Headlines News :

Belasungkawa: Azizan disenangi kawan dan lawan

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH

CEKAL, tegas, bersemangat dan suka bergurau. Itu penulis dapat simpulkan mengenai gambaran sifat Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak sepanjang lebih lima tahun mengenali beliau yang menghembuskan nafas terakhir pada pukul 11.05 pagi ini di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pada usia 69 tahun akibat kegagalan fungsi organ dalaman dan jangkitan kuman dalam darah. 


Allahyarham mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah kesembilan pada 9 Mac 2008 selepas pakatan pembangkang yang dipimpinnya menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12).

Azizan mencipta sejarah sebagai pemimpin pembangkang pertama memecah dominasi Barisan Nasional (BN) di negeri itu dan diangkat sebagai ketua pentadbir negeri setelah 11 kali pilihan raya umum diadakan.

Penulis berpeluang mengikuti kepimpinan Allahyarham dengan secara dekat bermula ketika beliau melancarkan manifesto Pas Kedah bagi PRU-12 di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar pada Februari 2008.

Kali terakhir penulis bertemu dengan Allahyarham ialah semasa hari penamaan calon PRU-13 lalu di Dewan Datuk Madi, Jerai pada 20 April lepas.

Dalam pertemuan itu, kami sempat berbual serba sedikit mengenai situasi politik khususnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau yang disandang Allahyarham sejak 1995.

Allahyarham mempertahankan kerusi berkenaan untuk penggal kelima pada PRU-13 apabila menang dengan majoriti 2,774 undi tetapi terpaksa menyerahkan jawatan Menteri Besar berikutan kegagalan pakatan pembangkang mengekalkan penguasaannya di Kedah.

Sebagai seorang pemimpin yang sudah lali dengan sepak terajang dalam dunia politik, Allahyarham disifatkan sebagai tokoh

pembangkang yang cekal kerana mampu bertahan dalam tempoh lima tahun kepemimpinannya sebagai Menteri Besar Kedah kesembilan di sebalik pelbagai isu, krisis dalaman, kritikan, tekanan luar serta faktor kesihatan yang membelenggu beliau.

Mempunyai sifat humor dalam dirinya, Allahyarham dikenali sebagai seorang pemimpin yang tegas dalam membuat sesuatu keputusan dan sukar bagi sesiapa untuk mempengaruhi fikirannya berhubung sesuatu perkara yang difikirkannya betul.

Allahyarham juga disenangi oleh banyak pihak termasuk kawan dan lawan politik kerana beliau boleh bergaul serta mesra dengan sesiapa sahaja tanpa mengambil kira ideologi mereka.
Aliran pendekatannya itu dapat dilihat apabila Allahyarham tidak keberatan untuk berada bersama dengan pemimpin UMNO dan BN

termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung dalam sesuatu majlis.

''Saya boleh pi (pergi) tang (ikut) mana pun, tiada masalah apa. Semua kawan saya. Kalau saya setuju dengan dia orang saya kata yes, tak setuju kata no.''

Kata-kata itu yang pernah diungkapkan Allahyarham semasa menghadapi tekanan hebat politik pada Februari 2012 ekoran krisis dalaman Pas Kedah, masih kuat dalam ingatan penulis.

Meskipun sering menerima kritikan pedas dalam pentabdirannya, Allahyarham sentiasa bersikap profesional dengan semua pihak termasuk para wartawan yang mengajukan pelbagai soalan terhadap beliau.

Allahyarham jarang 'melompat' jika soalan itu kurang disenangi beliau dan akan menjawab dengan pelbagai cara sama ada biasa, serius atau berseloroh. Lazimnya jawapan tersebut bersertakan dengan contoh mengenai sesuatu isu yang diulasnya.

Pendekatan berkenaan mungkin berpunca daripada pengalamannya yang pernah menjadi Pengarah Urusan lidah rasmi Pas, Harakah

menyebabkan Allahyarham memahami selok belok dan tuntutan tugas warga media.
Sikapnya itu juga membuatkan rakan-rakan wartawan menyenangi Allahyarham walaupun kelihatan agak garang pada zahir dan nada
pertuturannya.

Allahyarham tidak pernah menjadikan faktor kesihatannya sebagai alasan yang boleh menjejaskan tumpuan mengetuai kerajaan Kedah ketika memegang jawatan Menteri Besar mahu pun membawa jentera pembangkang menghadapi PRU-13.

Beliau yang merupakan antara pemimpin Pas paling lama menjadi wakil rakyat di Kedah berpandangan dunia politik bukan dari segi usia atau kesihatan tetapi tentang visi dan strategi.

Allahyarham yang merupakan anak kelahiran Sungai Limau Dalam, Yan berkelulusan Sarjana Muda Syariah dari Universiti Al-Azhar dan Undang-Undang dari Universiti of Kent, United Kingdom.

Beliau merupakan bekas Ketua Jabatan Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selain pernah menjadi pensyarah pelawat Mindanao State University, Filipina dan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dari tahun 1983 dan 1984 serta 1986 hingga 1995.

Allahyarham mula menyertai Pas pada 1978 di England dan bergiat aktif dia dalam parti itu di negara ini sejak 1986. Beliau pernah menyandang jawatan Naib Presiden Pas (2003-2005), Ketua Penerangan Pas Pusat (2001-2003), Ahli Majlis Syura Ulama Pas (sejak 1991) dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat sejak 1993.

Azizan juga adalah Pesuruhjaya Pas Kedah sejak 2000 menggantikan Allahyarham Datuk Fadzil Mohd. Noor. Allahyarham menjadi wakil rakyat Sungai Limau (dahulu dikenali DUN Sala), Kedah sejak 1995 dan berjaya mempertahankan kerusi tersebut pada pilihan raya umum lalu.

Allahyarham mencipta sejarah tersendiri apabila muncul sebagai pemimpin Pas pertama dianugerahkan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri sempena sambutan ulang tahun keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada Jun lepas.

Kehadirannya dalam arena politik negara akan setiasa diingati dan dikenang sebagai seorang ahli politik berpengalaman luas dan pemimpin Pas pertama yang pernah menerajui pentadbiran Kedah.
Al-Fatihah!

Lokasi semadi Haron Din bukti kehebatan Allah

Oleh ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM AL-HAFIZ  

SIAPA sangka? Lahir di Iraq tapi dikebumikan di Kampung Sungai Pusu Gombak, Selangor! Itu yang berlaku kepada Prof. Dr. Irfan dan Dr. Baha’uddin, dua pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang berasal dari Iraq. Siapa sangka lahir di Malaysia tetapi meninggal dunia di ruang udara Ukraine. Itu pula yang berlaku kepada mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines, MH17.

Siapa pula tahu, tokoh agama, Allahyarham Datuk Dr. Haron Din, lahirnya di Perlis tapi disemadikan di California, Amerika Syarikat (AS). Jarak antara dua lokasi ini beribu kilometer jauhnya.
Apabila mengenang lokasi persemadian arwah Haron, iman kita kepada Allah sepatutnya mencanak naik.

Hebat sekali Allah SWT yang merencanakan segala sesuatu. Benar sekali firman Allah ini:
“Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dialah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi manakah dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi Pengetahuan-Nya,” (Luqman[31:34]).

Siapa tahu? Ketika malaikat diarah meniup roh ke dalam janin Allahyarham pada usia empat bulan, tarikh dan tempat matinya sudah ditetapkan Allah berlaku di bumi California, AS yang nun jauh di sana. Benar sekali sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya setiap kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari, kemudian ia menjadi segumpal darah selama itu juga (40 hari), kemudian ia menjadi seketul daging selama itu juga (40 hari), kemudian dihantar kepadanya malaikat lalu diarahkan agar menulis empat perkara. Lalu dikatakan kepada malaikat itu: Tuliskan perihal amalannya, kadar rezekinya, ajalnya dan sama ada dia menjadi orang yang celaka (sebagai ahli neraka) atau bahagia (sebagai ahli syurga). Kemudian ditiup padanya roh,” - Sahih Bukhari, Sunan Abu Dawud, Sunan Tirmizi, Sunan Ibn Majah, Musnad Ahmad.


Ketika mengulas ayat misteri tempat mati yang ditetapkan bagi manusia, Imam Ibn Kathir membawa sebuah hadis, sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya apabila Allah mahu mencabut roh hamba-Nya di sebuah bumi, dijadikan bagi hamba-Nya itu sesuatu hajat (urusan) di bumi tersebut,” - Musnad Ahmad, Sahih Ibn Hibban, hadis ini dinilai sahih oleh al-Albani.

Ketika mengulas ayat 34 surah Luqman di atas, para mufassir membawa sebuah riwayat yang mengisahkan satu peristiwa ajaib pada zaman Nabi Sulaiman a.s. 
“Pada suatu hari Malaikat Maut bertemu dengan Nabi Sulaiman a.s., Malaikat Maut terpaku melihat seorang lelaki dalam majlis baginda. Lelaki itu bertanya kepada Nabi Sulaiman: “Siapakah dia ini?” baginda menjawab: “Dia adalah Malaikat Maut.” Lelaki itu berkata: “Seakan-akan dia mahu mencabut nyawaku, wahai tuanku suruhlah si angin agar membawaku jauh ke negeri Hind.” Nabi Sulaiman pun melaksanakan permintaan lelaki tersebut. Sesudah itu Malaikat Maut berkata: “Sebenarnya aku melihatnya kehairanan kerana aku diarahkan Allah agar mencabut nyawanya di negeri Hind sedangkan (dalam beberapa ketika sebelum matinya) dia masih berada bersamamu.” (Tafsir al-Alusi, Tafsir al-Baydawi dan Tafsir al-Nasafi).

Mati adalah misteri Allah. Tiada siapa tahu tarikhnya dan di bumi mana akan dikebumikan. Apa yang pasti, ikatan sempadan negara hanya berlaku dalam alam zahir ini. Alam barzakh yang menjadi negeri persinggahan sementara sebelum ke akhirat pastinya tiada sempadan ruang dan masa seperti alam dunia.

Orang beriman seperti Allahyarham mungkin sedang berbahagia di sana bersama rakan-rakannya yang lain.

Ya Allah! Walau di bumi mana pun dia disemadikan, jadikan kubur guru kami itu sebagai sebuah taman antara taman syurga-Mu. Insya-Allah.

Mampukah semut jadi penyelesaian kepada krisis antibiotik?

MADISON, — Krisis kegagalan antibiotik telah mendorong para saintis untuk mencari sumber baru bagi ubat tersebut. Kini, sejenis semut mungkin adalah jawapan yang dicari mereka.

Para saintis mendapati sesetengah spesies semut, termasuk semut pemotong daun dari Amazon, menggunakan bakteria untuk mempertahankan sarang dari serangan kulat serta mikrob, yang berpotensi untuk dijadikan antibiotik untuk kegunaan manusia.

Salah seorang saintis yang terlibat dalam penyelidikan itu, Prof Cameron Currie daripada University of Wisconsin-Madison di Amerika Syarikat sini berkata bahan kimia yang dikumuhkan oleh bakteria tersebut dipercayai mempunyai kesan antibiotik yang kuat.

“Ketahanan antibiotik adalah masalah yang semakin meningkat. Bagaimanapun, mengenal pasti antibiotik baru menggunakan teknik biasa melalui persampelan tanah untuk bakteria adalah sukar.

“Secara purata, hanya satu dalam sejuta jenis bakteria memberi harapan. Namun, kami telah membongkar satu jenis bakteria bagi setiap 15 jenis yang telah disampel dari sarang semut itu,” katanya minggu lalu seperti dilaporkan The Guardian.

Kumpulan semut yang dimaksudkan itu adalah spesies yang “membiak” kulat untuk dimakan di kawasan tropika di Amerika Utara dan Selatan.

“Semut ini menyelongkar bahan tumbuhan untuk dibawa pulang ke sarang mereka untuk memberi makan kepada kulat. Mereka memakan kulat selepas kulat mengurai bahan tumbuhan itu,” kata Profesor Jon Clardy dari Harvard Medical School.

Namun, sarang semut ini sering diserang kulat merbahaya yang membunuh kulat yang dibiak mereka.
Sebagai tindakbalas, semut ini telah menghasilkan pertahanan diri menggunakan bakteria anti-kulat di seluruh badan mereka, yang nampak seperti mereka dicelup dalam gula.

Bakteria ini sama dengan yang digunakan oleh syarikat-syarikat farmaseutikal untuk membuat antibiotik.

Semut dan bakteria jenis ini telah bertanding sejak jutaan tahun dan hasil keputusannya telah menghasilkan beberapa antibiotik yang sangat menarik, kata para saintis.

Kegagalan antibiotik kini merupakan antara ancaman terbesar kepada kesihatan manusia sedunia, menyebabkan lebih kurang 700,000 orang maut setiap tahun.

Facebook medium 
perniagaan terbaik

DENGAN pertambahan jumlah pengguna media sosial setiap tahun, jelas menunjukkan orang ramai begitu kerap menghabiskan masa di hadapan gajet masing-masing untuk melakukan pelbagai perkara termasuk membeli-belah.

Keadaan itu menyebabkan berlakunya peningkatan aktiviti perniagaan dalam talian khususnya melalui medium Facebook. Berniaga melalui media sosial seperti Facebook bukan sahaja mudah malah prospek pasarannya juga luas. Mungkin pelanggan mereka terdiri daripada pembeli yang berada di luar negara.

Cuma perlu diawasi kaedah pembayaran yang disediakan bagi mengelakkan berlaku sebarang penipuan. Dalam pada itu tidak dinafikan Facebook adalah antara media sosial yang menjadi pilihan orang ramai kerana aplikasi ini mudah dan mesra pengguna.

Pada tahun 2014, satu pusat pengumpulan data pernah melaporkan bahawa Malaysia berada pada ranking ke-17 sebagai negara yang memiliki ramai pengguna akaun Facebook iaitu kira-kira 12 juta orang.

Oleh itu, tidak hairanlah majoriti peniaga dalam talian memilih Facebook sebagai platform terbaik untuk mereka menjual barangan selain menjadikannya tempat pemasaran serta promosi barangan paling berkesan.

Rata-rata peniaga menggunakan laman peminat Facebook atau lebih dikenali sebagai fan page untuk menjalankan perniagaan masing-masing. Di samping mempunyai butik atau kedai yang boleh dikunjungi, peniaga bebas mempromosikan barangan jualan masing-masing melalui fanpage milik mereka.

Dengan fanpage, pemilik akaun Facebook hanya perlu ‘like’ fanpage tersebut tanpa perlu ‘bersahabat’ dengan peniaga dalam talian. Aplikasi ini adalah langkah yang paling mudah untuk mencari pelanggan di samping menjimatkan masa serta kos. Berniaga melalui Facebook juga boleh menjimatkan tenaga tanpa perlu lagi memasarkan barangan mereka dari satu lokasi ke lokasi lain.

NORKISH MUNIH
USIM

Powerbank saiz kad ATM

Memilih powerbank memang nampak biasa dan tidak meremehkan namun kalau silap membeli memang amat merugikan.

Antara ciri yang perlu diberi tumpuan ketika memilih powerbank termasuk harga, keupayaan dan ketahanannya sama ada lasak atau kapasiti bateri pada saiz kompak.

Atas alasan terbabit, penguji mencuba ASUS ZenPower Pro dan mendapati ia powerbank patut dimiliki terutama jika anda membawa banyak gajet lain bersama yang memerlukan cas pantas.
ASUS ZenPower Pro mempunyai rekaan yang ringkas dan minimalis namun saiznya berukuran seakan-akan kad ATM anda memang mudah dibawa ke mana saja.

Meskipun saiz terbabit nampak skeptikal, ia membawa kapasiti sehingga 10500mAh sekali gus paling tinggi jumlahnya berbanding model lain pada saiz hampir sama.

Melihat pada bentuk fizikal, ia mempunyai dua slot port USB dengan lampu LED pada permukaan sama sebagai indikator.

Difahamkan, ia mendapat pengiktirafan antara powerbank paling selamat di dunia.
Pada berat hanya 230 gram, ASUS ZenPower Pro mempunyai keupayaan Qualcomm Quick Charge 2.0 yang pantas mengecas gajet anda.

Penguji berjaya mengecas ZenFone 3 sehingga 50 peratus dalam tempoh 40 minit.

Mengikut rekod, anda boleh mengecas iPhone 6 penuh dengan kadar bateri 1810mAh sehingga 3.7 kali menggunakan powerbank yang 100 peratus kuasa atau iPhone 6 Plus dengan kadar 2.3 kali.

Beberapa kali penguji sengaja menjatuhkan powerbank ini ke lantai dan ia tidak memberi kesan kepada kuasa baterinya meskipun ada sedikit kecacatan pada bentuk fizikal namun ia masalah kecil kepada anda.

Terdapat lampu LED sebagai poin tambahan bagi powerbank dan membantu ketika dalam gelap apabila anda terkial-kial mencari barang.

Untuk mengecasnya sehingga 100 peratus pula, penguji cadangkan anda membiarkannya semalaman atau sembilan jam.

Tahap bateri pula seperti biasa dapat dilihat pada empat lampu kecil yang satu untuk rendah dan empat jika ia penuh.

Budak mudah terkena alahan

Oleh Zaitie Satibi

Alahan berlaku apabila tubuh bertindak balas secara keterlaluan terhadap bahan atau pencetus yang biasanya tidak berbahaya bagi kebanyakan orang. Pencetus alahan juga dipanggil alergen dan setiap orang alah pada bahan yang membangkitkan reaksi berlainan.

Dianggarkan suku daripada populasi penduduk menderita alahan dan kanak-kanak mewakili separuh daripada keseluruhan penghidap alahan. Secara saintifiknya, alahan disebabkan kesilapan identiti apabila alergen yang masuk ke dalam badan dan ia tersilap dikenal pasti oleh sistem imun sebagai bahan asing atau bahan yang berpotensi membahayakan.

Sistem imun kemudian mengumpul tindakan untuk menyerang alergen terbabit dan kesan tindakan imun itu menyebabkan gejala alahan.

Menurut Perunding Pakar Kanak-kanak dan Neonatologi Pusat Perubatan Sunway (SunMed), Dr Lim Wei Leng, ada pelbagai jenis gejala alahan dan kebanyakannya tidak khusus dan boleh menyerupai gejala penyakit lain yang bukan alahan.

“Gejala alahan yang biasa dalam kalangan kanak-kanak seperti ruam kulit, gegata, bersin, hidung berair, batuk, gatal-gatal mata, sesak nafas, semput, muntah, cirit-birit dan sakit abdomen.

“Tahap gejala alahan ini boleh jadi ringan atau serius termasuk berlaku serta-merta atau kronik yang terjadi berpanjangan. Paling buruk adalah lemas kerana tidak dapat bernafas atau anafilaksis iaitu tindak balas alahan paling serius dan boleh membawa maut jika lambat mendapat rawatan,” katanya.

Katanya, banyak bahan yang mengakibatkan alahan bagi setiap orang dan alergen yang kerap membang­kitkan alahan adalah makanan seperti produk tenusu, telur, kacang dan makanan laut.

“Persekitaran di dalam rumah juga menyumbang bahan alergen seperti bulu haiwan peliharaan, hama dan kulat. Malah, di luar kawasan rumah juga kita terdedah kepada gigitan serangga dan debunga.

“Ubatan juga boleh menyebabkan alahan termasuk ubat preskripsi daripada doktor, ubat yang dibeli di kaunter dan herba. Selain itu, asap rokok, minyak wangi, bahan kimia kegunaan rumah seperti sabun dan pencuci juga boleh menyebabkan alahan,” katanya.

Dr Lim berkata, disebabkan gejala alahan muncul dengan pelbagai rupa, adalah mustahak untuk ibu bapa supaya tidak tersilap mendiagnosis anak mereka dan melakukan rawatan sendiri tanpa nasihat doktor.

“Jika anak mengalami mana-mana gejala atau mengesyaki mereka alah pada sesuatu bahan, bawa anak anda menemui doktor atau pakar alahan. Dalam kebanyakan kes, ada ubatan yang berkesan untuk menguruskan gejala alahan dan memberikan kelegaan kepada anak.

“Bagi mengenal pasti bahan yang menyebabkan alahan, kaedah tertentu seperti ujian pada kulit atau darah digunakan walaupun dalam segelintir kes punca alahan dapat diketahui dengan hanya melihat gejala yang timbul.

“Kadangkala lebih daripada satu jenis alergen dapat dikesan dalam ujian berkenaan dan menjauhkan kanak-kanak daripada punca alahan boleh menghilangkan gejala,” katanya.

Beliau berkata, bagi kes yang rumit atau mengancam nyawa, ia memerlukan jadual ketat rawatan yang khusus bagi mencegah episod alahan pada masa depan.

“Jika anak mempunyai alahan tertentu, adalah penting memaklumkan masalah itu kepada pihak sekolah, pengasuh dan perawat supaya berjaga-jaga dengan alahan terbabit untuk tindakan pencegahan dan melakukan rawatan segera jika terdedah dengan alergen,” katanya.

5 perkara dalam urusan jual beli rumah

Oleh Nazri Mustafa

 FAHAM 

Dalam urusan jual beli rumah, biasanya ada dua pihak yang berkontrak. Pihak yang berkontrak ialah pemilik rumah sebagai Penjual dan Pembeli. Kedua-dua pihak disarankan untuk membaca dengan teliti surat tawaran jual beli sebelum menurunkan tandatangan.

Surat tawaran jual beli adalah peringkat pertama di mana kedua-dua pihak membenarkan diri masing-masing diikat dengan undang-undang. Seterusnya barulah perjanjian Jual beli oleh kedua pihak, setelah terma dan syarat-syarat lain di dalam perjanjian dipersetujui bersama.

Bagaimana pula dengan pihak yang tidak diwakili oleh peguam? Biasanya dalam urusan jual beli rumah, ramai penjual melepaskan hak mereka untuk melantik peguam atas alasan untuk menjimatkan kos.

Oleh kerana perjanjian jual beli biasanya disediakan oleh pihak yang diwakili oleh peguam dan pembeli adalah pihak yang biasanya melantik peguam, penjual hanya me­nyerahkan nasib mereka untuk terikat kepada perjanjian yang dibuat oleh peguam pembeli, tanpa mendapatkan apa-apa nasihat dan pandangan daripada pihak lain yang mahir dalam perundangan jual beli rumah.

Walau bagaimanapun, penjual masih boleh melantik peguam untuk hanya membaca dan meneliti draf perjanjian jual beli yang dibuat oleh peguam pembeli dan membayar fi guaman untuk pembacaan dan penerangan isi kandungan perjanjian tersebut, sebagai langkah untuk mengelakkan daripada terjerat dengan sesuatu peruntukan yang penjual sebenarnya tiada mampu untuk melakukannya.

Satu contoh , terdapat perbezaan ketara dari segi pematuhan tempoh penjualan di mana jika dinyatakan dalam perjanjian bahawa tempohnya ialah sembilan puluh hari (90) hari kalendar, ia adalah berbeza dengan jika dinyatakan sebagai sembilan puluh (90) hari bekerja.

Ringkasnya, pihak kepada perjanjian hendaklah memahami isi kandungan perjanjian dan apa yang ditandatangani.

Soalan
Sebagai pihak yang melantik peguam, anda tidak seharus­nya menyerahkan bulat-bulat kepada peguam. Anda harus juga mengambil tahu serba sedikit berkenaan prosedur jual beli rumah.

Oleh kerana anda telah me­lantik peguam, sebaiknya anda tahu apa soalan yang hendak dan perlu ditanya kepada peguam apabila anda hadir untuk menandatangani perjanjian. Dengan sedikit ilmu, anda boleh bertanyakan soalan dan soalan yang baik akan mendapat jawapan yang baik.

Tandatangan tanpa soal

Semua dokumen yang anda tandatangan dan tandatangan ringkas (initial) akan mengikat diri anda. Alasan bahawa anda tidak memahami apa yang anda tandatangan, tidak tahu, tidak baca, atau disuruh tandatangan oleh pihak ketiga, sukar diterima dari sudut undang-undang melainkan wujud unsur paksaan, contohnya seperti ia membahayakan nyawa jika tandatangan anda tidak diturunkan ke atas perjanjian tersebut.

Semua tidak sama

Setiap transaksi jual beli adalah unik dan tersendiri. Ia mungkin serupa dengan transaksi yang lain tetapi tidak semestinya sama. Setiap transaksi jual beli hartanah melibatkan hartanah yang berbeza, pihak yang berbeza, mungkin harga yang berbeza dan peguam perlu berurusan dengan pihak-pihak yang berbeza. Kecepatan tindak balas daripada pihak yang terlibat juga berbeza.

Sebagai contoh, ada aduan yang dibuat menyatakan bahawa jiran yang menjual rumah di deretan yang sama lebih cepat selesai berbanding dengan transaksi jualan penjual tersebut.

Setelah disemak, didapati bahawa jiran berkenaan telah membuat transaksi tukar nama ke atas namanya apabila hak milik individu rumah tersebut dikeluarkan berbanding dengan penjual tadi yang hanya mendiamkan diri apabila hak milik individu untuk rumah beliau telah dikeluarkan dan tidak memberi respons apabila pihak pemaju meminta meng­hubungi peguam jual beli de­ngan pemaju, untuk menyempurnakan pindah milik atas nama beliau.

Oleh itu, proses jual beli beliau memakan masa lebih lama kerana dua pindah milik perlu dilakukan iaitu daripada pemaju kepada penjual dan kemudian daripada penjual kepada pembeli.

Kos

Pelantikan peguam dalam transaksi jual beli melibatkan kos. Jumlah bayaran adalah berbeza kerana ia dikira berdasarkan nilai transaksi jual beli. Jumlah duti setem atas pindah milik juga melibatkan jumlah yang besar.
Lebih besar nilai transaksi lebih besar jumlah wang yang pembeli perlu peruntukkan untuk maksud tersebut.
Dengan sedikit usaha, anda boleh membuat anggaran kos yang terlibat dalam urusan pembelian rumah anda. Terdapat banyak aplikasi yang boleh dimuat turun untuk membantu anda membuat kiraan, selain membuat carian di laman web atau yang lebih baik jika anda bertanya terus dengan peguam pilihan anda.

Nazri Mustafa adalah 
seorang peguam yang beroperasi 
di Cheras dan Sentul, Kuala Lumpur.

Aurat wajib ditutup walaupun terpaksa

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD

BARU-BARU ini kecoh di media sosial dan media arus perdana tentang berita seorang artis yang berhijab tiba-tiba mengambil keputusan menanggalkan tudungnya selepas memakainya selama tiga tahun atas alasan enggan menjadi seorang hipokrit.

Ekoran tindakan tersebut, artis berkenaan me­nerima pelbagai komen negatif serta kecaman daripada masyarakat khususnya di media sosial. Tidak kurang juga yang mendoakan artis itu supaya sentiasa tabah menghadapi segala dugaan.

Jika dilihat secara kasar, memang mudah untuk kita menuduh artis ini sesuka hati namun dari segi hatinya sukar untuk dibuat telahan secara tepat. Dengan kata lain hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya.
Penulis enggan menyentuh lebih lanjut tentang keputusan artis tersebut cuma apa yang dibincangkan dalam siri Kalam kali ini adalah tentang kewajipan kita menunaikan segala perintah Allah walaupun dalam keadaan terpaksa termasuk dalam soal berpakaian.

Hukum memakai pakaian menutup aurat adalah wajib bagi setiap lelaki dan wanita dan hukumnya berdosa sekiranya kewajipan itu diingkari. Untuk wanita Islam hukumnya lebih ketat kerana seluruh tubuh mereka itu adalah aurat kecuali muka dan tapak tangan manakala aurat lelaki pula adalah antara pusat hingga ke lutut.

Pokok perbincangan kita di sini hanyalah membabitkan aurat antara seseorang wanita atau lelaki dengan mereka yang bukan mahram manakala batas aurat de­ngan mahram serta aurat suami isteri ada hukumnya yang lain.

Berbalik kepada kewajipan menutup aurat, perintah tersebut wajib dipatuhi dan tuntutan mengenainya jelas terdapat dalam al-Quran dalam Surah an-Nur ayat 31 dan al-Ahzab ayat 33 serta beberapa hadis Rasulullah SAW.

Antara kandungan petikan surah an-Nur ayat 31 itu, Allah telah memerintahkan wanita Muslim menutup belahan leher baju yang dipakai dengan tudung kepala mereka serta larangan memperlihatkan perhiasan tubuh kecuali kepada suami, bapa, bapa mertua dan anak-anak serta beberapa golongan lagi yang disebut dengan jelas dalam ayat berkenaan.

Inilah hukum yang melibatkan aurat dalam Islam dan memakai tudung kepala itu adalah satu kewajipan buat wanita Muslim. Oleh itu mahu tidak mahu setiap wanita Muslim wajib mematuhinya walaupun dilakukan secara terpaksa.

Kewajipannya sama seperti ibadat yang lain antaranya menunaikan solat. Walau apa pun alasan, kita wajib bersolat meskipun dalam keadaan terpaksa. Alasan seperti seluar kotor, baju kotor, malas atau terlalu sibuk dengan urusan dunia semata-mata enggan bersolat sama sekali tidak boleh diterima.

Mungkin di saat kewajipan itu dilakukan secara terpaksa akhirnya Allah menganugerahkan cahaya hidayah-Nya kepada kita. Pada masa itu kita akan merasai satu nikmat yang tidak mampu diucapkan melalui kata-kata. Hidayah adalah milik dan rahsia Allah yang seorang pun tidak akan mengetahuinya sampai bila-bila.

Dalam pada itu sering kita terdengar dialog seperti “belum sampai seru” atau “biarlah hati ini benar-benar ikhlas” yang diucapkan oleh sahabat atau kaum kerabat kita apabila ditanya bila mahu berhijrah.

Persoalannya, tahukah kita bila seru itu hendak sampai? Lebih baik setiap kewajipan yang diperintahkan oleh Allah itu ditunaikan meskipun dalam keadaan terpaksa. Entah-entah seru yang ditunggu-tunggu itu tidak akan kunjung tiba sehinggalah saat kematian kita. Adakah itu yang kita mahukan?

Jika itu yang berlaku alangkah ruginya kita? Agama bukan satu eksperimen untuk dibuat uji kaji sebaliknya menjadi panduan hidup kepada kita semua untuk me­nuju ke alam akhirat yang kekal abadi. Ingatlah pesan Rasulullah SAW melalui satu hadis baginda tentang kenikmatan hakiki yang bermaksud: “Dunia adalah penjara bagi orang mukmin dan syurga untuk orang kafir.”

Haron Din tokoh penyatuan ummah

Oleh MOHD. ASHROF ZAKI YAAKOB

RAKYAT Malaysia menangisi kehilangan sebutir permata ummah yang sangat tinggi ilmunya dan sumbangannya kepada seluruh masyarakat Islam. Pemergiannya terlalu mendadak sehinggakan ramai yang sukar menerimanya lantaran keilmuannya masih lagi didambakan oleh seluruh umat Islam di Malaysia.

Latar belakang akademik dan pengalaman keilmuan yang dimiliki sudah cukup untuk membuktikan bahawa beliau ialah tokoh yang amat disegani oleh kawan dan lawan. Menjadi rujukan utama dalam pelbagai bidang, mengasaskan dan mengembangkan ilmu pengubatan Islam, memangkinkan perjuangan gerakan Islam di Malaysia dan konsisten dalam setiap ucapan dan tindakan menjadi trademark kepada kehebatan peribadi mulia ini. Dalam kelembutan wajah dan manis senyumannya, setiap pendiriannya dituturkan dengan penuh hikmah dan tegas dalam pelaksanaannya.

Nama Tuan Guru Datuk Dr. Haron Din bukanlah baharu dalam bidang politik dan dakwah di Malaysia. Seawal tahun 80an lagi beliau sudah menyinar dan dilihat sebagai ikon yang bakal memimpin masyarakat Islam di Malaysia. Beliau mewakafkan dirinya demi perjuangan Islam dan menginfaqkan seluruh tenaga kudratnya dalam melaksanakan misi dakwah di negara ini. Dakwahnya merentasi sempadan politik dan perkauman, menumpukan kesatuan Islam bagi masyarakat Melayu serta berusaha mendaulatkan Islam sebagai teras kepada perpaduan dalam negara. Keberanian beliau menerima tanggungjawab sebagai Ketua Kluster Dakwah, Majlis Perundingan Islam (MPI) di bawah kelolaan Kerajaan Persekutuan membuktikan pendirian berhikmah beliau serta menzahirkan politik yang matang dan sejahtera berasaskan prinsip ajaran Islam yang sebenar. Ini mencetuskan paradigma baharu kesatuan dan perpaduan masyarakat Islam khususnya, di samping memangkinkan proses mendaulatkan Islam yang menjadi teras dan tunjang bagi keharmonian dalam negara.

Amat mengagumkan apabila perbezaan fahaman politik dan perkauman terus dihapuskan lantaran pemergian beliau. Ucapan takziah dan kesedihan atas pemergian Allahyarham oleh pemimpin kerajaan serta tokoh-tokoh politik tanah air tanpa mengira fahaman parti memberikan gambaran jelas bahawa beliau ialah tokoh yang luar biasa. Jurang politik sempit berjaya dihapuskan dan politik dakwah beliau membuahkan hasil yang mengagumkan.

Tuan Guru Dr. Haron Din pastinya amat sinonim dengan pengubatan Islam di Malaysia. Kaedah rawatan menggunakan Rukyah Syariah yang telah diasaskan semenjak 1977 berjaya menarik keluar kepercayaan tahyul masyarakat Melayu kepada pengubatan Islam yang tulen. Beliau seterusnya mengasaskan Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam (Darussyifa) pada 1988 yang seterusnya merintis kepada perkembangan secara besar-besaran kaedah rawatan Islam yang bukan hanya memfokuskan kepada penyakit rohani, malah sebagai komplimentari kepada rawatan penyakit fizikal dalam perubatan alopati. Sehingga kini, Darussyifa telah berjaya melahirkan lebih 6000 pe­rawat Islam bertauliah, 65 pusat rawatan di seluruh negara serta 13 kelas pengajian pengubatan Islam hampir di setiap negeri di Malaysia. Pengiktirafan daripada Kementerian Kesihatan terhadap Pengubatan Islam adalah cita-cita utama beliau dan menjadi kejayaan paling manis bagi perjuangannya dalam pengubatan Islam.

Saya amat yakin semua anak murid dan kenalan rapat beliau pasti mengakui bahawa ilmu ikhlas adalah ajaran dan anugerah terbesar beliau kepada kita semua untuk dicontohi. Keikhlasan beliau dalam setiap pengucapan dan tindakan memberikan kesan yang sangat mendalam, melebihi kepentingan lain yang selalu merosakkan nilai sesebuah amalan. Buktinya, pemergiannya ditangisi kawan dan lawan, mengundang jutaan takziah dari segenap pelosok dunia, dan legasi perjuangannya didokong utuh oleh anak murid dan para pengikutnya yang istiqamah sehingga kini!

Allahyarham amat sinonim dengan keilmuan dan dakwah. Paling menarik, pasca pemergian beliau juga mencetuskan paradigma ilmu baharu pengurusan jenazah yang menepati Sunnah Nabawiyyah sekali gus menghapuskan dogma kolot yang lama membekas dalam masyarakat Melayu. Kehadirannya mencurahkan lautan ilmu, pemergiannya mencetus paradigma baharu dan pastinya menyuntik semangat perjuangan Islam kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

Jasa dan sumbangan beliau dalam menyatukan masyarakat Melayu dalam pelbagai bidang wajar dihargai dan dicontohi. Beliau berjaya menyatukan pemikiran masyarakat Melayu daripada fahaman tahyul kepada kesatuan aqidah yang jitu. Beliau berjaya menghapuskan fahaman politik sempit kepada politik Islam yang membimbing kawan dan seteru. Beliau merintis perubahan kefahaman pemikiran masyarakat Islam kepada mendaulatkan ajaran Islam yang satu. Maka beliau amat layak dinobatkan sebagai Tokoh Penyatuan Ummah di Malaysia, di dunia jasamu menggunung, ganjaran baik di syurga menunggu.

Berehatlah dengan tenang wahai guruku, Murabbi ummah yang sentiasa membimbing umatmu. Nikmatilah kerehatan yang hakiki, setelah perjuanganmu di dunia tidak pernah terhenti, selagi nyawa dikandung badan, budi dan keringat telah engkau curahkan. Doa dari kami anak-anak muridmu sentiasa mengiringimu sehingga akhir hayat kami.

PENULIS ialah Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.

Gajah miang bunuh tuan

Phnom Penh: Seekor gajah yang digunakan untuk membawa pelancong ke kawasan air terjun popular memijak tuannya hingga mati sebelum melarikan diri ke dalam hutan untuk mengejar seekor gajah betina.

Dalam kejadian minggu lalu, beberapa pelancong yang ketakutan hanya dapat melihat bagaimana haiwan itu melambung Pop Sreang, 55, ke udara, merodok mangsa dengan gadingnya sebelum akhirnya memijak lelaki itu hingga mati.

Ia kemudian meluru ke dalam hutan berhampiran Air Terjun Bousra di daerah Pech Chreada di Mondulkiri, wilayah pedalaman Kemboja untuk mengejar seekor gajah betina.
Sehingga semalam, haiwan itu masih tidak ditemui.

Ketua polis tempatan, Pich Sotheary berkata, gajah itu dipukul tuannya sebelum ia naik minyak dan mengejar gajah betina itu.

Kejadian bermula apabila Sreang memasuki kandang gajah peliharaannya untuk membawa sekumpulan pelancong ke kawasan air terjun itu.

Menurut laporan akhbar Cambodia Daily, gajah itu naik minyak, menyebabkan Sreang sukar mengawalnya.

Kira-kira 15 anggota polis, keluarga Sreang dan beberapa pelancong melihat bagaimana lelaki itu akhirnya dapat naik ke belakang gajah berkenaan.

Dia kemudian mengetuk cangkuk besi pada kepala haiwan itu dalam usaha mententeramkannya sebelum mula membenarkan pelancong menaiki gajah itu.

“Gajah itu tetap mengamuk, melontar tuannya ke udara. Apabila jatuh, ia merodok mangsa dengan gadingnya dan kemudiannya memijaknya hingga mati. Ia seperti dalam filem,” kata gabenor daerah, Nuon Saron.

Berdakwah hingga akhir hayat

Oleh Zulkiflee Bakar

“SESUNGGUHNYA Allahyarham merupakan tokoh yang mempunyai pendirian yang jelas dalam ilmu, tegas, cintakan Islam serta mendalam ilmunya. Mempunyai kefahaman yang tinggi ketika mana ramai orang kabur dan keliru dalam tindakan. Cintakan perpaduan dan mempunyai impian untuk melihat Islam dijunjung tinggi di tanah air.”

Itulah ulasan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri berikutan kembalinya Mursyidul Am Pas, Datuk Dr.Haron Din ke rahmatullah kelmarin. Apa yang dikatakan oleh Zulkifli adalah gambaran tepat keperibadian, ketokohan dan perjuangan Allahyarham Haron - seorang ulama yang dihormati oleh kawan dan lawan.

Meneliti satu demi satu catatan perjalanan kehidupan Allahyarham sejak kecil, tidak keterlaluan kalau dikatakan Allahyarham adalah insan yang dilahirkan untuk menjadi pejuang Islam. Namun perjuangan yang dirintis dengan matlamat syariat Islam dilakukan secara berhemah. Biarpun tegas dan istiqamah dalam perjuangan berkenaan namun beliau sentiasa menjaga adab dan akhlak yang digariskan oleh Islam.

Allahyarham tidak pernah menjatuh hukum kepada sesiapa apatah mencela dan memaki hamun orang lain.

Walaupun dianggap ulama hebat, namun Allahyarham amat merendah diri dan sentiasa bersedia menerima pandangan atau menyokong apa juga tindakan dalam satu-satu perkara waima oleh kerajaan sekalipun asalkan ia tidak bertentangan dengan syariat Islam. Berada dalam barisan kepemimpinan utama Pas tidak pernah dijadikan tiket untuk Allahyarham memusuhi mana-mana kelompok Islam atau orang Melayu yang tidak sehaluan dengan parti itu.

Sebaliknya Allahyarham sentiasa berlapang dada dan berusaha mencari pendekatan terbaik agar misi dakwah yang dibawa khususnya dalam menegakkan perjuangan Islam Pas berjaya.

Berikutan sikap itulah Allahyarham tidak bersekongkol atau berkongsi sentimen dengan mana-mana pihak termasuklah dalam parti itu untuk melihat UMNO sebagai ‘musuh nyata’.

Bagi Allahyarham selagi ada ruang dan kesempatan bak kata orang biar sebesar zarah asalkan Allahyarham boleh berdakwah, Allahyarham bersedia merebut peluang tersebut. Atas sebab itulah Allahyarham tidak tergugat atau berasa resah dengan pandangan politik sempit sesetengah pihak termasuk dalam Pas sendiri yang mempertikaikan keputusan Allahyarham menerima jemputan kerajaan untuk menjadi Ketua Kluster Dakwah Majlis Perundingan Islam (MPI) pada Februari lalu.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria ketika mempertahankan kesediaan Allahyarham menganggotai MPI menegaskan, “Apabila ada orang yang mahu dan komited untuk berdakwah seperti Haron Din, misalnya menunjukkan komitmen beliau terhadap kerja dakwah, walaupun beliau ahli Pas, kita tidak sepatutnya menjadikan pelantikan beliau sebagai satu kesilapan atau kesalahan kepada parti.”

Sememangnya berdakwah sudah menjadi darah daging Allahyarham. Dalam apa juga situasi Allahyarham meletakkan perjuangan menegakkan syariat Islam sebagai matlamat utama. Allahyarham sentiasa tegas untuk mempertahankan syariat Islam dan bersedia memberi pandangan berlandaskan kepada prinsip mencari keredaan Allah.

Anak ketiga daripada 10 adik beradik ini, bersedia ke hadapan untuk menyatakan pendirian berhubung sesuatu isu yang menyentuh mengenai hal ehwal Islam. Berikutan ketika isu kalimah Allah hangat diperkatakan, Allahyarham muncul dalam rakaman video khas memberi penjelasan kenapa orang bukan Islam tidak boleh menggunakan kalimah suci itu. Begitu juga dalam isu ‘Saya Mahu Sentuh Anjing’, Allahyarham secara terbuka menggesa penganjur yang beragama Islam bertaubat.

“Jika dilihat dari sudut akidah, perbuatan menganjurkan perkara haram secara terbuka ini seolah-olah satu percubaan mencabar hukum Allah dan fatwa serta ada sifat-sifat kebanggaan mereka yang berbuat demikian,” tegas Allahyarham.

Dalam mempertahankan kesucian dan menegakkan perjuangan Islam, Allahyarham sama sekali tidak akan berkompromi dengan sesiapa jua. Mungkin kerana ketegasan inilah apabila Allahyarham meninggal dunia ada kelompok termasuk segelintir pemimpin parti pembangkang bagaikan ‘meraikannya’.

Tindakan biadab itu dilakukan kerana mereka memahami umat Islam kehilangan seorang lagi ulama yang selama ini menjadi benteng mempertahankan kesucian Islam dan tidak pernah berputus asa memperjuangkan agama suci itu. Bagaimanapun ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana sepanjang berjuang bersama Pas, Allahyarham paling lantang menentang bekas sekutu parti itu, DAP yang dilihat sering sahaja memperkotak-katik maruah Pas.

Allahyarham tidak meletakkan kepentingan atau keuntungan politik sebagai keutamaan sebaliknya menegaskan, “Pas lebih bimbangkan kemurkaan Allah daripada bimbang tidak mendapat sokongan manusia.” Dalam soal politik juga, Allahyarham sentiasa bersangka baik dengan sesiapa juga asalkan ia membuka peluang untuk mendapat keredaan Allah.

Ini terbukti apabila Allahyarham menyambut secara positif usaha mewujudkan kerjasama Pas dengan UMNO. Antara lain beliau berkata, “Kedua-kedua (parti) sememangnya mungkin bekerjasama atau mungkin tidak bekerjasama, bergantunglah kepada sejauh mana kebajikan atau kebaikan yang boleh diterima demi mencapai ketakwaan kepada Allah.”

Hakikatnya, negara kehilangan seorang tokoh yang sepanjang hayat mengabdikan diri untuk berdakwah bukan kerana mahu mencari kuasa politik tetapi demi membimbing ummah ke arah mendapat keredaan Allah.

Perginya seorang ulama sejati

Oleh ZULKIFLEE BAKAR

TEPAT pukul 10.10 pagi 16hb September 2016, Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din, 74, kembali ke rahmatullah ketika menjalani rawatan jantung di Hospital Standford University, San Francisco, Amerika Syarikat.

Pemergian Allahyarham bukan sahaja satu kehilangan besar kepada parti tersebut tetapi umat Islam Malaysia secara keseluruhannya. Walaupun berjuang bersama Pas namun Allahyarham yang dilahirkan pada 18 Ogos 1940 di Bohor, Mali Kangar, Perlis adalah ulama sejati.

Perbezaan politik sama sekali tidak pernah menjadi halangan untuk Allahyarham sentiasa berusaha bagi menyatukan umat Islam dalam menegakkan perjuangan Islam. Allahyarham bukan sahaja aktif dalam politik tetapi juga adalah tokoh perubatan Islam dan ulama yang cukup disegani. Atas sebab itulah, pemergian Allahyarham bukan sahaja amat dirasai oleh pemimpin, ahli dan penyokong Pas tetapi seluruh umat Islam di negara ini.

Sepanjang membuat liputan perjuangan politik Pas sejak awal 1990-an, tidak pernah penulis melihat Allahyarham membuat kenyataan atau me­lakukan tindakan politik yang boleh memecahbelahkan umat Islam.
Bagi penulis, Allahyarham adalah ulama yang benar-benar mahu menjadikan politik sebagai platform bagi menegakkan syariat Islam di bumi Malaysia. Justeru, Allahyarham sentiasa berhati-hati dalam sebarang kenyataan atau ucapannya ke­rana tidak mahu umat Islam terus berpecah-belah.

“Saya menyeru ahli Pas jangan menyerang sesiapa, sama juga saya menyeru kepada bukan Pas supaya tidak menyerang Pas. Kenalilah siapa musuh kita yang sebenar dan kenalilah kawan berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Berpada-padalah menya­yangi kawan kamu, mungkin satu hari dia akan menjadi musuh kamu dan berpada-padalah membenci musuh kamu kerana mungkin satu hari dia berubah menjadi kekasih kamu.”

Beberapa rakan dalam Pas pernah memberitahu, Allahyarham amat tidak menyenangi perbuatan mana-mana pe­mimpin parti tersebut yang tidak menjaga adab Islam ketika berpolitik termasuk memaki hamun lawan politik mereka.

Allahyarham berkata: “Dalam bermusuhan, me­nyerang dengan kata-kata yang tidak sepatutnya bukan daripada akhlak Islam tetapi menasihati apa sahaja yang boleh membawa kebaikan adalah ajaran Islam. Jauhilah fitnah kerana akibatnya kamu tidak dapat menanggung balasannya.”

Allahyarham yang berkelulusan dalam bidang syariah dari Universiti Ain Shams, Kaherah dan pernah bertugas sebagai Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1977 hingga 1985 dilihat sentiasa bercakap dan menyatakan pendirian berdasarkan prinsip mencari keredaan Allah.

Walaupun ada ketikanya pendirian Allahyarham dalam soal politik khusus­nya berkaitan kerjasama dalam pakatan pembangkang tidak disenangi namun Allahyarham tidak pernah berundur walaupun setapak daripada pendirian tegasnya terutama bagi mempertahankan prinsip perjuangan Pas. Allahyarham menegaskan: “Kita berpolitik kerana mencari keredaan Allah, jawatan bukan matlamat, yang memegang jawatan adalah yang memegang amanah.”

Disebabkan pendirian itulah, Allahyarham pernah bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2004 dan 2008 di Perlis.

Allahyarham menyifatkan tindakan beberapa pemimpin Pas keluar daripada parti itu dan menubuhkan Parti Amanah Negara (PAN) sebagai meninggalkan perjuangan Islam. Atas prinsip ini jugalah Allahyarham sentiasa tegas dan berani mempertahankan pendirian Pas bagi melaksanakan hukum hudud khususnya dalam berhadapan dengan DAP.
“Pas tidak terbelenggu oleh komen lawan mahupun kawan. Hudud nyawa Pas dan ini perjuangan asas yang tidak pernah lekang,” tegas Allahyarham ketika Pas diasak oleh DAP supaya tidak berjuang untuk melaksanakan hukum hudud.

Satu lagi fakta menarik mengenai Allahyarham yang me­nyertai Pas sejak 1974 ialah sentiasa menyatakan yang benar walaupun pahit biarpun ada sesetengah pihak menganggap kenyataan yang dikeluarkan itu tidak menguntungkan politik Pas.

Di bawah kepemimpinan beliaulah, Dewan Ulama Pas membuat keputusan meminta parti itu mengkaji semula tahaluf siyasi dengan DAP yang dilihat sejak dulu menentang ­perjuangan Islam Pas.

Bagi umat Islam, pemergian Allahyarham bermakna mereka bukan sahaja kehilangan seorang tokoh yang disegani dan dihormati, malah seorang tok guru yang sepanjang hayat mengabdikan diri untuk me­nyampaikan ilmu-ilmu Allah melalui ceramah dan kuliah agama. Ini belum lagi mengambil kira bagaimana Allahyarham menubuhkan pusat perubatan Islam yang memberi manfaat kepada jutaan umat Islam Malaysia. Allahyarham ialah ­pengasas Persatuan Perubatan, Pengubatan dan Kebajikan Islam Malaysia (Darussyifa’).

Pada Mac tahun lalu, Allahyarham menyandang jawatan Mursyidul Am Pas bagi menggantikan Datuk Abdul Nik Aziz Nik Mat yang meninggal dunia pada Februari akibat kanser prostat.

Kini Pas sekali lagi kehilangan Mursyidul Amnya manakala umat Islam kehilangan seorang ulama berwibawa, namun semangat perjuangan, titisan pengorbanan dan ilmu yang disampaikan oleh Allahyarham pasti akan kekal sehingga akhir hayat.

Semoga Allah mengurniakan keampunan, kerahmatan dan nikmat syurga yang kekal abadi kepada Allahyarham. - AL FATIHAH.

Hidup berjuang: Tuan Guru Datuk Dr Haron Din

Oleh Zakaria Ismail

 Tiada yang mudah dalam perjalanan Tuan Guru Datuk Dr Haron Din untuk menjadi seorang ulama. Setelah bergelar ulama, tiada apa juga yang mudah bagi beliau dalam berperanan sebagai ulama yang berada betul-betul di tengah-tengah gelanggang masyarakat. Perjalanan itu dipenuhi dengan rintangan, cabaran, desakan dan ujian; kecil, besar dan kadang-kadang mengelirukan.

Apatah lagi beliau juga adalah seorang juru dakwah, seorang ahli akademik, seorang perawat, seorang pemimpin masyarakat, seorang ahli politik, seorang yang aktif dalam kerja-kerja kebajikan dan seorang yang mepunyai banyak peranan dalam pelbagai bidang.

Menjadi al-Mursyid al-Am kepada parti Islam di negara kita sejurus kembalinya al-Marhum Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ke rahmatullah, tentulah menjadi tanggung jawab besar yang tidak mudah juga untuk beliau galas.

Pendek kata, kehidupan beliau sepanjang 76 tahun itu adalah sentiasa dalam keadaan berjuang dengan segala susah payah. Seolah-olah tiada ruang untuk istirehat daripada terus berjuang.

Mungkin itulah tafsiran secara amali tentang firman Allah SWT dalam surah al-Balad, ayat 4;

لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ فِي كَبَدٍ

Bermaksud, "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia berada dalam susah payah."

Seperti kata Imam Hasan al-Basri, "manusia itu sentiasa bersusah payah berusaha menghadapi cabaran-cabaran kehidupan di dunia dan kesukaran-kesukaran negeri akhirat". Kata Imam Qatadah, "engkau sentiasa melihatnya berjuang menghadapi rintangan urusan dunia dan urusan akhirat".

Begitulah umurnya yang berkat itu, dipenuhi dengan perjuangan untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT.

BIDANG PENGUBATAN ISLAM

Dalam dunia pengubatan Islam, beliau gigih berjuang untuk menghapuskan kebergantungan masyarakat kepada kaedah perubatan tradisional yang mencampurkan unsur-unsur syirik dalam rawatan.

Untuk itu, beliau mendekati perawat-perawat tradisional itu dan cuba memahami dan mengkaji amalan dan bacaan mereka. Setelah itu, amalan dan bacaan mereka ditapis mengikut neraca syarak. Sebahagian mereka berterima kasih kepada beliau. Sebahagian lagi pula tidak menyenangi beliau.

Tidak cukup dengan itu, beliau berusaha melatih perawat-perawat yang bukan sahaja dibekalkan dengan ilmu perubatan dan rawatan, tetapi juga diajarkan dengan konsep akidah yang benar, ibadah yang sahih serta bacaan-bacaan ayat al-Quran, hadith-hadith dan doa-doa yang jelas sebutan huruf daripada makhrajnya, serta terang maknanya.

Beliau merasakan tugas itu seperti fardhu ain ke atas dirinya. Kerana beliau berkebolehan dalam bidang rawatan dan beliau juga seorang pakar dalam bidang syariah.

Sedangkan, golongan masyarakat yang menghadapi masalah gangguan yang tidak bersifat fizikal pula cenderung untuk menemui bomoh-bomoh yang tidak diketahui susur galur ilmu perubatannya. Ada di kalangan yang mendakwa bomoh itu pula, rupanya mencari duit mudah dengan memberikan rawatan palsu.  Ada juga yang memberikan rawatan, tetapi rawatan yang bercampur dengan unsur-unsur syirik melalui kaedah pemujaan atau cara-cara lain-lain yang mengundang murka Allah dan membuka pintu kekufuran.

Berkat sokongan dan dokongan murid-murid utama beliau, Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia Darussyifa' ditubuhkan, dan akhirnya berkembang ke seluruh negara dan luar negara bagi menawarkan khidmat rawatan dan perubatan alternatif mengikut kaedah yang dibenarkan oleh syarak.

Sungguhpun begitu bersepadu usaha beliau dalam memerangi amalan syirik dalam perubatan melayu tradisional, beliau sendiri tetap juga tidak selamat daripada dituduh mengamalkan amalan syirik. Sebahagian daripada ulama-ulama muda yang baru menamatkan pengajian di luar negara tanpa teragak-agak menuduh Darussyifa' mengamalkan amalan syirik lantaran selawat asy-syifa' dan selawat tafrijiyyah.

Ironinya, negeri kelahiran beliau sampai mengeluarkan fatwa mengharamkan selawat tafrijiyyah dan menuntut orang yang mengamalkannya supaya bertaubat. Masalah ini sebenarnya seputar memahami makna selawat tersebut mengikut kaedah bahasa arab dan kaedah usuluddin. Tetapi pihak yang mengharamkannya hanya mengambil maknanya yang zahir dan ditafsirkan mengikut kefahaman ringkas mereka sahaja.

Saya pernah mendengar beliau diminta mengulas tentang isu selawat ini. Jawabnya ringkas dan tidak mahu memanjangkan polemik, "Ya lah, kita ini orang sekolah atap saja".

Tentulah artikel ini, tidak bertujuan untuk membahaskan polemik ini. Sekadar memberikan gambaran.

Namun begitu, Tuan Guru Datuk Dr Haron Din telah meninggalkan karya agung yang memberikan pencerahan tentang pengubatan Islam dan dalil-dalil syarak berkaitannya dalam 5 jilid buku dalam siri pengajian dan pengubatan Islam, terutamanya dalam jilid pertama yang berjudul Pengantar Pengubatan Islam. Siri itu juga turut memuatkan jilid berkaitan penyakit rohani, jasmani dan sihir.

BIDANG POLITIK

Dalam bidang politik, beliau tentulah memilih aliran politik Islam. Beliau adalah sarjana syariah yang sangat memahami Islam adalah penyelesaian untuk semua masalah ummat manusia. Apatah lagi, tamadun Islam begitu kaya dengan teori dan praktikal sistem politik Islam yang merentasi masa ribuan tahun serta merentasi sempadan geografi dan kaum. Dan ia adalah adil dan praktikal untuk semua.

Jika dunia sahaja sahaja yang menjadi buruan beliau, menyertai kepimpinan PAS adalah langkah yang paling merugikan. Bahkan, jika beliau mencari akhirat semata-mata, kerja buat beliau sebagai seorang ahli biasa PAS adalah sebahagian daripada perjuangan Islam. Tetapi PAS memerlukan kepakaran beliau, dan beliau sekali lagi tidak lokek untuk bersusah payah bersama PAS dalam pelbagai posisi kepimpinan.

Bersama dengan PAS, beliau pernah dicalonkan sebagai Timbalan Presiden tetapi menarik diri daripada bertanding. Beliau pernah menjawat jawatan Ketua Penerangan PAS dan kemudiannya menjadi Timbalan al-Mursyidul Am PAS sehinggalah beliau dipilih menggantikan al-marhum Tok Guru Nik Abdul Aziz sebagai al-Mursyid al-Am PAS yang ke-3.

Beliau pernah dituduh orang sebagai agen Umno dalam PAS oleh golongan yang ingin melihat beliau merajuk dan meninggalkan PAS. Beliau juga pernah dianggap tidak bijak dalam seni sepak terajang politik. Pandangan berbeza beliau dengan Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam isu penggunaan kalimah Allah dalam terjemahan Injil berbahasa melayu pada peringkat awal, juga digunakan oleh pihak tertentu untuk menjadikan beliau tawar hati dengan PAS.

Tetapi beliau adalah insan pejuang yang memiliki pendirian seteguh gunung. Tidak mudah merajuk dek perkataan manusia, lantas mahu meninggalkan perjuangan Islam sewenang-wenangnya. Perjuangan Islam tidak boleh ditinggalkan. Perjuangan Islam wajib diteruskan. Beliau terus istiqamah dengan perjuangan Islam, walaupun beliau memiliki banyak keuzuran.

Beliau tegak di atas kebenaran, tidak pernah takut kepada celaan orang yang mencela. Beliau terus bersabar dan terus lagi bersabar, sama-sama mengemudi bahtera PAS, terutamanya pada saat-saat getirnya.

Begitulah keadaannya sebagai insan pejuang, alim mujahid. Solatnya, ibadahnya, hidupnya dan matinya hanya kerana Allah, Tuhan Semesta Alam!

PENUTUP

Semoga Allah SWT merahmati al-Marhum Tuan Guru Datuk Dr Haron Din dengan limpahan rahmat-Nya yang tidak bertepi dan mengampuni segala kesalahan beliau, serta memasukkan beliau di kalangan para siddiqin, para syuhada' dan para solehin.

"Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jama'ah hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam syurga-Ku!" (Surah al-Fajr: 27-30)

Zakaria Ismail
AJK PAS Kawasan Marang

Pemergian 'Sang Murabbi' undang kesedihan ummah

Oleh USTAZ MOHAMMAD IBRAHIM 

TANGGAL 16 September, tatkala seluruh Malaysia meraikan Ulang Tahun Hari Malaysia, negara dikejutkan dengan pemergian insan yang digelar sebagai 'Murabbi Ummah' dan 'Mutiara Ummah', Tuan Guru Datuk Dr Haron Din Al-Hafiz.

Pemergian insan hebat ini disambut dengan tangisan oleh seluruh pejuang Islam di bumi Malaysia dan mereka yang cukup mengenali keperibadian dan ketokohan Almarhum Tuan Guru Dr Haron Din.

Tautan Rahmat melahirkan ucapan takziah kepada keluarga Almarhum khususnya kepada isteri dan anak-anak almarhum yang sesungguhnya sedang bersedih dengan kehilangan insan yang juga menjadi 'bapa ummah' ini.

Tautan Rahmat merasai kehilangan ini, apatah lagi Almarhum Tuan Guru Dr Haron Din adalah insan yang pertama merestui dan merasmikan pertubuhan ini pada September 2014 di Surau An Nur, Bandar Baharu Bangi.

Dua tahun lalu, Tautan Rahmat secara rasminya bergelar pertubuhan dan melalui tangan insan yang bergelar Murabbi Ummah itulah Tautan Rahmat mencipa rentak meredah onak badai melayarkan perjuangan membawa sinar dakwah di muka bumi Malaysia.

Sesungguhnya kami warga Tautan Rahmat akan terus merindui dirimu wahai Murabbi Ummah. Bersemadilah dirimu wahai mutiara ummah, kami akan meneruskan gemilang jalan dakwahmu yang dibina sekian lama. Alfaatihah.

Siapa pun kita, hidup biar beradab bukan biadab

Oleh HASSAN MOHD. NOOR

KETIKA seluruh umat Islam di Malaysia amat merasai kehilangan seorang tokoh ulama, ada pula suara-suara sumbang memberi komen yang menyakitkan hati dan menyinggung perasaan. Bukan sahaja tidak adil kepada orang yang telah meninggal dunia tetapi juga kepada keluarga dan masyarakat seluruhnya. 

Banyak pihak yang menyentuh beberapa isu yang jelas berunsur sindiran. Ternyata golongan seperti ini, bukan Islam tidak memahami beberapa perkara berkaitan yang ditimbulkan melalui Twitter atau Facebook masing-masing. Persoalannya ada ayat-ayat itu kita tahu niat mereka bukan bersandarkan kepada pengetahuan yang terbatas dalam perkara berkaitan. Ini termasuk soal kematian itu adalah kuasa Allah, tidak kira di mana dan ketikanya seseorang itu berada. Begitu juga soal pengurusan jenazah.

Apabila 'ayat-ayat' itu dilontarkan, ia pasti menimbulkan kemarahan. Inilah bahana teknologi maklumat (IT) yang dalam sekelip mata sahaja, pandangan mereka yang dangkal itu tersebar luas ke seluruh pelosok negara malahan dunia. Bagaimana keadaan ini boleh berlaku dalam masyarakat yang hidup dengan pelbagai kaum dan agama? Di mana rasa hormat terhadap orang lain?

Islam hakikatnya mengajar umatnya menghormati jenazah tanpa mengira siapa mereka. Hormat jenazah itu sebagai nyawa atau manusia. Lihat dua hadis ini. Pertama riwayat Jabir bin Abdullah ra., ia berkata: Ada iringan jenazah lewat, lalu Rasulullah SAW berdiri menghormatinya dan kami ikut berdiri bersama. Kemudian kami berkata: Wahai Rasulullah, jenazah itu adalah jenazah Yahudi. Rasulullah SAW. bersabda: Sesungguhnya kematian itu menggetarkan, maka jika kalian melihat iringan jenazah, maka berdirilah. (Shahih Muslim No.1593).
Begitu juga dengan ha­dis riwayat Qais bin Saad ra. dan Sahal bin Hunaif ra.. Ketika mereka sedang berada di Qadisiyah, tiba-tiba ada iringan jenazah melewati mereka, maka keduanya berdiri. Lalu dikatakan kepada kedua­nya: Jenazah itu adalah termasuk penduduk setempat (yakni orang kafir). Mereka berdua berkata:
Sesungguhnya Rasulullah SAW. pernah dilewati iringan jenazah, lalu baginda berdiri. Ketika dikatakan: Jenazah itu Yahudi, Rasulullah SAW bersabda: Bukankah ia juga manusia?. (Shahih Muslim No.1596)
Adakah ‘kejahilan’ yang berlaku pada hari ini disebabkan kesilapan masyarakat Islam sendiri? Apakah usaha-usaha dakwah selama ini gagal atau terbatas kepada orang Melayu Islam semata-mata? Apa pula peranan parti-parti politik dalam membimbing masyarakat terutama anggota parti mereka supaya lebih saling hormat menghormati antara satu sama lain?

Sesungguhnya manusia tidak mempunyai kebebasan mutlak dalam melakukan tindakan atau mengeluarkan kenyataan. Amat malang, ada dalam kalangan masyarakat kita yang tidak sensitif dengan isu-isu berkaitan agama dan budaya sesuatu kaum. Ketika ada pihak begitu mudah melabelkan rasis terhadap orang Melayu Islam, di pihak mereka pula dengan mudah mengeluarkan kenyataan maki-hamun, berbaur perkauman yang mengundang kemarahan.

Provokasi yang menguji kesabaran. Apakah yang akan terjadi kepada sebuah negara seperti Malaysia yang mempunyai masyarakat pelbagai kaum dan agama jika hal sebegini tidak dibendung?

Memang yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan menyakitkan hati itu sedikit bilangannya tetapi dalam era IT hari ini, pandangan seperti itu akan tersebar luas dalam sekelip mata. Bukan sedikit yang membaca dan kemudian tumpang ‘cut & paste’ untuk disebarkan kepada orang lain melalui WhatsApp, Twitter, Face­book dan pelbagai lagi. Setelah tersebar dan dipersoalkan, maka jawapan popular yang sering diterima itu bukan kenyataannya, kenyataan itu tidak bertujuan menghina sesiapa atau akaun digodam. Ada juga yang menuding jari kepada orang lain atau ibarat lempar batu sembunyi tangan.

Memang mudah memohon maaf apabila didesak berbuat demi­kian. Selak kembali berapa banyak kenyataan yang sudah diucapkan yang menimbulkan kemarahan tetapi akhirnya mereka tampil memohon maaf. Sudah menjadi seperti satu budaya masyarakat di negara ini termasuk dalam kalangan pemimpin parti politik yang mengeluarkan pelbagai kenyataan sensitif, menyinggung perasaan dan melukakan tanpa memikirkan kesan buruk­nya. Amat mudah mereka tampil di khalayak untuk memohon maaf.

Hakikatnya, sudah banyak hati yang terluka dengan kenyataan-kenyataan itu tetapi disebabkan kesabaran masih menguasai diri, maka semuanya berakhir begitu sahaja. Semangat yang memun­cak ketika marah beransur hilang. Kata orang, mereka sudah lali dengan kenyataan-kenyataan yang menghina, memperlekeh dan memperkecilkan.

Inilah keistimewaan rakyat Malaysia ter­utama orang Melayu yang tahap kesabarannya amat tinggi, Mereka masih mampu bertolak ansur walaupun hakikatnya mereka sudah terluka. Lebih-lebih lagi bagi orang Islam, umat yang pemaaf.Walaupun kesabaran itu sebahagian daripada iman dan insan pemaaf, sesuatu harus dilakukan supaya rakyat pelbagai kaum dapat mengukuhkan perpaduan dan keharmonian.

Didiklah masyarakat untuk memahami sensitiviti sesuatu kaum dan agama. Mungkin pihak-pihak berkenaan seperti Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Institut Wasatiyyah Malaysia serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sama ada beragama Islam atau sebaliknya bergabung tenaga membimbing masyarakat supaya menghormati antara satu sama lain. Elakkan sebarang permusuhan dalam agama.

Perbezaan politik, agama dan kepercayaan tidak seharusnya menjadikan manusia hilang sifat kemanusiaan ketika berkata-kata. Bagi masyarakat Islam, mereka diasuh untuk menghormati orang lain. Konsep toleransi terserlah dalam Islam apabila umatnya diwajibkan menghormati orang bukan Islam. Agama dan akidah yang berbeza tidak boleh dijadikan halangan bagi mewujudkan perpaduan dan keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat.

Renungi firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang le­bih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Penge­tahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

Tanpa mengira siapa pun kita, sama ada orang biasa atau pe­mimpin politik, berusahalah untuk tidak menyakiti orang lain. Ja­ngan jadikan agama sebagai alasan menimbulkan permusuhan sebaliknya jadikan ia sebagai jambatan perpaduan ke arah mewujudkan masyarakat yang lebih harmoni serta saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Kisah kecil kami dan Tuan Guru Dr Haron Din

Oleh IMAM MUDA FAKHRUL 

MULA membuka mata di kala subuh hari di bumi Sudan. Hujan lebat membasahi bumi kering ini. Sebasah jiwa yang membungkam menangisi pemergian Murabbi Ummah Tuan Guru Datuk Dr Haron Din.

Insan yang terlalu banyak jasanya untuk Islam khususnya Pusat Dakwah Serantau yang kami sedang bina sudah masuk lima tahun. Almarhum adalah pengerusi majlis perunding Pusat Dakwah Serantau. Hasil usahanya memimpin kami dan Pusat Dakwah telah berjaya mengislamkan lebih 1000 orang di Malaysia, Indonesia, Kemboja dan lain-lain negara rantau ini. Hanya dalam masa 5 tahun.

Masih terpahat dalam ingatan ketika dalam mesyuarat majlis perunding membincangkan proses pembinaan kompleks Pusat Dakwah Serantau yang memakan belanja 25 juta. Salah seorang ahli mesyuarat bertanya dengan penuh keraguan, "macam mana kita nak cari 25 juta?" Spontan Almarhum menjawab "Minallah!", "Dari Allah!" Semua tersentak termotivasi dengan jawapan yang sangat meyakinkan. Allahu Akbar!

Alhamdulillah, dalam masa dua tahun Pusat Dakwah sudah mula dibina. Tanah sudah dibeli dan pembinaan sudah masuk fasa pertama. Pelajar pun sudah masuk pengambilan yang ke-6 dan anak didiknya sudah bertebaran di seluruh rantau asia menjadi selebriti langit mengajak insan kembali kepada Islam.

Kini kami mengorak langkah untuk menerbitkan Hidaya TV hasil sokongan kuat idea dan bantuan dari beliau. TV internet yang hanya fokus dakwah kepada yang belum Islam dengan pelbagai pendekatan.

Kini usaha sedang giat dilakukan dengan pelbagai penggambaran dan perbincangan. Masih teringat cukup semangat beliau membincangkan kandungan dan majlis pelancaran yang dicadangkannya besar-besaran. Malangnya beliau tidak sempat melihat hasilnya. Insya-Allah kami akan teruskan usaha ini. Semoga segala kebaikan dan pahala berterusan sampai kepadanya.

Terkadang rasa hairan di dalam jiwa. Bagaimana dia boleh menguruskan nyawanya sebegini hebat dalam keadaan dia sebagai seorang Mursyidul Am Parti Islam Semalaysia PAS. Ketua Kluster Dakwah Kerajaan, Pengerusi Darul Syifa, Pengerusi Majlis Perunding Pusat Dakwah Serantau dan puluhan lagi tugas besar yang terpikul di bahunya.

Tiada jawapan lain kecuali kelebihan ini adalah karamah yang Allah berikan hanya kepada mereka yang terpilih.

Kini beliau telah meninggalkan kami walaupun kami masih lagi sangat memerlukannya. Allah lebih menyanyanginya. Walau di hujung dunia jasadmu dikebumikan tidak menjadi masalah kerana jiwamu sentiasa tertanam dihati dan doa kami.

Rehatlah wahai Murabbi Ummah daripada kekalutan dan makar dunia. Sudah bertahun dikau menanam. Kini tiba masanya menuai hasilnya. Bergembiralah menemui Pencipta dan Rasul-Nya. Senyumlah menemui para Murabbi yang sudah lama mendahului.

Semoga kami sentiasa istiqamah bersama jalan yang telah kau lalui. Tak dapat dibayangkan betapa seronoknya menemuimu kembali nanti dibelakang Rasul yang dirindui.

Damailah Murabbi Ummah..

اللهم اغفرله وارحمه وعافه واعف عنه.....

Dari Al-Faqir IM Fakhrul, Khartoum Sudan.

Tuan Guru Dr Haron Din: Permata milik ummah

Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR
 
Saat golongan intelektual selesa dengan kehidupan mereka dalam dekad 1970-an, beliau telah pun menjadi Ahli Jawatankuasa kerja PAS Pusat. Maestro dakwah ini membangunkan jamaah semenjak zaman mudanya, walaupun menjadi tenaga pensyarah di kampus Bangi yang saat itu masih berhutan tebal. Beliau membangunkan jamaah saat, sebahagian besar kelompok kelas menengah masih meragui keupayaan Parti Islam mengurus dan mentadbir negara.

Tokoh sarjana muslim ini bukan sahaja mencanai intelektualnya dengan puluhan buku dan ratusan kerta kerja di menara gading, namun menyumbang kepakarannya untuk masyarakat umum negara ini. Namanya mengharum dalam perubatan Islam, bukan sekadar beliau mengubati masyarakat yang sakit daripada sudut akidah tetapi melahirkan jumlah yang besar pengamal perubatan Islam dengan tertubuhnya Darul Shifa' di Bangi. Darul Shifa' juga mempunyai jaringannya di seluruh negara, berbakti pada masyarakat.

Minat murabbi ini kepada pendidikan Islam tak mampu diremehkan, kerana usaha jihad ta'lim telah berakar dalam jiwanya. Beliau menjadi banyak penasihat kepada institusi pendidikan dan dakwah, antaranya Pusat Dakwah Serantau yang banyak melahirkan para daie dan menebarkan dakwah di kawasan pedalaman. Tuan Guru juga dalam keadaan uzur, masih lagi berulang ke Perlis, negeri kelahirannya untuk menyampaikan kuliah, antaranya di MATIN. Jiwanya segar apabila menyampaikan ilmu kerana itulah cinta dan citranya dalam kehidupan. Memberikan ilmu seolah therapi baginya dan tak banyak memberi alasan bila diajak menyumbangkan ilmu kepada masyarakat. Jika beliau tak hadir dalam majlis ilmu yang dirancangkan, bermakna beliau sakit yang tenat atau dalam pemerhatian doktor.

Dr Haron Din antara tokoh PAS yang dibenci oleh kelompok politikus liberal pragmatis kerana ketegasan beliau mempertahankan prinsip perjuangan Islam. Beliau dicaci dan dinista, namun ini tidak menjadi kudis buta kepada semangat beliau untuk membahterai perjuangan Islam ini. Sebagai Mursyidul Am, beliau mengambil tindakan bersama Majlis Syura dalam menentukan PAS tidak menjadi perkakas politik kepada musuh Islam untuk memanipulasi kekuatan jentera PAS. Memutuskan hubungan dengan rakan pemuafakatan politik yang tidak menghormati prinsip Islam mungkin pahit kepada pemimpi Putrajaya, namun itulah rakaman sejarah yang berlaku semasa Dr Haron memimpin Majlis Syura Ulamak.

Sikap pemurah beliau diketahui umum, membantu pembinaan kompleks tarbiah, sekolah agama, masjid serta pelbagai institusi Islam di negara ini. Masyarakat umum menghormatinya melepasi garisan sempadan politik kepartian, beliau dianggap milik ummat Islam. Kitab tulisannya bertebaran dan digunakan sebagai teks pengajian, termasuk oleh PDRM.

Penulis teringatkan sosok maestro dakwah ini dalam mengobarkan api semangat, beliau hadir ke daerah Besut dalam bulan Mac tahun ini untuk merasmikan kompleks Dakwah  Malaysia (KODIM) yang diusahakan oleh Ustaz Datuk Nik Zawawi. Murabbi ini berucap lebih sejam di atas mimbar masjid, guratan wajahnya gembira serta energinya kelihatan seperti masih muda. Beliau juga merasmikan majlis pecah tanah kompleks Pendidikan an-Nur Besut yang penulis usahakan, dalam keadaan agak penat beliau tidak menghampakan. Mendoakan supaya diberkati segala usaha mengajak manusia untuk hidup bertuhan serta dimudahkan segala gerak kerja membina mercutanda pendidikan di daerah agrarian itu.

Hari ini kita kehilangan murabbi ummah dengan segunung kebaktian di medan amal Islami. Negara kita bersedih kerana almarhum adalah milik semua orang, menyantuni orang susah, merawat yang sakit, mencerdaskan akal ummat. Terbayang senyuman manis dan doanya yang lirih serta taujihatnya yang menunjal-nunjal lubuk hati dan akal kita. Bersemadilah wahai sang murabbi, kami semua menjadi saksi akan kebaktianmu, kebaikanmu, juga dedikasimu di jalan juang ini.

Meraikan jagoan istimewa 
bertaraf dunia

OLEH  nazmizan mohamad 

MEREKA dikategorikan Orang Kelainan Upaya atau ringkasnya OKU, namun keupayaan mereka jauh menandingi kita yang dikategorikan normal. Saat negara meletakkan harapan kepada atlet normal untuk menghadiahkan emas pertama buat negara sekali gus menyaksikan lagu Negaraku berkumandang di bumi Rio, Brazil, impian tersebut hanya tinggal impian.

Misi memburu emas pertama Olimpik ditunda ke empat tahun lagi pada edisi berikutnya di Tokyo, Jepun. Namun hari ini, atlet yang dikatakan kurang upaya telah membuatkan rakyat Malaysia mengalirkan air mata apabila lagu Negaraku berkumandang bukan sekali tetapi dua kali di bumi Rio.

Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Muhammad Ziyad Zolkefli membuka mata dan minda seluruh masyarakat bahawa kekurangan yang ada pada diri masing-masing bukanlah titik noktah dalam kehidupan, sebaliknya kekurangan itulah yang menjadikan mereka kini permata yang bernilai.

Kejayaan kedua-dua atlet paralimpik itu hadir melalui pengorbanan yang cukup besar – bukan sahaja diri mereka sendiri tetapi seluruh ahli keluarga mereka. Sebagaimana ibadah haji dan korban melatih kita untuk berkorban dalam hidup ini, begitu juga yang telah dilalui kesemua atlet paralimpik ini.

Hidup ini memerlukan pengorbanan. Kalau diperhatikan bagaimana Nabi Ibrahim AS yang tidak memiliki anak sehingga dikatakan berusia 89 tahun, lalu dikurniakan anak-anak bernama Ismail dan Ishak, tiba-tiba diarahkan untuk ditinggalkan Ismail dan Hajar di Padang Pasir Mekah yang kering kontang.

Bentuk geografi Mekah pada ketika Nabi Ibrahim dia­rahkan meninggalkan anak dan isterinya itu bukan seperti Mekah hari ini yang ada penduduk, orang pun ramai, ada kemudahan tetapi Mekah pada ketika itu ialah padang pasir yang luas, kering-kontang yang tidak ada apa-apa dan tidak berpenghuni.

Ke hulu ke hilir Sayyidatina Hajar mencari-cari air untuk diberikan kepada anaknya Ismail, sehingga terbitnya air zamzam yang terus menerus mengalir hingga ke hari ini yang lahir hasil daripada pengorbanan Nabi Ibrahim.

Begitulah juga kejayaan atlet paralimpik negara tidak hadir sekelip mata sahaja. Pelbagai onak duri, cabaran berliku yang perlu ditempuhi sebelum sejarah pingat emas di Temasya Sukan Paralimpik Rio ini.

Lebih besar juga pengorbanan ibu ayah serta keluarga yang tanpa lelah memikul amanah yang telah diberikan Allah. Jika dahulu layanan ‘negara’ terhadap mereka ha­nya satu pertiga daripada layanan yang diberikan kepada atlet normal, kini di bawah teraju Menteri Belia dan Sukan yang baharu, Khairy Jamaludin - kita dan mereka tiada bezanya lagi.

Sebagaimana sukarnya latihan yang atlet normal lalui, sebegitu sukar juga yang mereka jalani, malahan kudrat dan tenaga mereka lebih banyak digunakan terutama bagi atlet paralimpik yang kekurangan anggota dan perlu menggunakan kerusi roda.

BINA PRASARANA KHUSUS

Sebagai seorang bekas atlet negara yang lebih 15 tahun berkecimpung di dalam arena ini, saya merasakan sudah tiba masanya kerajaan menyediakan prasarana dan kemudahan yang lebih khusus untuk golongan OKU ini.

Saya akui, kita telah memiliki kompleks latihan di Kampung Pandan untuk kegunaan atlet paralimpik negara, namun apa yang cuba diutarakan di sini ialah kemudahan di peringkat permulaan.

Sebagaimana Sekolah Sukan Bukit Jalil, Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail dan sekolah sukan lain yang diwujudkan di Malaysia bagi menghimpunkan atlet yang cemerlang di peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) mahupun Sukan Malaysia (Sukma), sebegitu jugalah yang perlu ada untuk atlet paralimpik negara.

Mereka ini rata-ratanya lahir dari pelbagai latar belakang pendidikan dan cemerlang di negeri masing-masing seterusnya dihimpunkan di Majlis Sukan Negara (MSN) bagi menjalani latihan berpusat di bawah kendalian jurulatih yang telah dipilih.

Namun, majoriti daripada mereka tidak menyambung pengajian sebaliknya menjalani latihan secara sepenuh masa. Sekiranya kerajaan prihatin dengan masa depan atlet paralimpik ini, tidak salah sekiranya dibina sebuah sekolah sukan khas untuk menempatkan mereka ini.

Jika tidak pendidikan formal, cukup sekadar menyediakan peluang kemahiran dengan dibimbing oleh pelatih profesional serta dilengkapi pelbagai keperluan sebagaimana yang ada di sekolah-sekolah sukan.
Setidak-tidaknya, apabila bersara kelak, ada sesuatu yang boleh dilakukan oleh atlet paralimpik negara untuk menampung kehidupan masing-masing terutama bagi yang tidak begitu menyerlah di pentas antarabangsa.

Bukanlah niat saya menafikan inisiatif yang telah diambil kerajaan ketika ini antaranya i-Talent yang menyediakan peluang untuk OKU mencapai impian menjadi atlet profesional, namun apa yang saya cuba nyatakan di sini ialah mewujudkan pusat pengajian khusus untuk mereka meningkatkan kemahiran sampingan dalam diri.

Terlalu besar sebenarnya ruang untuk kita melahirkan lebih ramai jaguh dunia menerusi kategori paralimpik, terlalu luas kategori yang dipertandingkan, apakah kita hanya berpuas hati dengan seorang Mohamad Ridzuan dan Muhammad Ziyad?

Jika kedua-duanya mampu melakar kejayaan di sebalik kekurangan yang dimiliki, tidak mustahil lebih ramai ibu bapa yang memiliki anak-anak OKU kini terbuka minda untuk menyerahkan anak mereka ke pangkuan negara jika segala prasarana lengkap disediakan.

Olahraga telah membuktikan dan tidak mustahil kita juga mampu melahirkan jagoan dalam acara renang, angkat berat, tenis, bola sepak, bola tampar, badminton, futsal dan acara lain lagi.

Pahit getir hidup dan perjuangan, terpaksa dihadapi demi kejayaan, terdidik sejak mula tabah berusaha, tanpa cuba melangkah tak mana, di mana kau berada, pencapaian tak tiba dengan mudah.

Moga bait lirik, Standing In The Eyes Of The World ini akan terus menjadi azimat dalam melahirkan atlet para­limpik bertaraf dunia. Teruskan melangkah atlet para negara, semangat juang anda tidak mampu ditandingi atlet normal lainnya. Anda kebanggaan negara!

PENULIS ialah Timbalan Pengarah Pusat Sukan, Universiti Malaysia Perlis.

Tuan Guru Haron Din, ulama tegas dan cekal

Pagi Jumaat penuh barakah menyaksikan Tuan Guru Dr Haron Din (Al Mursyidul Am PAS) telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Perginya seorang ulama tegas dan cekal dalam mengharungi fitnah mehnah dalam perjuangan. Seorang lagi pemimpin utama PAS yang istiqamah pergi ketika sedang memimpin jamaah, pergi ketika jamaah masih memerlukannya.

Almarhum antara generasi awal menyertai PAS. Pernah berguru dengan pemimpin utama PAS pada masa itu Almarhum Dr Zulkifli Mohammad sewaktu menuntut di Kolej Islam Klang. Antara kata-kata Tuan Guru yang masih segar dalam ingatan ini: "Penyokong PAS sudah ditarbiah bahawa kita berjuang selama ini bukan untuk kemenangan peribadi, kita berjuang untuk kemenangan Islam, untuk mendaulatkan Islam sebagai ad-den".

Ulama yang banyak menjadi bahan hinaan pihak tertentu ini tetap konsisten terhadap perjuangannya mendaulatkan Islam. Walaupun Tuan Guru belum pernah menang dalam dalam mana-mana pilihan raya umum, ternyata pada hari ini Tuan Guru menikmati kemenangan sejati, insya Allah.

Tuan Guru, insya Allah kami akan meneruskan perjuanganmu tanpa jemu. Semoga rohmu ditempatkan bersama para anbiya'.

Sekalung takziah buat keluarga Almarhum.

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ...

أَللَّهُمَّ اغْفِرْلَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِعْ مَدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالْثَلْجِ وَالْبَرَدِ، وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتُ الثَّوْبَ الأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ، وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ ، وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ ، وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ ، وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ اْلقَبْرِ وَمِنْ عَذَابِ النّار

AKMAL KAMARUDIN
Kg Rusila
14 Zulhijjah 1437

Tuan Guru Datuk Dr Haron Din dalam kenangan

Selepas solat Isya' tadi di Masjidil Haram, ingatan kepada Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din begitu kuat bermain dalam ufuk minda kami. Sementelahan pula pada sebelah petang, kami dikejutkan dengan berita beliau dalam rawatan jantungnya. Hati kami sedikit hiba dengan berita itu.

Pada akhir Ogos yang lalu, kami sempat berbual panjang dengan beliau dalam banyak topik seumpama hukum hakam agama, isu politik antarabangsa, coup détat di Turki, termasuklah isu RUU355 dalam satu pertemuan ziarah di rumah beliau. Alhamdulillah, pada masa itu sempat juga kami bertanyakan kesihatannya. Ketika itu, beliau nampak sangat bersemangat bila berbicara walaupun zahirnya nampak agak keletihan. Sedar tak sedar, hampir 3 jam diskusi kami.

Sebelum mengetahui berita pemergiannya, kami sempat mengambil kesempatan dengan keberadaan kami di Kota Suci Mekah dan pada malam Jumaat 14 Zulhijjah dengan penuh kesayuan berdoa kepada-Nya supaya diberi kesembuhan kepada beliau. Pun begitu, Allah lebih menyayangi hamba-Nya.

Kami lafazkan innalillahi wa inna ilaihi raji'un. Sesungguhnya kita semua adalah milik Allah dan kita semua pasti akan kembali kepada-Nya. Dengan perasaan redha dengan taqdir-Nya dan sabar kami ucapkan kalimah yang telah diajarkan kepada kita.

Kami tidak katakan berkenaan almarhum kecuali hal yang baik sahaja. Sesungguhnya almarhum merupakan tokoh yang mempunyai pendirian yang jelas dalam ilmu, tegas, cintakan Islam serta mendalam ilmunya. Mempunyai kefahaman yg tinggi ketika mana ramai orang kabur dan keliru dalam tindakan. Cintakan perpaduan dan mempunyai impian untuk melihat Islam dijunjung tinggi di tanah air.

Semoga rohnya dicucuri rahmat dan keampuman serta ditempatkam bersama orang-orang yang beriman. Allahummaghfirlahu warhamhu wa 'afihi wa'fu 'anhu.

Akhukum fillah,
SS Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri -

Virus Zika ancam dunia

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH 

Sukan Olimpik 2016 yang berlangsung di Rio de Janeiro, Brazil sudah pun melabuhkan tirai pada 21 Ogos lalu. Negara tersebut bukan sahaja meninggalkan memori manis buat atlet dan peminat sukan dunia, malah dikaitkan dengan punca penyebaran virus Zika yang pastinya sesuatu yang membimbangkan.

Malaysia sebelum ini turut meminta garis panduan daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan WHO berhubung isu virus Zika.

Sementara itu, WHO ketika itu menolak seruan agar Sukan Olimpik Rio dipindahkan atau ditangguhkan berhubung jangkitan Zika.

Menurut pertubuhan itu, cadangan ini “tidak akan mengubah dengan banyaknya” penyebaran virus itu, yang dikaitkan dengan kecacatan serius terhadap bayi yang baru dilahirkan.

Sebelum berlangsungnya sukan berprestij dunia itu, 150 saintis, doktor dan pejuang etika perubatan antarabangsa menulis sepucuk surat terbuka kepada WHO untuk meminta sukan itu dipindahkan dari Rio de Janeiro atau ditangguhkan penganjurannya akibat virus tersebut.


Antara Februari dan April 2016, Kementerian Kesihatan Brazil merekodkan kebarangkalian 91,387 kes berkaitan virus Zika, manakala jumlah bayi yang dilahirkan dengan kecacatan berkaitan virus Zika ialah 4,908 pada April.

Ketika Sukan Olimpik berlangsung, penduduk dunia seolah-oleh melupakan Zika sehinggalah virus ini tiba-tiba sahaja menular di AsiaTenggara sebaik-baik sahaja sukan tersebut tamat.

Malangnya, ancaman Zika kini sudah memasuki Malaysia, dengan seorang wanita dari Klang yang baru pulang dari Singapura disahkan positif sebagai kes pertama di negara ini.

Anak wanita berkenaan di Singapura dilapor turut dijangkiti virus Zika, namun ujian ke atas suaminya yang turut sama ke Singapura, didapati negatif.

Sebelum kes ini lagi, kebimbangan jelas semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia ekoran penularan kes Zika di negara-negara jiran.

Di Singapura, seorang wanita hamil antara 38 kes Zika terkini yang dikesan di sana (empat bukan daripada kelompok yang sedia ada), menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 189 kes (3 September) di Republik itu. Kerajaan negeri Johor sebelum ini telah pun mengambil langkah mempertingkatkan kawalan di enam pintu masuk sebagai langkah berjaga-jaga.

Di Thailand pula, jumlah kes Zika semakin meningkat dengan 97 orang didiagnos dengan penyakit itu dalam tempoh separuh pertama tahun ini.

Dalam pada itu, WHO sebelum ini memberi amaran virus Zika, yang disebabkan gigitan nyamuk mungkin tersebar secara meluas di seluruh benua Amerika.

Virus itu dikesan kali pertama pada spesies monyet sekitar 1947.

Ia tersebar secara besar-besaran di Amerika apabila jangkitan pertama kali dikesan di Brazil pada Mei tahun lalu.

Setakat ini boleh dikatakan hampir tidak ada vaksin khusus untuk menangai wabak penyakit bawaan nyamuk. Kalau adapun, kesan vaksinnya hanya untuk tempoh masa yang tertentu.

Virus zika yang disebabkan oleh nyamuk Aedes merebak di sebahagian Amerika Latin dan Caribbean telah menimbulkan kebimbangan malah ia dikatakan penyebab bayi yang dilahirkan berkepala kecil di Brazil dan berkemungkinan turut menyebabkan beberapa isu kesihatan yang lain.

Memetik laporan AP, virus Zika (ZEE-ka) ditemui kali pertama pada monyet di Uganda pada tahun 1947. Namanya diambil dari sebuah hutan Zika iaitu lokasi virus itu ditemui.

Virus Zika disebarkan melalui gigitan nyamuk daripada jenis yang sama yang menyebarkan penyakit tropika yang lain seperti demam denggi, chikungunya dan demam kuning.

Tersebar melalui seks

Jika sebelum ini, Zika dilaporkan tersebar menerusi gigitan nyamuk Aedes, namun kini virus ini juga boleh disebarkan melalui hubungan seks.

Menurut kajian, virus Zika boleh berada dalam badan manusia selama 21 hari sehingga enam bulan.
Sekiranya orang yang dijangkiti mengadakan hubungan seks pada tempoh berkenaan, ia mendedahkan risiko menjangkiti pasangan mereka.

Untuk lelaki, virus Zika boleh berada dalam air mani selama enam bulan. Untuk kaum wanita, virus Zika boleh terkandung dalam cecair faraj atau vaginal fluid sehingga dua bulan.

Ini bermakna jika wanita yang dijangkiti virus Zika melakukan hubungan seks dalam lingkungan dua bulan, risiko pasangan mereka dijangkiti virus Zika adalah tinggi. Manakala jika kaum lelaki yang dijangkiti virus Zika melakukan hubungan seks dengan pasangannya, risiko pasangan mereka mendapat virus Zika adalah tinggi dalam tempoh enam bulan ini.

Tiada ubat khusus

Pakar berpendapat, orang yang dijangkiti virus Zika ini tidak jatuh sakit. Biasanya mereka hanya mengalami gejala ringgan seperti deman, ruam, sakit sendi dan mata merah yang hanya untuk tidak kurang dari seminggu.
Tiada ubat yang khusus dan tiada vaksin yang dibangunkan untuk itu yang berlaku untuk beberapa penyakit tropika lain yang menyebabkan wabak berkala.

Di Brazil, ada bukti yang mengaitkan virus Zika yang menjangkiti wanita hamil akan menyebabkan kecacatan kelahiran yang dipanggil microcephaly di mana kepala bayi yang baru lahir adalah lebih kecil daripada biasa dan otak bayi mungkin tidak berkembang dengan baik.

Menurut Pakar  Perubatan Dalaman Hospital Pakar KPJ Johor, Datuk Dr. M.Singaraveloo, orang ramai boleh melindungi diri mereka daripada gigitan nyamuk dengan menggunakan penghalau serangga dan memakai baju lengan panjang serta seluar terutama pada waktu siang. Apabila nyamuk cenderung untuk menjadi yang paling aktif.

Tambahnya, menghapuskan tempat pembiakan dan mengawal populasi nyamuk boleh membantu mencegah penyebaran virus.

“Bayi dalam kandungan paling berisiko sekiranya si ibu dijangkiti virus Zika. Zika boleh tersebar menerusi jangkitan kuman kepada janin dan peringkat janin yang paling berisiko dijangkiti virus tersebut adalah dalam tempoh kehamilan tiga bulan pertama.

“Sindrom microcephaly disebabkan virus zika akan menyebabkan seseorang kanak-kanak berhadapan kecacatan mental sehingga membataskan kecerdasan pergerakan otot seumur hidup mereka,” katanya.
Virus Zika juga boleh dijangkiti melalui hubungan seksual dan konteks seksual di sini termasuk hubungan seks biasa, melalui seks luar tabii dan seks oral.

Penggunaan kondom sangat penting dan boleh mengurangkan risiko menjangkiti virus Zika melalui hubungan seks. Jika seseorang tidak melakukan sebarang hubungan seks, ia akan menghapuskan risiko dijangkiti atau menyebarkan virus Zika sama sekali.

Mengikut garis panduan WHO, sekiranya seseorang sudah dijangkiti virus Zika, untuk kaum lelaki adalah disarankan menggunakan kondom atau tidak melakukan hubungan seks sekurang-kurangnya enam bulan dari hari pertama simptom Zika.

Manakala bagi kaum wanita, sekurang-kurangnya dua  bulan atau lapan minggu. Bagi sesiapa yang baharu sahaja balik dari negara yang endemik Zika, mereka dinasihatkan untuk gunakan perlindungan iaitu kondom atau tidak melakukan hubungan seks selama lapan minggu atau dua bulan.

Dalam pada itu, Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Pakar Regency, Dr. Sharifah Halimah Jaafar menolak saranan yang meminta pasangan melupakan niat untuk memiliki zurait disebabkan Zika.

Katanya, kita tidak tahu sama ada Zika akan kekal sebagai sebahagian daripada penyakit berjangkit seperti demam denggi.

“Kita perlu bersedia kerana Zika mungkin menjadi salah satu vektor penyakit untuk jangka masa panjang,”katanya.
 

TAWARAN ISTIMEWA

Headlines News

Iklan

Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER