Headlines News :
Home » » China tutup bandar biarpun kes COVID-19 kekal kecil

China tutup bandar biarpun kes COVID-19 kekal kecil

Written By zabidi on Wednesday 27 July 2022 | July 27, 2022


SHANGHAI/BEIJING: Penularan jangkitan COVID-19 memaksa bandar pelabuhan Tianjin di utara China untuk menutup banyak tempat hiburan dan tadika serta agensi bimbingan, sebagai langkah terbaharu untuk memerangi wabak itu.

Data hari ini menyaksikan Tianjin dengan populasi lebih 12 juta dan rumah kepada kilang-kilang yang dikaitkan dengan Boeing dan Volkswagen, hanya melaporkan 11 jangkitan domestik hari ini selepas kira-kira seminggu berdepan sifar kes.

Beban kes untuk Tianjin dan seluruh China adalah rendah dalam konteks global selama lebih dua tahun, namun China mengekalkan dasar 'sifar COVID dinamik' untuk membendung wabak sebaik sahaja ia muncul, walaupun langkah ketat itu dilihat mengganggu perniagaan tempatan dan mengaburkan prospek ekonomi kedua terbesar di dunia.

Pegawai Tianjin lewat semalam berkata, pelbagai tempat hiburan dalaman, seperti rumah catur dan rumah kad dan bar, di dua daerah dengan jumlah lebih dua juta penduduk turut diarah tutup, tanpa menyatakan tarikh bagi pembukaan semula.

Salah satu daerah juga menyatakan bahawa mereka mengarahkan penutupan selama tiga hari di tadika dan agensi bimbingan.

Penganalisis Nomura dalam satu kenyataan semalam berkata, dianggarkan 264.1 juta orang di 41 bandar di China terjejas oleh penutupan penuh atau separa atau langkah kawalan lain, dan ia meningkat daripada 247.5 juta di 31 bandar pada minggu lalu.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan hari ini berkata, termasuk kes Tianjin, China dilaporkan berlaku 699 kes jangkitan domestik baharu pada semalam dengan 199 adalah bergejala dan 500 tidak bergejala.

Majoriti kes baharu semalam berlaku di wilayah barat laut Gansu dan wilayah selatan Guangxi.

Di ibu kota wilayah Gansu di Lanzhou, sebuah daerah dengan lebih 100,000 penduduk ditutup mulai semalam dengan setiap isi rumah boleh meninggalkan kawasan kediaman mereka hanya sekali setiap hari untuk mendapatkan barangan runcit.

Sekatan untuk empat daerah utama lain dengan kira-kira tiga juta orang sudah bermula minggu lalu dan dilanjutkan hingga 24 Julai ini.

Di Guangxi, bandar pesisir pantai Beihai, kini mencatatkan lebih 700 kes tempatan sekali gus menjadi bandar pelancongan terbaharu yang dilanda sekatan perjalanan.

Beihai berkata, hotel dan agensi pelancongan perlu membayar balik sepenuhnya perjalanan dan penginapan yang ditempah.

Situasi itu juga memerangkap lebih 2,000 pelancong yang di bandar itu, sebahagian daripada mereka telah berhubung rapat dengan jangkitan atau melawat kawasan yang terjejas oleh virus itu dan tidak boleh pergi tanpa melalui kuarantin.

Pelancong yang boleh keluar perlu menunjukkan keputusan ujian negatif dalam tempoh 48 jam sebelumnya.

Hab kewangan Shanghai, yang melaporkan 23 kes tempatan baharu pada semalam juga sudah memulakan ujian besar-besaran pada hari ini di kebanyakan 16 daerahnya, selepas saringan sama minggu lalu.

Setakat ini, tiada kematian baharu dan menjadikan jumlah kematian di negara ini kekal sebanyak 5,226 orang.Sehingga semalam, China juga mengesahkan 227,830 kes dengan simptom, termasuk kedua-dua kes tempatan dan pelancong antarabangsa yang dijangkiti. - REUTERS

 

Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER