Si isteri yang sudah bertelekung memandang wajahnya dengan cemas. “Jadi?” tanya si isteri dengan rasa tidak sabar.

“Nyaris....” diulangnya perkataan itu dengan lebih jelas.

“Iya, iya ... nyaris. Jadi?” Si isteri menyoal lagi.

“Jadi apa? Nyaris itu bermakna hampir-hampir kena langgar. Maknanya tidaklah dilanggar. Nyaris! Mentang-mentang kita ini cuma berbasikal. Main laju dia bawa kereta. Tak fikir orang lain. Nantilah jika saya ada kereta,” dia membebel. Panas hati kepada pemandu kereta tadi belum habis, ditambah lagi dengan si isteri yang asyik menyoal.

“Entah-entah lagi teruk daripada orang itu. Ramai yang lupa diri bila sudah kaya. Sudahlah bang, siaplah segera. Saya ke surau dahulu.” Itulah reaksi isterinya sambil berlalu.

Dia melangkah longlai. Pintu di tutup. Dia tidak berhasrat untuk segera mandi dan bersiap ke surau. Biarlah hari ini dia solat di rumah sahaja. Lagipun, hatinya masih belum reda dengan cemas dan gigil tadi. Sambil melepaskan nafas perlahan-lahan, dia menuju ke arah tingkap rumahnya. Hasrat mahu menutup tingkap kayu itu tergendala tatkala terpandang basikal yang tersandar di dinding rumahnya.

Basikal yang tidak terlalu buruk itulah kenderaannya ke sana sini mencari rezeki.

Setiap hari, selain memikirkan hal anak, dia suami isteri juga sering didatangi soal-soal tentang ekonomi keluarga yang tidak ada bezanya sejak dahulu. Turun naik. Tapi kebanyakan waktu turun sahaja. Jika naik pun, tentunya atas ihsan majikannya memberi sedikit bonus tahunan.

Fikirannya meleret pula kepada isterinya yang dikasihi. Dikahwini tujuh tahun lalu ketika isterinya berusia 25 tahun manakala dirinya sendiri sudah berusia agak lewat untuk bergelar suami. Ekonomi, bisiknya. Ya, ekonomi yang tak ketentuan menyebabkan dia, dan mungkin isterinya tidak memikirkan soal masa depan berkeluarga tetapi hanya sibuk mencari wang. Isterinya meminta izin membuka gerai kecil menjual nasi lemak, pisang goreng dan kuih muih. Dia izinkan sahaja. Namun, dia, malah isterinya tidak juga kaya-kaya sehingga kini. Adakah kerana salah keluarga mereka, salah nenek moyang poyang mereka yang mewariskan kemiskinan kepada mereka sehingga kini?

Dan dia, tidak mahu pula dipersalahkan oleh anak cucu cicitnya kelak akibat kegagalannya mewariskan kesenangan kepada mereka. Tetapi, adakah kemiskinan dan kekayaan seseorang itu berpunca daripada nenek moyang poyang? Kemiskinan itu diwarisi daripada keturunan?

Hatinya rusuh mengenangkan hal-hal berkaitan nasib diri. Jika isterinya ada, pasti dia dimarahi kerana asyik bersungut tentang nasib diri. Dia melihat bumbung surau daripada kejauhan. Sekurang-kurangnya dia bangga dan lega kerana isterinya seorang isteri yang taat. Bukan sahaja taat kepada dirinya sebagai suami, tetapi juga kepada Tuhannya. Isterinya yang berwajah tenang tetapi cekap bekerja itu juga, sering kali menjadi pengingat kepadanya, tentang tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan tanggungjawab kepada Tuhannya. Segera dia menoleh ke dinding. Jam menunjukkan pukul 7.50 malam. Ah, terlalu jauh dia mengelamun. Maghrib sudah hampir ke garisan penamat.

Segera dia menutup tingkap, mencapai tuala dan melangkah menuju ke bilik air.

 Keesokan paginya, dia keluar bekerja seperti biasa. Mengayuh basikal mengikut arus kenderaan lain.

Ketika mengayuh, sesekali fikirannya menerawang kepada hal nasib diri lagi. Entah kenapa, kadangkala dirasakan ujiannya begitu getir walaupun dia tahu ramai lagi selain daripada dirinya yang mengalami ujian lebih berat, lebih getir. Sekali kayuh, sekali roda berputar. Adakah selamanya dia perlu bergerak seperti mengayuh? Letih. Dia benar-benar letih.

Dia juga teringin bermotosikal. Sekali pulas pemegang, terus motor bergerak. Tekan gear, bergerak lagi laju. Atau, bukan sekali dua dia berangan memiliki kereta. Sudahlah terlindung daripada panas dan hujan, malah, senang pula bergerak ke sana sini. Bukan sahaja senang bergerak, malah senang pula membawa isterinya meronda-ronda bandar. Dengan basikal ini, amat jarang sekali dia membawa isterinya ke mana-mana hatta ke pasar sekalipun. Bukan dia tidak mahu, tetapi isterinya yang enggan berbasikal dengannya. Punggungnya sakit apabila duduk di pelantar belakang. Juga, pergerakan basikal yang bergoyang terutama ketika berada di jalan yang sibuk, amat menggerunkan isterinya.

Dengan itu, hasrat untuk membawa isterinya meronda-ronda bandar pun terkubur. Sehabisnya mereka akan menggunakan pengangkutan awam sahaja.

Dia memujuk hati untuk akur dengan keupayaan dirinya sehingga hari ini. Basikal inilah yang membawanya ke sana ke mari. Namun, hatinya tetap merasakan dia layak mendapat lebih daripada itu. Usahanya, kerjanya dan taat setianya kepada Tuhan dan keluarga, melayakkan dia mendapat apa yang diinginkan. Sekurang-kurangnya sebuah motosikal atau selebih-lebihnya sebuah kereta yang sederhana.

Matahari mula menunjukkan wajah ketika dia sampai di tempat kerjanya. Dua tiga orang rakannya sudah mula bersiap sedia dengan peralatan memotong rumput, penyapu, dan sebagainya. Dia menongkat basikal di kawasan letak basikal. Kawan-kawannya yang berlainan bangsa mengangkat tangan tanda sapaan. Dia turut mengangkat tangannya tanpa sebarang perkataan keluar dari mulutnya. Tidak perlu banyak bercakap. Jika tidak, kerja tak jalan. Kerja tak jalan bermakna akan ada penangguhan dan ia akan lebih memberatkan tugas-tugas di kemudian hari.

Namun, belum sempat dia bergerak untuk mengambil peralatan kerjanya, namanya dipanggil dari belakang. Dia menoleh. Ketua bahagiannya melambai. Dia melangkah laju ke arah lelaki yang lebih muda daripadanya itu. “Kenapa bos?” tanya dia penuh mesra. Tapi pertanyaannya dibalas dengan muka kelat. Tanpa jawapan, lelaki yang dipanggil ‘bos’ itu terus berjalan meninggalkannya menuju ke arah bilik pejabat. Dia melangkah laju dan pantas mengikuti lelaki itu. Walaupun tidak rasa bersalah, dan dia yakin tidak membuat apa-apa kesalahan, dadanya tetap berdebar. Soalan-soalan mula menerpa dalam benaknya sambil dia menoleh ke arah rakan-rakannya di belakang. Mereka angkat bahu dan membuat riak wajah ‘kenapa?’ kepadanya. Dia pun angkat bahu dan terus melangkah laju.

“Duduk!” arah lelaki muda di hadapannya. Dia duduk kemas-kemas. Memandang wajah lelaki di hadapannya dengan mesra.

“Semalam kau pergi bahagian mana?” tanya bos tanpa berbasa-basi.

“Tepi padang kompleks sukan, bos.” Jawabnya jitu. Walaupun dia berasa pelik dengan soalan itu. Bukankah bos lebih tahu jadual pembersihan pekerjanya kerana jadual itu disusun oleh bosnya sendiri.

Jemari sang ketua mengetuk-ngetuk permukaan meja yang kosong. Dia diam. Tidak berani bertanya apa-apa. Debaran dadanya tidak reda. ‘Entah apa yang berlaku agaknya.’ Bisik hatinya sambil memikirkan perkara-perkara yang memungkinkan keresahan pagi ini berlaku. Adakah dia memotong rumput di tempat yang salah? Adakah dia menyapu tidak bersih? Adakah dia ... adakah dia...
bermacam-macam-macam tanya wujud dalam kepalanya ketika ini.

“Semalam ada orang mengadu cermin keretanya retak. Katanya dia parkir di tepi padang kompleks sukan. Katanya lagi dia nampak awak yang memotong rumput di sana.” Kata ketua bahagiannya.
Derau darahnya naik ke muka. Kali ini dia benar-benar tak menduga inilah halnya yang akan dia hadap pagi-pagi begini. Dia cuba bertenang. Mengingat semula kerja-kerja pemotongan rumput di tepi padang semalam. Belum sempat dia mengingat keseluruhan cerita semalam, ketua bahagiannya bertanya lagi dengan suara lebih dalam, “Betul ke? Jangan main-main. Kita kena beri ganti rugi kepada pemilik kereta. Bukan sikit tau. Dua tiga kali ganda harga basikal awak.”

Mukanya berubah. Bukan kerana ketua bahagian yang berawak-awak dengan dirinya walaupun dia lebih tua daripada lelaki di hadapannya ini. Mukanya berubah seolah-olah basikalnya itu dijadikan perlambangan barang yang murah. Tidakkah ketuanya sedar dengan gaji sebagai pemotong rumput dan kerja-kerja pembersihan jalan itu, hanya basikal sahaja yang mampu dia beli? Basikal itu pun mahal baginya. Tapi itulah pilihan terakhirnya. Hatinya terbetik sedih dan geram sekali gus. Apatah lagi mengingat kerja-kerja pemotongan semalam, dia pasti tiada kenderaan yang diletakkan di tepi padang. Kalau ada pun, dia pasti lebih berhati-hati. Selama dia memotong rumput, tidak pernah dia tak berhati-hati dengan persekitaran, dengan jenis tanah yang menumbuhkan rumput-rumput liar, dan tidak pernah juga dia tidak berhati-hati dengan jenis rumput itu sendiri.

“Tuan kereta datang sekejap lagi. Saya mahu awak ada untuk memberi penjelasan. Tunggu di bilik pekerja dahulu. Nanti saya panggil.” Begitu keputusan ketuanya, tanpa sempat dia menjawab apa-apa pun. Akhirnya dia berdiri dan keluar dari bilik itu sebelum dipanggil lagi.

Langkahnya longlai. Pintu bilik pekerja dibuka. Tiada sesiapa di dalamnya. Jam menunjukkan pukul 9.15 pagi. Memang waktu-waktu begini kawan-kawannya sudah bertebaran melaksanakan tugas yang ditetapkan oleh jadual. Mengusap-usap perut dengan hati yang tak tenang tidak banyak membantu dia untuk membela diri sebentar lagi. Entah dari bahagian mana dia mahu mulakan pembelaan nanti kerana walaupun dia pasti dia tidak cuai, tetaplah sesuatu perkara itu di luar batasan manusia. Itu tazkirah yang dia dengar di surau tempoh hari. Seorang manusia, tiada yang sempurna. Pasti melakukan kesilapan tanpa disedari. Itu menunjukkan hanya Allah yang sempurna dan kesilapan yang manusia lakukan tidak lebih tidak kurang sekadar mahu mengingatkan kepada kalangan manusia, sentiasa waspada dan berhati-hati dengan tindak-tanduk. Apabila berlaku juga sesuatu yang tidak baik, jadikan pengajaran.

‘Tapi aku yakin aku tak bersalah. Jika ada batu yang terpelanting lalu terkena cermin kereta itu, pasti aku menyedarinya.’ Hatinya berkata-kata lagi. Dia mencongak-congak pula duit di dalam simpanannya jika benar-benar dia disabitkan bersalah dan perlu membayar ganti rugi. ‘Berapa kena bayar agaknya? Seratus? Dua ratus? Tiga ratus? Seribu?’ Ah, memang besar jumlahnya berbanding harga basikal miliknya.

Sambil menunggu-nunggu dipanggil itu juga, dia memikirkan alasan-alasan untuk mengelak daripada membayar. ‘Tak perasan? Dangkal! Batu yang salah? Haha....’ hampir-hampir ketawa dalam hati itu terkeluar dari mulutnya.

Dia bangun. Kemudian duduk semula. Meninjau dari celahan tingkap. Melihat-lihat kelibat ketuanya. Tapi tiada sesiapa di luar. Dia hanya melihat basikalnya sahaja. Tiba-tiba juga dia rasa sedih apabila mengenangkan isterinya. Entah kenapa, isterinya begitu dekat di hatinya kini. Dia ingin berlari pulang, mengadu dengan isterinya. Namun, itu mustahil. Bila-bila masa sahaja sang ketua akan memanggilnya untuk menghadap ‘mahkamah keadilan’.

“Sudah kenapa aku ini? Berserah sahajalah. Aku tidak bersalah. Jika aku yang bersalah pun aku tidak sengaja. Aku akan meminta maaf. Aku akan menggantikan kerugian pemilik kereta. Aku tak perlu rusuh dan takut begini. Aku perlu berani kerana aku tidak melakukan kesalahan. Aku hanya perlu minta maaf. Bukankah dengan meminta maaf segala kemarahan akan reda? Bukankah dengan meminta maaf, singa boleh bertukar menjadi kucing?” Dia memujuk hati. Tapi hatinya tidak terpujuk malah bertambah runsing. Beberapa ketika pintu dibuka. Wajah ketuanya terpampang di hadapan mata.

“Jom.” Itu sahaja ayat yang terkeluar dari rengkung ketuanya. Dia menyarung kasut dan berjalan dengan pantas. Di hujung bangunan terlihat seorang lelaki di sisi sebuah kereta. Dia merenung kereta itu. Semakin dekat, semakin terlihat retak pada bahagian belakang cermin kereta. Dia rusuh.

Sebuah kereta yang mahal pada pengamatannya. Kereta yang berwarna hitam berkilat itu tidak pernah dilihat sebelum ini, malah jika semalam kejadian itu benar-benar berlaku, sumpah, dia tak melihat kereta itu di sisi jalan semasa dia melakukan kerja-kerja pemotongan rumput. Lainlah jika kereta itu bergerak melalui jalan itu. Ah, dia tak mahu berperang dengan segala yang bercakap-cakap dalam kepalanya. Semak.

“Ini dia, Samad. Pekerja yang bertugas memotong rumput di tepi padang kompleks semalam.” Demikian pengenalan ketuanya. Lelaki pemilik kereta berpaling, memandang sang ketua dan sekali gus matanya memandang ke arah dia.

Dia serba salah, mahu menghulur jabat tangan, tapi dirasakan tidak wajar. Dia hanya memaniskan wajah dan mengangguk kecil seperti mengiyakan sahaja pengenalan ketuanya. Dalam hatinya tak henti berdoa agar dia tidak diapa-apakan, apatah lagi diminta ganti rugi dalam bentuk kewangan.
“Ini cermin yang retak seribu tu.” Tiba-tiba si ketua bersuara padahal tentunya dia tahu pekerjanya tidak buta.

“Saya berani bersumpah, saya tidak nampak kereta ini di situ. Sudah hampir 10 tahun saya kerja potong rumput, saya tak pernah pecahkan cermin kereta orang.” Dia menjawab jujur.

Tapi nampaknya, pemilik kereta enggan terima dan akhirnya syarikatnya terpaksa juga membayar ganti rugi kerana tidak mahu membesarkan masalah. Ini bermakna gajinya yang seciput itu juga akan ditolak bulan-bulan untuk melangsaikan kerugian yang syarikat alami.

Entah kenapa, dia tidak berasa rugi dan tidak sedih. Dia telah menjalankan tugasnya dengan baik dan dia bercakap benar. Dia tahu Tuhan melihat dan tahu kebenaran itu. Dia berfikir lama tentang hal tersebut. Entah kenapa hasratnya untuk berkereta terbantut hari itu.