Headlines News :
Home » » Cerpen: Lelaki Pantai dan Sehabis Gerimis

Cerpen: Lelaki Pantai dan Sehabis Gerimis

Written By zabidi on Monday 22 May 2023 | May 22, 2023

 


Oleh Mawar Safei

HUJAN sejak dini seperti selalu akan membekalkan kabut di sepanjang jalan. Dari titik saya berdiri ini, himpunan sekawan remang seperti berkumpul jauh di hujung tanjung.

Sengaja saya keluar awal dari kamar rumah tumpangan untuk menyertai birai pantai sebaik melihat langit mula bergaris jingga. Apa yang di langit itu seperti turut berombak. Benar, ombak yang sebentar lagi akan datang dan beralih ke tengah dan akan berkunjung semula. Ombak di langit. Ombak di dada juga.

Saat langkah mencecah pasir dan sesekali datang riak angin, saya akan selalu senang untuk mendapatkan satu impian. Saya sering mengharap akan tersangkut botol kaca di hujung kaki. Lalu dengan tertib saya menghapus lekat pasir. Ya, seperti dalam novel. Persis lewat filem. Sehingga botol itu kelihatan mengheningkan dada saya yang sejak beberapa hari ini asyik bergetar, ya berombak. Ketika meleraikan tali halus yang menggulung kertas dari dalam bekas kaca, saya diminta menatap warkah yang sepertinya dari zaman langka. Antara baris di atas kertas, saya masih menjengah langit dan hujung remang yang masih memanjang.

Saya mula membaca surat dalam kaca.

Aneh. Ditulis tentang cuaca, mengisinya dalam kaca, lalu dihanyutkan ke laut.

Kepada siapa surat langka itu mahu ditujukan. Mata saya mencari-cari. Larik tulisan jawi lama, masih dapat saya baca dan fahami. Ya, ditulisnya tentang ombak, angin musim, langit dan remang rasa. Benar, memang banyak siratan jalan antara matahari dengan langkah waktu.

Berlipat-lipat juga antara awan dengan resah dada. Begitu meruah antara hujan dengan penaakulan. Nah, keakraban cuaca dengan manusia, tak akan ternafikan.

"Panas atau hujan?"

Sebelum keluar rumah, melihat aplikasi ramalan cuaca, sama ada panas sampai ke

petang atau ada selang seli guruh dengan angin liar dari tenggara nantinya. Sederas siang dan malam beralih, begitu cepat detik Ramadan yang saya tinggalkan. Perlunya saya berjeda dan berjarak daripada rutin, itulah ikrar Ramadan saya tahun ini. Lalu saya memasuki ruang diam. Sangat benar kata Rumi, banyak yang dapat didengar saat sepi dan sendiri. Ruang untuk menghela nafas, menaakul dan memerhati. Melihat apa yang seharusnya dan bukan apa yang saya mahu. Sunyi. Senyap. Saya dapat mendengar dengan jelas percakapan hati yang selama ini sering gagap dalam bahasa lidah. Kesempatan untuk saya merenung hari-hari semalam dan merancang hari-hari esok. Diam yang memecahkan pusingan riuh. Kebisuan yang menyediakan sabar dan cinta untuk saya berbahagi dengan yang lain.

 Hari hujan atau teriknya siang, semuanya akan berpindah dan berlalu. Surat langka

bercakap erti cuaca. Begitu banyak kesalingan. Panas atau hujan. Adakah panas memberi makna harapan dan sebaliknya hujan adalah petaka?

Aneh. Soalan itu seperti ombak juga, datang dan pergi. Saya menoleh, barangkali ada sesiapa yang sengaja membaringkan bekas kaca di situ. Sekali lagi seperti dalam filem, mirip dalam novel. Mungkinkah penulisnya lelaki pantai. Mengapa saya menebak begitu. Tidak ada tampalan setem atau tanda dari mana surat dalam kaca ini. Saya seperti melihat pada pantulan dan biasan kaca, dia adalah lelaki yang banyak kehilangan dalam hidup dan menerusi suara di warkah dalam kaca, dia menyatakan gelisahnya. Mengapa penulis surat dalam kaca adalah lelaki bukan sebaliknya. Saya seperti ahli forensik linguistik. Atau seperti pernah ada bayang lelaki yang melintasi ruang kabut di hujung pantai ini. Maka saya menamakannya sebagai Lelaki Pantai.

Beberapa hari bagi memulakan Ramadan, sebelum untuk sampai ke hujung tanjung, saya membelah jalan banjaran dan sepanjang jalur lintasan, ternyata kabut yang membalut menemukan saya dengan banyak sekali teka teki. Tak mungkin saya dapat mengagak.

Bahang kemarau mahupun tumpah gerimis, kepada siapa lagi hati akan berpaling melainkan Dia. Ternyata Dia ada di sepanjang jalan ini tanpa latar panas atau hujan.

Tahu-tahu saya sudah menduduki sebuah teduhan kecil. Di sini. Di tanjung ini. Tahu-tahu sekarang saya sudah menyatu dengan ketar. Sepanjang jalan hingga tiba, aneh lagi, saya tidak menemukan siapa-siapa. Apa yang saya jumpa, tidak lain adalah botol kaca berisi surat langka.

Saya menebar pandang ke garis lurus paling jauh yang merentang laut. Benar tulis

Anwar Ridhwan, kabut yang sedang bermain di tengah, membuat langit menjadi rendah dan menjadikan laut tidak terduga! Banyak yang tidak dapat saya tebak. Antara keliru dengan ketar, kaki kecil saya cuba jadi berani. Sekejap bacaan dari aplikasi cuaca, menjadi peta rujukan. Beginilah telahannya, akan ada hujan sekejap lagi. Beberapa pekan sebelum tiba di pintu memasuki tanjung, saya sudah diperingat untuk bersedia. Melontar jauh semua harapan dan yang tinggal hanyalah penyerahan. Bukankah ini juga pengertian sebuah Ramadan. Bulan pelajaran.  Sedang saya masih berbuat salah dan lupa akan apa yang sudah saya

bercermin. Atau apabila saya ingat, saya berbuat khilaf lagi. Ketikanya saya jadi malu apabila perhatian datang tak kunjung henti walau dalam tidur, walau dalam riuh. Saya sepertinya melangkah masuk ke sebuah daerah cinta. Sekali lagi ia adalah jalan bening. Sungguh, ia adalah jalan cinta. 

Saya membaca lanjut surat dalam kaca.

Ditulis tentang betapa kian jauhnya kita daripada matahari. Kesakitan yang kita

hadapi sekarang adalah kerana banyaknya perihal bikinan. Kita mencipta matahari sendiri di dalam rumah dan ruang kerja. Lelaki Pantai itu menulis lagi seperti membacakannya untuk saya dengari. Ya, mengapa saya perlu membelah jalan panjang untuk sampai ke sini? Adakah saya melarikan diri daripada kenyataan yang perlu saya depani dalam pekerjaan dan kehidupan saya setiap hari. Adakah mungkin juga saya masih dalam ketakutan yang bersisa dari musim wabah lalu.

Di sini, Lelaki Pantai mahu saya menyertai matahari! Katanya saya perlu mendapatkan suhu yang seharusnya dan menyertai alam yang sekian lama kami berjarak.

Ayuh, sertai hawa yang alami, bukan angin dingin dari kotak yang kau bina dalam ruang kerja dan kamar istirahatmu. Matahari itu akan selalu menjadi lajur cahaya mengilhamkan jalan mana yang harus kau pilih. Sama ada jalan dusta atau yang memihak kepada penyucian batinmu. Bukankah itu yang disurat dalam al-Quran yang selalu saya pegang dalam dada.

"Adakah hujan itu gelisah?"

Tanya lagi Sang Lelaki Pantai. Saya sebaliknya senang dengan hujan pagi. Melihat

hujan jatuh di atas daun sebagai talun yang sering membawa saya kepada-Nya. Waktu luruh hujan, saya senang untuk memasang doa. Lelaki Pantai mungkin juga seorang penyelidik di Jabatan Metereologi Negeri. Atau sahaja dia adalah perisik tentera. Bukankah pernah dikatakan bagaimana cuaca berubah menjadi senjata perang. Teknologi cuaca dapat menyerang sesebuah negara apabila wujudnya perseteruan. Ribut taufan menjadi peluru gergasi yang meranapkan masa depan anak kecil dan ketamadunan.

Tiba-tiba juga remang dan kabut tadi jadi tersibak. Perlahan-lahan di hadapan saya

semuanya menjadi kabut yang kejap dan membentuk satu lembaga. Saya tidak tahu

menamakannya apa. Memang saya sejak dulu seorang yang penakut. Saya pernah dihantui bayang sendiri di balik cermin di rumah. Saya pernah melihat bangunan di tempat saya bekerja bertukar menjadi jembalang bertaring sumbing. Pernah juga laluan jalan raya yang saya ulang alik setiap hari berubah sebagai sungai yang deras arusnya dan saya seperti mahu tenggelam ke dasar yang jauh.

Sepanjang dua tahun lalu beginilah nasib dan takdir yang dilorongkan. Benar, saya

meninggalkan segala yang alami di luar, lalu semuanya mula mengurung di dalam sel

peribadi. Masa seperti dihentikan. Wabah yang mengubah banyak rupa. Sejak zaman pemencilan diri itu, kehidupan di dalam ruangan berubah menjadi hukuman. Ia malah menjadi ruang pencemaran. Ruang yang saya duduki menjadi racun yang tak terbayangkan!

Usai wabah diterima menjadi kelaziman, dan sekarang kabut itu sudah semakin

menyerupai banjaran gergasi. Mahu sahaja saya namakannya sebagai jejeran gunung

ketakutan. Dalam tidak mampu berlari, di hadapan saya sudah berdiri kesangsian yang membelit kaki dan semuanya. Pastilah ia bukan seperti buih-buih gelombang yang mengikat kaki kekasih yang dimaksudkan Usman Awang!

Suara Lelaki Pantai dari surat langkanya lagi - bukankah kita dahulunya sangat

bersahabat dengan hujan dan cahaya. Sebelum keluar rumah, saya selalu memeriksa jadual ramalan ribut petir atau gerak mata angin. Sama ada jemuran patut saya alihkan ke teduhan atau mahu dibiarkan di luar. Tapi sekarang jadi aneh, dengan awan khatulistiwa, saya mahu terus memeriksa jadual ramalan dari perisian aplikasi. Mengapa? Ternyata cuaca sudah menjadi tidak dapat ditebak. Sebentar ombak yang dahulunya dinanti-nanti sebagai permainan, kini boleh saja menjadi gelombang seteru, air yang lembut kini cemeti yang keras, tulis A Samad Said!

Saya melihat langit yang ternyata masih berombak.

Beginilah agaknya ketika dupa wangi Tabriz kian menipis dan sedikit demi sedikit ia hilang bersatu dengan angin. Dan perlahan-lahan saya tiba-tiba menjadi seperti Rumi. Saya jadi tidak menentu saat ditinggalkan Tabriz. Saya jadi sedih, letih, sepi, dan sangat penat menanggung kesan perpisahan sendiri. Ya, mengapa pula jadinya begitu. Barangkali beberapa masa ini kami jadi akrab. Ada keterikatan yang membuat kami bersama-sama dalam beberapa perihal tentang cuaca dan makna setiap satunya. Benar juga, tanggungan beban pertemuan itu sangat sakit saat mahu berpisah begini. Baru saya sedar betapa rumitnya menjadi Rumi ketika satu demi satu sahabat meninggalkannya. Saya mengenang kuntum mawar yang berselerak di perlak Rumi di Konya. Sambil menebar harum dan bercerita, ketika ditepis angin musim dingin, dalam sunyi itu sebenarnya yang bersuara hanyalah rindu.

Mungkin begini nanti nasib berpisah dengan Ramadan. Saya meninjau langit yang masih belum menjadi biru. Berjalan kembali menuju kamar tumpangan, saya terbayangkan aplikasi cuaca di layar telefon tangan. Sebelum tidur malam tadi, dipapar ramalan pagi ini cuaca berawan dan berangin. Ada baki titis hujan menimpa lengan dan sergahan. Saya menoleh botol kaca dengan surat langka yang saya tinggalkan antara pasir pantai tadi.

Sehabis gerimis, saya tersedar saya tidak berpayung sejak hujan mulai merintik. Tidak tahu jika saya masih mengharapkan ada lagi kaca berisi surat langka yang bukan sahaja berbicara tentang langit cuaca. Saya mahu tahu beberapa cerita lagi tentang Lelaki Pantai.

Tidak tahu bagaimana nanti saya mahu memandu menuju ibu kota apabila lebuh raya bertukar menjadi lautan yang menenggelamkan dan perbukitan di kiri kanan berubah sebagai tumit dan kaki gergasi yang bersedia untuk menginjak kereta kecil saya! Dan saudara sendiri dapat membaca surat langka tentang cuaca dengan Lelaki Pantai itu, hanyalah silauan dari botol kaca yang sudah dalam timbusan pasir pantai kembali.

- Penulis ialah Ketua Kluster (Warisan Melayu), Pusat Bitara Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER