Oleh Prof Madya Ratna Roshida Ab Razak
Dalam sejarah umat Islam, pemimpin besar lahir bukan semata-mata dari sekolah kepemimpinan atau warisan jawatan. Mereka lahir daripada kesedaran hati, kebangkitan jiwa dan tindakan berteraskan nilai hidup.
Hari ini, apabila dunia sedang bergelut dengan ketidaktentuan dan jiwa umat semakin goyah, kita menyaksikan anak muda Muslim bangkit semula, bukan sekadar sebagai penonton, tetapi sebagai pemain utama sejarah.
Zohran Mamdani, anak muda Muslim berusia 33 tahun, berdiri di pentas New York State Assembly bukan sekadar sebagai wakil rakyat, tetapi sebagai wakil nurani umat manusia. Suaranya tidak hanya mewakili kawasan diwakilinya, tetapi gema daripada hati yang sedar terhadap derita tersembunyi, di luar dan dalam negaranya.
Beliau lantang menyuarakan keprihatinan terhadap nasib Palestin yang ditindas saban hari, jelas menunjukkan keberanian luar biasa di pentas politik Barat yang sering berat sebelah. Namun, keprihatinannya tidak terhenti di situ.
Sebagai anak muda yang hidup bersama denyut nadi rakyat, beliau berdiri bersama penduduk bandar New York, sebuah kota gah pada mata dunia, tetapi menekan jiwa banyak warganya dengan kos sara hidup melambung tinggi.
Beliau memperjuangkan hak penyewa, menentang penindasan sistemik dalam perumahan serta menuntut pembaharuan dasar supaya rakyat biasa tidak terus terhimpit. Inilah pemimpin muda Muslim memahami keadilan tidak mengenal sempadan, dan agama mengajar untuk peduli, bukan sekadar terhadap umat sendiri, tetapi terhadap semua insan dizalimi.
Cerminan harapan
Ini bukan kisah luar yang asing dengan kita di Malaysia. Ini adalah cermin harapan, di mana ada hati yang hidup, di situlah akan lahir pemimpin benar. Pada zaman ini, terlalu ramai naik kerana suara, tetapi tidak bersuara kerana hati.
Zohran membuktikan jiwa dibentuk nilai agama, pengalaman hidup dan kesedaran sosial boleh mencipta gelombang perubahan, meskipun dalam sistem tampak asing. Jika seorang pemuda Muslim mampu berdiri lantang di tengah kota kapitalis, apa pula halnya dengan anak muda kita dibesarkan dalam naungan Islam dan budaya Timur penuh hikmah?
Soalnya bukan lagi 'boleh atau tidak', tetapi bila dan bagaimana kita menyediakan medan serta bimbingan untuk mereka menjadi pemimpin dengan roh, bukan sekadar dengan gelaran. Segala-galanya bermula dengan kesedaran.
Bukan sekadar tahu apa yang berlaku, tetapi berasakan dengan hati bahawa ketidakadilan itu menyakitkan, kezaliman bukan sekadar tajuk berita, tetapi luka umat belum sembuh. Kesedaran adalah detik ketika hati kita berhenti untuk memerhati dan mula menginsafi.
Anak muda yang benar-benar memimpin ialah mereka melihat dunia bukan sekadar melalui maklumat, tetapi melalui mata hati. Mereka berasakan kesengsaraan saudara di Palestin, mereka tersentuh dengan penderitaan warga marhaen. Bukan kerana disuruh, tetapi kerana jiwa mereka masih hidup.
Kesedaran inilah akar kepada perubahan. Tanpa hati yang sedar, tiada arah. Tanpa jiwa terjaga, tiada gerak. Apabila hati sudah sedar, ia tidak akan terus duduk diam, sebaliknya akan bangkit, bukan kerana ingin disanjung atau ditonton, tetapi kerana kebenaran itu memanggil.
Kebangkitan ini bukan sekadar reaksi spontan, tetapi hasil iman tertanam dan nilai meresap dalam darah perjuangan. Hati yang sebelum ini lembut dan sunyi berubah menjadi jiwa yang kuat dan berani. Berani berkata 'tidak' kepada kebatilan, berani memikul tanggungjawab dan berani berdiri di medan kebenaran, walaupun seorang diri.
Inilah jiwa anak muda yang tidak rela membiarkan saudara seagama ditindas atau bangsanya hanyut tanpa pedoman. Ia tidak menunggu semua orang sedar. Ia tahu kebangkitan bukan tugas orang lain, tetapi amanah peribadi.
Kebangkitan yang lahir daripada hati ini akan membentuk peribadi tidak mudah dibeli, digoyang dan tidak mudah menyerah. Apabila iman bertemu ilmu, nilai bertemu tindakan, maka lahirlah anak muda bukan sekadar simbol, tetapi penyambung risalah perjuangan.
Kepemimpinan bukan hanya membicarakan apa diperjuangkan, tetapi bagaimana ia diperjuangkan. Amal terhasil daripada jiwa yang sedar dan bangkit adalah amal beradab, tidak memijak untuk naik, tidak menindas untuk kelihatan kuat dan tidak meninggi untuk tampak mulia.
Malaysia mempunyai lautan bakat muda penuh daya fikir, daya cipta dan semangat juang. Namun apa yang mereka perlukan ialah ruang amanah, bimbingan jujur dan silibus hidup membentuk mereka sebagai khalifah, bukan sekadar tenaga kerja.
Kita perlu melahirkan pemimpin muda tidak kehilangan hati dalam dunia mengejar angka, hubungan dengan tuhan tidak putus, mengenal diri sendiri dan batas nafsu, menyantuni orang lain dengan kasih dan empati, melihat alam ini sebagai amanah, bukan sumber eksploitasi.
Inilah kepemimpinan berjiwa hamba, tidak mencari pangkat, tetapi mencari reda Allah dalam setiap amal. Jika kita ingin membina semula tamadun, mulakan dengan jiwa anak muda yang bukan hanya sekadar diberi ilmu, memahami ilmu berkenaan, bukan hanya diajar teori, tetapi dibimbing mengenal Tuhan dan diri serta bukan hanya membentuk mereka sebagai pekerja, tetapi sebagai pewaris peradaban.
Penulis adalah Pensyarah di Jabatan Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)
Post a Comment