Demikianlah tindakan terpuji yang dilakukan oleh ibu kepada salah seorang lelaki yang menyamun seorang wanita di kedai dobi layan diri di Sungai Petani, Kedah menyerahkan anaknya yang berusia 21 tahun kepada polis di Ibu Pejabat Polis Kuala Muda pada pukul 1.30 petang, 13 September lalu.
Sehari sebelum itu, melaporkan tindakan dua remaja bersenjatakan parang melarikan wang tunai, barang kemas dan telefon bimbit yang dianggarkan bernilai kira-kira RM14,500 di dua lokasi di Sungai Petani.

Wajah kedua-dua suspek yang jelas kelihatan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai dobi layan diri dan kedai runcit tempat kejadian jenayah itu berlaku, tersebar di media sosial sekali gus menimbulkan kemarahan netizen.

Realitinya tiada ibu bapa yang waras mahu anak-anak melakukan jenayah atau perlakuan jahat. Namun, sejarah menceritakan bagaimana salah seorang anak Nabi Nuh iaitu Kan’an mengingkari bapanya dengan tidak mahu beriman kepada Allah. Jadi, bukanlah luar biasa jika anak orang biasa juga ada yang nakal dan terlanjur walaupun sudah diberikan didikan yang terbaik. 

Syabas kepada ibu berke­naan yang masih boleh membuat tindakan tepat dalam situasi sedemikian. Rasa kasih sayang sedemikian jauh lebih tinggi nilainya berbanding ‘kasih sayang’ yang membiarkan sahaja anak melakukan jenayah. Hukuman yang diterima mudah-mudahan mendatangkan kesedaran dalam diri anaknya untuk tidak lagi mengulangi kesilapan yang sama. 

Ini mengingatkan kita kepada peristiwa di zaman Rasulullah SAW pada masa ‘Fathul Makkah’ (pembebasan kota Mekah), ada seorang wanita Quraisy yang mencuri. Wanita tersebut seorang bangsawan dari Bani Makhzum. Mereka bingung dalam memutuskan perkara tersebut. 

Dalam perundingan, salah seorang daripada mereka mengusulkan untuk membicarakannya kepada Usamah. Melalui Usamah, mereka berniat meminta syafaat atau keampunan dari Rasulullah SAW atas wanita tersebut. Mereka tahu Usamah adalah salah seorang yang dicintai oleh Nabi SAW dan berharap baginda mengabulkan permintaan Usamah.

Ketika Usamah menyampaikan kepada Nabi SAW perihal keinginan mereka, Rasulullah SAW menjawab: “Apakah engkau hendak membela seseorang agar terbebas daripada hukum yang sudah ditetapkan oleh Allah SWT?”

Setelah itu Rasulullah SAW berdiri dan berkhutbah: “Wahai manusia sesungguhnya yang membinasakan orang sebelum kamu adalah apabila seorang bangsawan mencuri, mereka biarkan. Akan tetapi apabila seorang yang lemah mencuri, mereka jalankan hukuman kepadanya. Demi zat yang Muhammad berada dalam genggaman-Nya. Kalau seandainya Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya aku akan memotong tangannya”. 

Kemudian Rasulullah SAW memerintahkan agar memotong tangan wanita tersebut. Setelah itu wanita tersebut bertaubat dan menikah. (Riwayat Bukhari Muslim)

Demikian tingginya prinsip keadilan yang ditunjukkan oleh Islam - yang membezakan seseorang bukanlah paras rupa, pangkat atau harta tetapi takwa.