Angka tersebut sememangnya membimbangkan ke­rana pelbagai pihak beranggapan bahawa Lembah Klang memerlukan lebih banyak ruang hijau dan infrastruktur komuniti berbanding struktur batuan. 

Bukan itu sahaja, sikap pengguna yang lebih berhati-hati dalam membuat pembelian, khususnya dalam kea­daan ekonomi yang mencabar pada masa ini, turut memberi impak kepada sektor peruncitan. 

Malah, dalam laporan Sorotan Penting Sektor Hartanah firma rundingan Knight Frank menyatakan de­ngan selesainya pembinaan sekitar 450,000 kaki persegi (41,806 meter persegi) ruang peruncitan bersih yang boleh disewa baru-baru ini, bekalan kumulatif di Lembah Klang mencecah sebanyak 57.5 juta kaki persegi (5.3 juta meter persegi) pada separuh pertama 2018. 

Firma rundingan TSMC Edar Sdn. Bhd., pada tahun lalu melaporkan terdapat 255 pusat beli-belah di Lembah Klang sahaja. 

Walaupun terdapat anggapan bahawa keadaan sektor peruncitan mencabar dengan tekanan tidak hanya dari aspek jualan tetapi juga sewaan ruang niaga yang ada, Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA) mengekalkan sasaran pertumbuhan menyeluruh jualan peruncitan negara pada kadar 4.5 peratus. 

Kadar sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dari 1 Jun hingga akhir Ogos lalu dilihat antara faktor yang merangsang jualan dengan pengguna mengambil kesempatan tempoh tanpa cukai berkenaan. 

Presiden MRCA, Datuk Seri Garry Chua sebelum ini dilaporkan berkata, sentimen pengguna diunjur me­ngukuh dengan ketiadaan GST dan keadaan kondusif dijangka berlaku dengan pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 September lalu. 

Persatuan berkenaan juga mengunjurkan pertumbuhan 30 peratus dalam peruncitan francais menjelang tahun 2020, dipacu oleh peningkatan usaha sama perniagaan tempatan dengan rantaian peruncitan asing. 

Tidak dinafikan, setiap kali membuat liputan perniagaan, khasnya berkenaan sektor peruncitan, perkhidmatan mahupun makanan dan minuman, antara perkara yang ditanya wartawan adalah rancangan perluasan perniagaan syarikat dan kos yang terlibat. 

Ada segelintir perniagaan akan mengambil pendekatan yang berwaspada dengan menyatakan fokus pada perniagaan sedia ada dan ada yang bersemangat de­ngan berkongsi rancangan mereka untuk memperkukuh tapak perniagaan. 

Perkara itu biasa. Pengguna sememangnya mahukan jenama kegemaran berada berhampiran atau dengan akses mudah dengan mereka. 

Tetapi, suasana suram turut boleh dirasai pengguna yang berkunjung ke pusat-pusat beli-belah atau rantai­an peruncitan terlibat. 

Dalam keghairahan untuk meluaskan “jajahan perniagaan”, adakalanya syarikat tidak melihat perkara sebenar yang berlaku di cawangan yang ada. 

Kurangnya tenaga kerja yang menguruskan cawa­ng­an­­ sehingga memberi tekanan kepada kakitangan yang ada serta rak-rak yang kosong atau pelanggan terpaksa mengambil sendiri barangan yang masih tersimpan, memberikan gambaran negatif kepada perniagaan yang ada. 

Oleh itu, pihak berkaitan seharusnya mengambil berat terhadap perkara-perkara asas terlebih dahulu sebelum berhasrat meningkatkan kehadiran pelanggan mereka. 

Jangan sampai pengguna kecewa dan lari ke perniagaan lain kerana jenama pilihan mereka gagal untuk memenuhi kehendak dan keperluan.