Baru-baru ini kecoh tentang penipuan skim cepat kaya mi­nyak sawit mentah yang dibongkar oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dalam satu serbuan di Lembah Klang pada 17 April lalu susulan daripada laporan polis yang dibuat oleh 248 mangsa penipuan ini. 

Mengapa skim cepat kaya masih wujud? Walaupun saban kali ada sahaja disiarkan dalam berita orang ramai yang tertipu, kehilangan wang berpuluh-puluh ribu ringgit, ada yang menjadi gila malah ada juga yang membunuh diri tetapi perkara ini masih terus berlaku. Mengapa boleh jadi begini? Penulis sebenarnya biasa bergaul dengan orang yang aktif terlibat dalam skim-skim seperti ini. Pada dasarnya terdapat tiga golongan yang menyertai skim ini. 

Golongan yang pertama ialah golongan yang suci hati tidak tahu bahawa ini adalah penipuan. Kemudian setelah menyedari bahawa skim tersebut sebenarnya adalah satu penipuan lalu mereka tidak lagi menyertainya.

Golongan yang kedua ialah mereka yang tahu bahawa skim tersebut adalah satu penipuan tetapi mereka berharap agar sempat mengambil keuntungan sebelum syarikat tersebut ditutup dan pengusahanya membawa lari wang pelabur. Mereka mengambil risiko dengan harapan mereka adalah peserta terawal dan sempat mengaut keuntungan. 

Tetapi sekiranya mereka sudah berada di penghujung masa maka mereka mungkin kerugian sebelum sempat mendapat keuntu­ngan. Malah lebih jahat lagi apabila mereka mengajak orang lain menyertai skim ini demi untuk mendapatkan komisen kerana menarik ahli baharu kerana sekarang ini skim cepat kaya beroperasi ala MLM yang membolehkan mereka mendapat komisen jika menarik ahli baharu.

Yang yang paling malang ialah golongan ketiga. Golongan ketiga ialah mereka yang benar-benar percaya bahawa skim tersebut adalah tulen. Mereka percaya bahawa sebenarnya memang wujud satu skim pelaburan yang boleh memberikan pulangan yang berlipat kali ganda dalam jangka masa singkat. 

Apabila sesuatu skim itu runtuh pula mereka akan percaya bahawa ia adalah kerana salah pihak pengurusan. Contohnya, pihak pengurusan tamak atau tidak cekap. Selain itu, sekiranya ditutup kerana diserbu penguat kuasa mereka akan mengatakan kerajaan cemburu dengan kekayaan mereka. 

Penulis sendiri pernah bertemu dengan seorang rakan yang kehilangan wang dalam skim cepat kaya setelah diserbu penguat kuasa. Menurut individu ini, skim cepat kaya yang disertainya itu adalah betul, tetapi kerajaan sengaja membuat serbuan dan menutupnya kerana jika tidak dihentikan maka skim-skim kerajaan seperti ASB, ASN dan lain-lain lagi akan terjejas. Bagi mereka jika skim cepat kaya tersebut popular maka tidak ada orang yang menyimpan dalam ASN, ASB dan sebagainya. 
Kerana itulah dakwaan mereka kerajaan bersungguh-sungguh membuat serbuan dan menutup operasi syarikat skim cepat kaya tersebut.

Kerana itu golongan kedua iaitu golongan yang tahu bahawa ia penipuan tetap mengambil risiko menyertainya untuk mengaut keuntungan sebagai peserta terawal dan golongan ketiga iaitu golongan yang dengan suci hati percaya bahawa skim itu memang benar-benar wujud adalah merupakan rahmat kepada pengusaha skim cepat kaya ini. Tanpa kedua-kedua golongan ini maka sudah pasti sudah lama skim cepat kaya ini berkubur.

Dan dua golongan manusia ini sentiasa memberi harapan baharu kepada penjenayah-penjenayah skim cepat kaya untuk terus menjalankan perniagaan haram mereka. Penulis juga pernah berjumpa dengan seorang rakan yang telah menyertai hampir empat skim cepat kaya dalam masa yang berlainan. Dia kehilangan wang berpuluh-puluh ribu ringgit. 

Dan lebih malang lagi apabila wang pelaburan tersebut diperoleh dengan membuat pinjaman peribadi dari bank. Tetapi mereka ini akan berlumba-lumba-lumba menyertai jika ada sahaja skim cepat kaya yang baharu wujud. Dan ia berakhir dengan kerugian beribu-ribu ringgit lagi. 

Tetapi golongan ini tidak pernah serik. Yang menariknya apabila ada skim baharu yang dikeluarkan mereka akan menyertainya hanya dengan satu kata-kata keramat iaitu “Yang ini lain, tak sama macam yang dulu’. Ini untuk mengelakkan seseorang itu memikirkan bahawa mereka tertipu lagi. Contohnya mereka akan mengatakan “Yang dulu tu lain, itu internet, yang ini lain. Skim ini kita dapat berjumpa sendiri dengan pengusaha itu. Mesti kali ini bukan tipu”. 

Barangkali inilah yang dikatakan bahawa kita tidak pernah belajar daripada kesilapan. ­Percayalah, tidak ada jalan singkat untuk menjadi senang. Kita perlu bekerja untuk mendapat gaji dan kita perlu berniaga menjual barang untuk mendapat keuntungan. Semuanya memerlukan usaha.

Jika kita berpegang pada pepatah Inggeris too good to be true iaitu sesuatu yang nampak terlalu bagus itu selalunya adalah penipuan, kita pasti selamat. Kita hendaklah sentiasa curiga apabila ada orang yang menawarkan kepada sesuatu yang memberi keuntungan sangat tinggi dan pulangannya pula terjamin kerana ia tidak pernah wujud dalam dunia pelaburan.

Sekiranya kita menyimpan di simpanan tetap kita akan mendapat keuntungan sekitar empat peratus setahun. Itu biasa. Sekiranya kita melabur di amanah saham mungkin kita akan mendapat purata keuntungan 10 peratus setahun. Itu biasa. Tetapi jika sesuatu pelaburan yang menjamin pulangan sehingga berpuluh-puluh kali ganda dalam masa beberapa bulan maka itu luar biasa. Maka ini penipuan. Kalau kita berpegang pada prinsip ini kita tidak akan tertipu.

PENULIS ialah bekas Pensyarah Kolej Profesional Mara Indera Mahkota Kuantan, Pahang dan kini seorang usahawan.