Headlines News :
Home » » Berkenalan dengan Mazhab Syafie

Berkenalan dengan Mazhab Syafie

Written By zabidi on Sunday 22 March 2015 | March 22, 2015

Oleh ABD RAZAK MUTHALIB

MAZHAB Syafie diasaskan oleh Imam Al-Syafiee atau nama sebenarnya, Muhammad bin Idris

Nasabnya bertemu dengan Nabi Muhammad SAW pada ‘Abd Manaf. Syafi' bin Al-Saib (nenek ketiganya) pernah berjumpa Baginda SAW, namun teragak-agak untuk menerima Islam.
Al-Syafiee. Gelaran beliau, Abu Abdullah berketurunan Rasulullah SAW.

Al-Saib adalah pemegang bendera Bani Hasyim menentang tentera Islam pada hari peperangan Badr. Beliau lalu ditawan tentera Islam dan menebus dirinya sendiri, kemudian menganut Islam.
Beliau dilahirkan pada tahun 150H di Gaza, Palestin. Pada tahun sama, Imam Abu Hanifah meninggal dunia. Selepas kematian ayahnya, Imam Al-Syafie dibawa ibunya berpindah ke Makkah. Kesungguhan beliau menuntut ilmu terserlah.

Beliau selalu menyertai majlis ilmu ulama dan mampu menghafaz al-Quran dan hadis semasa kanak-kanak. Awalnya, Imam Al-Syafie menumpukan ilmu sejarah, syair dan bahasa Arab.

Imam Al-Syafie kemudian menunjuk minat dan kesungguhan dalam ilmu fikah, sehingga mampu menghafaz kitab al-Muwatta’ karangan Imam Malik.

Selepas itu, beliau merantau ke Madinah untuk belajar secara langsung dengan Imam Malik. Apabila mengetahui Imam Al-Syafie telah menghafaz al-Muwatta’, barulah Imam Malik bersetuju menerimanya sebagai anak murid.

Beliau juga merantau ke Hijjaz dan Yaman untuk menuntut ilmu, seterusnya berpindah ke Iraq dan menuntut ilmu daripada ulama terkenal seperti Muhammad bin Al-Hasan Al-Syaibani, anak murid utama kepada Imam Abu Hanifah. Imam Syafie banyak mengambil manfaat ilmu daripada Al-Syaibani.

Dalam masa sama, beliau juga sering berbahas dengan Al-Syaibani dalam beberapa permasalahan yang berbeza pandangan dengan Mazhab Imam Malik seperti yang beliau pelajari.

Selepas kembali ke Makkah, Al-Syafie merantau ke Baghdad, Iraq, kemudian ke Mesir, akhir tahun 199H. Di Mesir, Imam Al-Syafie banyak menilai semula ijtihad dan fatwa yang beliau keluarkan semasa berada di Baghdad.

Oleh itu, ijtihad dan fatwa baharu yang diubah semasa di Mesir dikenali sebagai "mazhab jadid" (mazhab baru) Imam Syafie. Manakala, ijtihad dan fatwa beliau semasa di Baghdad dikenali sebagai "mazhab qadim" (mazhab lama). Pada akhir Rejab, tahun 204H, Imam Al-Syafie kembali ke pangkuan Pencipta.

Ulama mazhab

Antara anak murid terkenal Imam Syafie yang meriwayatkan mazhab lama beliau ialah Ahmad bin Hanbal, Al-Za’farani, Al-Karabisi dan Abu Thaur. Manakala periwayat mazhab baru Imam Syafie yang terkenal antaranya ialah Al-Muzani, Al-Rabi’ bin Sulaiman Al-Muradi, Al-Buwaiti dan Harmalah.

Antara mujtahid yang dinisbahkan kepada Mazhab Syafie ialah Ishaq bin Rahawaih, Abu Thaur, Ibn al-Munzir, Muhammad bin Nasr al-Marwazi, Ibn Jarir Al-Tabari dan Ibn Khuzaimah. Mereka termasuk golongan ashab Al-Syafie.

Al-Ashab dalam mazhab Al-Syafie merujuk kepada mujtahid yang mengeluarkan hukum berdasarkan landasan ditetapkan Imam Syafie. Namun, mereka tidak terikat atau taqlid kepada Imam Syafie sepenuhnya dalam semua perkara.

Dalam Mazhab Al-Syafie, ada golongan ashab al-wujuh, iaitu ulama yang taqlid Imam Syafie dalam masalah syarak, sama ada dalam dalil mahu pun kaedah asasnya.

Namun, mereka masih memiliki kemampuan untuk menentukan hukum yang belum disebutkan Imam Syafie dengan menyimpul dan mengiaskan daripada pendapat Imam Syafie.

Antaranya, Al-Humaidi, Al-Buwaiti, Al-Rabi’ bin Sulaiman Al-Muradi, Harmalah dan ramai ulama selepas zaman tersebut.

Dalam kalangan ulama Mazhab Syafie yang menjadi pengungkai dan penyelesai kepada permasalahan yang mempunyai pelbagai pandangan. Imam Al-Syafie meletakkan asas dan kaedah utama dalam mazhabnya. Mazhab ini berkembang dan topik perbincangannya semakin meluas hasil ijtihad dilakukan golongan al-ashab dan ashab al-wujuh.

Oleh itu, berlaku perselisihan pandangan di dalam banyak perkara. Justeru, muncullah ulama terkemudian yang berperanan sebagai penyelesai dan pengungkai kepada perselisihan pandangan tersebut.

Kitab mazhab Al-Syafie

Dua ulama Mazhab Al-Syafie yang terkenal dalam peranan ini ialah Al-Rafi’ie dan Al-Nawawi. Mereka mendapat gelaran sebagai syeikhain (dua syeikh) dalam Mazhab Al-Syafie.

Namun, sebelum itu pembukaan kepada peringkat ini, dimulakan oleh ulama lain seperti Abu Ishak Al-Syirazi, Imam Al-Haramain Al-Juwaini dan Abu Hamid Al-Ghazali.

Selepas sumbangan dilakukan Al-Rafi’ie dan Al-Nawawi, muncul ulama berperanan menyelesaikan permasalahan yang tidak disebut Al-Rafi’ie dan Al-Nawawi. Mereka membincangkan perkara cabang (furu’) lain berdasarkan kepada manhaj mazhab Al-Syafie.

Mereka yang terkenal pada fasa ini ialah Al-Asnawi, Al-Azra’ie, Al-Bulqini, Zakaria Al-Ansari, Al-Khatib Al-Syarbini, Ibn Hajr Al-Haitami dan Syamsuddin Al-Ramli.

Antara kitab dikarang Imam Al-Syafie ialah al-Risalah, sebelum beliau merantau ke Mesir. Al-Risalah ialah kitab pertama yang dikarang dalam bab Usul al-Fiqh. Di Mesir, Al-Syafie mengarang al-Umm, merupakan kitab asas yang menghimpunkan permasalahan fikah berdasarkan mazhab baru Imam Al-Syafie.

Terdapat banyak lagi kitab dalam Mazhab Al-Syafie yang dikarang ulama. Antaranya ialah Al-Muhazzab oleh Al-Syirazi dan Al-Nawawi menghuraikan pula kitab ini dengan diberi tajuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. Seperti yang disebutkan sebelum ini, Al-Rafi’ie dan Al-Nawawi adalah "syaikhain" dalam mazhab Syafie.

Oleh itu, pendapat yang mereka muatkan dalam kitab menjadi rujukan utama dalam mazhab Al-Syafie. Masih banyak perkara perlu diketahui untuk mengenali Mazhab Al-Syafie. Ruang yang terhad ini tidak memungkinkan penulis untuk memuatkan segalanya.

Membaca sejarah Imam Al-Syafie dan ulama yang meneruskan tradisi ilmu ini mampu memberikan pengajaran dan keinsafan.

Imam Al-Syafie mengajarkan kita menuntut ilmu perlukan kepada kesungguhan dan pengorbanan; dan sentiasa mengutamakan kebenaran walaupun kadang-kadang kebenaran itu bercanggah dengan pandangan tuan guru kita.

Imam Al-Syafie tidak mengajar kita untuk fanatik dengan beliau. Sayang beliau kepada Imam Malik dan kasih Imam Malik kepada beliau tidak menjadikannya fanatik membuta tuli dengan Imam Malik. Sejarah menunjukkan terdapat banyak perkara yang beliau tidak sealiran dengan mazhab fikah gurunya sendiri.

Islam hanya dapat difahami dengan ilmu. Ilmu dapat diperoleh dengan belajar yang menuntut kepada disiplin yang betul dan manhaj yang benar. Mari kita teruskan pengembaraan menuntut ilmu.

Belajar agama dengan dalil dan nas sahih. Demi mencari kebenaran dan keyakinan. (Rujukan: Dr. Nu’man Jaghim, Madkhal ila al-Mazhab al-Syafie, IIUM, 2007)

ABD RAZAK MUTHALIB
(Penulis ialah mantan pensyarah Fakulti Sains Sosial, Kolej Islam Antarabangsa. Berkelulusan sarjana dan ijazah sarjana dalam bidang ilmu wahyu UIAM)
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER