Headlines News :

Mari Mengenali Storan USB Tiruan

Oleh Arib Ismail 

Pada minggu lepas, saya sempat singgah ke Jalan Pasar yang terletak di Pudu, Kuala Lumpur ketika
selepas solat Jumaat. Bagi yang tidak mengenali lokasi ini, Jalan Pasar cukup sinonim bagi warga Kuala Lumpur sebagai ‘syurga’ untuk barangan elektronik. Boleh dikatakan hampir jumlah besar kedai yang berada di sini kesemuanya menjual peralatan elektronik. Kebiasaannya, saya akan ke sini untuk mencari peralatan audio visual.

Selain daripada menjual peralatan elektronik, Jalan Pasar juga turut sinonim dengan jualan barangan kering yang dijual di kaki lima kedai lokasi ini. Ada yang menjual beg, pakaian, ubat-ubatan, dan pelbagai barangan menarik yang untuk dilihat. Cuma pada kali ini, saya tertarik dengan jualan aksesori telefon yang menjual storan USB yang kita sedia kenali sebagai ‘pendrive’ dijual dengan harga yang sangat murah. Ekspresi pertama saya sudah tentu ini pendrive tiruan. Tidak mungkin pendrive 128GB boleh didapati dengan harga RM9!

Sebelum ini, saya perasan kehadiran storan tiruan mula dijual secara meluas di beberapa lokasi utama sekitar Kuala Lumpur terutamanya pada tahun ini. Sekiranya anda berkunjung ke Bazaar Masjid India, anda pasti akan perasan kehadiran peniaga yang menjual pendrive dengan harga murah terutamanya di hadapan Masjid India itu sendiri. Selain Masjid India, lokasi popular lain yang turut menjadi sindiket jualan storan seperti ini boleh didapati di Pasar Karat Kuala Lumpur, Petaling Street, dan sudah tentu, Jalan Pasar yang saya nyatakan di atas sebelum ini.

Yang menariknya, barangan sebegini dijual secara meluas dan terbuka kerana rupanya lebih kurang sama dengan storan USB original. Sekiranya pembeli inginkan bukti bahawa pendrive tersebut betul-betul mempunyai storan 128GB di dalamnya, si peniaga pasti boleh menunjukkannya.
Storan USB tiruan ini sekiranya ia dipalam pada komputer, ia akan menunjukkan storan bebas yang sama seperti original. Daripada pandangan kasar, ia seolah-olah tiada beza dengan storan original malah ia jauh lebih murah daripada kebiasaannya.

Jadi, Apa Sebenarnya Storan Tiruan Ini?

Storan tiruan merujuk kepada storan kapasiti rendah yang telah digodam, jadi ia boleh menunjukkan jumlah storan yang lebih besar daripada yang sepatutnya hadir di dalam storan USB tersebut.

Storan seperti ini akan mengatakan ia mempunyai kapasiti yang telah diperbesarkan pada sistem operasi, yang mana ia akan memberitahu jumlah storan yang salah sekiranya kita melihat properties storan ini. Storan tiruan boleh beroperasi secara normal pada kapasiti rendahnya akan tetapi sekiranya ia mencapai tahap kapasiti ‘sebenarnya’, file di dalamnya akan mula corrupt dan turut berpotensi menghilangkan data secara besar-besaran.

IMAG0250

Sebagai contoh, saya ambil storan USB yang dikatakan dalamnya ada 512GB. Tapi disebabkan ia telah digodam, storan ini hanya mempunyai kapasiti ‘sebenar’ yang sebesar 16GB sahaja di dalamnya dan bukan bersaiz 512GB seperti dinyatakan dalam properties pada komputer.
Secara kasar, storan tiruan juga mempunyai ‘real memory’ di dalamnya cuma ia tidak menunjukkan hasil storan sebenar sebaliknya menunjukkan storan palsu yang diperbesar hasil daripada proses godaman.

Apa yang turut membimbangkan, storan microSD turut sama menjadi mangsa tiruan ini.

Bagaimana Untuk Mengenal Pasti Storan Original atau Tiruan?

Perkara paling mudah yang anda boleh bezakan jenis storan ini adalah dari segi harga dan saiz kapasitinya. Harga storan USB yang murahnya dalam sekitar 10%, 20%, dan 40% lebih murah daripada harga asal masih boleh dikatakan original tapi sekiranya ia menjangkau harga 60%, 70% malah sehingga 90% lebih murah daripada harga sebenar, anda perlu mula berhati-berhati.

IMAG0251
Sebagai contoh, harga pasaran storan USB bagi kapasiti 128GB adalah sekitar RM265. Di kedai lain, saya menjumpai harga yang lebih murah daripada kedai tersebut yang menjualnya dengan harga RM210 sahaja. Kedua-dua ini masih lagi boleh dikatakan harga pendrive original kerana ia masih lagi agak mahal. Tapi sekiranya anda menjumpai pendrive 128GB pada harga serendah RM9, RM15, RM30, inilah yang dikatakan storan palsu.
Perkara lain yang anda boleh lihat adalah dengan mengenal pasti ketelusan packaging storan ini. Selalunya packaging storan tiruan hadir dengan tulisan dan font yang cetakannya agak buruk dan tidak sekemas packaging original. Cara ini mungkin agak sukar bagi pengguna biasa kerana bila dilihat, ia kelihatan lebih kurang sama. Saya sarankan sekiranya anda membeli storan original, telitikan cara packaging storan tersebut. Biasakan diri untuk membaca hasil kekemasan packaging original dan anda akan mula merasa perbezaan apabila memegang packaging storan tiruan.

Tipu Helah dan Simptom Storan Tiruan

Apabila anda melihat properties storan tiruan ini, sistem operasi seperti Windows, OS X dan termasuk Linux sendiri akan menunjukkan jumlah kapasiti seperti yang dinyatakan pada kotak pembelian. Melalui pemerhatian ini, ia seolah-olah menunjukkan storan yang betul dan sebenarnya inilah merupakan kapasiti yang telah digodam dan bukan jumlah kapasiti yang sebenar pada storan tersebut.
Pendrive Fake
Tipu helah kedua, storan USB ini boleh digunakan sama seperti storan original. Anda boleh gunakan untuk membuat proses copy dan paste file ke dalamnya asalkan tidak mencapai storan ‘sebenarnya’.
Seperti yang saya katakan sebelum ini, storan tiruan akan menunjukkan simptom apabila data yang dimasukkan melebihi jumlah ‘sebenar’ daripada apa yang dinyatakan.

Selepas ia mencapai tahap tersebut, data baru yang dimasukkan akan hilang secara sendirinya. Folder mungkin ada yang tidak terkesan langsung akan tetapi data di dalamnya akan mula corrupt (selalunya dalam 0 byte) apabila ia dibaca semula. Perkara ini mudah dikenal pasti sekiranya anda cuba untuk membuka file di dalamnya, anda akan dapati gambar, video, dan dokumen anda rosak dan hilang tanpa diduga.

Simptom lain yang boleh didapati apabila storan jenis ini mula membuat proses overwriting secara sendirinya yang mana anda akan dapati root folder pada storan ini menjadi blank secara tiba-tiba. Ada juga simptom yang mana storan ini menjadi write protected apabila mencapai had storan sebenar dan ada juga simptom yang mana ia tidak akan menunjukkan sebarang error sehinggalah storan ini dikeluarkan dan dimasukkan kembali ke dalam komputer.
Bagaimana Untuk Menguji Storan Ini?

Salah satu cara anda boleh menguji storan tiruan ini adalah dengan meletakkan banyak data di dalamnya. Saya sarankan anda untuk meletakkan data sekurang-kurangnya 25% daripada kapasiti yang dinyatakan pada storan tersebut. Storan tiruan akan mula menunjukkan tidak ketulenannya apabila lebih 25% kapasiti digunakan daripada kapasiti storan asal.

Fake Pendrive Test
Setelah anda meletakkan data lebih daripada yang dinyatakan di atas, keluarkan storan tersebut dan masukkan kembali ke dalam komputer. Sekiranya ada file yang mula corrupt atau salah satu file di dalamnya secara tiba-tiba mempunyai salinan file yang sama secara banyak, bermakna storan tersebut adalah dikatakan storan tiruan.
Cara lain yang anda boleh gunakan adalah dengan menggunakan perisian h2testw yang membolehkan anda melihat jumlah storan sebenar pada storan yang disyaki tiruan. Cuma melalui cara ini ia mengambil masa yang agak lama kerana ia akan menjalankan proses kemasukan dan bacaan data yang sebenar. Storan generic selalunya mempunyai writing speed sehingga 3 hingga 12MB per saat dan ini mungkin memakan masa kira-kira 10 hingga 40GB per jam.

Menggunakan perisian h2testw juga mudah yang mana ia hadir dengan antara muka yang ringkas dan straight-forward untuk pengguna. Anda hanya perlu memilih ‘target’ iaitu storan yang ingin diuji kemudian jalankan proses ‘write and verify data’. Sekiranya ia menunjukkan data loss yang banyak lebih daripada apa yang dinyatakan, storan tersebut disahkan mempunyai storan palsu di dalamnya.

Muat turun: Perisian h2testw
Inilah sebab mengapa sindiket jualan storan tiruan sukar dibasmi kerana ia sukar dikenalpasti pada permulaannya dan memerlukan satu proses yang ‘proper’ seperti di atas yang mengambil masa yang agak lama.
Konklusi
Sekiranya anda terbeli storan seperti ini, anda masih boleh gunakannya seperti biasa cuma ada beberapa langkah perlu diambil. Saya sarankan anda jalankan ujian melalui perisian di atas dan kenal pasti storan sebenarnya. Sekiranya ia menunjukkan storan sebenar sebanyak 128MB, jangan masukkan data di dalamnya lebih daripada kapasiti tersebut. Jika tidak, file anda akan mula rosak dan sudah pasti ia mengundang bahaya pada data penting anda.

7837704
Perkara ini juga turut memberi jawapan mengapa ada peniaga berani meletakkan harga pendrive yang jaraknya hanya RM1 bagi setiap perbezaan saiz seperti gambar yang berada pada awal artikel ini kerana storan ‘sebenarnya’ adalah sama. Cuma ia dilabel dengan saiz storan yang lebih besar dan itulah yang menjadikan ia lebih mahal RM1 berbanding storan 32GB yang dalamnya juga mempunyai storan ‘sebenar’ sebesar 128MB.
Bagi anda yang membaca artikel ini, saya menyeru untuk memberitahu keluarga dan rakan-rakan anda mengenai perkara ini. Jangan biarkan virus epidemik ini terus menular ke tangan orang yang kita sayangi dan jangan pula kita sendiri tumpas ke tangan storan USB tiruan ini. Sama-samalah kita membanteras sindiket ini demi kesejahteraan orang di sekeliling kita dan dunia pengkomputeran sejagat.

Kaum yang hanya pandai berkata-kata

Oleh SYAFIQ AL-JITRAWY
 
DARI Abdullah Bin Mas’ud katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tiap-tiap nabi yang diutus
sebelum aku mempunyai pengikut-pengikut dan sahabat-sahabat yang terpilih dari umatnya masingmasing, mereka itu berpegang kepada contoh nabinya dan menuruti perintahnya, kemudian setelah zaman itu berlalu mereka disambung oleh generasi yang hanya pandai berkata, tetapi tidak bekerja, bekerja tetapi tidak mengikuti ajaran nabinya.

“Sesiapa menentang kaum itu dengan kekerasan, mukminlah ia, menentangnya dengan perkataan, mukminlah juga, dan menentang dengan hatinya mukmin juga, dan telah habislah iman dari orang-orang yang tidak menentang kemungkaran, walaupun dengan hatinya.” (Riwayat Muslim).

Hadis Nabi bukan teori konspirasi, tetapi Nabi telah beri satu panduan jelas kepada ahli jemaah dan umat Islam pada zaman kini dalam usaha membangunkan Islam.

Nabi telah mengingatkan kepada kita bahawa akan wujud kaum yang cuma pandai beridealisme tetapi tidak buat kerja Islam. Suka berwacana tetapi tidak beramal menegakkan Islam. Mereka pandai kritik tetapi tidak tahu hendak membangunkan umat Islam.

Realiti kini, cara mudah menarik perhatian orang ramai dalam ucapan adalah dengan menjaja ayat-ayat bombastik.

Keluarlah ayat-ayat yang hebat didengar seperti fiqh futuristik, fiqh ikhtilaf, maqasid syariah, wasatiyyah dan lain-lain tetapi pelaksanaannya bertentangan dengan maksud asal ayat-ayat itu.

Kaum kedua adalah bila mereka buat kerja, mereka tidak suka mengikut apa yang Nabi ajar. Mereka suka cari idea-idea selain dari apa yang Nabi ajar.

Mereka menyangkakan idea-idea mereka lebih hebat dari al-Quran dan Sunnah. Nabi perjuangkan Islam untuk seluruh manusia di dunia, tetapi mereka hanya sayangkan negara dan negeri mereka sahaja. Betapa kecilnya skop mereka.

Jika kita menentang kaum ini maka kita beriman, jika kita tidak menentang kaum ini takuttakut kita digolongkan dengan kaum tidak beriman. Kerja mendamaikan pertembungan hak dan batil adalah kerja mungkar, kerana menyusahkan kerja menegakkan hak dan memanjangkan jangka hayat batil.
Badiuzzaman Said Nursi menentang Mustafa Kamal Atarturk yang sedang mensekularkan Turki tibatiba ada orang Islam yang kerjanya berzikir sahaja, pergi guna ayat-ayat al-Quran untuk mendamaikan pertembungan itu.

Dalam hadis ini, Nabi memandaikan otak kita dengan tidak sebut nama individuindividu tertentu sahaja sebagai batil. Nabi memandaikan otak kita juga dengan tidak sebut nama institusi tertentu sahaja sebagai batil.

Tetapi Nabi memandaikan otak kita dengan menyebut sifatsifat kaum ini. Maksudnya kaum ini ada sifat-sifat yang sama.

Mereka boleh berada di manamana sahaja dan mereka tetap perlu ditentang. Sifat mereka sama sahaja sama ada mereka ada dalam Umno, PKR, DAP atau PAS.

Jika kita bukan sebahagian dari kaum ini, jangan kita memandai-mandai menyamakan ciri-ciri mereka dengan kita (bersikap seperti kaum ini atau saja acah-acah bersikap seperti mereka). Takut-takut kita digolongkan dengan mereka di akhirat kelak.

>> Penulis ialah mahasiswa Unisel.

Cara Pulihkan Mesej Whatsapp untuk Telefon Android

Oleh:Azimah Zulkafli 

Mungkin tidak salah jika dikatakan bahawa aplikasi permesejan Whatsapp ialah darah daging kepada telefon pintar. Ia menjadikan perhubungan sosial lebih cepat, mudah dan lebih peribadi berbanding perkhidmatan SMS dan media sosial. Maka, pasti banyak maklumat penting yang tersimpan di dalamnya.

Jadi, apakah yang perlu dilakukan jika sejarah perbualan Whatsapp anda tiba-tiba lesap ?

Selalunya, isu mesej Whatsapp hilang terjadi akibat perkara-perkara berikut:  
1.     Tidak sengaja memadam sebahagian atau semua perbualan
2.     Menyahpasang aplikasi Whatsapp daripada telefon
3.     Bertukar ke telefon pintar baru
4.     Reset telefon pintar

Bagi sebab-sebab 1-3, ada kemungkinan besar sejarah perbualan boleh didapatkan kembali. Secara lalai (default), aplikasi Whatsapp akan membuat backup pada pukul 4 pagi setiap hari. Namun begitu, anda juga boleh membuat backup secara manual dengan menekan Setting>Chat Settings>Backup Conversations. Malangnya, ia tidak boleh dilakukan sekiranya peranti di’reset’ kerana semua aplikasi dan fail (termasuk fail backup) akan turut terpadam.

Cara restore untuk sebab 1 dan 2:

1.     Nyahpasang aplikasi Whatsapp daripada peranti anda.
2.     Muat turun dan pasang sekali lagi Whatsapp pada peranti.
3.     Buka aplikasi. Anda akan diminta untuk memasukkan nombor telefon. Pastikan anda memasukkan nombor telefon yang sama seperti yang digunakan sebelum ini.
4.     Whatsapp akan mencari sekiranya terdapat backup kepada mesej anda. Jika ada, skrin anda akan memaparkan mesej “Message backup found! Would you like to restore your message history from backup?” Klik Restore.
5.     Mesej-mesej yang terkandung dalam backup terakhir Whatsapp anda akan dipaparkan semula.

Cara restore untuk sebab 3:

1.     Sebelum mengaktifkan Whatsapp pada telefon baru, pastikan anda membuat backup secara manual pada telefon lama.
2.     Hubungkan telefon lama anda kepada PC. Melalui PC, cari folder Whatsapp pada storan telefon, kemudian salin (copy) folder tersebut dan simpan di PC anda.
3.     Muat turun dan pasang aplikasi Whatsapp pada peranti baru. Jangan aktifkan dahulu.
4.     Pergi ke File Manager dan cari folder Whatsapp. Namakan semula folder tersebut kepada apa-apa nama lain.
5.     Melalui sambungan kepada PC, masukkan folder Whatsapp yang lama ke storan telefon baru anda.
6.     Kini anda boleh mengaktifkan Whatsapp pada telefon baru. Pastikan anda memasukkan nombor telefon yang sama dan tekan Restore apabila Whatsapp menjumpai fail backup anda.
  Perlu diingat, langkah-langkah di atas hanya berkesan jika folder Whatsapp yang mengandungi fail backup masih wujud dan tidak ditindih oleh backup baharu yang tidak mengandungi sejarah perbualan lama. Proses backup sebenarnya sangat penting bukan sahaja untuk aplikasi Whatsapp, tetapi untuk keseluruhan peranti pintar anda. Maka, jadikan proses backup satu amalan rutin supaya anda tidak kehilangan maklumat penting jika perkara yang tidak diingini berlaku kepada peranti anda.
Lebih baik jika fail-fail backup anda turut disalin ke PC atau ke storan awan (cloud). Rasa leceh sedikit tak mengapa, lebih baik beringat sebelum kena!



Istikhlas jalan mencari keikhlasan

Oleh NOR SUHAILAH SAIRAN 


IKHLAS bermaksud melaksanakan taat semata-mata kerana Allah sendiri-Nya, bukan dimaksudkan memperolehi kebesaran dari manusia, ataupun penghormatan. Dan bukan pula untuk memperolehi sesuatu keuntungan dunia atau menolak sesuatu bencana keduniaan.

Manakala, Istikhlas ialah berpura-pura melakukan sesuatu kebaikan demi mencapai reda Allah. Ianya berbeza dengan hipokrit?

Keikhlasan itu tidak nampak dengan mata kasar. Sukar dibuktikan dengan ucapan mahupun perbuatan. Ikhlas itu umpama semut hitam yang melata di atas batu berwarna hitam, walaupun ia tak nampak pada pandangan manusia, namun ia wujud di sisi Allah. Ikhlas merupakan rahsia antara Allah dan hambanya.

Dalam usaha memperbaiki amalan seharian, tidak kisahlah sama ada wajib atau sunat pastinya diri sendiri atau orang lain terutamanya, akan mempertikaikan keikhlasan kita.

Apabila kita istiqamah dalam sesuatu amalan itu, kononnya baru dianggap ianya benarbenar ikhlas dan menjadi satu keperibadian dalam diri kita.

Kadang-kadang kita merasa bahagia dengan perbuatan kita, kadang-kadang merasa bosan, benci, malu atau sebagainya.

Apatah lagi, apabila sesuatu amalan yang kita lakukan itu, menampakkan perubahan yang ketara pada diri kita.

Sebagai contoh, individu yang dahulunya jahil dan sentiasa bergelumang dengan dosa, akhirnya berhijrah ke arah kebaikan. Pastinya, ada mulut-mulut yang melontarkan spekulasi bahawa individu tersebut ‘hipokrit’.

Secara tidak langsung , tohmahan seperti ini akan membantutkan seseorang untuk berubah. Namun, persoalannya, sampai bila hendak berubah kalau bukan sekarang?

Para cendekiawan dan para alim berkata “Amal adalah seumpama gelas manakala keikhlasannya adalah air. Jika tidak ada gelas, bagaimana air boleh dimasukkan?

Begitu juga... jika tidak ada amal, masakan keikhlasan akan datang?

Jadi untuk menyelesaikan perkara ini, hendaklah seseorang itu tekun beramal sehingga keikhlasan itu datang dengan sendirinya walaupun pada asalnya ianya adalah keikhlasan yang tidak sepertinya.”

Dalam mencapai kesempurnaan dalam melaksanakan perintah Allah SWT dan meraih keredaannya yang bakal menjanjikan syurga, pastinya cabaran duniawi mengganggu gugat keutuhan tembok keimanan dan ketakwaan.

Inilah hakikat yang tidak boleh disangkal dan perlu disemat dalam ingatan, apabila tiba ujian atau musibah dalam hidup kita.

Namun, terdapat sesetengah individu, mudah kecewa dengan Allah SWT dengan ujian dan musibah yang Allah SWT turunkan padanya. Dan akhirnya, dia berubah lantas meninggalkan rukun Islam yang lima, tidak lagi menutup aurat, dan berperangai tidak senonoh.

Seringkali juga sesetengah masyarakat kita berpendapat, “jika kita hendak berubah, kena betul-betul ikhlas. Kalau sudah bertudung , tapi perangai buruk pun tidak guna, itu hipokrit namanya. Jadi, aku nak betul-betul ikhlas, baru aku bertudung.” Lebih kurang beginilah dialognya.

Persoalannya, bilakah rasa ikhlas itu dapat dirasa? Tahukah bila ajal menjemput kita?

Kita hidup bermain dengan masa. Bak kata pepatah Melayu, masa itu emas. Allah SWT berfirman; “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesanpesan dengan kesabaran.”

Surah ini mengingatkan kita mengenai betapa pentingnya kita perlu menitik beratkan tempoh dan masa yang diberikan-NYA sepanjang hidup kita dunia.

Tahukah kita bila dan di mana kita mati jika kita berhasrat asyik menangguhkan taubat kita?
Istilah “Istikhlas” sebenarnya amat jarang didengar dalam mana-mana perbahasan. Namun, sebenarnya ini adalah satu kaedah yang telah dianjur dan diamalkan sejak dahulu lagi.
Kaedah ini bermaksud berpurapura ikhlas dalam beramal.

Tidak salah istikhlas dalam beramal sebagai jalan mencapai keikhlasan. Allah SWT maha kaya dan pemurah. Sedikit sebanyak, pastinya ada pahala bagi kita.

Janganlah bazirkan masa dengan menangguh-nangguhkan taubat dengan alasan tidak ikhlas. Mungkin istilah hipokrit tidak sesuai digunakan pada individu yang hendak berubah, namun, tidak mampu lagi mencapai kesempurnaan dalam perubahannya. Ikhlas adalah perasaan yang harus dipupuk dan ia bukan mudah datang dengan sendiri. Istikhlas cara terbaik mencapai keikhlasan.

>> Penulis Pelajar Komunikasi Universiti Sains Islam Malaysia

Cara berfikir Muslim tidak Islamik?

Oleh USTAZ ZAINUDIN HASHIM 

SESUNGGUHNYA Allah SWT membezakan bentuk kejadian, fizikal dan perasaan antara makhluk-
makhluk-Nya.Ia bagi menunjukkan perbezaan ketara dan kedudukan yang istimewa, kerana dalam al-Quran Allah ada menyebut bahawa terdapat makhluk-Nya yang berjalan dengan dua kaki, ada yang dengan empat kaki dan terdapat juga yang berjalan dengan perutnya.

Kepelbagaian ciptaan Allah itu adalah untuk menunjukkan kekuasaan-Nya dalam mencipta sesuatu menurut kudrat dan iradat-Nya. Tetapi dalam kebanyakan makhluk-Nya yang melata di muka bumi ini yang mendapat keistimewaan lebih daripada yang lain adalah golongan manusia.

Ini kerana, rupa bentuk manusia disebut oleh Allah dalam al-Quran sebagai sebaik-baik dan seindah-indah ciptaan-Nya, ditambah pula dengan anugerah akal yang menaikkan lagi taraf dan kedudukan manusia di sisi Allah SWT. Itu pun bagi mereka yang menyedari kepentingan akal yang merupakan alat yang membezakan kebaikan manusia dengan makhluk lain seperti haiwan.

Sesungguhnya Allah SWT mencipta akal yang merupakan salah satu daripada komponen dalam tubuh manusia adalah untuk dijadikan alat supaya berfikir pada perkara yang boleh menaikkan taraf mereka menjadi khalifah yang terbaik di sisi Allah.Mereka memakmurkan bumi ini dengan segala keperluan yang disediakan Allah dalam al-Quran dan yang dijelaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w. dalam hadisnya.

Tetapi apabila makhluk bernama manusia tidak menggunakan akalnya untuk tujuan kebaikan, apatah lagi boleh membawanya memahami tuntutan agama, maka pada waktu itu dia dihina oleh Allah dan menyamakannya dengan haiwan. Perkara ini ditegaskan Allah menerusi ayat 179 surah al-‘Araf yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak daripada jin dan manusia yang mempunyai hati (akal) tetapi tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata tetapi tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.”

Akal wajib dipelihara

Ajaran Islam telah menetapkan bahawa antara tuntutan agama yang wajib dipelihara oleh individu Muslim baik lelaki dan perempuan, ialah akal sebagaimana yang terkandung dalam ilmu Fiqh yang memperkenalnya dengan istilah ‘Ad-Doruriyat al-Khoms’, iaitu lima perkara yang wajib dipelihara, agama, akal, harta, jiwa, keturunan dan kehormatan diri.

Ini menunjukkan bahawa setiap Muslim tidak sewenangwenang menggunakan akal pada perkara yang boleh merosakkan hubungannya dengan Allah, seperti berfikir cara bagaimana mahu melakukan rompakan, berfikir cara bagaimana mahu menghalang kemaraan Islam, menghalang daripada hukum Hudud, Qisas dan Takzir daripada terlaksana dalam negara.

Semua itu telah menjadi ‘trend’ manusia hari ini, di mana ramai di kalangan orang Islam menggunakan akal mereka memikirkan bagaimana mahu jadi pelawak, pelakon, pengarah filem, komposer, penyanyi, penghibur terkenal dan bermacam-macam lagi yang menjadikan mereka tersohor di persada seni, tanpa mengambil kira halal haram dalam kerjaya yang mereka ceburi.

Begitu juga dalam aspek politik tanah air, apabila para pemimpin bukan sahaja menipu rakyat, tetapi pada masa yang sama menipu Allah kerana sudah memeterai perjanjian terhadapnya ketika membaca doa iftitah dalam solat lima waktu, untuk menjadikan segenap amal ibadat, solat, hidup dan mati kerana Allah. Tetapi selepas solat, pemikiran akal mereka tidak memfokuskan janji-janji kepada Allah, akhirnya berlakulah pelbagai jenayah yang mereka sendiri undang sebenarnya.

Maka berlakulah penyelewengan, penipuan seperti terdapat dalam pelaksanaan peraturan pilihan raya, menghalalkan cara yang salah bagi mencapai matlamat untuk menang. Walaupun cara itu tidak direstui Allah SWT, semua itu berlaku kerana cara berfikir tidak Islamik, atau dengan lain perkataan akal tidak berfungsi dengan baik menurut telunjuk agama.

Akibat daripada memikirkan pada perkara yang hanya menguntungkan dunia mereka dengan mengabaikan kehidupan akhirat. Banyak perkara yang tidak pernah diundang terus berlaku, percambahan maksiat golongan atasan dan bawahan, rasuah yang melibatkan golongan berprofil tinggi, budaya lepak, rempit, black metal melibatkan golongan remaja dan orang ramai.

Cegah jenayah dengan undangundang Islam

Apa yang kita kesalkan, apabila akal dan cara berfikir tidak selari dengan ajaran Islam, maka arahan daripada pihak tertentu bagi menyelesaikan percambahan jenayah yang semakin meningkat, tidak disandarkan kepada undang-undang Islam.

Sebagai contoh, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui ketuanya, Tan Sri Musa Hassan mencadangkan kepada kerajaan supaya melarang motosikal masuk ke pusat bandar bagi mengekang jenayah ragut. Sepatutnya akal kena fikir bagaimana juga mampu mengekang remaja yang menampakkan pusat-pusat mereka di pusat bandar. Kerana apabila orang bukan Islam melihat pusat-pusat itu, mereka menganggap bahawa Islam serupa macam agama mereka.

Alhamdulillah, cadangan itu disanggah oleh banyak pihak, sebenarnya ia bukan satu cadangan yang baik, kerana ia tidak menepati inspirasi ajaran Islam. Ini kerana Islam telah menggariskan untuk mengekang jenayah adalah dengan hukum Hudud, Qisas dan Takzir, ia adalah daripada Allah, Allah SWT sebut Hudud dalam al-Quran banyak kali, dengan menyebut Hududullah (hukum Allah), bukan Hudud PAS, Pakatan Rakyat dan sebagainya.

Kalau cadangan itu terbit daripada mulut orang yang berprofil rendah mungkin orang ramai tidak mengendahkannya, tetapi ia terbit daripada mulut orang yang berprofil tinggi, justeru, untuk menjamin keyakinan orang kepada diri kita pada masa akan datang, janganlah kita dengan mudah mengeluarkan kenyataan yang tidak setaraf dengan kedudukan kita hingga akhirnya orang semakin tidak hormat dan percaya kepada kita.

Jenayah bukan sahaja dilakukan oleh penunggang motosikal, malah yang menggunakan kereta mewah pun banyak berlaku, sesungguhnya akal bukan segala-galanya yang boleh menyelesaikan masalah, tetapi apabila akal disaluti dengan kefahaman agama yang jitu, maka setiap masalah akan dapat ditangani kerana ia diredai Allah SWT.

Sentiasa waspada jenayah ragut

Oleh MUHAMAD TARMIZE MOHD. NOR

INGAT sebelum kena, hemat sebelum habis. Barangkali inilah peribahasa yang tepat untuk
mengingatkan kita supaya sentiasa berhati-hati dengan suasana dan persekitaran terutama kejadian jenayah ragut yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Peribahasa ini membawa maksud bahawa kita perlu berikhtiar dengan bersungguh-sungguh supaya tidak menyesal pada kemudian hari.

Merujuk kepada Kamus Dewan, jenayah bermaksud sesuatu perbuatan jahat seperti mencuri, merompak, membunuh dan lain-lain yang salah di sisi undang-undang, manakala ragut bererti menarik sama ada menyentak, merabut atau mencabut dengan paksa atau dengan kekuatan.
Jenayah ragut sering dikaitkan dengan barang berharga seperti beg tangan dan perbuatan ini salah serta tanpa kerelaan mangsa.

Sasaran penjenayah terdiri daripada golongan yang lemah seperti wanita dan warga emas di samping kanak-kanak yang dipakaikan barang kemas.

Jenayah ini semakin hari semakin bertambah. Apakah undang-undang dalam membanteras perbuatan jahat ini sudah tidak ditakuti atau peluang untuk meragut semakin terbuka serta mudah? Mungkinkah sikap masyarakat yang masih leka dan lalai itu perlu disedarkan pada kadar segera?
Indeks jenayah

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md. Isa berkata, kes jenayah ragut di ibu kota meningkat 195 peratus tahun lalu berbanding tempoh yang sama pada tahun 2013.

“Sepanjang tempoh itu, sebanyak 632 kes direkodkan berbanding 214 kes tahun 2013, sekali gus menjadi penyumbang kepada kadar indeks jenayah secara keseluruhan,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada pertengahan bulan Januari lalu .

Peningkatan kes hampir 200 peratus itu merupakan satu angka yang sangat besar dan perlu dipandang serius oleh semua pihak, terutamanya orang awam. Mereka boleh menjadi sasaran seterusnya pada bila-bila masa sekiranya tidak mengambil langkah berjaga-jaga.

Menurut Tajudin, walaupun kadar indeks jenayah di Kuala Lumpur secara keseluruhannya menurun sebanyak 11.9 peratus iaitu 20,940 kes berbanding 23,758 kes direkodkan pada tahun 2013, pihaknya akan terus mempergiatkan usaha dan memperbanyakkan lagi rondaan serta aktiviti cegah jenayah ragut pada masa akan datang.

Selain usaha secara fizikal, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menjalankan usaha melalui media sosial dan digital.

Contohnya, melalui laman web www.rmp.gov.my, pihak polis mengeluarkan amaran berjaga-jaga dan sentiasa waspada terhadap jenayah ragut ini.

Sikap tidak mengambil berat mengenai aspek keselamatan diri dan harta benda boleh membawa padah kepada diri sendiri.

Matlamat penjenayah kes ragut hanya untuk mendapatkan barang berharga dengan cepat dan mudah.

Oleh itu, mereka akan mencari peluang-peluang yang terhidang untuk melakukan jenayah ini. Sebagai contoh, berjalan seorang diri di tempat yang sunyi dan gelap akan memudahkan lagi perbuatan jahat ini.

Desakan hidup

Peragut-peragut ini tidak memikirkan soal keselamatan diri mangsa dan diri sendiri. Apa yang penting, mereka dapat apa yang mereka mahukan walaupun sedikit.

Sementara itu, pensyarah di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Mariani Md. Nor menjelaskan, pelbagai faktor menjadi sebab dan punca kepada jenayah ragut ini.

“Desakan hidup adalah antara penyebab, khususnya kepada golongan muda yang banyak menganggur, apatah lagi mereka tinggal di ibu kota yang serba-serbi memerlukan wang.

“Kos sara hidup yang tinggi dicampur dengan status kewangan yang tidak mencukupi menyebabkan mereka bertindak di luar batasan normal.

“Bagi golongan belia yang tinggal di luar bandar pula, keciciran dalam aspek pendidikan menyebabkan mereka sukar untuk mendapat kerja apabila merantau ke bandar. Kedatangan mereka ke ibu kota juga tanpa hala tuju yang jelas,” jelasnya.

Menurut Mariani, peragut lazimnya melakukan aktiviti ini bukan kerana keseronokan tetapi ia disebabkan untuk mendapatkan apa sahaja barangan berharga yang boleh ditukar ganti menjadi wang bagi menampung keperluan hidup.

Ditanya mengenai faktor kelekaan dan ketidakpekaan masyarakat terhadap jenayah jalanan ini, Dekan Fakulti Pendidikan UM itu sangat bersetuju dengan faktor tersebut.

Tambahnya, kesibukan orang ramai untuk mengejar masa dalam melakukan rutin harian menambahkan kealpaan mereka terhadap keadaan sekeliling.

“Penjenayah jalanan seperti ini tidak memerlukan perancangan yang rapi sebelum bertindak. Apa sahaja peluang yang terhidang akan digunakan dengan sebaik-baiknya.

“Ditambah pula dengan topi keledar yang mempunyai pelindung gelap, ia memudahkan usaha mereka untuk melakukan aktiviti jenayah ini,” ujarnya lagi.

Mariani mengakui bahawa wanita sememangnya suka pada barang perhiasan. Namun, perbuatan mempamerkan barang perhiasan seperti barang kemas, beg tangan dan telefon bimbit boleh mengundang padah, terutamanya di tempat-tempat yang sering menjadi sasaran peragut.

Mariani menasihati orang ramai terutama wanita yang sering menjadi mangsa ragut supaya sentiasa peka dengan keadaan sekeliling, pastikan agar laluan yang diambil itu selamat dan elakkan berjalan seorang diri di tempat sunyi dan gelap.

“Pihak berkuasa tempatan juga perlu memainkan peranan masing-masing dengan menyediakan infrastruktur yang mempunyai ciri-ciri keselamatan seperti memasang rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), menyediakan kemudahan lampu di kawasan yang gelap, meletakkan papan tanda amaran dan sebagainya,” jelasnya.

Semoga tahun 2015 ini menjadikan kita sebagai masyarakat yang bertamadun dan berilmu, sekali gus sentiasa peka dengan keadaan sekeliling serta bertindak dengan lebih bijak dalam usaha membanteras jenayah ragut.

Beg berat undang bahaya ,mengganggu tumbesaran kanak-kanak

MASALAH kanak-kanak membawa beg berat ke sekolah setiap hari bukanlah satu perkara baharu kerana merupakan satu masalah lama yang dilihat tiada jalan penyelesaiannya sehingga ke hari ini.
Disebabkan permasalahan tersebut, kanak-kanak terbabit sebenarnya berisiko tinggi mengalami sakit belakang, leher, bahu, dan tidak ketinggalan tulang belakang.

Menurut Pakar Ortopedik dan Tulang Belakang, Hospital Pakar Ampang Puteri, Dr. Nurul Azwa Mohamad Noor, masalah ini sebenarnya tidak hanya tertumpu pada tubuh badan kanak-kanak tersebut malah turut mengganggu tumbesaran kanak-kanak terbabit.

Dalam hal ini, katanya, setiap kanak-kanak tersebut akan sakit berterusan dan tidak mustahil mereka akan mengalaminya sepanjang hayat mereka.

“Potensi kesan sampingan terhadap kesihatan amat serius bukan hanya kesan segera terhadap kanak-kanak tetapi mungkin juga akan menjadikan mereka berdepan dengan masalah sakit belakang yang kronik apabila dewasa nanti.

“Begitu juga dengan tumbesaran kanak-kanak ini kerana waktu inilah tulang mereka hendak membesar dan oleh kerana masalah beg berat yang mereka terpaksa tanggung selama lima hari dalam seminggu boleh menyebabkan proses tumbesaran terbantut.

“Hal ini terjadi kerana apabila kanak-kanak terbabit membawa bebanan yang berat, mereka secara automatik akan membawa bebanan tersebut secara tunduk dan ke tepi dan hal ini sememangnya mempengaruhi tumbesaran tulang kanak-kanak ini,” ujarnya ketika ditemui di kliniknya, baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai masalah tersebut, Dr. Azwa menjelaskan, kanak-kanak sepatutnya membawa bebanan 1/10 daripada berat badan dan tidak lebih daripada itu.

Tambah beliau lagi, disebabkan masalah tersebut ada penambahan angka bagi pesakit tulang belakang dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah hari ini.

Begitupun, ulasnya, sakit leher dan juga bahu tidak terkecuali kerana pada masa yang sama berpotensi tinggi untuk memberi kesan yang sama.

Jika dilihat semula satu kajian yang pernah dilakukan sekitar tahun 2007 yang diterbitkan dalam Malaysian Journal of Medicine and Health Sciences Vol. 1 (1) Januari 2005, mendedahkan masalah beban beg sekolah dan kesannya ke atas otot erector spinae dan sakit tulang belakang dalam kalangan kanak-kanak sekolah rendah di Malaysia dengan jelas sekali.

Malah dalam kajian yang dijalankan oleh Tamrin SBM dan rakan dari Universiti Putra Malaysia turut mendapati 58.3 peratus kanak-kanak sekolah yang dikaji melaporkan mengadu sakit belakang yang dikaitkan dengan membawa beg sekolah berat.

Tidak cukup dengan maklumat tersebut, Dr. Azwa menerangkan ada kajian yang dilakukan turut mendapati masalah tersebut juga akan menyebabkan tulang belakang menjadi bengkok.

Secara amnya, rumusan yang dapat dibuat ialah terdapat insiden sakit belakang dalam kalangan kanak-kanak sekolah dan ini memerlukan penilaian semula sama ada kanak-kanak sekolah perlu membawa sebarang bebanan seperti beg sekolah yang berat memandangkan mereka berdepan risiko sakit belakang pada masa depan.

Pada umumnya, beban yang berlebihan dan tidak sama dikaitkan dengan meningkatnya risiko masalah belakang dan kecacatan tulang belakang.

“Dalam hal ini kita tidak seharusnya menuding jari pada satu pihak sahaja kerana semua pihak memainkan peranan penting termasuklah ibu bapa.

“Ibu bapa disaran agar meneliti jadual waktu anak-anak dan memastikan anak-anak membawa buku yang dijadualkan sahaja.

“Yang pasti, semua pihak harus bertanggungjawab dalam usaha menjaga kesihatan anak masing-masing,” katanya.

Berkenalan dengan Mazhab Syafie

Oleh ABD RAZAK MUTHALIB

MAZHAB Syafie diasaskan oleh Imam Al-Syafiee atau nama sebenarnya, Muhammad bin Idris

Nasabnya bertemu dengan Nabi Muhammad SAW pada ‘Abd Manaf. Syafi' bin Al-Saib (nenek ketiganya) pernah berjumpa Baginda SAW, namun teragak-agak untuk menerima Islam.
Al-Syafiee. Gelaran beliau, Abu Abdullah berketurunan Rasulullah SAW.

Al-Saib adalah pemegang bendera Bani Hasyim menentang tentera Islam pada hari peperangan Badr. Beliau lalu ditawan tentera Islam dan menebus dirinya sendiri, kemudian menganut Islam.
Beliau dilahirkan pada tahun 150H di Gaza, Palestin. Pada tahun sama, Imam Abu Hanifah meninggal dunia. Selepas kematian ayahnya, Imam Al-Syafie dibawa ibunya berpindah ke Makkah. Kesungguhan beliau menuntut ilmu terserlah.

Beliau selalu menyertai majlis ilmu ulama dan mampu menghafaz al-Quran dan hadis semasa kanak-kanak. Awalnya, Imam Al-Syafie menumpukan ilmu sejarah, syair dan bahasa Arab.

Imam Al-Syafie kemudian menunjuk minat dan kesungguhan dalam ilmu fikah, sehingga mampu menghafaz kitab al-Muwatta’ karangan Imam Malik.

Selepas itu, beliau merantau ke Madinah untuk belajar secara langsung dengan Imam Malik. Apabila mengetahui Imam Al-Syafie telah menghafaz al-Muwatta’, barulah Imam Malik bersetuju menerimanya sebagai anak murid.

Beliau juga merantau ke Hijjaz dan Yaman untuk menuntut ilmu, seterusnya berpindah ke Iraq dan menuntut ilmu daripada ulama terkenal seperti Muhammad bin Al-Hasan Al-Syaibani, anak murid utama kepada Imam Abu Hanifah. Imam Syafie banyak mengambil manfaat ilmu daripada Al-Syaibani.

Dalam masa sama, beliau juga sering berbahas dengan Al-Syaibani dalam beberapa permasalahan yang berbeza pandangan dengan Mazhab Imam Malik seperti yang beliau pelajari.

Selepas kembali ke Makkah, Al-Syafie merantau ke Baghdad, Iraq, kemudian ke Mesir, akhir tahun 199H. Di Mesir, Imam Al-Syafie banyak menilai semula ijtihad dan fatwa yang beliau keluarkan semasa berada di Baghdad.

Oleh itu, ijtihad dan fatwa baharu yang diubah semasa di Mesir dikenali sebagai "mazhab jadid" (mazhab baru) Imam Syafie. Manakala, ijtihad dan fatwa beliau semasa di Baghdad dikenali sebagai "mazhab qadim" (mazhab lama). Pada akhir Rejab, tahun 204H, Imam Al-Syafie kembali ke pangkuan Pencipta.

Ulama mazhab

Antara anak murid terkenal Imam Syafie yang meriwayatkan mazhab lama beliau ialah Ahmad bin Hanbal, Al-Za’farani, Al-Karabisi dan Abu Thaur. Manakala periwayat mazhab baru Imam Syafie yang terkenal antaranya ialah Al-Muzani, Al-Rabi’ bin Sulaiman Al-Muradi, Al-Buwaiti dan Harmalah.

Antara mujtahid yang dinisbahkan kepada Mazhab Syafie ialah Ishaq bin Rahawaih, Abu Thaur, Ibn al-Munzir, Muhammad bin Nasr al-Marwazi, Ibn Jarir Al-Tabari dan Ibn Khuzaimah. Mereka termasuk golongan ashab Al-Syafie.

Al-Ashab dalam mazhab Al-Syafie merujuk kepada mujtahid yang mengeluarkan hukum berdasarkan landasan ditetapkan Imam Syafie. Namun, mereka tidak terikat atau taqlid kepada Imam Syafie sepenuhnya dalam semua perkara.

Dalam Mazhab Al-Syafie, ada golongan ashab al-wujuh, iaitu ulama yang taqlid Imam Syafie dalam masalah syarak, sama ada dalam dalil mahu pun kaedah asasnya.

Namun, mereka masih memiliki kemampuan untuk menentukan hukum yang belum disebutkan Imam Syafie dengan menyimpul dan mengiaskan daripada pendapat Imam Syafie.

Antaranya, Al-Humaidi, Al-Buwaiti, Al-Rabi’ bin Sulaiman Al-Muradi, Harmalah dan ramai ulama selepas zaman tersebut.

Dalam kalangan ulama Mazhab Syafie yang menjadi pengungkai dan penyelesai kepada permasalahan yang mempunyai pelbagai pandangan. Imam Al-Syafie meletakkan asas dan kaedah utama dalam mazhabnya. Mazhab ini berkembang dan topik perbincangannya semakin meluas hasil ijtihad dilakukan golongan al-ashab dan ashab al-wujuh.

Oleh itu, berlaku perselisihan pandangan di dalam banyak perkara. Justeru, muncullah ulama terkemudian yang berperanan sebagai penyelesai dan pengungkai kepada perselisihan pandangan tersebut.

Kitab mazhab Al-Syafie

Dua ulama Mazhab Al-Syafie yang terkenal dalam peranan ini ialah Al-Rafi’ie dan Al-Nawawi. Mereka mendapat gelaran sebagai syeikhain (dua syeikh) dalam Mazhab Al-Syafie.

Namun, sebelum itu pembukaan kepada peringkat ini, dimulakan oleh ulama lain seperti Abu Ishak Al-Syirazi, Imam Al-Haramain Al-Juwaini dan Abu Hamid Al-Ghazali.

Selepas sumbangan dilakukan Al-Rafi’ie dan Al-Nawawi, muncul ulama berperanan menyelesaikan permasalahan yang tidak disebut Al-Rafi’ie dan Al-Nawawi. Mereka membincangkan perkara cabang (furu’) lain berdasarkan kepada manhaj mazhab Al-Syafie.

Mereka yang terkenal pada fasa ini ialah Al-Asnawi, Al-Azra’ie, Al-Bulqini, Zakaria Al-Ansari, Al-Khatib Al-Syarbini, Ibn Hajr Al-Haitami dan Syamsuddin Al-Ramli.

Antara kitab dikarang Imam Al-Syafie ialah al-Risalah, sebelum beliau merantau ke Mesir. Al-Risalah ialah kitab pertama yang dikarang dalam bab Usul al-Fiqh. Di Mesir, Al-Syafie mengarang al-Umm, merupakan kitab asas yang menghimpunkan permasalahan fikah berdasarkan mazhab baru Imam Al-Syafie.

Terdapat banyak lagi kitab dalam Mazhab Al-Syafie yang dikarang ulama. Antaranya ialah Al-Muhazzab oleh Al-Syirazi dan Al-Nawawi menghuraikan pula kitab ini dengan diberi tajuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. Seperti yang disebutkan sebelum ini, Al-Rafi’ie dan Al-Nawawi adalah "syaikhain" dalam mazhab Syafie.

Oleh itu, pendapat yang mereka muatkan dalam kitab menjadi rujukan utama dalam mazhab Al-Syafie. Masih banyak perkara perlu diketahui untuk mengenali Mazhab Al-Syafie. Ruang yang terhad ini tidak memungkinkan penulis untuk memuatkan segalanya.

Membaca sejarah Imam Al-Syafie dan ulama yang meneruskan tradisi ilmu ini mampu memberikan pengajaran dan keinsafan.

Imam Al-Syafie mengajarkan kita menuntut ilmu perlukan kepada kesungguhan dan pengorbanan; dan sentiasa mengutamakan kebenaran walaupun kadang-kadang kebenaran itu bercanggah dengan pandangan tuan guru kita.

Imam Al-Syafie tidak mengajar kita untuk fanatik dengan beliau. Sayang beliau kepada Imam Malik dan kasih Imam Malik kepada beliau tidak menjadikannya fanatik membuta tuli dengan Imam Malik. Sejarah menunjukkan terdapat banyak perkara yang beliau tidak sealiran dengan mazhab fikah gurunya sendiri.

Islam hanya dapat difahami dengan ilmu. Ilmu dapat diperoleh dengan belajar yang menuntut kepada disiplin yang betul dan manhaj yang benar. Mari kita teruskan pengembaraan menuntut ilmu.

Belajar agama dengan dalil dan nas sahih. Demi mencari kebenaran dan keyakinan. (Rujukan: Dr. Nu’man Jaghim, Madkhal ila al-Mazhab al-Syafie, IIUM, 2007)

ABD RAZAK MUTHALIB
(Penulis ialah mantan pensyarah Fakulti Sains Sosial, Kolej Islam Antarabangsa. Berkelulusan sarjana dan ijazah sarjana dalam bidang ilmu wahyu UIAM)

Bonet kereta ‘port’ tupai simpan kacang

London: Seorang pemandu terkejut apabila bonet keretanya menjadi tempat simpanan kacang yang
dicuri tupai.

Pemilik garaj DPE Autosport, David Evans berkata, tupai itu dipercayai mencuri makanan yang ditinggalkan untuk burung di sebuah rumah di Gloucestershire sebelum memasuki enjin kereta dan menyembunyikan kacang di dalam penapis udara.

“Pemilik itu hanya menyedarinya selepas membawa keretanya ke garaj kerana kelajuannya tidak mampu melebihi 60 kilometer sejam.

“Sepanjang perkhidmatan saya selama 18 tahun, saya tidak pernah melihat sesuatu seperti ini. Memang aneh dan mengejutkan.

“Saya dan rakan sekerja Helen Plaister menghabiskan satu jam menyedut keluar kacang menggunakan pembersih vakum. Percaya atau tidak jumlah kacang disedut mampu memenuhi separuh beg plastik pasar raya,” katanya. - Agensi

Tok Guru tepis tohmahan agamawan tidak mampu berpolitik

Oleh USTAZ ZAINUDIN HASHIM 


ALHAMDULILLAH syukur kepada Allah SWT kerana menganugerahkan kita dalam tanah air Malaysia tercinta ini insan bernama Nik Abdul Aziz Nik Mat. Bak kata pepatah; harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Itulah ungkapan yang mampu kita lafazkan terhadap Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik mat (TGNA) yang telah meninggalkan nama baik, bukan sahaja di persada tanah air ini, malah di seluruh pelusuk dunia.

Justeru, nama al-marhum TGNA dimasukkan dalam kategori 500 individu muslim berpengaruh seluruh dunia seperti yang terakam dalam buku The 500 Most Influential Muslims In The World tahun 2009 terbitan The Royal Islamic Strategic Studies Center yang berpengkalan di Amman, Jordan yang memperlihatkan TGNA disebut sebagai pemimpin Islam yang amat berpengaruh kerana kesederhanaan dalam tindak-tanduk dan akhlaknya.

Bukan senang untuk menceburi bidang politik terutama mereka yang bergelar agamawan, apatah lagi politik sering dikaitkan dengan rasuah, salah guna kuasa dan seumpamanya. Namun TGNA tetap mampu bertahan hingga mencecah 23 tahun menerajui politik negeri Kelantan, antara beberapa negeri yang ditadbir oleh pembangkang menghadapi politik Barisan Nasional yang sering dikaitkan dengan politik tidak bersih dan berat sebelah terutama dalam pilihan raya seperti yang dilaporkan berita dunia sebagai pemerhati.

Bagi warganegara yang tidak mengambil tahu langsung mengenai perjalanan politik dalam negara, sudah tentu mempunyai alasan sendiri untuk mengatakan ketidak-persetujuan mereka tentang perjalanan sistem politik yang dilihat sebagai meruncing, apatah lagi ia dianggap kotor lagi menjijikkan.
Benarkah politik di Malaysia atau di negara-negara umat Islam bersifat demikian, lebihlebih lagi tiada mana negaranegara umat Islam di dunia ini yang menjalankan sistem politik yang berasaskan ‘Siasah Syar’iah’ sebagai undang-undang tertinggi negara, kerana senorio politik menunjukkan, bahawa negara-negara Arab sama ada di utara Afrika dan di teluk lebih cenderung kepada sistem politik Sekularisme, Kapitalisme, Sosialisme dan lain-lain.

Apatah lagi jika para pemimpin negara terlibat dalam kes-kes rasuah kemudian ia ditukar kepada istilah politik wang bagi mengelabui rakyat, konspirasi jatuh-menjatuh antara satu sama lain, salah laku, skandal, mengaut keuntungan daripada projekprojek mega yang hanya berkisar di kalangan mereka sudah menjadi sinonim yang bukan lagi rahsia yang perlu ditutup.

Tindakan-tindakan negatif seumpama itu memberi impak besar kepada kelancaran perjalanan sistem politik negara, yang akhirnya mengheret rakyat untuk membenarkan tindakan mereka, tidakkah pengamalan politik seumpama itu mencemari demokrasi yang difahami umum sebagai satu sistem yang boleh dipercayai?

Justeru, penjelasan mengenai politik sama ada kotor atau sebaliknya perlu diberi pendedahan secara ilmiah, ia bertujuan untuk mendidik rakyat agar sentiasa menjadi individu warganegara yang bukan hanya sekadar menerima pelaksanaan sesuatu konsep politik, malah bersedia untuk berdebat bagi menegakkan kebenaran politik yang bersumberkan kepada wahyu kebenaran Ilahi.
Namun kenapa TGNA tegar untuk terus berpolitik?

Dalam salah satu penjelasan TGNA, beliau melibatkan diri dalam arena politik yang penuh dengan sepak terajangnya, adalah kerana hari ini kita dapat lihat bahawa Buddha ada negara sendiri, Kristian pun ada, Komunis, Sekular, Nasionalis semua ada, tetapi Negara Islam bagaikan tidak wujud di alam nyata, maka menjadi wajib umat Islam menerajui urus tadbir negara/negeri yang berinspirasikan Islam yang melatakkan al-Quran dan Sunnah serta Sirah Nabawiyyah sebagai perlembagaan tertinggi.

Jika umat Islam tidak ambil peduli persoalan politik tanah air, hingga golongan sekular dan seumpamanya menguasai kepimpinan negara, maka seluruh umat Islam berdosa. Maka tegas TGNA, mahu tidak mahu dengan kudrat yang terbatas, penglibatan dalam politik adalah satu kewajipan walaupun melalui pilihan raya.

Kerana politik merupakan antara disiplin ilmu penting serta mempunyai kedudukan tersendiri, adapun dari sudut praktikal pula ia memberi kebaikan jika negara ditadbir mengikut lunas-lunas sistem pentadbiran dan pemerintahan berasaskan kebenaran agama yang diceduk daripada al-Quran dan hadis Nabi Muhammad s.a.w, kerana sejarah telah membuktikan bahawa sistem politik yang ditadbir oleh baginda Rasulullah s.a.w adalah contoh terbaik sepanjang zaman.

Sehubungan itu, Imam Ibn al-Qaiyim al-Jawziah berpendapat, bahawa politik adalah satu perlakuan manusia untuk membawa kebaikan menyeluruh serta menjauhkan mereka daripada sebarang bentuk kerosakan yang bercanggah dengan hukum Syariat Allah SWT.

Politik yang baik menurut beliau, ialah satu sistem pentadbiran negara penuh suasana keadilan selari dengan tuntutan ajaran Allah dalam al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w. (sila lihat at-Turuq al-Hukmiah fi as-Siasah al-Syar’iah m.s 13-15)

Sementara Imam al-Ghazali pula mentakrifkan politik, sebagai dunia yang menjadi tempat bercucuk tanam untuk mendapatkan hasil di akhirat, tidak sempurna agama melainkan dihubungkan dengan dunia, sebagaimana tidak sempurna sesebuah kerajaan tanpa agama, kerana kedua-duanya adalah kembar yang tidak boleh terpisah antara satu sama lain, agama itu adalah pokok, pemerintah adalah penjaganya, sesuatu perkara yang tidak ada pokoknya maka ia akan hancur dan sesuatu yang tidak ada penjaganya, maka ia akan hilang. (Ihya’ Ulum al-Din 1/17 bab tentang ilmu, Dar al-Makrifah, Beirut).

Para ulama’ bersepakat menyatakan, bahawa pemerintah (khalifah) adalah pengganti kepada pelaksana Syariat Islam pertama iaitu Nabi Muhammad s.a.w., di mana baginda merupakan penjaga kepada agama Islam dan dasar-dasar politik dunia yang berteraskan kepada agama.

Baginda Rasulullah s.a.w bukan sahaja seorang pendidik, motivator, hakim, malah seorang ahli politik yang berjaya sebagai ketua negara atau pemerintah umat Islam yang disusuli dengan para pemerintah di kalangan ‘Khulafa’ Rasyidun’ yang telah melakarkan sejarah gemilang kerana berjaya memerintah negara dengan penuh keadilan dan keharmonian hidup bermasyarakat berasaskan ilmu pengetahuan dan keimanan yang kental.

Tetapi apa yang menjadi masalah kepada rakyat di negaranegara umat Islam hari ini, ialah mereka tidak mendapatkan para pemerintah yang melaksanakan sistem politik dalam negara masing-masing yang bersih, adil, telus, kerana ia diimport daripada peraturan dan undangundang Barat yang memisahkan pentadbiran negara daripada agama.

Maka lahirlah para pemimpin atau pemerintah yang memiliki cita rasa memerintah dengan peraturan yang sedikit pun tidak ada kena mengena dengan Islam, mereka sanggup menjadi penyambung golongan penjajah yang memisahkan rakyat daripada agama, malah memperkenalkan ideologi falsafah yang cenderung kepada mengutamakan akal semata-mata.

Justeru, lahirlah gerakangerakan Islam yang tersohor seperti Ikhwan Muslimun di Mesir dan beberapa buah negara Arab lain, Jamaat Islami di Pakistan, Masyumi di Indonesia, MILF di Filipina, PAS di Malaysia dan lain-lain yang berani memasuki arena politik kerana ia adalah sebahagian daripada ajaran Islam, kerana mereka melihat bahawa hukum dan undang-undang Islam tidak akan sempurna melainkan terlibat dalam politik bagi memegang kuasa eksekutif untuk melaksanakan Islam.

Sikap dan tindakan berani segenap gerakan Islam berkenaan menceburi bidang politik, sedikit sebanyak mengubah persepsi dan tanggapan masyarakat, bahawa Islam hanya boleh dibahaskan di masjid-masjid atau pun di surausurau, malah membebaskan pemikiran masyarakat tidak hanya beranggapan bahawa ahli politik tidak boleh bercakap mengenai agama, sedangkan baginda Rasulullah menerusi sirahnya telah membuktikan keupayaan sebagai pemimpin negara, pentadbir atau imam di masjid tanpa melakukan pemisahan antara agama dan politik.

Apabila tidak ada individu yang faham Islam dengan sebaikbaiknya menceburi politik, sudah pasti banyak elemen agama tidak boleh diperjuangkan, ini dapat dilihat bagaimana parti-parti politik berhaluan Islam di Tunisia tewas dan segelintir sahaja sebagai wakil rakyat di parlimen, maka pihak berkuasa yang berhaluan Sekular sebagai golongan majority telah mengisytiharkan pengharaman pemakaian hijab (tudung kepala) di universiti-universiti seluruh negara tanpa dapat dihalang kerana ketiadaan kuasa untuk menghalang.

Malah pihak berkuasa begitu angkuh dengan nada sinis mengatakan di parlimen, bahawa pemakaian hijab itu bukan sebahagian daripada pakaian Islam, malah ia lebih kepada pakaian suku kaum tertentu, sebagaimana solat hari raya di kawasan lapang bukanlah sunnah nabi, malah ia adalah solat politik yang dicetuskan oleh pembangkang.

Justeru, tindakan kejam pemerintah dengan membelakangkan hukumhukum Allah, sedikit sebanyak memberi gambaran yang tidak sihat mengenai Islam, pada masa sama tindakan memberi dan menerima rasuah, berkepentingan adalah di antara aspek yang dikenal pasti merosakkan imej Islam di mata masyarakat hingga menyifatkan politik adalah satu agenda atau wadah jijik lagi kotor yang sepatutnya dijauhi, inilah kejayaan penjajah yang berjaya menanam bibit-bibit fahaman Sekular dalam minda, cara dan gaya hidup umat Islam agar terus berbangga bahawa Sekular lebih baik daripada Islam.

Maka syabas diucapkan kepada TGNA kerana berjaya menangkis serangan musuh yang mengamalkan politik kotor, malah sekali gus menutup mulut golongan Sekular dan Nasionalis yang memisahkan politik dari urus tadbir negara kepada satu hala tuju politik bersih dan adil dengan pentadbiran Islam.

Semoga roh TGNA aman di alam Barzakh dan dirahmati Allah.

Vaksin mampu cegah jangkitan pneumokokus


PNEUMOKOKUS ialah sejenis penyakit yang disebabkan jangkitan bakteria Streptococcus pneumoniae (S. pneumoniae) yang menjangkiti kanak-kanak dan orang dewasa.

Ia boleh mengakibatkan beberapa jenis jangkitan dalam tubuh si kecil seperti jangkitan otak (meningitis), jangkitan darah (septisemia), jangkitan telinga tengah (otitis media) dan jangkitan paru-paru (pneumonia) yang boleh membawa maut.

Menurut perangkaan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), bakteria tersebut merupakan penyumbang utama kepada kadar penyakit global serta menjadi penyebab kematian seramai 1.6 juta orang setiap tahun.

Data tersebut turut mendedahkan penyakit pneumokokus merupakan punca utama kematian yang boleh dielak melalui vaksin terhadap kanak-kanak di bawah lima tahun seluruh dunia.

Sehubungan itu, pelbagai kempen kesedaran dilakukan oleh banyak pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memberikan maklumat dan pendidikan kepada orang ramai mengenai kepentingan pemberian vaksin kepada bayi yang baru lahir.

Kempen

Menyahut seruan tersebut, sebuah NGO, Parenting2u melancarkan kempen Katakan Ya pada Perlindungan Pneumokokus bagi membolehkan setiap bayi yang baru lahir di negara ini memperoleh suntikan vaksin melalui Program Pelalian Negara.

Pada ketika ini, pengambilan suntikan itu masih belum diwajibkan untuk setiap kelahiran.

Pengasas Parenting2u, Chan Li Jin berkata, kematian akibat penyakit pneumokokus boleh dielakkan sekiranya ibu bapa prihatin untuk memberikan anak-anak mereka suntikan vaksin.

Katanya, ia bagi menghalang si kecil daripada terkena jangkitan bakteria S. pneumoniae.

Menurut Li Jin, kempen tersebut merupakan inisiatif pihak Parenting2u dengan kerjasama Perikatan Strategik Asia untuk Pencegahan Penyakit Pneumokokus (ASAP) dan Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA).

Kempen itu bermatlamat untuk mengumpulkan pengamal perubatan profesional, ibu bapa dan orang awam dalam menyuarakan pendapat kepada kerajaan mengenai kepentingan pemberian vaksin pneumokokus dimasukkan dalam Program Pelalian Negara.

“Setiap bayi yang lahir ini mempunyai hak untuk terus hidup dalam keadaan sihat dan bebas daripada penyakit pneumokokus.

“Kita perlu menyedarkan orang awam terutama ibu bapa mengenai kepentingan pemberian vaksin kepada anak-anak mereka untuk mengelakkan penyakit ini.

“Setakat ini, lebih 103 negara di seluruh dunia mewajibkan pengambilan vaksin pneumokokus bagi setiap kelahiran bayi,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, Malaysia belum lagi memberi penekanan untuk mewajibkan pengambilan suntikan tersebut.

“Saya percaya penyakit ini boleh dihapuskan seperti penyakit polio yang sudah tidak wujud lagi di negara ini sekiranya suntikan vaksin pneumokokus dimasukkan dalam Program Pelalian Negara,” katanya pada majlis pelancaran kempen tersebut baru-baru ini.

Seorang peserta, Erina Asmawani, 31, yang turut menyatakan sokongan terhadap kempen tersebut pernah berasa kecewa apabila diberitahu seorang jururawat di sebuah klinik di ibu negara bahawa pengambilan suntikan itu tidak penting bagi kesihatan anaknya.

Meninggal dunia

Ekoran maklumat kurang tepat itu, anak sulungnya dijangkiti pneumokokus dan meninggal dunia dalam tempoh seminggu.

“Saya sangat mengambil berat mengenai kesihatan dan pemakanan anak saya sehingga sanggup berhenti kerja semata-mata untuk menjaganya.

“Apabila doktor mengesahkan anak saya menghidap pneumokokus, saya tidak percaya. Ini kerana, saya jarang membawanya keluar bersiar-siar dan memberikannya susu badan.

“Dalam masa beberapa hari, keadaan anak berubah daripada demam biasa kepada demam panas sebelum disahkan meninggal dunia,” luahnya dengan perasaan sebak.

Sejak peristiwa tersebut, Erina memberikan anak keduanya suntikan vaksin bagi mengelakkan perkara sama berulang.

“Saya menyarankan kepada semua ibu bapa supaya lebih prihatin terhadap kesihatan anak-anak dengan memberikan suntikan vaksin pnemokokal. Walaupun harganya agak mahal iaitu lebih RM200 untuk satu suntikan, tapi adalah lebih baik menghabiskan wang untuk kesihatan mereka daripada menyesal di kemudian hari,” ujarnya.

Sementara itu, Pakar Perunding Pediatrik dan Kardiologi Kanak-kanak, Dr. Yong Junina Fadzil berkata, pada peringkat awal, kanak-kanak yang dijangkiti pneumokokus akan mengalami simptom demam biasa seperti batuk dan selesema namun, ia boleh berubah dalam tempoh 24 jam.

“Apabila seorang kanak-kanak dijangkiti penyakit pneumokokal, simptom awal yang akan dialami mereka sama seperti demam biasa iaitu batuk dan selesema untuk tiga hari pertama. Namun, apabila masuk pada hari keempat, simptom tersebut akan berubah menjadi demam panas.

“Pada hari kelima kanak-kanak tersebut mulai kritikal dan beberapa hari berikutnya mungkin meninggal dunia atau mengalami masalah kesihatan dalam jangka masa panjang seperti buta dan hilang pendengaran,” jelasnya. – MAHFUZ MOHAMAD


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0227&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm#ixzz3Tnl1u71a
Hakcipta terpelihara

Hati-hati beli telefon pintar

Oleh Bennie Zie Fauzi
Telefon pintar menjadi kegilaan generasi baru. Satu demi satu model dikeluarkan, namun tetap menerima sambutan hangat dan laris seperti pisang goreng panas.

Namun, pengguna perlu tahu hayat telefon pintar kebanyakannya tidak panjang seperti telefon genggam awal pengeluaran dulu. Selain aplikasi yang membebankan penggunaan bateri, telefon pintar dikatakan mudah terdedah kepada virus diperoleh ketika melayari internet.

Sebelum membeli, pastikan wang dilaburkan setimpal dengan fungsi, kegunaan, kualiti seterusnya pakej pelan ditawarkan telefon berkenaan. Pembelian berbaloi serta mengambil kira bajet ditetapkan didapati melalui:

1. Tawar-menawar

Keghairahan memiliki telefon pintar seperti mana diiklankan membawa kerugian jika tidak menepati selera dan keperluan.

Lebih dikesalkan, ia dibeli dengan harga mahal sedangkan nilai di pasaran menunjukkan penurunan.

 Sebab itu, jangan terus beli sebaliknya kunjungi dua tiga kedai yang menawarkan telefon berserta aksesori terlebih dulu bagi membuat perbandingan harga.

Pilih yang menawarkan harga paling rendah dan sebolehnya, cuba tawar-menawar untuk mendapatkan pembelian bernilai.

Anda dinasihatkan tidak membeli telefon yang baharu saja dilancarkan di pasaran tetapi tunggu sehingga enam bulan. Biasanya harga telefon bimbit akan turun sebaik model baru dilancarkan.

2. Elak pembelian secara ansuran

Aliran telefon pintar berubah saban minggu. Persaingan sengit dalam kalangan pelbagai jenama dan syarikat pengeluar gajet itu memungkinkan kemunculan model baru dalam tempoh singkat.

Kecenderungan memiliki model telefon pintar terkini bukan saja mendorong pembeli berbelanja besar tetapi lebih parah, kerap menukar telefon demi mengejar aliran baharu.

Ia mendatangkan kerugian terutama jika ia dibeli secara ansuran dengan tempoh penggunaan belum mencecah setahun. Sebaiknya, lakukan pembelian tunai manakala jika berkenan dengan model tertentu, tunggu sehingga harganya jatuh. Harga boleh turun sehingga RM300 dan lebih sebaik muncul model baharu yang menawarkan aplikasi lebih canggih.

3. Hindari pakej pasca bayar mahal

Telefon pintar menawarkan sambungan data yang membolehkan penggunanya melayari internet, laman sosial seperti Facebook dan Twitter selain berhubung menerusi aplikasi Whatsapp, Telegram, Line dan sebagainya.

Pakej pelan internet itu meliputi 1MB (megabit), 2MB, 5MB dan seterusnya, namun semakin tinggi MB, semakin besar jumlah bil perlu dilunaskan.

Memilih pelan paling mahal menyebabkan anda perlu membayar bil bulanan hingga mencecah ratusan ringgit sedangkan kadar penggunaan mungkin hanya separuh daripada pelan dipilih.

Untuk lebih penjimatan, anda disarankan memilih pelan prabayar yang membolehkan anda melayari internet selama sebulan dengan harga belasan ringgit.

4. Utamakan aksesori penting

Telefon pintar memerlukan pelindung skrin bagi melindungi skrin daripada calar, comot, malah retak.
Namun, elakkan terpedaya dengan tawaran harga pelindung skrin yang ada kalanya tidak masuk akal.

Berbanding memasang pelindung skrin berharga puluhan ringgit, rajinkan diri mencari kedai aksesori menawarkan harga berpatutan, misalnya tidak lebih RM30 berserta upah memasangnya.

Aksesori lain wajib ada termasuk alat bebas tangan (handsfree), alat pengecas kuasa tambahan (power bank), sarung (casing) dan sebagainya yang amat diperlukan bagi telefon berbilang kegunaan seperti ini.

Kurangkan bercakap, lebihkan mendengar

Oleh Zamanuddin Jusoh

Allah SWT menciptakan dua pancaindera penting bagi manusia iaitu pendengaran dan penglihatan.
Tujuan penciptaan ini adalah supaya kita fahami bahawa satu daripada pancaindera ini mesti dikurangkan fungsinya supaya hati kita menjadi lembut untuk menerima kebaikan.

Fungsi pendengaran hendaklah dilebihkan dan fungsi lidah dikurangkan kerana percakapan terdedah kepada fitnah serta dosa sehingga ulama menyarankan supaya perbezaan sepertiga jurang pada penggunaan kedua-duanya.

Umpama kita bercakap dalam kadar satu jam, maka pendengaran mestilah digunakan dalam tempoh tiga jam. Menunjukkan, percakapan yang banyak akan menjerumuskan seseorang ke kancah dosa dan maksiat. Dosa lidah adalah satu daripada dosa besar yang diambil ringan oleh kebanyakan manusia.

Kawal percakapan

Baginda SAW meninggalkan banyak pesanan bagi menyelamatkan umat daripada bahaya lidah. Baginda Nabi SAW bersabda: "Jika kamu ditimpa oleh sesuatu maka janganlah berkata: Kalau aku berbuat demikian, tentu akan menjadi sekian-sekian. Akan tetapi katakanlah: Takdir Allah dan apa yang Allah kehendaki pasti terjadi. Ini kerana perkataan 'kalau' akan membuka pintu perbuatan syaitan." (Riwayat Muslim)

Kata-kata yang diucapkan akan menentukan pulangan pahala dan dosa seseorang. Lebih banyak mendengar lebih baik daripada banyak berkata-kata. Pengaruh hati juga amat besar berbanding anggota lain, maka hati perlu dijaga dengan meneliti kerja yang kita lakukan setiap hari.

Hati yang mendorong lidah dan telinga untuk memainkan peranannya. Hati akan menjadi keras disebabkan berlebihan dalam tutur kata, berlebihan mengambil makanan, banyak bergurau serta bersosial.

Kemudahan teknologi kini menyebabkan ramai melupai tanggungjawab terhadap keluarga dan masyarakat.

Pengaruh Facebook, Twitter, WhatsApp dan laman sosial lain menjadi medan utama untuk bersosial sedangkan Islam meletakkan beberapa syarat memilih kawan yang sebenar. Antaranya, sentiasa mengingatkan saudaranya jika melihat kawannya terleka.

Suasana kehidupan juga mendorong kita untuk melakukan kebaikan. Segala ucapan yang diungkapkan, akan menambahkan pengetahuan. Demikian ciri sahabat sebenar dan mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

Oleh itu, kebijaksanaan memilih kenalan akan membuahkan hasil yang baik dalam kehidupan.

Membawa akibat buruk

Berlebihan bercakap menjadikan hati keras serta membawa akibat buruk kepada seseorang.

Natijahnya, mereka akan suka dan gemar kepada perkara haram, bercakap yang sia-sia, mendengar dan melakukan perkara buruk kerana menjadi permainan syaitan.

Seterusnya akan menyebabkan manusia menghidap dua penyakit bahaya iaitu syubahat dan syahwat. Syaitan tidak akan masuk kepada perkara wajib kerana mengetahui hamba taat melakukan perkara itu.

Jadi, syaitan menyerap masuk melalui dua penyakit ini untuk menyesatkan manusia.

Manusia akan dibayangi penyakit waswas terhadap kewajipan dilakukan. Meragukan terhadap ibadah yang kita lakukan ketika sedang dan selepas beribadah.

Maka, seseorang yang dijangkiti penyakit waswas sebenarnya telah membuka pintu kepada syaitan umpama kita membuka pintu untuk pencuri di rumah.

Kebanyakan penyakit waswas ini menyerang mereka yang ingin membuat yang terbaik dalam ibadahnya. Contohnya, meragukan kita mengenai rakaat sembahyang, sah wuduk serta perbuatan lain berkaitan ibadah dilakukan.

Firman Allah SWT bermaksud: "Dari kejahatan pembisik, penghasut yang timbul tenggelam. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia." (Surah an-Nas)

Penyakit syahwat

Setelah syaitan dapat melangkah kepada pintu pertama iaitu waswas, maka akan terus masuk pintu lebih besar iaitu ragu-ragu terhadap manhaj Allah SWT, meragui ketetapan seterusnya membatalkan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT serta hukum hakamnya.

Ketetapan Allah SWT akan dianggap lapuk, ketinggalan dan menjadikan sistem jahiliah sebagai pegangan dianggap yang terbaik. Firman Allah SWT bermaksud: "Apakah mereka menghendaki hukum jahiliah dan hukum siapakah yang lebih baik daripada Allah SWT?" (Surah al-Maidah, ayat 50)

Akhirnya kita terjebak kepada penyakit syahwat yang akan membinasakan. Hati terdorong kepada dunia dengan menyukai pangkat kekayaan, kedudukan dan kuasa. Gemar kepada mengumpulkan harta kekayaan tanpa mengira sumbernya serta suka kepada kemasyhuran dan kemegahan.

Imam Ibnu Qayyim berpendapat, perlu bagi seseorang supaya tidak menghentikan lidahnya daripada berzikir kepada Allah SWT. Zikir dapat melindungi diri daripada gangguan syaitan yang masuk melalui pintu kelalaian.

Pelihara penglihatan

Sebahagian ulama menyarankan kita memelihara penglihatan kerana pandangan terhadap sesuatu akan mempengaruhi hati dan minda. Justeru, mata perlu dipelihara supaya tidak cenderung melihat kepada aspek keduniaan sahaja.

Firman Allah SWT bermaksud: "Janganlah kamu tujukan kedua pandanganmu kepada mereka yang diberikan kesenangan dunia untuk kami uji mereka dengannya." (Surah Taha, ayat 131)

Kita dianjurkan melihat kepada yang lebih rendah supaya tidak berasa kecewa dengan nikmat Allah SWT seperti disarankan Baginda SAW dalam sabda Baginda: "Lihatlah pada orang yang lebih rendah daripada kalian dan jangan melihat orang yang lebih tinggi dari kalian, kerana yang demikian lebih baik supaya kalian tidak meremehkan nikmat Allah ke atas kalian." (Riwayat Muslim)

Pandangan kepada mereka yang lemah akan menambahkan kesyukuran terhadap kurniaan Allah SWT walaupun tidak dinafikan kata-kata menyebut bahawa orang kaya yang bersyukur lebih baik daripada orang miskin yang sabar.

Namun, dalam urusan agama hendaklah dilihat kepada mereka yang di atas untuk peningkatan kepada amalan baik yang kita lakukan. Hati akan berasa ghairah apabila melihat orang lain beribadat dan berusaha untuk melakukan kebaikan lebih banyak daripadanya.

Ingatlah, sesiapa yang menjaga dan memelihara pandangannya akan dikurniakan ketajaman pandangan mata hatinya. Mereka yang menutup pandangannya terhadap kelemahan manusia, akan ditutup pandangan manusia terhadap kelemahannya.

Dengar dan fahami masalah anak-anak

Seorang ibu sanggup bertarung nyawa untuk melahirkan anak. Sebagai ibu jangan sesekali tidak memaafkan anak, jika mereka melakukan kesilapan. Jadikan amalan memaafkan anak ini sebagai tabiat (habit), dan sentiasa meredai dan mendoakan anak.

Kepada semua ibu, setiap kali kita hendak memarahi anak, kusut fikiran dengan perangai negatif anak, atau kecewa dengan sikap anak, cuba bayangkan pasangan suami isteri lain yang ditakdirkan tidak memiliki anak. Betapa mereka mengharapkan seorang anak sebagai penyeri hidup, sedangkan kita yang telah ditakdirkan Allah memiliki anak, berasa terbeban pula dengan kehadiran anak.

Kepada semua ayah, setiap kali hendak marah anak, ingat 20 tahun akan datang apa yang anak akan buat kepada kita, kalau kita melayani anak dengan kasar tanpa kasih sayang? Siapakah yang mencorak anak kita jadi tidak elok? Apakah perkara yang anak itu lihat, dengar dan alami sehingga dia menjadi tidak elok? Cuba ambil tanggungjawab atas akhlak anak kita yang tidak elok, dengan melihat di manakah kesilapan diri sendiri, sebagai ibu atau bapa?

Selalunya anak yang bermasalah lahir daripada keluarga yang bermasalah. Oleh itu ayah dan ibu perlu betulkan diri sendiri sebelum untuk memperbetulkan anak. Minta ampun kepada Allah kalau tanggungjawab kita dengan Allah kita tidak buat, degil dan melanggar suruhan-Nya. Adakah kita mengharapkan anak kita tidak degil dengan kita, jika kita juga degil serta ingkar kepada Allah?

Maka ubah cara pemikiran kita (‘reset minda’), maafkan segala dosa anak kita. Dosa anak kita tidak banyak jika dibandingkan dengan dosa kita sebagai ibu bapa, kerana kita lebih lama hidup daripada anak. Jika kita tidak mahu mendoakannya apa akan jadi kepadanya dan juga kepada kita, apabila kita telah kembali menghadap Ilahi?
Orang yang bijak dia tidak menyelesaikan masalah, tapi dia mencegah masalah. Berkasar dengan anak bukanlah jalan penyelesaian untuk mendidik anak menjadi baik. Konsep merotan adalah satu kaedah mendidik, bahkan dalam Islam merotan itu adalah satu kaedah didikan untuk anak bersolat tetapi ada caranya; merotan hanya untuk mencegah anak daripada ingkar perintah Allah bukan mendera anak.

Lumrahnya tidak ada bayi yang tidak disayangi dan semua perilakunya dilihat comel dan membahagiakan. Sebagai ibu dan bapa kita tahu, ketika kecil perangai anak semua sama; baik, sebab pada waktu itu syaitan belum mengganggu. Akal anak akan berfungsi ketika anak berumur tujuh tahun dan sudah mula boleh berfikir mana yang baik dan mana yang buruk, tetapi selalunya anak-anak akan tewas dengan godaan syaitan. Sebab itu kita kena beri didikan iman yang mantap kepada anak-anak sejak kecil lagi, supaya mereka membesar dengan iman.
Sebelum tidur doakan untuk anak dan bisikkan kepada anak, “emak atau ayah sayang akannya” (melalui minda bawah sedar/mimda segar, roh kita bercakap dengan roh anak). Pada masa itu sampaikan mesej yang baik terutama masa anak betul-betul sudah hendak tidur. Sebut perkataan yang baik-baik, apa yang kita cakap akan menjadi benih baik yang masuk dalam minda bawah sedar/minda segar anak. Lakukan solat berjemaah bersama-sama anak. Selesai solat, usap rambut anak, cakap yang baik-baik dan harapan kita kepada anak.

Ibu bapa mesti cakap kepada anak kita bangga dengan pencapaian anak kita, dan bersyukur dikurniakan Allah anak yang baik tingkah lakunya. Bangga dan sayangilah anak kita supaya dia tidak mengharapkan kasih sayang, perhatian dan penghargaan dengan orang luar.

Fahami Hak Pengguna Dan Peniaga

Oleh NOOR HARTINI SAARI

SEBAGAI pengguna kita seringkali berhadapan dengan isu kenaikan harga barang dan perkhidmatan.


Walaupun umum mengetahui kejatuh­an harga minyak dunia yang menurun hampir 50 peratus semenjak Jun tahun lepas, namun menga­pa harga barang dan perkhidmatan masih belum turun?
Alasan menaikkan harga barang dan perkhidmatan sewajarnya sudah tidak menjadi isu pada pemborong, pembekal, peruncit dan peniaga apatah lagi kerajaan turut mengumumkan penurunan tarif elektrik bermula 1 Mac 2015.

Namun apa yang jelas, hari ini harga barang atau perkhidmatan masih lagi di takuk lama sekali gus terus merunsingkan pengguna.

Dari sudut hak, pengguna mempunyai lapan hak yang sepatutnya diperoleh iaitu; hak untuk mendapat keselamatan, hak untuk mendapat maklumat, hak untuk membuat pilihan, hak untuk menyuarakan pendapat, hak untuk mendapat keperluan asas, hak untuk ganti rugi, hak untuk mendapat pendidikan pengguna dan hak untuk mendapat alam sekitar yang sihat dan selamat.

Namun dalam realiti semasa tidak semua yang dapat dicapai. Kebajikan pengguna khususnya di Malaysia masih kurang diberi tumpuan. Maka sudah tiba masanya kita mengaktifkan kuasa pengguna yang sebenar.

Sebagai pengguna yang melaksanakan tanggungjawab dan prihatin berkenaan isu “naik harga” atau “harga naik” sepatutnya kita ada hak untuk melaporkan sebarang keraguan yang tidak munasabah ke atas sesuatu harga produk atau perkhidmatan kepada pihak berwajib.

Sekiranya tiada sebarang aduan atau masalah dikemukakan, ini akan menyebabkan para peniaga semakin berani melakukan penipuan dan penyelewengan harga secara terang-terangan.

Sebagai pengguna juga kita perlu sentiasa mengikut beberapa langkah yang dicadangkan antaranya; Setiap pengguna perlu mendapatkan maklumat dan pengetahuan yang secukupnya berkenaan barangan dan perkhidmatan yang akan dibeli atau digunakan. Kedua, pengguna perlu membuat aduan terhadap peniaga-peniaga yang didapati menipu dan menindas. Ketiga, para pengguna patut memilih premis perniagaan yang dipercayai amanah dan jujur.

Ada di antara pengguna yang tidak menggunakan hak dan kuasa mereka. Malah segelintir pengguna hanya mengambil mudah, malas memilih dan malas untuk membandingkan harga terlebih dahulu sebelum membuat pembelian menyebabkan para peniaga terus bermaharajalela menaikkan dan mengekalkan harga sedia ada. Apatah lagi ada pengguna yang tidak langsung merungut, seolah-olah tidak ambil peduli apabila harga secawan teh tarik atau kopi bersama nasi lemak bungkus berlipat kali ganda harganya di coffee house, gerai atau di warung.

Dalam situasi ini sebagai pengguna kita sewajarnya bersatu hati untuk bertindak sebab kita berhak menyuarakan rasa tidak puas hati jika mendapati harga yang ditawarkan itu tidak munasabah. Hal ini perlu dilaporkan kepada Persatuan Pengguna.

Persatuan Pengguna pula perlu bergerak dengan proaktif untuk menangani hal ini bagi memastikan hak pengguna dilindungi.

Pengguna juga perlulah bijak. Bijak dalam erti kata tidak dapat dieksploitasi oleh pengusaha dan penjual. Bijak memilih penjual yang boleh dipercayai dan bijak memilih barangan dan perkhidmat­an yang suci, halal dan berkualiti.

Sesungguhnya untung rugi nasib penjual adalah terletak di ta­ngan kita sendiri sebagai pengguna. Jika kita prihatin, berhemat dan waras dalam mendapatkan harga barangan dan perkhidmatan maka kita dapat mengelak daripada ditindas peniaga yang rakus.

Dari sudut peniaga, tuntutan mencari rezeki dalam bidang perniagaan adalah berkaitan dengan agama dan sebahagian usaha dakwah dalam menyebarkan Islam. Apatah lagi sembilan persepuluh rezeki datangnya daripada perniagaan.

Walaupun matlamat perniagaan untuk mencari rezeki dan mendapat keuntungan, namun soal keberkatan tidak boleh dike­tepikan atau dipandang remeh. Para peniaga perlu memahami dan menghayati nilai, akhlak dan etika termasuklah mengiklan dan menjual barangan yang betul. Menipu bagi tujuan melariskan sesuatu barang jualan adalah ditegah sama sekali.

Namun begitu, tidak dinafikan ada dalam kalangan peniaga yang sanggup mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang, menyembunyikan barang supaya harga naik, mencampurkan barang yang elok dengan yang tidak elok, barang lama dengan barang baharu dan menipu dalam membuat timbangan.

Dalam satu hadis yang diriwa­yatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW telah melalui setimbun makanan (yang dijual) seraya memasukkan tangannya ke dalam timbunan makanan itu, dan mendapati jari-jemarinya basah. Rasulul­lah SAW bersabda: “Apakah semua ini wahai pemilik makanan?” Lelaki itu menjawab: Makanan itu telah ditimpa hujan wahai Rasulullah SAW. Seraya Rasulullah bersabda: “Kenapa tidak kamu jadikan yang basah itu di sebelah atas makanan agar manusia dapat melihatnya, barang siapa yang menipu ia bukan daripada agamaku.”

Oleh itu, dalam mengawal ke­giatan penindasan dan penipuan dalam pasaran, pemerintah perlu campur tangan dengan mengambil tindakan kawal selia keadaan di pasaran dan sentiasa membuat pemantauan serta penguatkuasaan ke atas pusat-pusat perniagaan secara bertanggungjawab, bukan sekadar memberi amaran kosong atau de­nda yang ringan kepada pihak yang menindas para pengguna.

Dalam hal ini kita menyambut baik langkah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang akan menawarkan harga lebih murah sekurang-kurangnya penurunan sebanyak lima hingga 20 peratus barangan di pasar tani seluruh negara yang akan dimulakan pada awal Jun ini. Ini sedikit sebanyak akan mengurangkan bebanan pengguna. Begitu juga langkah-langkah penguatkuasaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan perlu diteruskan terutama ke atas peniaga yang degil menurunkan harga barang dan perkhidmatan.

Justeru dalam menangani isu ini baik pengguna mahupun peniaga perlu memahami peranan ma­sing-masing. Kedua-duanya ada hak, integriti dan tanggungjawab yang perlu dipenuhi agar kedua-duanya mendapat manfaat bersama. Ingatlah sebagai peniaga perlu sentiasa berusaha untuk meme­nuhi keperluan pengguna manakala kepuasan pengguna adalah satu keutamaan kepada peniaga.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik
Kanan, Pusat Kajian Ekonomi
dan Kemasyarakatan, IKIM.
 

TAWARAN ISTIMEWA

Headlines News

Iklan

Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER