Headlines News :
Home » » Sampai bila agensi jadi paku, rakyat kena tukul?

Sampai bila agensi jadi paku, rakyat kena tukul?

Written By zabidi on Sunday, 20 July 2025 | July 20, 2025


Oleh Mohamed Nasser Mohamed

Tragedi demi tragedi. Tapi agensi masih tunggu suara warganet untuk bertindak. Sampai bila nak jadi paku? Dalam budaya kita, ada satu peribahasa lama yang masih hidup — bukan sekadar dalam perbualan, tetapi dalam tindakan: Sudah terhantuk baru tengadah. Maksudnya, seseorang hanya akan insaf atau berhati-hati selepas ditimpa musibah. Dalam konteks pentadbiran dan perkhidmatan awam, ungkapan ini sangat relevan — terlalu relevan — sehingga menjadi pantulan budaya kerja dalam banyak agensi kerajaan: Hanya bertindak selepas tragedi berlaku.

Tragedi Sungai Korok: Bukan kali pertama

Baru-baru ini, satu insiden menyayat hati berlaku di Sungai Korok. Enam sekeluarga maut — ibu bapa dan empat anak kecil — selepas kereta mereka terbabas ke dalam sungai. Lebih mengejutkan, lokasi ini bukan zon bahaya baharu. Dalam tempoh lima tahun, lapan nyawa terkorban di laluan sama. Namun, sepanjang tempoh itu, tiada sebarang penghadang dibina. Tiada pencahayaan dipasang. Tiada sistem amaran atau penanda bahaya. Kawasan itu kekal gelap, sempit dan sunyi seolah-olah menunggu korban seterusnya.

Setiap kali pulang ke Jitra, saya melalui jalan tersebut, ada sekali pada waktu siang saya melalui juga laluan tersebut dan singgah minum di sebuah warung, yang hadir sibuk bercakap mengenai tragedi yang baru berlaku beberapa hari lepas, itu pada 2022. Khabarnya ada juga aduan bertulis yang dipanjangkan kepada pihak berkuasa, selepas itu saya pun lupa kisahnya sehingga berita kematian enam sekeluarga minggu lepas.

Seperti biasa, selepas tragedi, muncullah janji: akan bina tembok, akan pasang lampu, akan tambah papan tanda. Persoalannya, kenapa bukan lima tahun lalu? Kenapa bukan selepas nyawa pertama, atau kedua, atau ketiga melayang?

Sikap reaktif: Barah dalam sistem

Ramai pegawai agensi awam masih berpegang kepada mentaliti ‘tunggu aduan rasmi’. Mereka hanya bergerak selepas ada laporan bertulis, surat rasmi, liputan media atau aduan tular. Sedangkan yang sepatutnya berlaku ialah pemantauan berterusan, tindakan awal, dan kepekaan terhadap risiko — tanpa perlu disuruh. Bersikap proaktif.

Mentaliti ini menjadi barah dalam sistem. Ia menyebabkan tindakan tertangguh, penyelesaian lambat, dan dalam kes seperti Sungai Korok — nyawa yang tidak sepatutnya hilang.

Tiang gol, nyawa anak sekolah

Mengenang kisah Sungai Korok, kita pernah juga dikejutkan dengan satu tragedi. Seorang murid Tahun 5 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lok Yuk, Menggatal, Sabah, maut selepas ditimpa tiang gol ketika sedang menjalani aktiviti sukan. Mangsa disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Likas. Insiden ini berlaku pada Oktober 2022.

Tiang gol yang berat dan tidak stabil bukanlah benda baharu di sekolah. Ia ada di mana-mana — berkarat, senget, longgar — tetapi tetap dibiarkan atas nama ‘biasa’. Siapa yang menyemak keselamatan alat sukan ini? Siapa yang bertanggungjawab menyelia dan menyelenggara kemudahan sekolah? Jangan sampai selepas satu nyawa hilang, baru semua sekolah diminta semak tiang gol masing-masing. Mengapa perlu tunggu tragedi untuk ‘ambil maklum’?

Tragedi bas UPSI: Bila terlambat itu menjadi lazim

Satu lagi contoh kegagalan bertindak awal ialah insiden yang melibatkan kemalangan bas Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) beberapa minggu lalu. Bas yang membawa pelajar terbabas dalam keadaan jalan gelap, tanpa pencahayaan yang memadai. Tragedi itu mengorbankan 15 nyawa siswa, mencetuskan kemarahan awam. Hanya selepas itu, barulah diumumkan bahawa lampu solar akan dipasang di kawasan berkenaan.

Ironinya, laluan itu sudah lama digunakan oleh pelajar universiti, saban minggu, saban semester. Keadaan gelap bukan perkara baharu. Tetapi seperti biasa — tiada tindakan sehingga berlaku kemalangan besar. Maka keluarlah kenyataan: Akan tambah lampu solar, akan tambah pemantauan, akan tambah peruntukan.

Soalnya, kenapa perlu tunggu darah tumpah dahulu baru mahu suluh jalan?

Aduan bukan lesen untuk bertindak

Selalu kedengaran, ‘kami belum menerima aduan rasmi’. Tetapi jika agensi hanya bertindak bila dilaporkan, apa gunanya mereka ada? Agensi bukan posmen menunggu surat. Mereka punya pegawai, kakitangan lapangan, jabatan penyelenggaraan, dan maklumat.

Jika hanya mahu bertindak selepas menerima surat atau tekanan media, maka fungsi agensi itu bukan menjaga, tetapi menunggu. Menunggu untuk disalahkan. Menunggu untuk beri kenyataan. Menunggu hingga ada yang mati.

Amaran sudah ada tapi dibiarkan

Bayangkan ada kenderaan yang memiliki ratusan saman tertunggak, tetapi masih bebas berada di jalan raya. Bayangkan juga ada pemandu pengangkutan awam yang mempunyai puluhan saman trafik, tetapi masih memandu membawa penumpang setiap hari. Tidakkah semua data ini sudah tersedia dalam sistem? Tidakkah sistem kita cukup bijak untuk mengeluarkan amaran awal — atau sekurang-kurangnya mencetuskan satu bentuk tindakan?

Jika data sudah ada, tetapi tidak digunakan, itu bukan lagi masalah teknologi. Itu masalah sikap. Masalah keengganan bertindak. Dan lebih parah, masalah kehilangan rasa tanggungjawab terhadap keselamatan awam.

Kalau sistem hanya menjadi arkib, bukan amaran, maka ia bukan sistem kawalan. Ia hanya peti simpanan bukti — yang dibuka semula hanya selepas tragedi.

Data bukan sekadar statistik

Kita bukan kekurangan data. Kita ada laporan audit infrastruktur, statistik kecederaan sekolah, rekod kawasan kemalangan. Tetapi semua itu kekal sebagai dokumen fail, bukan pendorong tindakan. Data hanya ‘dibuka semula’ selepas musibah berlaku. Bila sudah terhantuk, barulah statistik digunakan — untuk mempertahankan diri, bukan untuk mencegah tragedi.

Teknologi sudah ada tapi di mana gunanya?

Dron boleh meninjau cerun dan laluan bahaya. AI boleh ramal lokasi berisiko. GIS boleh tunjuk titik buta infrastruktur. Media sosial pula sudah cukup jadi radar awal masalah. Tapi semua itu sia-sia jika manusia yang diamanahkan tidak peduli. Hal-hal yang diadukan dalam ‘Aduan Rakyat’ disiarkan saban minggu di TV3 adalah bukti jelas bagaimana, aduan hanya tinggal aduan sehinggalah dipaparkan dalam media.

Contoh yang berulang, tetapi tak pernah dipeduli

Pelajar mati jatuh dari pagar reput. Kanak-kanak mati dalam pembetung terbuka. Remaja mati di jalan tak berpencahayaan. Dan setiap kali jawapannya sama: “Kami tidak menerima laporan rasmi sebelum ini.”

Tapi sampai bila rakyat perlu jadi tukul untuk mengetuk paku bernama agensi?

Implikasi terhadap kepercayaan rakyat

Rakyat makin hilang percaya. Maka mereka mula pasang lampu sendiri, letak kon sendiri, buat papan tanda sendiri. Bila rakyat lebih tangkas dari sistem, itu bukan kebanggaan — itu kegagalan.

Sebagai marhaen, kita harus berterima kasih kepada NGO seperti Ikatan Silaturahim Brotherhood diasaskan Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai Lando atau Uncle Kentang untuk menurap jalan berlubang demi keselamatan penduduk setempat, jika agensi diamanahkan bersikap proaktif, hal-hal ini boleh dilaksanakan oleh agensi berkaitan.

Budaya kerja baharu yang kita perlukan

Tugas agensi bukan menunggu. Ia membuka mata sebelum tragedi menutup semua. Pegawai perlu bertanya:

“Kalau anak saya lalu sini, adakah ini selamat?”

Kalau ragu-ragu, buat kerja. Jangan tunggu. Jangan tanya. Jangan cari tukul.

Penutup: Jangan jadikan kematian sebagai pelan tindakan

Kita tak perlukan satu lagi tragedi baru nak bergerak. Tak perlukan satu lagi ‘hashtag’ sedih. Tak perlukan satu lagi janji ‘akan siasat, akan tambah, akan luluskan’.

Apa yang kita perlukan ialah agensi yang tahu bila perlu memegang tukul, bukan jadi paku yang menunggu dipalu. Sampai bila nak biar rakyat yang ketuk untuk mereka buka mata?

Kita baru 15 hari melangkah ke Tahun Baharu Hijrah 1447, iltizam boleh dipancang oleh setiap kita untuk menjadi proaktif, mungkin ketua setiausaha negara boleh memulakan iltizam menjadi proaktif dalam kalangan penjawat awam. Cukup-cukuplah kita ‘tunggu aduan rasmi’; ini sudah tahun 2025, kita bakal menyambut Hari Kemerdekaan negara yang ke-69, sudah cukup matang, progresif dan proaktif!

Semoga tulisan ini menjadi renungan kita semua.

Mohamed Nasser Mohamed ialah karyawan dan editor perunding terbabit dengan lebih 150 penerbitan sejak 2008.

Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER