Terdapat tiga variasi jam pintar Apple Watch iaitu Apple Watch Sport, Apple Watch dan Apple Watch Edition. Warna utama iaitu merah digunakan bersempena Tahun Baharu Cina yang bakal disambut tidak lama lagi.

Apple Watch Sport merupakan model asas dan hadir dalam 16 model berbeza. Versi asas ini didatangkan dengan rekaan dua saiz iaitu 38mm pada harga RM1,599 dan versi 42mm ditawarkan pada harga RM1,849. Apple mengeluarkan dua saiz bagi disesuaikan dengan pergelangan tangan pelanggan.

Apple Watch menggunakan rekaan berasaskan aluminium dan ditawarkan dalam empat pilihan warna berbeza iaitu perak, kelabu, emas dan merah jambu. Terdapat 44 kombinasi yang boleh dipilih daripada warna, cangkuk dan tali jam tangan. Misalnya pelanggan boleh memilih logam tahan karat (stainless steel) dengan tali jam tangan kulit atau pilihan warna merah atau emas.

Apple Watch juga datang dalam 20 variasi berlainan, di mana model 38mm ditawarkan bermula RM2,499, sementara model 42mm ditawarkan pada harga RM2,749. Apple Watch menggunakan rekaan kerangka berasaskan keluli tahan karat serta dilengkapi skrin berasaskan kaca sapphire.

Versi paling mahal ialah Apple Watch Edition, didatangkan dalam lapan variasi dan model asas dengan saiz 38mm ditawarkan pada harga bermula RM47,000, sementara model bersaiz 42mm pula bermula dengan harga RM57,000. Istimewanya Apple Watch Edition disalut dengan emas 18-karat, kaca sapphire dan tali jam tangan dengan reka bentuk khusus – termasuk ruangan pengecasan khas.

Apple Watch merupakan jam tangan pintar daripada Apple, dilengkapi sistem operasi WatchOS, dan boleh digunakan dengan telefon pintar iPhone. Pengguna boleh menerima pelbagai notifikasi daripada telefon dan menggunakan beberapa aplikasi yang ada.

Sempena tahun baharu dengan azam baru untuk lebih sihat dan cergas, Apple Watch ada jawapannya. Apple Watch dilengkai dengan aplikasi untuk mengukur kecergasan seseorang yang bukan hanya dengan berlari, berbasikal atau berlatih di gimnasium. Ini adalah berkenaan untuk terus aktif sepanjang hari. Apple Watch boleh mengukur aktiviti sepanjang hari bermula dengan bangun tidur, berjalan ke pejabat, naik dan turun tangga atau mengemas rumah.

Apple Watch juga mengesan apabila pengguna berdiri dan mengga­lakkan pengguna untuk terus bergerak kerana semua aktiviti akan dikira dan dijumlahkan untuk tempoh sehari. Malah sejarah kecergasan boleh dilihat kembali.

Selain itu Apple juga menawarkan reka bentuk khusus untuk perayaan Tahun Baharu Cina bagi Apple Watch Sport yang didatangkan dengan tali berwarna merah sehingga 22 Februari.