Oleh ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM AL-HAFIZ
SIAPA sangka? Lahir di Iraq tapi dikebumikan di Kampung Sungai Pusu Gombak, Selangor! Itu yang berlaku kepada Prof. Dr. Irfan dan Dr. Baha’uddin, dua pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang berasal dari Iraq. Siapa sangka lahir di Malaysia tetapi meninggal dunia di ruang udara Ukraine. Itu pula yang berlaku kepada mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines, MH17.
Siapa pula tahu, tokoh agama, Allahyarham Datuk Dr. Haron Din, lahirnya di Perlis tapi disemadikan di California, Amerika Syarikat (AS). Jarak antara dua lokasi ini beribu kilometer jauhnya.
Apabila mengenang lokasi persemadian arwah Haron, iman kita kepada Allah sepatutnya mencanak naik.
Hebat sekali Allah SWT yang merencanakan segala sesuatu. Benar sekali firman Allah ini:
“Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dialah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi manakah dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi Pengetahuan-Nya,” (Luqman[31:34]).
Siapa tahu? Ketika malaikat diarah meniup roh ke dalam janin Allahyarham pada usia empat bulan, tarikh dan tempat matinya sudah ditetapkan Allah berlaku di bumi California, AS yang nun jauh di sana. Benar sekali sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya setiap kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari, kemudian ia menjadi segumpal darah selama itu juga (40 hari), kemudian ia menjadi seketul daging selama itu juga (40 hari), kemudian dihantar kepadanya malaikat lalu diarahkan agar menulis empat perkara. Lalu dikatakan kepada malaikat itu: Tuliskan perihal amalannya, kadar rezekinya, ajalnya dan sama ada dia menjadi orang yang celaka (sebagai ahli neraka) atau bahagia (sebagai ahli syurga). Kemudian ditiup padanya roh,” - Sahih Bukhari, Sunan Abu Dawud, Sunan Tirmizi, Sunan Ibn Majah, Musnad Ahmad.
Ketika mengulas ayat misteri tempat mati yang ditetapkan bagi manusia, Imam Ibn Kathir membawa sebuah hadis, sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya apabila Allah mahu mencabut roh hamba-Nya di sebuah bumi, dijadikan bagi hamba-Nya itu sesuatu hajat (urusan) di bumi tersebut,” - Musnad Ahmad, Sahih Ibn Hibban, hadis ini dinilai sahih oleh al-Albani.
Ketika mengulas ayat 34 surah Luqman di atas, para mufassir membawa sebuah riwayat yang mengisahkan satu peristiwa ajaib pada zaman Nabi Sulaiman a.s.
“Pada suatu hari Malaikat Maut bertemu dengan Nabi Sulaiman a.s., Malaikat Maut terpaku melihat seorang lelaki dalam majlis baginda. Lelaki itu bertanya kepada Nabi Sulaiman: “Siapakah dia ini?” baginda menjawab: “Dia adalah Malaikat Maut.” Lelaki itu berkata: “Seakan-akan dia mahu mencabut nyawaku, wahai tuanku suruhlah si angin agar membawaku jauh ke negeri Hind.” Nabi Sulaiman pun melaksanakan permintaan lelaki tersebut. Sesudah itu Malaikat Maut berkata: “Sebenarnya aku melihatnya kehairanan kerana aku diarahkan Allah agar mencabut nyawanya di negeri Hind sedangkan (dalam beberapa ketika sebelum matinya) dia masih berada bersamamu.” (Tafsir al-Alusi, Tafsir al-Baydawi dan Tafsir al-Nasafi).
Mati adalah misteri Allah. Tiada siapa tahu tarikhnya dan di bumi mana akan dikebumikan. Apa yang pasti, ikatan sempadan negara hanya berlaku dalam alam zahir ini. Alam barzakh yang menjadi negeri persinggahan sementara sebelum ke akhirat pastinya tiada sempadan ruang dan masa seperti alam dunia.
Orang beriman seperti Allahyarham mungkin sedang berbahagia di sana bersama rakan-rakannya yang lain.
Ya Allah! Walau di bumi mana pun dia disemadikan, jadikan kubur guru kami itu sebagai sebuah taman antara taman syurga-Mu. Insya-Allah.
Post a Comment