Headlines News :
Home » » Dunia buku terpakai: Ekonomi alternatif yang disisih

Dunia buku terpakai: Ekonomi alternatif yang disisih

Written By zabidi on Sunday, 20 July 2025 | July 20, 2025


Oleh Mohamed Nasser Mohamed

Saya sering mendapat manfaat saat terasak ke dinding kewangan atau tiba-tiba memerlukan perbelanjaan luar jangka—tiba-tiba sahaja ada yang membeli buku terpakai saya di laman e-dagang. Benar, rezeki tidak pernah salah alamat.

Secara peribadi, saya bukan pengumpul buku lama yang tegar. Namun, jika ada peluang, saya mahu sahaja mengumpul—untuk kepuasan dan koleksi peribadi. Saya sentiasa berusaha menjejaki novel Melayu lama, antaranya Ahad karya Zakaria Salleh, Hartini karya Aziz Afkar, dan Desa Pingitan karya Ibrahim Omar—sekadar menyebut beberapa novel Melayu ‘lejen’.

Selepas bergelar editor, untuk memudahkan urusan perolehan, saya mula berusaha mendapatkan Salina—novel ikonik Sasterawan Negara A Samad Said, cetakan pertama terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP:1961). Selama berbulan-bulan, saya memujuk penjual dengan harga yang saya mampu. Akhirnya, naskhah itu bertukar tangan pada harga RM1,200—buku terpakai paling mahal pernah saya miliki.

Begitu juga dengan Imam karya Abdullah Hussain. Ketika mahu menerbitkannya semula, saya berusaha menjejaki edisi asal daripada seorang rakan di laman Facebook. Harganya: RM280. Mungkin ramai fikir saya gila—membayar sejumlah besar untuk buku lusuh. Tapi saya tahu, kita tidak membeli buku; kita membeli sejarah. Kita membeli warisan. Kita membeli jejak pemikiran yang mungkin telah terhapus di rak kedai.

Buku terpakai sumber rezeki

Mengapa saya kongsikan kisah ini? Kerana ada dalam kalangan kita yang menjadikan buku terpakai sebagai sumber rezeki—membeli dan menjual demi kelangsungan hidup. Saya sendiri pernah diajak oleh seorang teman untuk menyertai jualan di Amcorp Mall, syurga buku terpakai dan barangan antik. Saya teruja.

Pada kali kedua saya terlibat, satu insiden meninggalkan kenangan manis. Seorang wanita Tionghoa hadir ke ruang niaga saya dua hari berturut-turut, memujuk saya datang ke rumahnya di Shah Alam untuk membeli buku. Setelah tidak tahan dengan pujukan itu, saya bersetuju. Hasilnya—enam kotak buku berbahasa Inggeris pada harga tidak masuk akal: RM60! Hampir 70 naskhah berkulit keras. Saya hanya menjual dua daripadanya untuk mendapatkan semula modal.

Dalam insiden lain, saya dihubungi oleh seseorang yang tidak saya kenali selepas membaca hantaran saya di Facebook tentang hasrat menerbitkan sebuah buku tribut mengenang seorang sahabat yang telah kembali ke negeri abadi. Dalam pertemuan pertama, beliau membawa saya ke tempat kerjanya di sebuah perpustakaan agensi kerajaan. Selepas berbasa-basi, saya diperkenalkan kepada ketuanya dan ditunjukkan rak buku yang akan dilupuskan. Saya diberikan peluang memilih 80 naskhah buku—bagi membantu saya merealisasikan penerbitan buku kenangan tersebut.

Buku lama nafas baharu

Gerai buku terpakai bukan sekadar tempat jual beli. Ia adalah tapak arkeologi minda. Ia menjual memori, peluang kedua, dan kadangkala, takdir. Di bawah khemah lusuh, dalam rak kayu usang, ada penjual senyap yang mengurus khazanah bangsa. Setiap buku yang dibuka ada tandatangan pemilik lama, ada lipatan halaman yang menandakan bab paling disukai. Kadangkala terselit surat cinta, resit tahun 80-an, atau nota kaki yang menyentuh. Setiap helaian berbisik—jangan lupakan aku.

Namun, dalam dunia digital dan obsesi terhadap ‘baharu’, buku ini kian terpinggir. Pasarannya kecil, pengunjungnya setia tapi semakin sedikit. Gerai kecil ini bukan sahaja berjuang untuk hidup, tetapi juga berjuang untuk tidak dilenyapkan oleh sistem.

Siapa menyisih?

Dalam budaya membaca yang semakin terarah kepada kelajuan dan kecantikan muka depan, buku terpakai kadangkala dianggap sebagai gangguan pasaran. Penerbit melihatnya sebagai persaingan tidak sihat. Sesetengah penguasa menganggapnya sebagai barangan terpakai yang tidak lagi relevan. Bahkan ada perpustakaan awam yang melupuskan koleksi lama tanpa menilai nilai sejarah atau sasteranya.

Namun, yang rugi sebenarnya ialah pembaca—terutama golongan muda dan pencari ilmu di luar arus perdana. Buku terpakai membuka pintu kepada dunia yang lebih luas, beragam dan jujur. Dalamnya ada karya luar cetak, suara yang telah senyap dalam sistem penerbitan utama.

Ekonomi hijau yang dilupakan

Dalam dunia yang ghairah melaungkan kelestarian, buku terpakai adalah contoh ekonomi sirkular yang indah. Satu buku lama yang dijual semula bukan sahaja menjimatkan kos, tetapi menyelamatkan pokok, mengurangkan cetakan baharu, dan memperpanjang hayat bahan bacaan. Ia adalah bentuk aktivisme senyap—memanjangkan hayat ilmu dengan cara berhemah.

Namun, masih tiada dasar yang jelas untuk mengiktiraf penjual buku terpakai sebagai sebahagian ekonomi alternatif negara. Mereka tidak mendapat insentif, tidak disokong skim bantuan mikro, dan kadangkala ditekan oleh peraturan yang menyamakan mereka dengan peniaga jalanan.

Penjual kecil, jiwa besar

Ramai penjual buku terpakai adalah pesara guru, pustakawan bersara, penulis tidak ternama, atau pencinta buku yang hidup dari hari ke hari. Mereka bukan pemain besar industri. Mereka tidak memiliki algoritma TikTok atau bajet pemasaran. Tapi mereka punya satu perkara yang mahal—semangat. Semangat untuk menghidupkan naskhah lama dan berkongsi ilmu dengan generasi baharu.

Sahabat penjual di Puchong, antara yang dianggap ‘otai’, Tuan Halim, pernah berkata: “Kalau semua orang nak buku baru, apa akan jadi pada buku lama yang belum sempat dibaca sesiapa pun?”

Di mana buku terpakai dijual?

Di Malaysia, antara lokasi jualan buku terpakai masih hidup walaupun kian terhimpit:

Pasar Chowrasta, Pulau Pinang – terkenal dengan koleksi majalah lama dan buku sekolah era 70-an. Lorong Kulit, Georgetown – syurga pencinta barangan lama, termasuk sastera klasik.

Brickfields, Kuala Lumpur – lokasi lama gerai buku terpakai, walaupun makin ditekan pembangunan. Amcorp Mall, Petaling Jaya – medan pertemuan pemburu buku hadir setiap hujung minggu.

Pasar Karat, Johor Bahru – ruang campur antara buku, piring hitam dan memorabilia lama.

Hentian Buku Selangor, di Hentian Kajang, Jalan Reko – lokasi terbaru untuk pencinta buku, khususnya buku terpakai dan langka.

Di luar negara budaya ini lebih terurus: Bouquinistes di Sungai Seine, Paris – lebih 200 penjual dalam peti hijau ikonik, diiktiraf Unesco. Hay-on-Wye, Wales – kota buku dengan puluhan kedai buku terpakai.

Jimbocho, Tokyo – lebih 150 kedai kecil tertumpu pada buku terpakai, mengikut genre dan era.

Powell’s Books, Portland, Oregon – gedung buku terpakai dan baharu terbesar di dunia.

Malaysia belum sampai ke tahap itu—tetapi tidak mustahil jika diberi dasar yang adil dan sokongan mampan.

Hidupkan, jangan singkirkan

Sudah tiba masa kita melihat buku terpakai bukan sebagai beban, tetapi penyelamat tamadun. Malaysia wajar mempunyai zon pasaran buku alternatif yang diiktiraf. Anjurkan festival buku terpakai nasional. Galakkan universiti membeli koleksi langka. Libatkan pelajar dalam kempen ‘buku hidup semula’ di sekolah dan komuniti.

Buku bukan sekadar bahan bacaan. Ia adalah tapak warisan, tanda tamadun, dan arkib pemikiran bangsa. Jika kita membiarkan buku lama hilang tanpa jejak, kita sedang memadam sejarah secara senyap.

Warisan di rak peribadi

Di rak saya, Salina masih tersimpan. Dalamnya bukan sekadar kisah wanita yang terpaksa menjadi pelacur dan zaman darurat, tetapi juga nilai tak terukur dalam dunia penerbitan. Imam, yang saya peroleh pada harga RM280, mengingatkan saya tentang kekuatan dan wacana semakin kabur dalam dunia intelektual moden.

Buku itu mengajar saya satu perkara: dalam dunia yang terlalu ghairah mengejar yang baharu, kita perlukan lebih ramai penyelamat yang memeluk yang lama. Dunia buku terpakai tidak perlukan simpati, tapi pengiktirafan, dan seperti kata seorang rakan penerbit—Rabak Lit—buku tak akan mati!

Mohamed Nasser Mohamed ialah karyawan dan editor perunding terbabit dengan lebih 150 penerbitan sejak 2008.

Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER