya
menerusi media sosial. Hal demikian turut dilakukan penyerang
sebelumnya.
Ramai rakyat Malaysia berfikir keadaan kita masih selamat daripada
situasi keganasan seperti yang kian merebak di Syria dan negara lain.
Walaupun kita bersetuju insiden keganasan dalam negara bukan suatu
normal, ia pernah berlaku dan boleh berlaku lagi pada masa hadapan
sekiranya kita tidak proaktif mengekang penularan rasa kebencian. Ucapan
kebencian digunakan bagi mempengaruhi orang awam dan melahirkan
generasi pelapis ahli kumpulan ekstrimis.
Dalam satu kerjasama penyelidikan dengan Dr Ahmad El-Muhammady,
perbincangan keganasan dalam kumpulan aplikasi Telegram dikendali
seorang ahli kumpulan pengganas yang amat dikenali berasal dari
Malaysia, Wanndy dianalisis.
Dalam pemerhatian itu, Wanndy dilihat berjaya mempengaruhi minda
seseorang melalui proses menjadikan keganasan sebagai suatu kebiasaan.
Ini bukan kaedah baharu digunakan untuk menanam sifat radikal.
Kaedah sama digunakan kepemimpinan Nazi menyebarkan propaganda hingga
mengakibatkan pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica dan pembersihan
etnik Tutsi oleh etnik Hutu di Rwanda.
Sentimen kebencian ini akan perlahan-lahan menghilangkan sifat
kemanusiaan dan memangsakan suatu golongan hingga mesej kebencian
menjadi kebiasaan dan diterima sesebuah komuniti masyarakat. Contohnya,
etnik Hutu menggunakan istilah menyinggung perasaan, membangkitkan
stigma dan tidak berperikemanusiaan kepada etnik Tutsi seperti:
subversive, lipas, feudal lord dan musuh.
Di sinilah kita perlu menilai semula tindakan kita sebagai komuniti
masyarakat. Kita tidak boleh berdiam diri apabila melihat ucapan
kebencian menular.
Ketika ini, sudah menjadi seakan-akan kebiasaan buah mulut sesama
etnik dan kaum masing-masing serta berlangsungnya adegan menuding jari
dengan membabitkan aspek keagamaan apabila berlaku suatu masalah, kita
sering menuding salah kepada kumpulan lain.
Perkara ini jelas kelihatan ketika negara berhadapan pandemik
COVID-19. Masyarakat memandang berat kepada isu peningkatan kes
COVID-19. Situasi ini mungkin menyumbang kepada wujudnya ucapan
kebencian dan kemarahan dalam talian kerana masing-masing cuba mencari
sesuatu atau seseorang untuk dipersalahkan.
Satu penyelidikan dibuat The Centre menunjukkan terdapatnya
peningkatan mendadak ucapan boleh dikategorikan sebagai rasis, dikongsi
di pelbagai platform media sosial, bahkan peningkatan itu selari dengan
meningkatnya jumlah kes positif COVID-19.
Pada mulanya, kita melihat kesalahan itu diarahkan kepada China
hingga bangsa Cina di negara ini turut menerima tempiasnya. Kemudian,
kesalahan itu dihalakan pula kepada kluster Tabligh dan sesiapa sahaja
berkaitan dengannya.
Selepas itu, masyarakat seakan-akan 'bersatu' pula menghamburkan
kebencian kepada pendatang dan pelarian sebelum menghalakan kesalahan
penyebaran COVID-19 yang meningkat kembali kepada suatu golongan
masyarakat pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Ini bukan bermakna kita tidak boleh memberikan pandangan atau
meluahkan kritikan berkaitan polisi dan dasar, bahkan itu hak demokrasi
perlu dihormati. Namun, kita boleh menggunakan ruang demokrasi untuk
memberikan pandangan sebaik mungkin, lebih berhati-hati dan mengambil
kira pelbagai pertimbangan.
Jika tidak berhati-hati, kata-kata kebencian menyebabkan
diskriminasi, kebencian dan permusuhan. Kita boleh ambil contoh situasi
ucapan kebencian dihalakan kepada pelarian di negara ini dalam
kekhuatiran menghadapi pandemik COVID-19, amat mengejut dan menakutkan,
khususnya apabila kita mengimbas kembali sifat ihsan dan pemberian
pelbagai sumbangan kepada nasib pelarian.
Tanpa sedar, terdapat segolongan masyarakat yang mempamerkan tanda
ekstremisme melalui penggunaan kata-kata kebencian dan tidak
berperikemanusiaan untuk menyerang golongan migran dan pelarian.
Impak ucapan kebencian boleh menjadikan suatu situasi bertambah
buruk dan kesannya boleh membinasakan mana-mana individu dan kumpulan
terpinggir. Akhirnya, ini akan memberi kesan kepada kita apabila turut
menyumbang kepada perpecahan perpaduan sosial.
Oleh itu, kita perlu bermuhasabah terhadap apa jua pilihan kata dan
tindakan dalam talian selepas kita mengetahui banyak bukti menunjukkan
kebencian disebar menerusi dalam talian boleh memberi kesan dalam
kehidupan sebenar. Malah, kadang-kala ia boleh membawa kematian.
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan,
Universiti Putra Malaysia