Headlines News :
Home » , » Hidup berjuang: Tuan Guru Datuk Dr Haron Din

Hidup berjuang: Tuan Guru Datuk Dr Haron Din

Written By zabidi on Wednesday 21 September 2016 | September 21, 2016

Oleh Zakaria Ismail

 Tiada yang mudah dalam perjalanan Tuan Guru Datuk Dr Haron Din untuk menjadi seorang ulama. Setelah bergelar ulama, tiada apa juga yang mudah bagi beliau dalam berperanan sebagai ulama yang berada betul-betul di tengah-tengah gelanggang masyarakat. Perjalanan itu dipenuhi dengan rintangan, cabaran, desakan dan ujian; kecil, besar dan kadang-kadang mengelirukan.

Apatah lagi beliau juga adalah seorang juru dakwah, seorang ahli akademik, seorang perawat, seorang pemimpin masyarakat, seorang ahli politik, seorang yang aktif dalam kerja-kerja kebajikan dan seorang yang mepunyai banyak peranan dalam pelbagai bidang.

Menjadi al-Mursyid al-Am kepada parti Islam di negara kita sejurus kembalinya al-Marhum Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ke rahmatullah, tentulah menjadi tanggung jawab besar yang tidak mudah juga untuk beliau galas.

Pendek kata, kehidupan beliau sepanjang 76 tahun itu adalah sentiasa dalam keadaan berjuang dengan segala susah payah. Seolah-olah tiada ruang untuk istirehat daripada terus berjuang.

Mungkin itulah tafsiran secara amali tentang firman Allah SWT dalam surah al-Balad, ayat 4;

لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ فِي كَبَدٍ

Bermaksud, "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia berada dalam susah payah."

Seperti kata Imam Hasan al-Basri, "manusia itu sentiasa bersusah payah berusaha menghadapi cabaran-cabaran kehidupan di dunia dan kesukaran-kesukaran negeri akhirat". Kata Imam Qatadah, "engkau sentiasa melihatnya berjuang menghadapi rintangan urusan dunia dan urusan akhirat".

Begitulah umurnya yang berkat itu, dipenuhi dengan perjuangan untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT.

BIDANG PENGUBATAN ISLAM

Dalam dunia pengubatan Islam, beliau gigih berjuang untuk menghapuskan kebergantungan masyarakat kepada kaedah perubatan tradisional yang mencampurkan unsur-unsur syirik dalam rawatan.

Untuk itu, beliau mendekati perawat-perawat tradisional itu dan cuba memahami dan mengkaji amalan dan bacaan mereka. Setelah itu, amalan dan bacaan mereka ditapis mengikut neraca syarak. Sebahagian mereka berterima kasih kepada beliau. Sebahagian lagi pula tidak menyenangi beliau.

Tidak cukup dengan itu, beliau berusaha melatih perawat-perawat yang bukan sahaja dibekalkan dengan ilmu perubatan dan rawatan, tetapi juga diajarkan dengan konsep akidah yang benar, ibadah yang sahih serta bacaan-bacaan ayat al-Quran, hadith-hadith dan doa-doa yang jelas sebutan huruf daripada makhrajnya, serta terang maknanya.

Beliau merasakan tugas itu seperti fardhu ain ke atas dirinya. Kerana beliau berkebolehan dalam bidang rawatan dan beliau juga seorang pakar dalam bidang syariah.

Sedangkan, golongan masyarakat yang menghadapi masalah gangguan yang tidak bersifat fizikal pula cenderung untuk menemui bomoh-bomoh yang tidak diketahui susur galur ilmu perubatannya. Ada di kalangan yang mendakwa bomoh itu pula, rupanya mencari duit mudah dengan memberikan rawatan palsu.  Ada juga yang memberikan rawatan, tetapi rawatan yang bercampur dengan unsur-unsur syirik melalui kaedah pemujaan atau cara-cara lain-lain yang mengundang murka Allah dan membuka pintu kekufuran.

Berkat sokongan dan dokongan murid-murid utama beliau, Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia Darussyifa' ditubuhkan, dan akhirnya berkembang ke seluruh negara dan luar negara bagi menawarkan khidmat rawatan dan perubatan alternatif mengikut kaedah yang dibenarkan oleh syarak.

Sungguhpun begitu bersepadu usaha beliau dalam memerangi amalan syirik dalam perubatan melayu tradisional, beliau sendiri tetap juga tidak selamat daripada dituduh mengamalkan amalan syirik. Sebahagian daripada ulama-ulama muda yang baru menamatkan pengajian di luar negara tanpa teragak-agak menuduh Darussyifa' mengamalkan amalan syirik lantaran selawat asy-syifa' dan selawat tafrijiyyah.

Ironinya, negeri kelahiran beliau sampai mengeluarkan fatwa mengharamkan selawat tafrijiyyah dan menuntut orang yang mengamalkannya supaya bertaubat. Masalah ini sebenarnya seputar memahami makna selawat tersebut mengikut kaedah bahasa arab dan kaedah usuluddin. Tetapi pihak yang mengharamkannya hanya mengambil maknanya yang zahir dan ditafsirkan mengikut kefahaman ringkas mereka sahaja.

Saya pernah mendengar beliau diminta mengulas tentang isu selawat ini. Jawabnya ringkas dan tidak mahu memanjangkan polemik, "Ya lah, kita ini orang sekolah atap saja".

Tentulah artikel ini, tidak bertujuan untuk membahaskan polemik ini. Sekadar memberikan gambaran.

Namun begitu, Tuan Guru Datuk Dr Haron Din telah meninggalkan karya agung yang memberikan pencerahan tentang pengubatan Islam dan dalil-dalil syarak berkaitannya dalam 5 jilid buku dalam siri pengajian dan pengubatan Islam, terutamanya dalam jilid pertama yang berjudul Pengantar Pengubatan Islam. Siri itu juga turut memuatkan jilid berkaitan penyakit rohani, jasmani dan sihir.

BIDANG POLITIK

Dalam bidang politik, beliau tentulah memilih aliran politik Islam. Beliau adalah sarjana syariah yang sangat memahami Islam adalah penyelesaian untuk semua masalah ummat manusia. Apatah lagi, tamadun Islam begitu kaya dengan teori dan praktikal sistem politik Islam yang merentasi masa ribuan tahun serta merentasi sempadan geografi dan kaum. Dan ia adalah adil dan praktikal untuk semua.

Jika dunia sahaja sahaja yang menjadi buruan beliau, menyertai kepimpinan PAS adalah langkah yang paling merugikan. Bahkan, jika beliau mencari akhirat semata-mata, kerja buat beliau sebagai seorang ahli biasa PAS adalah sebahagian daripada perjuangan Islam. Tetapi PAS memerlukan kepakaran beliau, dan beliau sekali lagi tidak lokek untuk bersusah payah bersama PAS dalam pelbagai posisi kepimpinan.

Bersama dengan PAS, beliau pernah dicalonkan sebagai Timbalan Presiden tetapi menarik diri daripada bertanding. Beliau pernah menjawat jawatan Ketua Penerangan PAS dan kemudiannya menjadi Timbalan al-Mursyidul Am PAS sehinggalah beliau dipilih menggantikan al-marhum Tok Guru Nik Abdul Aziz sebagai al-Mursyid al-Am PAS yang ke-3.

Beliau pernah dituduh orang sebagai agen Umno dalam PAS oleh golongan yang ingin melihat beliau merajuk dan meninggalkan PAS. Beliau juga pernah dianggap tidak bijak dalam seni sepak terajang politik. Pandangan berbeza beliau dengan Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam isu penggunaan kalimah Allah dalam terjemahan Injil berbahasa melayu pada peringkat awal, juga digunakan oleh pihak tertentu untuk menjadikan beliau tawar hati dengan PAS.

Tetapi beliau adalah insan pejuang yang memiliki pendirian seteguh gunung. Tidak mudah merajuk dek perkataan manusia, lantas mahu meninggalkan perjuangan Islam sewenang-wenangnya. Perjuangan Islam tidak boleh ditinggalkan. Perjuangan Islam wajib diteruskan. Beliau terus istiqamah dengan perjuangan Islam, walaupun beliau memiliki banyak keuzuran.

Beliau tegak di atas kebenaran, tidak pernah takut kepada celaan orang yang mencela. Beliau terus bersabar dan terus lagi bersabar, sama-sama mengemudi bahtera PAS, terutamanya pada saat-saat getirnya.

Begitulah keadaannya sebagai insan pejuang, alim mujahid. Solatnya, ibadahnya, hidupnya dan matinya hanya kerana Allah, Tuhan Semesta Alam!

PENUTUP

Semoga Allah SWT merahmati al-Marhum Tuan Guru Datuk Dr Haron Din dengan limpahan rahmat-Nya yang tidak bertepi dan mengampuni segala kesalahan beliau, serta memasukkan beliau di kalangan para siddiqin, para syuhada' dan para solehin.

"Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jama'ah hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam syurga-Ku!" (Surah al-Fajr: 27-30)

Zakaria Ismail
AJK PAS Kawasan Marang
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER