Headlines News :
Home » » Tabah hadapi ujian

Tabah hadapi ujian

Written By zabidi on Wednesday 25 June 2014 | June 25, 2014

Jika dilihat senarai pelakon-pelakon kerdil tempatan, boleh dikatakan hampir semua yang bergelar
veteran telah meninggalkan kita dengan kenangan mereka melalui filem dan drama.

Nama seperti Allahyarham Ibrahim Pendek, Allahyarham Pak Jamal, Allahyarham Amran Kenit dan mendiang Param antara golongan kerdil yang berbakat besar dalam menghiasi dunia seni tempatan.
Sekitar tahun 70-an dan 80-an, nama mereka meniti di bibir peminat industri hiburan tempatan dan kini yang masih tinggal untuk berkongsi pengalaman ketika ini ialah Kamal Pendek.

Sebelum ini, pihak media ada melaporkan yang dia perlu menjalani pembedahan untuk memulihkan tulang belakangnya yang bengkok selepas terjatuh ketika bekerja di sebuah hotel.

Alhamdulillah, pembedahan itu berjaya dilakukan. Namun, baru-baru ini ada yang memberitahu bahawa kelibat Kamal Pendek sering dilihat di Hospital Kuala Lumpur.

Rasa ingin tahu tentang perkhabaran terbaharu tentang dirinya, Mega menghubunginya untuk bersua muka dan benar apa yang diberitahu bahawa Kamal Pendek atau nama sebenarnya Nurul Kamal Mohamad Zainuddin, 62, kini sedang menjalani rawatan di HKL.

Pertemuan diatur di restoran Haslam, Jalan Pahang, Kuala Lumpur, berdekatan dengan tempat tinggal sementara Kamal Pendek di Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia (PKOKM).

Sekitar pukul 2 petang, semasa menuju dari tempat letak kereta ke Restoran Haslam, terlihat tubuh kecil Kamal Kerdil sedang duduk minum teh tarik di ruang kaki lima restoran Haslam.

Keadaan fizikalnya yang lain daripada manusia normal menyebabkan dia mudah untuk dilihat oleh sesiapa sekalipun.

Mungkin berasa panas dan tidak selesa dengan lokasinya itu, dia beralih untuk duduk di tempat yang lebih terlindung. Dipautnya tongkat untuk dia turun daripada kerusi sambil dibantu pekerja Restoran Haslam.

Langkahnya perlahan, terhincut-hincut. Rata-rata mata pengunjung semua fokus kepadanya. Semua ini diperhatikan Mega sebelum sampai ke lokasi pertemuan.

Selepas memperkenalkan diri kepada Kamal Pendek, tangan dihulur untuk bersalam. Sejuk tangannya ketika itu. Lalu, kami berbual sedikit tentang media dan industri hiburan kini.
Dia mengakui, sudah ramai wartawan yang tidak kenalinya.

Selepas berbual-bual sekitar 15 minit, terus ditanya perkembangannya terkini.

“Tidak ada apa yang boleh saya ceritakan tentang kehidupan terbaharu saya. Tiada apa-apa melainkan kehidupan derita menanggung sakit," katanya sambil termenung.Jelas terpapar diwajahnya, sebuah senyuman yang cuba dipaksa.

Tanggung derita

Mengingati semula detik dugaan pada dirinya, jelas Kamal Pendek, ketika dia bekerja sebagai seorang juruteknik di sebuah hotel, dia telah terjatuh dan ketika itu, kesakitan itu tidak lagi terasa.
“Masa jatuh tak rasa sakit apa pun. Cuma selepas seminggu kejadian baru terasa. Badan jadi letih, tangan jadi kebas. Bila dah jadi macam itu, saya balik kampung jumpa adik dan dia suruh saya berjumpa doktor.

“Bila doktor periksa, memang saya ada masalah pada tulang belakang yang telah bengkok selepas insiden terjatuh itu. Urat-urat saraf saya dah terhimpit dan itu yang buat saya sakit," jelasnya.
Tambah Kamal Pendek, dia bersyukur kerana pembedahan yang menelan belanja sebanyak RM26,000 itu berjaya dilakukan.

“Sekarang ini, tulang belakang saya dah pulih. Tapi dengan sokongan besi la. Ada 14 besi di belakang badan saya ini. Tujuh sebelah kiri dan kanan.

“Tapi itulah, selesai tulang belakang, timbul pula derita baharu melibatkan masalah pada tulang leher. Doktor kata perkara ini memang boleh terjadi cuma sebelum ini tidak diketahui.

“Itu pun lepas saya beritahu yang saya sakit dan bila doktor periksa, dia beritahu yang urat saraf saya di leher sudah sempit kesan daripada masalah pada tulang leher. Itu yang tangan saya rasa sejuk dan kebas," jelasnya.

Menambah bicaranya, jelas Kamal Pendek, Khamis minggu lalu dia bertemu dengan doktor pakar dan pembedahan perlu dilakukan pada bulan Oktober depan.

“Kalau boleh saya hendak bedah cepat tapi bilik pembedahan sentiasa penuh. Itu yang diatur bulan Oktober. Lagipun salah satu sebab ialah kerana faktor duit. Pembedahan kali ini mungkin melibatkan kos sebanyak RM20,000," ujarnya.

Ditanya tentang deritanya, jelas Kamal Pendek, kesakitan pada tulang tengkuk itu memberi rasa tidak selesa pada dirinya terutama pada waktu malam.

“Memang tak tahan. Tangan dan badan saya ini kadang-kadang rasa sejuk, kadang-kadang rasa panas. Kulit saya di bahagian leher mengelupas dan jadi merah sebab panaslah.

“Mata saya berair. Memang sakitlah rasanya. Kalau malam memang rasa susah nak tidur. Awal-awal tu rasa badan panas, tetapi sekitar pukul 2 hingga 3 pagi, tiba-tiba rasa sejuk pula sampai menggigil.
“Tapi apa saya boleh buat? Tahan jelah derita macam ini sementara nak menunggu bulan 10 nanti.

Sekarang ini saya sedang usahakan untuk cari duit. Tabahkan hati sahaja sekarang ini," katanya.
Tambahnya lagi, doktor ada memberitahu yang pembedahan ini terpaksa dilakukan dan jika tidak, kesannya akan menjadikan Kamal Pendek lumpuh.

Begitulah derita yang ditanggung insan istimewa ini. Hidupnya kini bergantung kepada wang pencen Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) atau Socso hasil kerja terakhirnya di hotel, itupun hanya RM700 sebulan.

Namun, disebalik kesukaran dan deritanya itu, masih lagi dia kuat dalam mengharunginya. Selagi tulang empat kerat itu masih boleh diguna, akan dikerah dirinya untuk menempuh ujian kehidupan.

Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER