Headlines News :
Home » » Nahas MH370 sukar dirungkai tanpa penemuan bangkai pesawat

Nahas MH370 sukar dirungkai tanpa penemuan bangkai pesawat

Written By zabidi on Wednesday 27 July 2022 | July 27, 2022


Oleh Prof Madya Mejar Bersekutu (PA) Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian 

 TRAGEDI pesawat MH370 antara misteri terbesar dalam dunia penerbangan. Hari ini genap lapan tahun pesawat besar lagi canggih itu tidak dapat dikesan dan kehilangannya masih menjadi tanda tanya kerana tiada bukti kukuh lagi jelas dapat merungkai misteri ini.

MH370 seperti kita ketahui adalah nombor penerbangan bagi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dari Kuala Lumpur ke Beijing. Pesawat digunakan untuk penerbangan itu ialah Boeing 777-200ER.

ER membawa maksud Extended Range, iaitu jarak penerbangannya adalah lebih daripada pesawat konvensional Boeing 777 terdahulu.

Struktur pesawatnya utuh dan sebelum dihantar atau diambil pelanggan, ia diuji beratus atau beribu kali di makmal Boeing untuk memastikan komponen, fiuslaj, sayap dan sebagainya teguh serta mampu menghadapi tekanan ketika di udara dan mendarat.

Berdasarkan ciri-ciri ini, ada pihak menyatakan ketika MH370 terhempas di selatan Lautan Hindi, pesawat itu tidak berkecai sepenuhnya dan ini dikuatkan lagi dengan penemuan serpihan kecil saja sehingga kini.

Namun, selagi belum menemui bangkai pesawat itu, tidak dapat dipastikan banyak mana pesawat itu berkecai.

Pesawat Boeing 777-200ER dilengkapi dua enjin jenis Rolls Royce Trent 892 yang mempunyai sistem pengawasan dengan komputer pesawat dapat mengesan jika berlaku kecelaruan dalam penerbangan.

Data keadaan enjin ini juga direkodkan sistem pesawat dan dianalisis jurutera penyelenggara apabila pesawat dibaiki serta diselenggara. Semua ini membuatkan enjin pesawat selamat digunakan seberapa kerap yang mungkin bagi penerbangan jarak jauh.

Ada pihak menyatakan tragedi MH370 berlaku akibat kegagalan enjin, namun disangkal beberapa pihak. Enjin pesawat dilengkapi sistem pemadam api jika berlaku kebakaran padanya.

Enjin ini juga ditakrif dan dinilai sebagai Operasi Prestasi Standard Enjin Berkembar Dipertingkatkan (ETOPS). Ini membawa maksud jika satu enjin tidak berfungsi ketika penerbangan, satu lagi enjin dapat beroperasi pada julat masa tertentu untuk membawa pesawat ke lapangan terbang terdekat.

Ini menunjukkan enjin Rolls Royce Trent 892 adalah jitu dan boleh diharapkan. Alasan ini digunakan beberapa pihak untuk menyangkal teori kegagalan enjin pesawat yang didakwa menjadi punca utama tragedi MH370.

Menyentuh aspek sistem pesawat Boeing 777-200ER, ia adalah sistem canggih dan komprehensif. Mengandungi sistem pemantauan yang terdiri daripada sensor serta skrin elektronik memaparkan keadaan enjin, hidraulik, penjanakuasaan elektrik dan tekanan kabin.

Paparan ini dapat membantu juruterbang membuat keputusan tepat dan sahih untuk menerbangkan pesawat dengan selamat serta mengikut piawaian ditetapkan.

Disebabkan pesawat ini menggunakan banyak komponen elektronik, ia juga menggunakan kabel dan wayar secara meluas.

Perkara ini meningkatkan risiko dalam kokpit kerana kabel menghasilkan haba dan secara kolektifnya pengumpulan haba besar serta boleh menyebabkan kebakaran.

Ini antara teori dikemukakan beberapa pihak, iaitu berlaku kebakaran dalam kokpit MH370, sekali gus menjejaskan fungsi juruterbang dan pesawat berkenaan.

Pesawat Boeing 777-200ER dilengkapi juga dengan transponder yang berfungsi memberi lokasi pesawat kepada pengawal trafik udara. Pesawat dapat dikesan selalu dan pihak berkuasa boleh menjejaki pesawat berkenaan.

Namun, dalam kes MH370, dikatakan transponder ini ditutup individu dalam pesawat dan menyebabkan ia tidak dapat dijejaki.

Ada teori menyatakan juruterbang menutup transponder untuk mengelak api merebak dalam kokpit kerana ini adalah prosedur digunakan bagi mengelak penularan api dalam kokpit.

Bagaimanapun, ini semua adalah hipotesis yang perlu dikukuhkan dengan bukti utuh jika ada.

Antara ciri keselamatan pesawat yang sering terlepas pandang ialah keselamatan fizikalnya. Pintu kokpit pesawat Boeing 777-200ER adalah kalis peluru, selaras dengan ketetapan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Ia bertujuan mengurangkan risiko rampasan oleh pihak tidak bertanggungjawab. Malah, pintu kokpit juga menggunakan pengunci elektronik-mekanikal yang boleh menangkis daya sebanyak 300 joules dan pengunci ini menggunakan kuasa bateri pesawat (28VDC) untuk berfungsi.

Pintu kokpit juga mempunyai lubang intip digunakan juruterbang untuk memastikan identiti individu yang hendak memasuki kokpit dan pengunci pintu kokpit dikawal juruterbang dalam kokpit.

Semua ini menimbulkan persoalan sama ada pesawat dirampas atau tidak dan adakah rampasan didalangi orang dalam?

Timbul juga persoalan sama ada pesawat dirampas ketika juruterbang keluar dari kokpit untuk ke tandas. Semua ini menjadi tanda tanya yang masih tidak terjawab.

Pesawat Boeing 777-200ER mempunyai protokol dipanggil 'sampul penerbangan' bagi memastikannya tidak bergerak atau terbang luar daripada sampul penerbangannya.

Sampul penerbangan terdiri daripada sempadan menggariskan pesawat tidak boleh melebihi nilai parameter ditetapkan.

Contohnya, jika ada individu mengendalikan pesawat ingin membelok pada sudut amat tinggi, sampul penerbangan akan menghindarkan orientasi itu.

Ini untuk mengelak pesawat menjadi tidak stabil dan salah satu ciri keselamatan pesawat Boeing 777-200ER. Faktor ini juga menimbulkan persoalan adakah pesawat MH370 dikendalikan secara manual semasa terhempas atau sebaliknya.

Pelbagai persoalan timbul susulan kejadian ini kerana teknikal pesawat memberi persepsi ia selamat dan tidak mudah dicerobohi, tetapi tragedi tetap berlaku.

Ada kemungkinan juga yang teknikal pesawat inilah secara langsung atau tidak menjadi punca nahas MH370. Inilah yang perlu dirungkai dan selagi tiada bukti kukuh, persoalan ini akan menghantui pelbagai pihak.

Penulis adalah Ketua Penyelidik Penerbangan Mencari dan Menyelamat, Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT)

Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER