Headlines News :
Home » » Tok Guru tepis tohmahan agamawan tidak mampu berpolitik

Tok Guru tepis tohmahan agamawan tidak mampu berpolitik

Written By zabidi on Sunday, 8 March 2015 | March 08, 2015

Oleh USTAZ ZAINUDIN HASHIM 


ALHAMDULILLAH syukur kepada Allah SWT kerana menganugerahkan kita dalam tanah air Malaysia tercinta ini insan bernama Nik Abdul Aziz Nik Mat. Bak kata pepatah; harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Itulah ungkapan yang mampu kita lafazkan terhadap Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik mat (TGNA) yang telah meninggalkan nama baik, bukan sahaja di persada tanah air ini, malah di seluruh pelusuk dunia.

Justeru, nama al-marhum TGNA dimasukkan dalam kategori 500 individu muslim berpengaruh seluruh dunia seperti yang terakam dalam buku The 500 Most Influential Muslims In The World tahun 2009 terbitan The Royal Islamic Strategic Studies Center yang berpengkalan di Amman, Jordan yang memperlihatkan TGNA disebut sebagai pemimpin Islam yang amat berpengaruh kerana kesederhanaan dalam tindak-tanduk dan akhlaknya.

Bukan senang untuk menceburi bidang politik terutama mereka yang bergelar agamawan, apatah lagi politik sering dikaitkan dengan rasuah, salah guna kuasa dan seumpamanya. Namun TGNA tetap mampu bertahan hingga mencecah 23 tahun menerajui politik negeri Kelantan, antara beberapa negeri yang ditadbir oleh pembangkang menghadapi politik Barisan Nasional yang sering dikaitkan dengan politik tidak bersih dan berat sebelah terutama dalam pilihan raya seperti yang dilaporkan berita dunia sebagai pemerhati.

Bagi warganegara yang tidak mengambil tahu langsung mengenai perjalanan politik dalam negara, sudah tentu mempunyai alasan sendiri untuk mengatakan ketidak-persetujuan mereka tentang perjalanan sistem politik yang dilihat sebagai meruncing, apatah lagi ia dianggap kotor lagi menjijikkan.
Benarkah politik di Malaysia atau di negara-negara umat Islam bersifat demikian, lebihlebih lagi tiada mana negaranegara umat Islam di dunia ini yang menjalankan sistem politik yang berasaskan ‘Siasah Syar’iah’ sebagai undang-undang tertinggi negara, kerana senorio politik menunjukkan, bahawa negara-negara Arab sama ada di utara Afrika dan di teluk lebih cenderung kepada sistem politik Sekularisme, Kapitalisme, Sosialisme dan lain-lain.

Apatah lagi jika para pemimpin negara terlibat dalam kes-kes rasuah kemudian ia ditukar kepada istilah politik wang bagi mengelabui rakyat, konspirasi jatuh-menjatuh antara satu sama lain, salah laku, skandal, mengaut keuntungan daripada projekprojek mega yang hanya berkisar di kalangan mereka sudah menjadi sinonim yang bukan lagi rahsia yang perlu ditutup.

Tindakan-tindakan negatif seumpama itu memberi impak besar kepada kelancaran perjalanan sistem politik negara, yang akhirnya mengheret rakyat untuk membenarkan tindakan mereka, tidakkah pengamalan politik seumpama itu mencemari demokrasi yang difahami umum sebagai satu sistem yang boleh dipercayai?

Justeru, penjelasan mengenai politik sama ada kotor atau sebaliknya perlu diberi pendedahan secara ilmiah, ia bertujuan untuk mendidik rakyat agar sentiasa menjadi individu warganegara yang bukan hanya sekadar menerima pelaksanaan sesuatu konsep politik, malah bersedia untuk berdebat bagi menegakkan kebenaran politik yang bersumberkan kepada wahyu kebenaran Ilahi.
Namun kenapa TGNA tegar untuk terus berpolitik?

Dalam salah satu penjelasan TGNA, beliau melibatkan diri dalam arena politik yang penuh dengan sepak terajangnya, adalah kerana hari ini kita dapat lihat bahawa Buddha ada negara sendiri, Kristian pun ada, Komunis, Sekular, Nasionalis semua ada, tetapi Negara Islam bagaikan tidak wujud di alam nyata, maka menjadi wajib umat Islam menerajui urus tadbir negara/negeri yang berinspirasikan Islam yang melatakkan al-Quran dan Sunnah serta Sirah Nabawiyyah sebagai perlembagaan tertinggi.

Jika umat Islam tidak ambil peduli persoalan politik tanah air, hingga golongan sekular dan seumpamanya menguasai kepimpinan negara, maka seluruh umat Islam berdosa. Maka tegas TGNA, mahu tidak mahu dengan kudrat yang terbatas, penglibatan dalam politik adalah satu kewajipan walaupun melalui pilihan raya.

Kerana politik merupakan antara disiplin ilmu penting serta mempunyai kedudukan tersendiri, adapun dari sudut praktikal pula ia memberi kebaikan jika negara ditadbir mengikut lunas-lunas sistem pentadbiran dan pemerintahan berasaskan kebenaran agama yang diceduk daripada al-Quran dan hadis Nabi Muhammad s.a.w, kerana sejarah telah membuktikan bahawa sistem politik yang ditadbir oleh baginda Rasulullah s.a.w adalah contoh terbaik sepanjang zaman.

Sehubungan itu, Imam Ibn al-Qaiyim al-Jawziah berpendapat, bahawa politik adalah satu perlakuan manusia untuk membawa kebaikan menyeluruh serta menjauhkan mereka daripada sebarang bentuk kerosakan yang bercanggah dengan hukum Syariat Allah SWT.

Politik yang baik menurut beliau, ialah satu sistem pentadbiran negara penuh suasana keadilan selari dengan tuntutan ajaran Allah dalam al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w. (sila lihat at-Turuq al-Hukmiah fi as-Siasah al-Syar’iah m.s 13-15)

Sementara Imam al-Ghazali pula mentakrifkan politik, sebagai dunia yang menjadi tempat bercucuk tanam untuk mendapatkan hasil di akhirat, tidak sempurna agama melainkan dihubungkan dengan dunia, sebagaimana tidak sempurna sesebuah kerajaan tanpa agama, kerana kedua-duanya adalah kembar yang tidak boleh terpisah antara satu sama lain, agama itu adalah pokok, pemerintah adalah penjaganya, sesuatu perkara yang tidak ada pokoknya maka ia akan hancur dan sesuatu yang tidak ada penjaganya, maka ia akan hilang. (Ihya’ Ulum al-Din 1/17 bab tentang ilmu, Dar al-Makrifah, Beirut).

Para ulama’ bersepakat menyatakan, bahawa pemerintah (khalifah) adalah pengganti kepada pelaksana Syariat Islam pertama iaitu Nabi Muhammad s.a.w., di mana baginda merupakan penjaga kepada agama Islam dan dasar-dasar politik dunia yang berteraskan kepada agama.

Baginda Rasulullah s.a.w bukan sahaja seorang pendidik, motivator, hakim, malah seorang ahli politik yang berjaya sebagai ketua negara atau pemerintah umat Islam yang disusuli dengan para pemerintah di kalangan ‘Khulafa’ Rasyidun’ yang telah melakarkan sejarah gemilang kerana berjaya memerintah negara dengan penuh keadilan dan keharmonian hidup bermasyarakat berasaskan ilmu pengetahuan dan keimanan yang kental.

Tetapi apa yang menjadi masalah kepada rakyat di negaranegara umat Islam hari ini, ialah mereka tidak mendapatkan para pemerintah yang melaksanakan sistem politik dalam negara masing-masing yang bersih, adil, telus, kerana ia diimport daripada peraturan dan undangundang Barat yang memisahkan pentadbiran negara daripada agama.

Maka lahirlah para pemimpin atau pemerintah yang memiliki cita rasa memerintah dengan peraturan yang sedikit pun tidak ada kena mengena dengan Islam, mereka sanggup menjadi penyambung golongan penjajah yang memisahkan rakyat daripada agama, malah memperkenalkan ideologi falsafah yang cenderung kepada mengutamakan akal semata-mata.

Justeru, lahirlah gerakangerakan Islam yang tersohor seperti Ikhwan Muslimun di Mesir dan beberapa buah negara Arab lain, Jamaat Islami di Pakistan, Masyumi di Indonesia, MILF di Filipina, PAS di Malaysia dan lain-lain yang berani memasuki arena politik kerana ia adalah sebahagian daripada ajaran Islam, kerana mereka melihat bahawa hukum dan undang-undang Islam tidak akan sempurna melainkan terlibat dalam politik bagi memegang kuasa eksekutif untuk melaksanakan Islam.

Sikap dan tindakan berani segenap gerakan Islam berkenaan menceburi bidang politik, sedikit sebanyak mengubah persepsi dan tanggapan masyarakat, bahawa Islam hanya boleh dibahaskan di masjid-masjid atau pun di surausurau, malah membebaskan pemikiran masyarakat tidak hanya beranggapan bahawa ahli politik tidak boleh bercakap mengenai agama, sedangkan baginda Rasulullah menerusi sirahnya telah membuktikan keupayaan sebagai pemimpin negara, pentadbir atau imam di masjid tanpa melakukan pemisahan antara agama dan politik.

Apabila tidak ada individu yang faham Islam dengan sebaikbaiknya menceburi politik, sudah pasti banyak elemen agama tidak boleh diperjuangkan, ini dapat dilihat bagaimana parti-parti politik berhaluan Islam di Tunisia tewas dan segelintir sahaja sebagai wakil rakyat di parlimen, maka pihak berkuasa yang berhaluan Sekular sebagai golongan majority telah mengisytiharkan pengharaman pemakaian hijab (tudung kepala) di universiti-universiti seluruh negara tanpa dapat dihalang kerana ketiadaan kuasa untuk menghalang.

Malah pihak berkuasa begitu angkuh dengan nada sinis mengatakan di parlimen, bahawa pemakaian hijab itu bukan sebahagian daripada pakaian Islam, malah ia lebih kepada pakaian suku kaum tertentu, sebagaimana solat hari raya di kawasan lapang bukanlah sunnah nabi, malah ia adalah solat politik yang dicetuskan oleh pembangkang.

Justeru, tindakan kejam pemerintah dengan membelakangkan hukumhukum Allah, sedikit sebanyak memberi gambaran yang tidak sihat mengenai Islam, pada masa sama tindakan memberi dan menerima rasuah, berkepentingan adalah di antara aspek yang dikenal pasti merosakkan imej Islam di mata masyarakat hingga menyifatkan politik adalah satu agenda atau wadah jijik lagi kotor yang sepatutnya dijauhi, inilah kejayaan penjajah yang berjaya menanam bibit-bibit fahaman Sekular dalam minda, cara dan gaya hidup umat Islam agar terus berbangga bahawa Sekular lebih baik daripada Islam.

Maka syabas diucapkan kepada TGNA kerana berjaya menangkis serangan musuh yang mengamalkan politik kotor, malah sekali gus menutup mulut golongan Sekular dan Nasionalis yang memisahkan politik dari urus tadbir negara kepada satu hala tuju politik bersih dan adil dengan pentadbiran Islam.

Semoga roh TGNA aman di alam Barzakh dan dirahmati Allah.
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER