Oleh Kamarulzaidi Kamis
UMUM mengetahui fungsi lampu isyarat pada dasarnya adalah untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas agar lalu lintas bergerak dengan lebih teratur. Ia ditempatkan di persimpangan jalan, lintasan pejalan kaki dan lokasi yang dirasakan perlu.
Penggunaan sistem lampu isyarat pertama kali diperkenalkan di England, United Kingdom (UK) iaitu di daerah Westminster pada 10 Disember 1868 dan ketika itu ia menggunakan lampu gas dan perlu dikendalikan secara manual.
Namun begitu, Institut Hal Ehwal Ekonomi (IEA) UK, baru-baru mengeluarkan laporan kajian 'Seeing Red: Traffic Controls and the Economy', mendapati UK mengalami kerugian ekonomi lebih dari 16 bilion pound (RM85 bilion) setahun berikutan kesesakan trafik akibat terlalu banyak lampu isyarat.
Agensi pemantauan lalu lintas berkenaan mencadangkan, lapan daripada 10 lampu isyarat di UK perlu dihentikan kerana ia sebenarnya menggugat keselamatan jalan raya, ekonomi dan alam sekitar.
Laporan itu mencadangkan supaya alternatif baharu dicari jika lampu isyarat dihentikan, sistem jalan raya direka kembali agar ia lebih bersifat terbuka dan berkonsepkan perkongsian antara pengguna.
Ia sebagai mekanisma memaksa pemandu, penunggang motosikal dan basikal serta pejalan kaki supaya lebih bertanggung-jawab serta berwaspada dengan bergerak lebih perlahan di persimpangan jalan.
Antara kes dirujuk adalah pekan kecil, Kent, Ashford yang menghentikan penggunaan lampu isyaratnya pada 2008 dan kemudian menstruktur semula jalan raya agar menjadi lebih mesra pengguna. Hasilnya, angka kemalangan susut 41 peratus dan kesesakan jalan raya berjaya dikurangkan walaupun pertambahan jumlah kenderaan di kawasan terbabit.
Walau begitu di negara kita, masih belum ada kajian sebegini dibuat. Sebahagian besar daripada kita sendiri kadangkala terasa ada lampu isyarat yang ditempuhi setiap hari tidak sepatutnya diletakkan di lokasi berkenaan.
Bahkan lebih meresahkan apabila menunggu di lampu merah terlalu lama menyebabkan kesesakan panjang sedangkan di jalan bertentangan yang lengang. Lihat saja berapa ramai yang melanggar lampu isyarat mungkin kerana tidak tahan menunggu lama di persimpangan kosong.
Saya sering pulang ke kampung di Kangar, Perlis. Seingat saya, pada sekitar tahun 80-an bandar Kangar hanya ada kurang daripada lima lampu isyarat, sehinggakan ia adakalanya menjadi bahan jenaka rakan warga bandar lain sewaktu saya belajar di sebuah institusi pengajian tinggi ibu kota. Namun itu bukan isunya.
Kini berpuluh-puluh mungkin beratus lampu isyarat diletakkan di bandar kecil itu. Perkara ini sangat meresahkan dan ada daripadanya dirasakan membuang masa kerana ia tidak diperlukan di situ. Banyak alternatif lain yang lebih sesuai seperti susur pusingan U atau bulatan, jika dirasakan jejambat itu terlalu mahal.
Janganlah dijadikan lampu isyarat sebagai lambang kemajuan. Saya rasa banyak lagi tempat lain khususnya bandar kecil di negara ini berdepan situasi serupa.
Mungkin tiba masanya pihak kerajaan, universiti tempatan dan pihak majlis bandaran memberi perhatian mengkaji alternatif kepada lampu isyarat serta struktur jalan raya tempatan yang lebih sesuai dan selamat untuk mengurangkan kesesakan.
Lampu isyarat cetus kerugian ekonomi
Written By zabidi on Tuesday, 4 October 2016 | October 04, 2016
Labels:
Artikel
Post a Comment