Headlines News :
Home » » Alibaba mula misi cari sejuta 'influencer'

Alibaba mula misi cari sejuta 'influencer'

Written By zabidi on Tuesday 2 June 2020 | June 02, 2020

HONG KONG: Alibaba Group Holding Ltd merintis penggunaan hos penstriman secara langsung untuk menjual segala-galanya daripada telefon pintar hinggalah gincu di China.

Kini, gergasi e-dagang terbabit mahu mengulangi kejayaan itu di seluruh dunia dengan bantuan sejuta pempengaruh atau 'influencer' daripada platform TikTok hinggalah Instagram.

AliExpress, pasaran dalam talian syarikat bagi pembeli di luar China, sedang mencari personaliti media sosial untuk mempromosikan gedung dalam talian di seluruh dunia.

Ia mahu menarik lebih 100,000 pembina isi kandungan tahun ini ke dalam AliExpress Connect, sebelum meningkat kepada sejuta orang dalam masa tiga tahun.

Platform itu menawarkan perkhidmatan pemadanan, membantu memadankan pempengaruh sosial media dengan jenama serta perniagaan yang mahu memasarkan produk mereka.

Tumpuan awal adalah Eropah, di mana Russia, Perancis, Sepanyol dan Poland merangkumi majoriti penggunanya.

Alibaba berharap dapat mengulangi kejayaan yang dinikmatinya melalui 'peneraju pandangan utama' (KOL), yang meningkatkan jualannya dalam pasaran Taobao.

"Bagi Taobao dan AliExpress, isi kandungan sosial adalah kaedah untuk mempelbagaikan penawaran, namun bukan untuk menjana pendapatan," kata Ketua Operasi AliExpress, Yuan Yuan kepada Bloomberg News.

Pempengaruh akan membantu pengguna kekal dengan platform berbanding hanya membuat pembelian sekali saja.

"Sasarannya adalah untuk mengumpulkan pengguna, mengekalkannya dan menggalakkan mereka untuk kekal aktif."

Gergasi media sosial global seperti Facebook Inc juga sudah menambah ciri-ciri baharu yang menyokong pembelian dalam talian.

Di Amerika Syarikat (AS), lebih 75 juta pengguna rangkaian sosial berusia 14 tahun ke atas dijangka membuat sekurang-kurangnya satu pembelian dalam talian tahun ini, meningkat lebih 17 peratus berbanding 2019, menurut firma penyelidikan eMarketer.

Pempengaruh dan pembina isi kandungan boleh mendaftar ke dalam Connect menggunakan TikTok, Instagram, Facebook dan akaun media sosial lain.

Yuan berkata, AliExpress menyasarkan untuk membantu sekurang-kurangnya 100 daripada sejuta pempengaruh meraih pendapatan lebih AS$1 juta setahun dalam masa tiga tahun.

"Hanya jika boleh menjana wang sebanyak itu mereka akan bermotivasi membina isi kandungan yang bagus untuk platform kami," katanya.
-Bloomberg
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER