Hutan Lipur Bukit Kubu, misalnya, bukan sekadar lokasi rekreasi yang dipenuhi kepelbagaian flora unik, sebaliknya menyimpan 1,001 sejarah tersembunyi yang masih belum dirungkai sehingga kini.
Antaranya, Bukit Kubu, struktur batuan seluas 12 hektar dengan ketinggian 150-200 meter dari paras laut yang kini menarik perhatian ahli geologi untuk mengkajinya.

Hakikatnya, bukit itu dulu pernah menjadi pulau, manakala pintu gua hari ini berada dalam lautan. Menambah keunikan Bukit Kubu, batuan yang ada hari ini terbentuk daripada kulit kerang dan sebahagiannya seperti batu karang di lautan. Terdapat tiga lubang dikenali sebagai lubang bintang di sekitar bukit itu. Lubang bintang itu dipercayai menjadi tempat jatuhnya tahi bintang kerana ia pernah ditemui bercahaya pada malam hari, malah masyarakat setempat percaya lubang itu tidak berpenghujung. Bagi mengelak individu terjatuh ke dalamnya, lubang itu kini terpaksa dipagar.

Menurut cerita orang dahulu, Bukit Kubu mendapat nama selepas dipercayai menjadi kawasan persembunyian penduduk zaman pemerintahan Kesultanan Kedah dahulu kala di mana sebuah kubu dibina di kawasan tanah tinggi yang terletak kira-kira empat kilometer dari Kuala Perlis.

Namun, kisah itu tidak dapat dibuktikan kesahihannya kerana tiada artifak lama ditemui untuk dikaji bagi menentukan tahun dan zaman kewujudan serta masyarakat yang mendiaminya.

Bagaimanapun, kisah itu mempunyai sedikit kebenaran kerana terdapat kawasan rata yang besar di atas bukit terbabit dan dikelilingi batuan seolah bertindak sebagai kubu pelindungan selain terdapat beberapa gua di sekitarnya.

Menurut penduduk Kampung Baru, Mansor Abdul Rahman, 71, penduduk kampung bersama arwah ayah dan datuknya pernah menemui sebuah dangau usang yang turut menyimpan dua guni beras dan dua guni sotong kering.

“Dulu, kawasan ini (Tasik Puteri Kayangan) menjadi sumber air masyarakat Kuala Perlis kerana dahulunya ia adalah sebuah telaga besar, mungkin hakisan menyebabkannya semakin besar sehingga menjadi tasik.

“Beberapa pokok durian juga tumbuh di kawasan sekitar dangau sedangkan pokok itu tidak pernah wujud di sini. Tapi saya tidak pasti masyarakat zaman bila yang mendiaminya kerana masih kecil pada ketika itu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambahnya lagi, Bukit Kubu dahulunya adalah sebuah pulau di mana kawasan Kuala Perlis sehingga Behor Kerang berhampiran Simpang Empat, Kangar merupakan lautan, malah sehingga kini kesannya masih jelas dengan penemuan batuan yang terhasil daripada kulit kerang di sepanjang kampung Behor Kerang itu.

Mansor berkata, sehingga kini, air laut akan membanjiri kampungnya sehingga paras lutut setiap kali bulan purnama atau air pasang penuh melanda.

Sementara itu, Pegawai Perhutanan negeri, Abdullah Ghazali berkata, sebagai sebuah kawasan rekreasi yang dikawal selia Jabatan Hutan Negeri, beberapa kemudahan dibina untuk kemudahan pengunjung seperti surau, tandas, dan papan tanda maklumat berkaitan bukit terbabit.

“Kita juga sediakan trek laluan baharu yang lebih sesuai dilalui untuk kemudahan pengunjung mendaki bukit dan melihat persekitaran kawasan yang menarik.

“Bila sampai di puncak melalui menara tinjau, pengunjung berpeluang melihat sempadan daerah Satun, Thailand. Terdapat tiga bangunan tinggi di sana yang boleh dilihat dari menara tinjau yang menjadi rujukan pelayar dahulu,” jelasnya, pengunjung perlu mendaki 120 anak tangga untuk ke menara, atau melalui laluan trek bukit.

Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia Kedah/Perlis/Pulau Pinang, Zainol Husin, berkata, Bukit Kubu adalah bukit batu kapur yang terhasil daripada longgokan tulang-tulang hidupan laut seperti ikan yang tertimbus kira-kira 250 juta tahun dahulu.

Tambahnya, keunikan gua batu kapur di situ adalah kehadiran stalaktik dan stalagmitnya yang kelihatan seperti batu karang dan ada yang terhasil daripada kulit siput dan tersimen di pintu gua berkenaan.

Menurut Zainol, terdapat bukti bahawa paras laut kuno adalah lebih tinggi dari masa kini, namun akibat perubahan paras air laut kuno yang berkemungkinan disebabkan proses pencairan glasier dan pergerakan tektonik menyebabkan wujudnya gua laut dan taktik laut.

“Dalam kajian dahulu, terdapat perkaitan antara paras laut usia Holosen di sekitar Tanjung Dendang, Langkawi selepas penemuan beberapa fosil seperti Saccostrea Cucullata dengan kaedah pengusian karbon iaitu 7,000 tahun,” jelasnya sambil menambah lokasi Bukit Kubu pada 7,000 tahun lalu adalah pada 23 meter dari paras laut semasa.

Tambahnya lagi, kedudukan terkini paras laut kuno kawasan Gua Bukit Kubu adalah 15 meter dari paras laut semasa. 
– NAZWIN NAZRI