Oleh USTAZ ZAINUDIN HASHIM
SESUNGGUHNYA Allah SWT membezakan bentuk kejadian, fizikal dan perasaan antara makhluk-
makhluk-Nya.Ia bagi menunjukkan perbezaan ketara dan kedudukan yang istimewa, kerana dalam al-Quran Allah ada menyebut bahawa terdapat makhluk-Nya yang berjalan dengan dua kaki, ada yang dengan empat kaki dan terdapat juga yang berjalan dengan perutnya.
Kepelbagaian ciptaan Allah itu adalah untuk menunjukkan kekuasaan-Nya dalam mencipta sesuatu menurut kudrat dan iradat-Nya. Tetapi dalam kebanyakan makhluk-Nya yang melata di muka bumi ini yang mendapat keistimewaan lebih daripada yang lain adalah golongan manusia.
Ini kerana, rupa bentuk manusia disebut oleh Allah dalam al-Quran sebagai sebaik-baik dan seindah-indah ciptaan-Nya, ditambah pula dengan anugerah akal yang menaikkan lagi taraf dan kedudukan manusia di sisi Allah SWT. Itu pun bagi mereka yang menyedari kepentingan akal yang merupakan alat yang membezakan kebaikan manusia dengan makhluk lain seperti haiwan.
Sesungguhnya Allah SWT mencipta akal yang merupakan salah satu daripada komponen dalam tubuh manusia adalah untuk dijadikan alat supaya berfikir pada perkara yang boleh menaikkan taraf mereka menjadi khalifah yang terbaik di sisi Allah.Mereka memakmurkan bumi ini dengan segala keperluan yang disediakan Allah dalam al-Quran dan yang dijelaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w. dalam hadisnya.
Tetapi apabila makhluk bernama manusia tidak menggunakan akalnya untuk tujuan kebaikan, apatah lagi boleh membawanya memahami tuntutan agama, maka pada waktu itu dia dihina oleh Allah dan menyamakannya dengan haiwan. Perkara ini ditegaskan Allah menerusi ayat 179 surah al-‘Araf yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak daripada jin dan manusia yang mempunyai hati (akal) tetapi tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata tetapi tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.”
Akal wajib dipelihara
Ajaran Islam telah menetapkan bahawa antara tuntutan agama yang wajib dipelihara oleh individu Muslim baik lelaki dan perempuan, ialah akal sebagaimana yang terkandung dalam ilmu Fiqh yang memperkenalnya dengan istilah ‘Ad-Doruriyat al-Khoms’, iaitu lima perkara yang wajib dipelihara, agama, akal, harta, jiwa, keturunan dan kehormatan diri.
Ini menunjukkan bahawa setiap Muslim tidak sewenangwenang menggunakan akal pada perkara yang boleh merosakkan hubungannya dengan Allah, seperti berfikir cara bagaimana mahu melakukan rompakan, berfikir cara bagaimana mahu menghalang kemaraan Islam, menghalang daripada hukum Hudud, Qisas dan Takzir daripada terlaksana dalam negara.
Semua itu telah menjadi ‘trend’ manusia hari ini, di mana ramai di kalangan orang Islam menggunakan akal mereka memikirkan bagaimana mahu jadi pelawak, pelakon, pengarah filem, komposer, penyanyi, penghibur terkenal dan bermacam-macam lagi yang menjadikan mereka tersohor di persada seni, tanpa mengambil kira halal haram dalam kerjaya yang mereka ceburi.
Begitu juga dalam aspek politik tanah air, apabila para pemimpin bukan sahaja menipu rakyat, tetapi pada masa yang sama menipu Allah kerana sudah memeterai perjanjian terhadapnya ketika membaca doa iftitah dalam solat lima waktu, untuk menjadikan segenap amal ibadat, solat, hidup dan mati kerana Allah. Tetapi selepas solat, pemikiran akal mereka tidak memfokuskan janji-janji kepada Allah, akhirnya berlakulah pelbagai jenayah yang mereka sendiri undang sebenarnya.
Maka berlakulah penyelewengan, penipuan seperti terdapat dalam pelaksanaan peraturan pilihan raya, menghalalkan cara yang salah bagi mencapai matlamat untuk menang. Walaupun cara itu tidak direstui Allah SWT, semua itu berlaku kerana cara berfikir tidak Islamik, atau dengan lain perkataan akal tidak berfungsi dengan baik menurut telunjuk agama.
Akibat daripada memikirkan pada perkara yang hanya menguntungkan dunia mereka dengan mengabaikan kehidupan akhirat. Banyak perkara yang tidak pernah diundang terus berlaku, percambahan maksiat golongan atasan dan bawahan, rasuah yang melibatkan golongan berprofil tinggi, budaya lepak, rempit, black metal melibatkan golongan remaja dan orang ramai.
Cegah jenayah dengan undangundang Islam
Apa yang kita kesalkan, apabila akal dan cara berfikir tidak selari dengan ajaran Islam, maka arahan daripada pihak tertentu bagi menyelesaikan percambahan jenayah yang semakin meningkat, tidak disandarkan kepada undang-undang Islam.
Sebagai contoh, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui ketuanya, Tan Sri Musa Hassan mencadangkan kepada kerajaan supaya melarang motosikal masuk ke pusat bandar bagi mengekang jenayah ragut. Sepatutnya akal kena fikir bagaimana juga mampu mengekang remaja yang menampakkan pusat-pusat mereka di pusat bandar. Kerana apabila orang bukan Islam melihat pusat-pusat itu, mereka menganggap bahawa Islam serupa macam agama mereka.
Alhamdulillah, cadangan itu disanggah oleh banyak pihak, sebenarnya ia bukan satu cadangan yang baik, kerana ia tidak menepati inspirasi ajaran Islam. Ini kerana Islam telah menggariskan untuk mengekang jenayah adalah dengan hukum Hudud, Qisas dan Takzir, ia adalah daripada Allah, Allah SWT sebut Hudud dalam al-Quran banyak kali, dengan menyebut Hududullah (hukum Allah), bukan Hudud PAS, Pakatan Rakyat dan sebagainya.
Kalau cadangan itu terbit daripada mulut orang yang berprofil rendah mungkin orang ramai tidak mengendahkannya, tetapi ia terbit daripada mulut orang yang berprofil tinggi, justeru, untuk menjamin keyakinan orang kepada diri kita pada masa akan datang, janganlah kita dengan mudah mengeluarkan kenyataan yang tidak setaraf dengan kedudukan kita hingga akhirnya orang semakin tidak hormat dan percaya kepada kita.
Jenayah bukan sahaja dilakukan oleh penunggang motosikal, malah yang menggunakan kereta mewah pun banyak berlaku, sesungguhnya akal bukan segala-galanya yang boleh menyelesaikan masalah, tetapi apabila akal disaluti dengan kefahaman agama yang jitu, maka setiap masalah akan dapat ditangani kerana ia diredai Allah SWT.
Home »
Bicara Islam
» Cara berfikir Muslim tidak Islamik?
Cara berfikir Muslim tidak Islamik?
Written By zabidi on Tuesday, 24 March 2015 | March 24, 2015
Labels:
Bicara Islam
Post a Comment