Headlines News :
Home » » Eksploitasi kutipan amal kanak-kanak

Eksploitasi kutipan amal kanak-kanak

Written By zabidi on Wednesday 25 June 2014 | June 25, 2014

Oleh OTHMAN MUSTAPHA

ISU eksploitasi kanak-kanak dalam kegiatan mengutip derma, jualan amal dan sumbangan kebajikan terus mengundang polemik dalam masyarakat. Eksploitasi golongan ini dalam kegiatan tersebut dikatakan melibatkan pelbagai institusi seperti rumah anak yatim, rumah kebajikan, sekolah agama, pusat tahfiz, madrasah dan sebagainya yang bergerak atas nama kebajikan, amal jariah, pembangunan sosial dan juga agama.

Isu nasional ini sentiasa menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat malah dilihat belum berkesudahan meskipun tindakan pencegahan dan penguatkuasaan telah dijalankan oleh pihak bertanggungjawab. Lebih ketara lagi, kegiatan ini terus berleluasa tanpa mengira waktu dan tempat termasuklah semasa Ramadan.

Mengapakah kegiatan ini masih berlaku sedangkan langkah-langkah tersusun telah diambil dan usaha juga telah digembleng dalam menanganinya? Salah satu faktornya ialah kelicikan dalang terlibat yang sering mengubah modus operandi kegiatan ini bagi mengaburi mata masyarakat dan pihak berkuasa.

Jika dulu mereka menghantar kanak-kanak yang nampak penat bagi menarik simpati orang ramai menggunakan van tetapi kini mereka bergerak melalui teksi dan kenderaan persendirian. Kegiatan mengutip derma ini juga dilakukan di pelbagai tempat bukan sahaja di kawasan tumpuan awam seperti di gedung beli-belah, stesen minyak, medan selera dan restoran, hentian rehat dan rawat (R&R), terminal bas, bank, pasar malam malah juga di bangunan pejabat.

Umumnya, penglibatan kanak-kanak dalam kegiatan mengutip derma dan jualan amal adalah satu pengeksploitasian terhadap golongan tersebut yang mungkin telah menempuh pelbagai risiko, masalah keluarga, himpitan kemiskinan, kesulitan hidup, diculik atau diperlakukan secara tidak baik.

Keadaan ini bertambah buruk apabila ia dipercayai mempunyai kaitan dengan pengeksploitasian agama dan sindiket ajaran salah seperti yang dilaporkan berlaku di Kedah dan Sabah.

Mengimbau tragedi kemalangan maut yang berlaku pada 29 Disember 2006 di Kilometer 355.7 Lebuh Raya Utara Selatan turut menimbulkan soal keselamatan dan perlindungan di kalangan remaja dan kanak-kanak yang terlibat. Kejadian tersebut membabitkan lima pelajar Pusat Tahfiz Amal di Kuala Kedah, Kedah, yang dipercayai dalam perjalanan pulang ke pusat berkenaan menaiki van selepas menjalani latihan perniagaan dan jualan amal di ibu kota.

Ini menunjukkan dalang yang berselindung di sebalik kutipan derma dan jualan amal memperjudikan kudrat serta keselamatan remaja dan kanak-kanak terbabit demi mencapai matlamat ‘amal’ mereka.

Menyusuli isu ini, tindakan pragmatik telah diambil oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui kerjasama strategik inter agensi yang melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pendidikan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Pihak Berkuasa Negeri dengan merangka dan merencana pelan komprehensif menangani isu pengeksploitasian remaja dan kanak-kanak dalam kegiatan tersebut berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

Antara undang-undang yang dirujuk ialah Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam di bawah Jabatan Agama Islam Negeri-negeri selaku pelaksana. Seterusnya. Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Akta Antipemerdagangan Orang 2007 (Akta 670) di bawah KDN dan PDRM, selain Akta Pungutan Rumah Ke Rumah Dan Di Jalan 1947 (Akta 200).

Jakim sebelum ini telah beberapa kali mengeluarkan kenyataan berhubung sebuah Pusat Tahfiz Amal yang bernaung di bawah satu ajaran yang telah difatwakan sesat oleh kebanyakan negeri malah turut mewartakannya sebagai bercanggah dan menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Bukanlah maksud kita cuba menyekat masyarakat berbuat amal jariah malah ia memang dituntut di dalam Islam. Sifat dermawan dan murah hati yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia memang harus dipuji dan diteruskan. Namun saya mengingatkan bahawa niat yang murni jika disalurkan kepada tempat yang salah khususnya mereka yang mengambil kesempatan dan berselindung atas nama agama, mungkin akan menjadi saham dalam menghidup atau menyuburkan aktiviti yang menyalahi akidah dan syariah.


Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) mengingatkan masyarakat untuk tidak memberi sokongan kepada Pusat Tahfiz yang menjalankan aktiviti kutipan derma atau apa yang didakwa sebagai ‘jualan amal’ di mana-mana premis dengan menggunakan kanak-kanak. Ini kerana kebanyakan kegiatan yang dijalankan ini menyalahi peraturan dan undang-undang sedia ada.

Kita juga mendapati mereka memanipulasi para pelajar untuk mengutip derma dengan berselindung di sebalik `jualan amal’ atas dasar kononnya ia falsafah akademik bagi mempelajari nilai-nilai Islam secara praktikal. Inilah hakikat pembohongan terbesar mereka terhadap agama demi keuntungan peribadi yang mesti kita banteras bersama-sama.

Akal yang waras dapat menilai sejauh mana kebenaran kumpulan ini, mana mungkin seorang pengasas sekolah tahfiz mengamalkan hidup sosial sebegitu, menjadi penyanyi dan mengeluarkan album. Justeru, masyarakat harus sedar dan tidak terus berderma kepada pusat amal ini yang kononnya bagi kutipan derma kanak-kanak agar tidak menjadi kelangsungan kepada kumpulan ini.
Tindakan oleh pihak berautoriti hanya akan berkesan sekiranya masyarakat bersama-sama tidak menyokong atau menghulurkan bantuan kepada kumpulan ini.

Jakim dan pihak berkuasa agama Islam Negeri telah menyediakan Pelan Tindakan Penguatkuasaan Menangani Isu Kutipan Derma Di Kalangan Kanak-kanak. Pelan mengandungi lima teras strategik yang dirangka dengan kerjasama 18 agensi merangkumi kerajaan, badan bukan kerajaan dan institusi pengajian tinggi ini bagi membolehkan tindakan bersepadu dan berkesan dilaksanakan di peringkat Persekutuan dan Negeri. Antara yang terlibat, JAIN, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, PDRM, KDN, KPDNKK, JKM, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Penerangan, Jabatan Imigresen dan PLUS.

Pelan Tindakan Penguatkuasaan Menangani Isu Kutipan Derma di Kalangan Kanak-kanak ini diserahkan kepada semua JAIN pada 10 Jun 2013, untuk dilaksanakan dan Jakim akan memantau perkembangan aspek penguatkuasaannya dari semasa ke semasa.

Hasil perbincangan dan usaha bersepadu antara Jakim, JAIN dan bank-bank di Malaysia serta Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia akan mengambil inisiatif dalam memberi sokongan terhadap pelan yang telah dihasilkan.

Sedikit masa lagi ia akan menjadi salah satu kempen bagi memastikan tiada pihak memberi sokongan kepada pusat tahfiz atau sesiapa yang menjalankan aktiviti kutipan derma tanpa kebenaran pihak berkuasa khususnya yang mengeksploitasi kanak-kanak.

Untuk mengenal pasti kesahihan sesuatu pusat tahfiz ini, orang ramai perlu memastikan sama ada pihak berkaitan iaitu pengutip derma atau pengelola telah mendapat pengesahan dan kebenaran pihak Malis Agama Islam Negeri-negeri. Tanpa kebenaran tersebut, pihak-pihak berkaitan melakukan kesalahan dan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta/Ordinan/Enakmen Pentadbiran Islam yang berkuat kuasa di negeri-negeri.

Malangnya berdasarkan pemantauan dan tindakan operasi pencegahan yang dijalankan oleh agensi penguatkuasaan mendapati kebanyakan individu atau kanak-kanak yang menjalankan aktiviti kutipan derma ini tidak mempunyai kebenaran atau memalsukan dokumen kebenaran tersebut.

Sehubungan itu, masyarakat harus berhati-hati dan bersama-sama memberi sokongan terhadap kempen ini. Tanpa pemberian yang berterusan, saya yakin kegiatan tidak sihat ini akan dapat dikurangkan.

Dalam konteks ini, peranan dan kerjasama strategik yang boleh dimainkan oleh agensi-agensi lain diperkukuhkan bagi memastikan tindakan dijalankan mengikut strategi jitu, tidak bersifat silo dan menyeluruh. Jakim adalah responsif dalam menangani isu-isu seperti ini berlandaskan tanggungjawab, teras-teras dasar negara serta komited untuk memperluas jaringan kerjasama dengan agensi kerajaan yang lain, pihak swasta dan NGO sebagai penggemblengan usaha dalam mendepani permasalahan dan isu-isu kemasyarakatan atau nasional.

Pengukuhan rakan strategik, penyelarasan perundangan bersama, pembentukan kerangka kerjasama sistematik dan strategi lautan biru akan menjadi sebahagian asas usaha meningkatkan keberkesanan Jakim mengatasi isu-isu seperti pengeksploitasian kanak-kanak ini.

* PENULIS ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER