Headlines News :
Home » » Tegur biar beradab, bina keharmonian alam siber

Tegur biar beradab, bina keharmonian alam siber

Written By zabidi on Tuesday, 2 March 2021 | March 02, 2021

 


Oleh Dr Shahidra Abdul Khalil -

DALAM konteks semasa, mewujudkan dunia siber yang positif dan harmoni semakin menjadi keutamaan kerana persekitaran baharu memberi kesan besar terhadap peribadi.

Oleh itu, rakan yang baik dan dunia siber yang positif mendorong tingkah laku positif dan begitu sebaliknya.

Dalam kajian akademik, banyak dibuktikan sokongan sosial yang baik boleh membantu manusia berhadapan cabaran dan bertahan dengan situasi sukar.

Persekitaran sosial yang tidak menyokong pula boleh menambah tekanan emosi dan memberi kesan negatif terhadap kesejahteraan hidup.

Setiap kita berperanan mewujudkan dunia siber positif dan harmoni untuk kemaslahatan bersama. Dalam hal ini, nilai teras yang membentuk tata perhubungan sosial insan perlu terus kekal menjadi amalan.

Antaranya, akhlak mulia seperti ditekankan agama. Anjuran dan kepentingan akhlak mulia dapat difahami melalui jawapan Nabi SAW apabila ditanya mengenai sebab terbesar yang membawa manusia masuk ke syurga.

Baginda SAW menjawab: "Takwa kepada Allah dan baik akhlak." Nabi SAW kemudian ditanya pula mengenai sebab terbesar membawa manusia masuk ke neraka. Maka baginda menjawab: "Dua rongga badan, iaitu mulut dan kemaluan." (Hadis Riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)

Dalam konteks dunia siber, akhlak terzahir melalui hantaran dan respon warganya sama ada dalam bentuk perkataan, tulisan, imej bergambar atau perbuatan melalui rakaman video.

Sebelum membuat hantaran di media sosial, pertimbangan perlu dilakukan dan apa digariskan Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumiddin boleh digunakan sebagai panduan.

Dalam perbincangan mengenai bahaya lidah, Imam al-Ghazali membahagikan kesan perkataan kepada empat.

Pertama, perkataan yang mengandungi keburukan semata-mata; kedua, mengandungi manfaat semata-mata; ketiga, mengandungi keburukan dan manfaat dalam masa yang sama serta keempat, tidak mengandungi keburukan mahupun manfaat.

Berdasarkan pembahagian ini, perkataan atau apa-apa hantaran media sosial yang mengandungi keburukan seperti dalam kategori pertama dan ketiga di atas, wajib dihindari dan lebih utama untuk didiamkan.

Ini selari hadis Nabi SAW: "Barang siapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam" (HR Bukhari dan Muslim).

Hantaran tidak mengandungi manfaat mahupun keburukan, walaupun tidak dilarang, ia sesuatu yang sia-sia dan merugikan kerana membuang waktu. Justeru, ia perlu dihindari.

Ringkasnya, hanya satu bentuk perkataan boleh dizahir menurut Imam al-Ghazali, iaitu yang mengandungi manfaat semata-mata (kategori kedua).

Sungguhpun begitu, perkataan yang baik dan bermanfaat perlu disertai niat yang betul supaya tidak terpalit penyakit hati seperti ujub, riak dan sebagainya.

Dunia siber positif boleh bermula melalui kawalan kendiri berdasarkan panduan ini. Budaya tidak berakhlak yang semakin menular seperti kecam-mengecam, ucapan kebencian, penghinaan fizikal, buli siber dan sebagainya jelas bertentangan dengannya.

Malah, ia juga bertentangan ajaran agama dan prinsip Rukun Negara, iaitu Kesopanan dan Kesusilaan, justeru perlu dihentikan.

Jika kawalan diri tidak berhasil dan teguran secara positif tidak dapat diterima, biarkan undang-undang mendidik mereka yang memandang enteng perbuatan ini.

Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) memperuntukkan penggunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar adalah satu kesalahan.

Mengikut Seksyen 233, komunikasi lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Namun, menjadi tanggungjawab kita untuk melaporkannya kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Ringkasnya, jangan suburkan lagi budaya negatif melalui teguran tidak beradab. Kawal tindakan dengan akhlak mulia supaya tidak merugikan diri sendiri dan menyebarkan pengaruh negatif kepada orang lain.

Renung-renungkan selalu bahawa tindak tanduk kita menjadi contoh kepada anak-anak yang menjadi komuniti baharu dunia siber. Sebarkan kebaikan atau diam supaya dunia siber lebih positif dapat dinikmati bersama.

Pensyarah Kanan Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM)

Share this post :

Post a comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER