Headlines News :
Home » » Mudah kongsi maklumat peribadi punca kebocoran data

Mudah kongsi maklumat peribadi punca kebocoran data

Written By zabidi on Wednesday 27 July 2022 | July 27, 2022


ISU kebocoran dan penjualan data peribadi bukanlah sesuatu yang baharu. Di negara ini, ia mula mendapat perhatian susulan laporan mengenai dakwaan berlaku ketirisan empat juta data peribadi masyarakat awam melalui laman sesawang Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketirisan data peribadi ini membabitkan Application Programming Interfaces (API) yang dicipta untuk sistem myIDENTITY di bawah seliaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Ketirisan itu mencetuskan kebimbangan awam terutama pengguna yang menjadi mangsa kejadian berkenaan. Susulan daripada dakwaan ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan dengan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din menegaskan pihaknya memandang serius hal itu dan bekerjasama dengan JPN juga LHDN untuk mengenal pasti punca kebocoran data awam.

Bagaimanapun, berlaku kebocoran dan pencerobohan data peribadi menyebabkan orang ramai mula bimbang dan hilang kepercayaan terhadap pihak yang seharusnya bertanggungjawab melindunginya.

Antara punca berlaku kebocoran data peribadi kepada pihak ketiga mungkin menerusi pembabitan orang dalam di sesebuah agensi berkaitan yang bersekongkol dengan penjenayah profesional.

Mereka adalah orang yang dipertanggungjawabkan dalam sebuah institusi kerajaan atau bukan kerajaan untuk mengelola, mengurus dan memproses segala data peribadi awam bagi tujuan tertentu sama ada maklumat pendaftaran, percukaian, telekomunikasi, perbankan dan institusi kewangan serta syarikat penerbangan.

Tindakan tidak bertanggungjawab ini membolehkan penjenayah membuat kad pengenalan atau pasport palsu menggunakan segala maklumat peribadi orang awam yang dicuri daripada pangkalan data.

Dalam kes tertentu, penggunaan data peribadi orang lain menyebabkan orang awam yang tidak bersalah dikaitkan dengan kes jenayah gara-gara pemalsuan identiti.

Seandainya penjenayah berjaya dalam modus operandi mereka dan tidak dapat diatasi dengan segera, keselamatan orang ramai terancam.

Dalam hal ini orang ramai juga perlu berhati-hati memberikan maklumat peribadi kepada pihak yang tidak dikenali terutama melalui media sosial. Sikap gemar berkongsi data peribadi secara berleluasa turut menjadi punca kebocorannya.

Hari ini, dapat dilihat ramai orang tidak sedar tindakan mereka berkongsi aktiviti, status atau gambar di media sosial turut berupaya mendedahkan data peribadi mereka.

Memuat naik data peribadi secara terbuka di media sosial membolehkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menyalahgunakannya.

Ada masanya, orang awam seronok berkongsi gambar mereka dalam media sosial tanpa menyedari terdapat maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan atau pasport yang boleh dilihat secara umum. Perkara ini harus sentiasa diawasi.

Hal ini bermakna orang ramai perlu sentiasa berwaspada melindungi data peribadi mereka seperti mewujudkan kata laluan yang sukar ditembusi pada akaun media sosial atau perbankan dalam talian.

Elakkan diri daripada mempercayai individu atau laman web yang menawarkan peraduan atau skim memberi keuntungan dalam tempoh singkat. Seandainya perlu membuat salinan dokumen peribadi seperti kad pengenalan, lakarkan dua garisan pada kertas berkenaan dengan menyatakan tujuan salinan dibuat.

Isu ini bukan satu perkara yang boleh dipandang enteng. Masa depan dan maruah individu bergantung kepada kerahsiaan data peribadi.

Dr R Mohan dan Siti Nuraisyah Abdul Wahab
Pusat Pengajian Pendidikan Universiti Utara Malaysia (UUM)

Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER