Headlines News :
Home » » Bantu usahawan muda Jawatankuasa Khas Kabinet ditubuh

Bantu usahawan muda Jawatankuasa Khas Kabinet ditubuh

Written By zabidi on Monday 11 January 2016 | January 11, 2016

Kerajaan akan menu­­­bu­h­­­­kan Jawatankuasa Khas Kabinet bagi membantu, menangani masalah dan
melahirkan lebih ramai usahawan agar sasaran mewujudkan sekurang-kurangnya 10,000 usahawan muda menjelang 2020 tercapai.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jawatankuasa itu yang akan meletakkan aspek keberhasilan terhadap setiap program dalam membantu usahawan sebagai keutamaannya, akan dipengerusikan beliau sendiri.


Katanya, kewujudan jawatankuasa tersebut perlu kerana walaupun kerajaan telah menyediakan pelbagai tabung, program serta dana bagi membantu usahawan tetapi hakikatnya, nilai keberhasilannya masih belum mencapai tahap disasarkan.

“Jawatankuasa ini akan melakukan koordinasi yang dipengerusikan saya sendiri de­ngan melibatkan menteri serta ketua setiausaha yang melihat keberhasilan dan bukannya jumlah program semata-mata,” katanya ketika berucap merasmikan Pelancaran Jelajah Usahawan Malaysia Pakar (JUMP) di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB), Tan Sri Mohd. Ali Rustam dan Pengerusi Jawatankuasa JUMP, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid.

JUMP yang menampilkan ramai tokoh usahawan muda berjaya tanah air akan memulakan siri penjelajahan bagi membim­bing usahawan kecil sedia ada dan baharu di zon tengah, zon selatan, zon utara, zon pantai timur, zon Sarawak serta zon Sabah.

Sempena majlis tersebut, Ahmad Zahid turut meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta kepada JUMP bagi membantu pertubuhan itu melahirkan lebih ramai para usahawan muda khususnya daripada kalangan bumiputera.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, berdasarkan kajian ilmiah yang dijalankan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), hanya 55 peratus usahawan bumiputera berkecimpung dalam dunia perniagaan melebihi tempoh 10 tahun.

Tambah beliau, daripada jumlah itu, 72 peratus adalah usahawan bumiputera yang melakukan perniagaan secara kecil-kecilan dengan 61 peratus daripadanya pula menghadapi masalah kutipan hutang sehingga terpaksa gulung tikar atau nazak.

Selain itu, 61 peratus lagi kurang berkemampuan untuk menjalankan kajian pasaran walaupun memiliki idea serta semangat tinggi, 60 peratus lagi belum mampu menyediakan laporan kewangan manakala 58 peratus kurang berkebolehan menentukan aliran produk.

“Kajian ini hanya peratusan tetapi jumlah sebenarnya (berapa ramai usahawan bumiputera yang berjaya) tidak diketahui berikutan tiada perangkaan melalui ‘single windows system’ yang boleh diperoleh,” jelasnya.

Dalam perkembangan berasi­ngan, Timbalan Perdana Menteri berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan Kecil dan Koperasi tidak perlu diwujudkan kembali kerana kerajaan telah menyalurkan peruntukan bagi tujuan itu melalui kementerian dan agensi.

Katanya, di bawah kepemimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, pelbagai kementerian serta agensi telah diberi tanggungjawab secara spesifik untuk membantu melahirkan usahawan muda yang berjaya dan seterusnya menyumbang kembali kepada masyarakat.
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER