Headlines News :
Home » » Semendera Janji

Semendera Janji

Written By zabidi on Monday 15 March 2021 | March 15, 2021


Oleh Md Nizar Parman -

 SEJAK kecil, Munah memang telah diasuh untuk bermesra-mesra dengan laut dan ombak. Berbanding abang dan kakaknya, Munah lebih cekap menghidu bau angin. Munah tahu bila ribut akan turun apabila melihat kelompok awan yang berarak di kaki langit dan merasa angin yang menyentuhnya. Jika keadaan itu berlaku, Pak Munir akan cepat-cepat menarik pukatnya. Munah pula akan menanggalkan ikan-ikan yang tersangkut pada pukat dan memasukkannya ke dalam tong ikan yang berisi ais dengan segeranya.

Munah sudah tahu membezakan jenis ikan ketika usianya enam tahun. Kertang, gelama papan, selampai, pari, senangin, kurau dan sembilang adalah antara spesies ikan yang sering terperangkap pada pukatnya justeru dia juga cekap untuk memilih saiz ikan yang sesuai untuk dijual kepada pemborong. Ikan-ikan yang bersaiz kecil biasanya dilepaskan ke laut kembali.

Kebelakangan ini, Munah sering memikirkan kesihatan Pak Munir. Tubuh ayahnya tidak setegap dua puluh atau tiga puluh tahun yang lalu. Kedut-kedut pada muka, urat yang kian menimbul dan mata yang kian cekung jelas kelihatan pada susuk lelaki itu.

"Engkau tak perlu risau fasal aku, Munah. Aku masih kuat untuk turun ke laut. Tarik pukat." Itu sajalah kalimat yang terpacul daripada mulut ayahnya apabila dia menyuarakan kebimbangannya. "Engkau tu yang patut risaukan diri. Umur sudah hampir suku abad, bayang jodoh pun tak nampak lagi!" tempelak ayahnya pula.

"Ke situ pula ayah ni," rungut Munah – memuncungkan mulutnya.

"Sampai bila engkau mahu bersendirian? Ayah tidak muda lagi. Entah esok... entah lusa, Dia jemput aku," ujar ayahnya yang duduk di pangkin kayu di anjung rumah. Sebelah kakinya dilipatkan sehingga lututnya hampir mencecah dagu.

Ketika itu, Munah sedang memeriksa pukat hanyutnya yang ditarik memanjang seperti ampaian. Beberapa batang buluh dicacakkan untuk menahan pukat itu. Dia hanya mendiamkan diri. Entah berapa kali ayahnya berkata begitu. Belakang ini hasil tangkapan ikannya semakin berkurangan. Itu soal yang lebih merunsingkan fikirannya berbanding memikirkan soal jodoh. Ikan-ikan di pesisiran pantai itu pun tidak sebanyak dan sebesar dahulu.

Pun begitu, Munah tetap bersyukur kerana buat masa ini dia dan ayahnya tidak pernah keputusan wang belanja. Hasil yang diperoleh daripada jualan ikannya dibelanjakan dengan cermatnya. Tidak seperti gadis yang lain, Munah amat langka membelanjakan wangnya untuk tujuan kecantikan. Cuma setiap malam sebelum tidur dia akan menempekkan mukanya dengan bedak sejuk. Itu sudah memadai baginya.

Munah mendongak ke langit. Sudah rembang tengah hari. Tengkuknya berasa perit dijilat rakus cahaya matahari. Mujur pukat itu tidak banyak yang rosak. Hanya ada beberapa koyakan kecil dan telah disiratnya dengan benang baharu. Esok dia dan ayahnya akan memukat ikan lagi berhampiran sebuah pulau kecil tidak jauh dari jeti nelayan di situ.

Dia melabuhkan punggung berdekatan dengan ayahnya di pangkin kayu itu untuk menghilangkan lelahnya. Petang nanti jika cuaca sudah mula redup, dia akan menggulung pukat itu dan menaikkannya ke bahagian belakang pikap miliknya. Pikap yang sudah hampir lima tahun usianya itu digunakan untuk menghantar ikan ke pasar-pasar awam di pekan berhampiran juga. Munah lebih suka menjual ikan-ikan yang ditangkapnya secara terus kepada peniaga berbanding menggunakan khidmat orang tengah yang kebanyakannya tukang catut. Ayahnya telah menyerahkan semua urusan penjualan ikan kepadanya.

"Jadi kamu hendak ke jeti pemancing kita tu petang nanti?" soal ayahnya.

"Jadi, ayah. Munah dah janji dengan Sahak. Dia nak periksa tiang dan lantai jeti pemancing tu," balas Munah.

"Sebab ada beberapa tiang buluh tu sudah terbenam. Lantainya pun sudah mula melendut."

Pak Munir terangguk-angguk. Siapakah lagi yang hendak diharapkan untuk mewarisi pekerjaannya sebagai anak laut kalau bukan Munah? Hendak harapkan Moin dan Maisarah, tidak mungkin sebab anak sulung dan keduanya itu sudah ada jawatan tetap di kota besar. Moin sudah jadi pakar bedah di hospital besar manakala Maisarah bertugas sebagai pensyarah di sebuah universiti awam. Kedua-duanya juga sudah beranak-pinak.

Pak Munir sedikit pun tidak berasa kesal walaupun Munah tidak berotak cair seperti abang dan kakaknya. Dan, Munah juga tidak pernah menyesali nasibnya. Hanya kadang-kadang dia berasa sedih apabila melihat anak gadisnya itu terpaksa memerah kudratnya di bawah terik matahari ketika melabuhkan dan menarik pukat.

"Ayah menungkan apa?" Munah menggugah lamunan ayahnya.

"Teringat akan Abang Moin dan Kak Maisarahkah?"

"Tak... Tak ada apa-apa. Cuma..."

"Tak payah nak bohong Munahlah, yah. Munah tau ayah sunyi. Lebih-lebih lagi sejak emak tidak ada. Abang Moin dan Kak Maisarah pun sudah jarang pulang. Kalau ayah rindu akan cucu-cucu ayah, pergilah ke rumah mereka seminggu dua. Ayah jangan risau, pandailah Munah uruskan semua kerja di sini. Lagi pun, Sahak boleh bantu Munah kalau ayah tiada," balas Munah.

"Engkau dengan Sahak tu ada apa-apakah?"

Munah membiarkan soalannya ayahnya itu terus bergentayangan. Soalan yang belum ada jawaban yang pasti. Dalam kalangan teman sekolahnya, Sahaklah yang paling akrab dengannya. Mungkin mereka mempunyai minat yang sama. Ya, laut. Cuma perbezaannya, Sahak mewarisi syarikat penangkapan ikan milik arwah ayahnya. Dia mempunyai dua buah bot besar untuk menangkap ikan di laut dalam. Dan, Munah juga mempunyai impian yang sama.

Pantai Sungai Tegak boleh diibaratkan seperti pantai yang telah kehilangan pasirnya. Laut yang bagaikan naga lapar dan ombak yang bagaikan apinya telah menghakis pasir nan putih di pesisiran pantai itu. Dahulunya, kawasan tepi laut ialah kebun kelapa milik penduduk-penduduk kampung di kawasan ini. Oleh sebab hakisan yang serius, akhirnya kebun-kebun ini lenyap. Untuk mengelakkan hakisan yang lebih teruk, sepanjang Pantai Sungai Tegak telah dibina benteng daripada bongkah-bongkah batu yang besar.

"Dapat?" tanya Munah lembut.

Kedua-dua hujung tudung yang disangkutkan pada bahunya bergoyang-goyang ditiup angin sore. Dia duduk di atas sebongkah batu besar di tepi pantai itu, betul-betul bersebelahan dengan pintu masuk jeti pemancingnya.

Sahak pula berdiri di laluan masuk jeti itu yang berlantaikan papan. Sengaja diinjak-injaknya untuk menguji kekukuhannya. Jeti pemancing sepanjang 50 meter yang menganjur ke arah laut itu jarang kosong. Pada hujung minggu, ada sahaja kumpulan pemancing yang menempahnya.

"Dapat. Ada di dalam lori tu," jawab Sahak.

"Agak-agak, bila kita boleh mulakan projek tu?"

"Terpulang pada Munah. Saya ikut sahaja. Kalau minggu depan pun elok juga," balas Sahak. Dia berjaya mengumpulkan boya-boya lama yang diperolehnya daripada rakannya; para pengusaha bot di sekitar Batu Pahat. Boya-boya itu akan ditenggelamkan untuk menternak kupang.

"Kalau ada dua puluh, cukuplah 50 buah sarang kupang," ujar Munah. Dia melihat sarang-sarang kupangnya yang diikat dengan tong berwarna biru dan hijau teroleng-oleng dipukul ombak. Dua atau tiga bulan lagi, dapatlah dia menuai kupang-kupang itu. Sahak yang membekalkan benih-benih kupang itu kepadanya.

"Alhamdulillah. Nampaknya usaha Munah akan membuahkan hasil. Kalau dah banyak nanti, kita akan bersama-sama mengeksport kupang ini ke negara jiran," ujar Sahak.

Munah tersenyum puas. Apa sahaja yang tidak dilakukannya untuk kelangsungan dunia nelayan yang diwarisi oleh ayahnya? Legasi itu harus diteruskan. Dia tidak boleh hanya mengharapkan ikan-ikan masuk ke dalam pukatnya setiap hari. Dengan jumlah tangkapan yang kian tidak menentu, dia harus berani untuk melakukan perubahan untuk menambahkan pendapatan. Sahak yang mencadangkannya untuk menternak kupang. Ternakan kupang ada potensi untuk maju. Sahak sendiri tidak menang tangan untuk membekalkan kupang kepada para peniaga terutama pengusaha kedai atau restoran makanan laut di sekitar daerah itu.

Daripada Sahak jugalah dia mula belajar memasarkan ikan-ikan segar secara dalam talian. Pada peringkat awalnya, dia hanya membuka jualannya untuk orang-orang kampung dan taman perumahan berhampiran dengan tempat tinggalnya dan menyediakan perkhidmatan penghantaran ikan.

Walaupun penat, dia seronok melakukannya. Alah bisa tegal biasa. Jika bekalan ikan segarnya tidak mencukupi, dia akan mendapatkan bekalan ikan daripada rakan-rakan peniaga ikan di pasar awam tempatnya berniaga. Dia hanya mengambil upah penghantaran. Secara tidak langsung, dia dapat meningkatkan hasil jualan rakan-rakannya apatah lagi ketika pandemik Covid-19 sedang bermaharajalela ketika ini.

Munah membiarkan Sahak memeriksa keadaan jeti pemancing itu. Dia hanya memerhatikannya dari situ. Kelihatan Sahak duduk di jeti itu sambil berbual-bual dengan beberapa orang pemancing. Mungkin Sahak memerlukan pandangan atau pendapat daripada para pemancing itu. Walaupun telah beberapa kali dilanda ribut kencang, Munah bersyukur kerana jeti yang didirikan hasil titik peluh ayahnya kira-kira tiga tahun yang lalu masih kukuh.

Setelah hampir senja, Munah selesai membantu Sahak memunggah boya-boya lama itu daripada lori kecilnya. Boya-boya itu dimasukkan ke dalam sebuah stor kecil di sebuah pondok yang dibina oleh ayahnya di tepi laut itu. Pondok itu disediakan untuk membolehkan para pemancing bersolat, memasak atau berlindung ketika ribut melanda secara tiba-tiba.

Setelah selesai memunggah dan menyimpan boya-boya itu, mereka berpisah. Munah memastikan stor itu telah dikunci dengan betulnya. Ketika dia hendak menghidupkan enjin pikapnya, muncul Fakhrul, anak muda di kampungnya yang sudah lama menaruh hati padanya.

"Bukan main mesra Cik Munah dengan usahawan muda tu. Ada apa-apakah?" usik Fakhrul tanpa mematikan enjin motosikalnya.

"Maaflah, Abang Fakhrul. Itu urusan peribadi antara dengan Sahak. Kami bekerjasama untuk membesarkan penternakan kupang ni. Salahkah?" balas Munah. Seboleh-bolehnya, dia memang selalu mengelak daripada bersua muka dengan Fakhrul terutama di jeti nelayan.

"Jangan sombonglah, Cik Munah. Masa kaumasih kecil dulu, masih berhingus, siapa yang membantu Pak Munir di laut tu? Ini... Fakhrul!" ujar Fakhrul sambil menepuk dadanya. "Mentang-mentanglah sudah dapat gading bertuah..."

"Tak baik bersangka buruk, Abang Fakhrul. Kami cuma bekerjasama untuk memajukan projek ternakan kupang ini sahaja. Tak lebih daripada itu," tegas Munah.

"Sudahlah! Anak-beranak sama sahaja. Mudah lupa diri," kata Fakhrul dengan wajahnya masam mencukanya.

"Kaunak potong jalan aku ternak kupangkan?"

Munah mengurut-urut dadanya sambil beristighfar. "Tak ada niat langsung Munah nak buat macam tu, Abang Fakhrul. Munah tak pernah kacau pun projek abang tu." Tuduhan-tuduhan melulu daripada Fakhrul yang berusia 15 tahun lebih tua daripadanya benar-benar merentap emosinya. Seperti api dalam sekam, dendam Fakrul tidak pernah padam.

"Engkau jangan mimpilah nak lawan aku, Munah. Aku lebih dahulu makan garam tau," ejek Fakhrul kemudian memecut motosikalnya meninggalkan Munah. Debu-debu halus yang terhasil daripada geseran tayar motosikal itu berterbangan, entah di mana hinggapnya.

"Tak sangka pula begitu sikap Abang Fakrul tu, ayah," adu Munah selepas menikmati makan malam dengan ayahnya. "Dulu, elok sahaja tingkah lakunya."

Pak Munir hanya diam. Dia melunjurkan kedua-dua belah kakinya di ruang tamu rumah itu sambil memicit-micit lututnya. Dia tidak betah kalau duduk atau berdiri lama-lama. Dia merenung Munah yang duduk di sofa. Ketika itu juga, Munah sedang sibuk menguruskan tempahan ikan segar daripada pelanggannya secara dalam talian. Esok, seawal pukul 7:30 pagi dia akan mula membuat penghantaran.

"Kalau kautak tolak pinangan dia dulu, tak jadilah macam ni," ujar Pak Munir.

"Yalah, ayah pun tak boleh paksa kamu."

"Soal perasaan, jodoh dan masa depan Munah, biarlah takdir yang menentukannya, ayah. Cuma buat masa ini, Munah belum bersedia. Munah pun ada impian," balas Munah.

Pak Munir diam. Tidak perlu lagi dia memanjang-manjangkan soal itu. Dia kenal Munah. Dia tahu hati Munah. Hati Munah seperti bongkah-bongkah batu di tepi laut itu juga. Keras dan utuh.

Kupang-kupang yang diternak oleh Munah sudah cukup tempoh matangnya kini. Esok dia akan mengemudikan botnya dari jeti bersama-sama ayahnya dan Sahak untuk mengutip kupang-kupang itu. Tiga hari lepas, dia dan ayahnya telah memeriksa sarang-sarang kupangnya yang terletak tidak jauh dari jeti pemancingnya. Kupang-kupang itu sudah ada yang menempahnya.

Lewat malam itu, hujan lebat dan badai telah melanda kawasan Pantai Sungai Tegak dan kampung-kampung berhampiran. Munah berharap sarang-sarang kupangnya selamat dan tidak dihanyutkan ombak yang mengganas. Dia amat bimbang jika buluh yang digunakan untuk mengikat sarang kupang dan tong-tong plastik sebagai pelampung itu tercabut dan hanyut. Munah berdoa agar tidak ada apa-apa yang berlaku.

Badai yang luar biasa malam tadi telah menyebabkan banyak dahan pokok di sepanjang jalan menuju ke jeti itu serkah. Daun-daun dan rantingnya gugur di jalanan. Sebatang pokok kelapa di tepi jeti nelayan itu telah tumbang. Mujur tidak mengenai jeti dan bot-bot nelayan di situ. Tumbangnya ke arah lain. Pokok kelapa itu bagai dipulas-pulas oleh angin.

Laut pagi itu tenang. Munah mengemudikan botnya dengan berhati-hati. Ayahnya pula sedang rancak berbual-bual dengan Sahak di bahagian hadapan bot. Sebaik-baik sahaja tiba di kawasan ternakan kupangnya, mereka mendapati sebahagian besar tong-tong plastik itu telah hilang. Munah kehilangan kata-kata. Sepasang matanya mula digenangi air mata. Sahak yang berdiri bahagian sekeliling bot memerhatikan keadaan sekeliling. Dia nampak beberapa tong terdampar di celah-celah batu di tebing pantai itu. Dia mengarahkan Munah menggerakkan botnya ke tempat itu.

Dengan menggunakan pencangkuk yang diikat dengan kayu lurus yang terdapat di dalam bot itu, Sahak yang dibantu oleh Pak Munir cuba mengait tong itu. Akhirnya, dia berjaya mendapat satu daripada tong itu.

"Bukan kena ribut. Ada orang yang sengaja memotong talinya," jelas Sahak.

Munah meraup-raup wajahnya. Siapalah yang tergamak melakukan perbuatan khianat itu kepadanya?

Tiba-tiba Pak Munir suatu objek yang tersangkut pada bahagian tiang jeti pemancingnya. Segera dia mengarahkan Munah mengemudikan botnya ke situ pula.

"Mayat!" jerit Pak Munir sebaik-baik sahaja bot itu menghampiri objek itu. Pak Munir yang pada awalnya berdiri di bahagian hadapan bot itu terduduk apabila melihat mayat yang terapung dan tersangkut pada tiang jeti pemancing itu.

"Abang Fakhrul..." Terpacul nama itu dari mulut Munah dengan suaranya yang seperti ditelan laut. Dan, ombak terus menghempas bongkah-bongkah batu di Pantai Sungai Tegak.

Pengarang berasal dari Johor ini bertugas sebagai guru di Kluang, Johor dan sudah menghasilkan beberapa buah novel dan antologi cerpen

Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER