Headlines News :
Home » » Karier politik Yingluck berakhir?

Karier politik Yingluck berakhir?

Written By zabidi on Thursday 8 May 2014 | May 08, 2014

BANGKOK 8 Mei - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Nasional Thailand (NACC) hari ini menyatakan, bekas Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra bakal didakwa atas dakwaan cuai
dalam menguruskan skim pembelian beras oleh kerajaan.

Keputusan NACC yang boleh menyebabkan Yingluck diharamkan terlibat dalam politik selama lima tahun itu dibuat sehari selepas beliau disingkirkan Mahkamah Perlembagaan atas dakwaan salah guna kuasa.

Presiden suruhanjaya itu, Panthep Klanarong berkata, pihaknya melakukan siasatan dan mendapat bukti cukup untuk membuka kes terhadap bekas Perdana Menteri tersebut.
"Kami akan melanjutkan kes ini kepada Dewan Senat," katanya.

Jika didapati bersalah dan dipecat melalui undian Dewan Senat, Yingluck boleh diharamkan daripada terlibat dalam politik selama lima tahun.

Menurut NACC, pihaknya juga sedang menimbangkan sama ada pemimpin itu bakal berdepan dakwaan jenayah yang menyaksikan beliau boleh dipenjarakan.

Dalam pada itu, Yingluck semalam menafikan beliau melakukan sebarang kesalahan selepas Mahkamah Perlembagaan menyingkirkannya sebagai Perdana Menteri kerana menyalahgunakan kuasa.

Laman web akhbar Bangkok Post melaporkan Yingluck berkata, beliau bekerja keras melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri dan berkhidmat demi rakyat yang memilihnya untuk mentadbir kerajaan.

Perdana Menteri wanita pertama Thailand tersebut dalam temu bual dengan stesen televisyen tempatan menegaskan, beliau melaksanakan tanggungjawabnya dengan jujur dan amanah, berbeza daripada tuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada pegawai kerajaan yang menyokongnya sebagai Perdana Menteri dalam tempoh dua tahun dan sembilan bulan serta rakyat yang memberikan sokongan moral.

Yingluck menyatakan beliau bangga dipilih sebagai Perdana Menteri dan kekal untuk melaksanakan demokrasi, kesamarataan sosial dan kepentingan awam.

Mahkamah Perlembagaan semalam mendapati Yingluck bersalah menyalahgunakan kuasa dalam menukar Ketua Majlis Keselamatan Nasional, Thawil Pliensri pada 2011.

Sebanyak sembilan menteri Kabinet dipimpin Yingluck turut diarahkan berundur kerana menyokong penukaran Thawil tersebut.

- REUTERS/AGENSI

Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER