Headlines News :
Home » » Obama datang ke kampung kami

Obama datang ke kampung kami

Written By zabidi morad on Wednesday, 25 June 2014 | 11:20 pm

TUAN Obama akan melawat kampung kita. Bangga, memang kita kena bangga. Tok Penghulu dapat
berita daripada Tuan DO. Kata Tok Penghulu, ini kehendak Tuan Obama. Bertuah kampung kita, kan?"

“Tuan Obama? Keturunan mana dia tu? Setahu Ayah Engku, cuma keturunan Raja Jembal yang guna gelar Tuan."

“Bukan gitu Ayah Engku, tuan tu ... pembahasaan. Terjemahan dari ‘Sir’. Kan, kita sekarang agungkan bahasa Melayu."

“Tuan itu besar maknanya Sudir, keramat bangsa. Jangan sesuka hati nak bagi hak kita pada orang. Itu gelar keturunan. Macam Tengku, macam Nik, macam Syed, macam Megat. Boleh kalau kau letak Syed Obama atau Megat Obama?"

“Adoiii ... Ayah Engku selalu buat Tengku pening."

“Orang muda kena tahan akal jangan mudah pening. Ayah Engku balik dulu, kejap lagi bilal azan Asar, tapi awak fikir-fikirlah apa yang Ayah Engku cakap tu."

Pak Engku perli kita. Macam kita tidak tahu apa satu. Rasa terhina sangat-sangat. Rasa macam usaha Tok ini lekeh sahaja di mata dia. Selalunya pembangkang berfikir begitu.

“Sudir, orang berjuang mesti kuat. Jangan peduli. Esok, kita mula kerah orang kampung." Balas Tok Penghulu.

“Tak ada masalah sikit habuk tapi bajet jangan lupa, Tok. Budak-budak kita, biasalah."

“Malam ni, kena mula pasang pelita macam malam tujuh likur. Biar cerah ceraco kampung kita. Aku dah beli pelita, siap dengan minyak gas."

“Bukan budaya kita tu ... nanti orang agama kata macam Majusi, sembah api pulak Tok."

“Haihhhhh ... mcam-macam kau Sudir. Dahlah, aku beli dah. Pasal mengecat rumah orang kampung, pasal kereta giling yang nak tar jalan kita ni pun, mari esok. Siap sah lirah dah, aku kira."

“Tok dan rumah Tok akan terkenal ke seluruh dunia. Hebat!"

“Hahaha ... iyalah tu, tapi kau jangan lupa, pokok-pokok tepi jalan kena selia. Mana patut kena tebang, patut tebang kiralah. Kita tak nak kereta Tuan Obama calar. Aku dengar kereta dia dibawa mari dari Amerika nah."

“Kalis peluru Tok, tembak tak lut. Kebal. Dari KL ke sini pun dia orang bawa dengan jet. Turun di Pengkalan Cepa. Kapal terbang lain Tok, boleh turun hari tu, Tok."

“Mana kau tahu Sudir? Tuan DO tak cakap pun."

“Internet Tok, Internet!"

Tok Penghulu angguk berkali-kali sebelum menyerahkan dua keping not seratus kepada Sudir. Setelah itu Tok Penghulu bangun dari bangku di kedai kopi Che Ussin yang sejak tadi duduk sama mendengar projek menghias kampung bersama Mat Daud, Meli Pakda Dan, dan dua tiga orang kampung turut bangun.

Penghulu Che Man berdiri betul-betul menghadap rumah Tuan Muhammad yang letaknya di muka pong Kampung Nering, kampung mereka. Pagarnya dari kayu bakau. Menurut Ripin Tukang, kasa jantannya dari Bali. Rumah Tuan Muhammad pelik sikit. Macam ada dua rumah. Kata Ripin, satu rumah ibu satu rumah dapur. Pelataran kayu nibung dibuat menghubung kedua-dua rumah. Tiang seri dan tiang-tiang lain semua daripada cengal. Kata Ripin lagi, semuanya kayu lama. Tiang-tiang gemulah tok dia. Pendek kata Tuan Muhammad seorang sajalah yang masih mahu berumah kayu.

Mak Wan, orang perempuan Haji Muhammad itu suka bertenun. Di bawah rumah kayu besar mereka, dibuat tempat bertenun. Mak Wan ada dua tiga murid tapi bukan orang tempatan. Ada orang Iban, Jepun, Korea dan ada juga yang dia tidak kenal romannya. Pernah juga dia nampak orang Arab. Kerja Tuan Muhammad? Oh, itu dia tidak tahu. Ada kata dulu Tuan Muhammad kerja di England. Duduk sana sampai pencen. Jadi, dia pun tak tanya lanjut walaupun waktu mula-mula kelik ke mari dulu, dialah orang pertama Tuan Muhammad jemba. Bagitahu nak buat rumah di tanah gemulah Hajah Nik Kelsom, Cik kepada Tuan Muhammad yang dulunya meniaga beras dalam market Pasir Puteh.

“Ada masalah kita ni, Tok." Tiba-tiba Sudir bersuara gemas di sebelahnya.

“Aku dah agak."

“Yalah Tok, dia kata janga

n kosek kawasan rumah dia tapi Tok nak semua rumah bercat. Tok kata Tuan DO nak macam tu."

“Ni, aku duk fikir. Macam mana nak berkira dengan dia."

“Kalau dia berkeras jugak?"

Tok Penghulu melangkah meninggalkan Sudir yang masih berdiri di kaki lima kedai kopi Che Ussin.

Tok Penghulu masuk ke kereta Proton Preve birunya dan pergi. Sudir kembali duduk di bangku di kedai kopi Che Ussin. Dua tiga rakannya menambah air. Mereka turut memesan makanan.

“Aku tau nak buat, jangan karik," janji Faizul kawan Sudir yang sejak dua hari lepas ikut sibuk bersama. Munif angkat ibu jari. Mereka lagakan ketiga-tiga tapak tangan dan siku.

Itu cerita tiga hari lepas. Hari ini semua siap. Jalan ke rumah penghulu bertar sudah. Jalan ke masjid juga. Mengikut Pegawai Daerah yang lebih mereka sebut sebagai DO, Tuan Obama mahu melawat masjid baru siap itu. Mereka sepakat, Tuan Obama rasmikan pembukaan masjid baharu. Nanti masjid itu dinamakan Masjid Obama. Mudah-mudahan hati Tuan Obama tergerak peluk Islam. Hidayah itu milik Allah, kata Sudir. Tok Penghulu suka sangat dengan cadangan Sudir. Setuju sahaja dia. DO pun. Obama siap diberitahu.

Rumah-rumah tepi jalan bercat. Tiga warna tetapan. Biru lambang harmoni. Merah tanda berani dan kuning membawa makna kita masih ada raja yang jadi tonggak negara berdaulat ini. Jadi pemilihan tiga warna ini kerana kita nak bagitahu Tuan Obama, kita hidup harmoni di bawah pimpinan seorang raja dan kita berani bergerak ke hadapan. Kita tidak boleh diremeh-remehkan oleh sesiapa, kata Sudir. Orang kampung pun pilihlah warna. Lawa sungguh Kampung Nering!

“Mengecat rumah batu tak susah."

“Tak ada masalah, Tengku buat molek-molek rumah Ayah Engku."

“Tengku tolong Sudir," sambut Munif. Faizul mengangguk-angguk.

“Ya, Ayah Engku ... kami buat petang ni. Lagipun belah depan yang mengadap jalan saja. Bukan banyak." Tambah Faizul sungguh-sungguh.

“Munif, Sudir, Faizul ... awak orang kenal Obama?"

“Laaa ... satu dunia kenal dia."

“Awak orang tau, dia mari dengan siapa?"

“Dia dah macam raja, kan? Raja ada pengiring ... pengawal, kan?"

“Setahu Ayah Engku, dia berjalan tak pernah tak ada anjing."

“Anjing? Maksud Ayah Engku nanti dia pergi masjid, masuk masjid kita sekali dengan anjing? Tak ...
tak mungkin. Dia faham Islam ... "

“Kita sembahyang hajat."

“Tak nak bagi dia datang?" Tinggi suara Faizul.

“Muslihatnya banyak. Yang sikit tu, sabar. Yang rugi kita. Sejarah kita panjang tapi yang pendek pun tak dibaca orang. Tanah ni tanah kita, kenapa kena tunduk lagi?"

“Ayah Engku, sekarang orang sebut borderless world. Macam kita buat homestay. Siapa pun boleh datang. Lama mana dia nak duduk, tak ada masalah. Janji bayar."

“Faizul, ini soal kedaulatan. Soal maruah."

“Huh! Cakap Ayah Engku macam pejuang kemerdekaan dalam teaterlah."

“Ini misi pelancongan, kita kena tengok begitu," sambung Munif.

Air di cawan tinggal separuh. Tiga anak muda di depannya, lulusan universiti. Dia mengeluh. Kesal.

Lama dia tunduk. Dia nampak simen kedai Che Ussin retak beribu di kakinya. Lambat-lambat dia bengah dan bersuara, “Itu luarnya saja. Dalamnya lain. Banyak agenda tu, kita kena halang."
“Ayah Engku ... menteri, timbalan menteri, wakil rakyat yang tak kenal kampung kita pun akan datang. Wartawan tak payah ceritalah. Karang yang tersohornya, kampung kita."

“Nabi Muhammad ditawarkan bulan dengan matahari tapi dia memilih Islam kerana kita. Kalau baginda berpandangan macam awak semua, tak sampai Islam pada kita hari ni."

“Lagi tak faham ni ..."

“Malam karang kita pakat solat hajat lepas tu, baca Yassin kat masjid baru."
“Tapi belum rasmi, Ayah Engku." Tekan Faizul.

“Kita kena buat. Ini maruah agama."

“Solat hajat untuk perkara baik tak apa tapi kalau untuk gagalkan rancangan orang, Tengku tak nak."
“Satu Malaya dah tau. Dah masuk berita, dah tersebar kat Internet. Apa musibahnya Ayah Engku? Tengku taknak jadi pengacau. Pemberontak."

Sujud

Malam itu Tuan Muhammad tidak tidur. Tiap kali Mak Wan intai, dia nampak suaminya sujud. Kalau tidak sujud, berdoa. Kalau tidak berdoa, tengah tahhiyat. Kalau bukan tahhiyat sedang takbir.

Suaminya memang selalu solat malam. Dari muda. Suaminya itu anak kepada guru Qurannya, Hajah Nik Kelsom yang dia panggil Mak Nik Aji. Kata Mak Nik Aji, Tuan Muhammad berkenankan dia tapi kalau jadi orang perempuan anaknya, dia kena ikut Tuan Muhammad ke England sebab Tuan Muhammad kerja dengan syarikat orang putih selepas habis mengaji di sana.

England? Naik kapal laut macam orang pergi haji? Sudah ada kapal terbang, kata Mak Nik Aji. Lagipun Tuan Muhammad baik. Dia akan jaga Wan Anum molek-molek. Tuan Muhammad itu bagus agamanya macam gemulah moyangnya Haji Mat Hassan bin Munas juga. Ikut cerita Mak Nik Aji, moyang Tuan Muhammad pernah lawan orang putih sampai mati kena gantung songsang. Diarak ke Padang Bank Kota Bharu dari Pasir Puteh. Dituduh derhaka. Semangat dia dengar cerita itu.

Kemudian banyak lagi cerita-cerita sakit yang dia dengar dari gemulah Mak Nik Aji. Selepas menikah tetaplah di England dan beranak pinak di negeri baginda ratu itu. Lima anaknya mengaji dan kerja di sana tapi semua sudah siap siaga untuk balik. Tidak lama lagi.
Esok.
“Abang Engku ... mari kelih pagar kita ni!"

Ketika Tuan Muhammad tiba, Wan Anum sedang bercekak pinggang di pintu pagar. Wan Anum tunjukkan pagar kayu gelam telah bertukar merah. Tuan Muhammad menggeleng beberapa kali sambil tarik tangan Wan Anumnya. Dikepit bawah ketiak. Waktu Wan Anumnya cuba bersuara, Tuan Muhammad pekup mulut Wan Anum.

“Orang buat kerja ni, nak capai objektif hidup. Dah capai karang, diamlah. Siap digeger, katanya Obama sampai pukul sepuluh. Sambut mari dengan pulut semangat, bunga telur, budak-budak cerdong yang nak jadi pawai ambe tengok duk buat raptai semalam. Silat ada, rebana ubi ada. Ada belaka."
“Amboi ... masa Obama di masjid tu, sambut dengan ngaji Quran? Internet pun dah tak boleh akses sejak kemarin. Eh ... kalau takut sangat, tak payah datang."

Tuan Muhammad cuma diam sambil angkat kening tinggi-tinggi. Dia tahu, isterinya tidak boleh dilawan. Banyaklah bebelnya.

Lepas Dhuha.

Tok Penghulu Che Man alias Enche’ Karman bin Mamat, Sudir, Faizul, Munif dan Che Ussin serta orang kampung semua ada. Berbaju Melayu segak bersamping. Budak-budak sekolah memegang bunga telur. Setiap orang satu. Lambang Melayu, kata Sudir. Pemain gendang dan pemukul rebana ubi pun siaga sudah. Paling sibuk Tok Penghululah. Tidak kurang Sudir dan kawan-kawan. Ke hulu ke hilir dengan motor meneliti itu ini.

Matahari mulai tinggi. Para pelajar kelihatan bergerak ke depan ke belakang. Orang-orang kampung pun sudah banyak kali berdiri duduk. Baju yang elok berkedut-kedut malah berjeruk basah dek peluh. Ada cari tisu, ada cari sapu tangan. Sekejap nampak Tok Penghulu menelefon. Sekejap memasukkan ke poket. Sudir lagi kepoh.

Tiba-tiba lima Mercedes menjalar datang. Berhenti betul-betul depan rumah Haji Tuan Muhammad.

Lima orang lelaki keluar dan lima orang perempuan berserta beberapa anak muda. Remaja dan kanak-kanak. Mereka meluru dan memeluk Haji Tuan Muhammad dan Wan Anum yang ikut berbaris di tepi jalan kampung mereka. Ketika itu semua mata tertumpu kepada momen dramatik yang kelihatan bagaikan klimaks itu. Sudirlah yang paling terkejut dan serba salah. Dia berlari ke arah Tok Penghulu. Mereka berbisik-bisik.

“Ayah Engku, Tengku tak tahu siapa tamu-tamu Ayah Engku ni, tapi Tengku nak mintak tolong tamu Ayah Engku bawak masuk kereta ke halaman. Sebentar lagi Tuan Obama sampai. Tolong ya ..."
“Obama datang?"

“Ya, Tuan Obama akan sampai sebentar lagi, encik." Sudir menjawab pertanyaan salah seorang pemuda yang baru sampai.

“Eh, awak tak tahu Obama tak jadi datang?"

“Tak jadi? Tak mungkin. Banyak dah duit kami habis. Mana awak tahu Tuan Obama tak jadi datang?
Awak siapa?"

“Saya Tuan Awang."

“Saya Tuan Arjuna."

“Saya Tuan Aduka."

“Saya Tuan Khalid."

“Semua ni, anak Ayah Engku. Ini Tuan Mat Hassan, yang sulung. Namanya sempena nama moyang kami. Mereka semua balik untuk tanah Mat Hassan bin Munas." Jawab Tuan Muhammad sambil memeluk seorang lelaki dalam lingkungan lima puluhan yang berjanggut rapi. Haji Muhammad kemudian melambai-lambai tangan ke halaman besar mereka.

Anak-anaknya kembali ke kereta dan sesetengahnya pula berderai-derai berjalan ke halaman hijau nan luas itu. Mak Wan bukan main lebar senyumnya.

Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER