1 Cuti Umum
Tahukah anda bahawa cuti umum 16 September hanya diisytihar sebagai cuti nasional pada 2010, iaitu lapan tahun lalu. Itu pun setahun sebelumnya, 16 September hanya cuti peringkat Sabah dan Sarawak sahaja.
Pelajar subjek sejarah harus menghafal dua tarikh keramat ini: 31 Ogos 1957 adalah hari kemerdekaan Tanah Melayu manakala 16 September 1963, hari pembentukan Malaysia yang juga secara rasmi hari kemerdekaan Sabah dan Sarawak daripada penjajahan British. Bukan Sabah, Sarawak masuk Malaysia!
2 Nama purba
Menurut satu kajian, nama yang merujuk negara kita telah dinyatakan oleh ahli kaji bintang yang hidup pada tahun 100 masihi, Ptolemy sebagai Aurea Chersonesus, bermaksud “Semenanjung Emas”.
Saya tidak berapa arif hal emas di Malaysia berbanding bijih timah dan rempah, yang merupakan komoditi utama perdagangan zaman purba di Nusantara. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya, sila selidik sendiri.
3 Borneo adalah pulau
Mulanya pening juga bila disebut pulau, apakah ia menyerupai Pulau Langkawi? Kenapa tidak dipanggil benua? Susah sebab pengkaji alam menggunakan kaedah saintifik tertentu untuk tidak mengklasifikasikannya sebagai benua.
Borneo seluas lebih 744,108 kilometer persegi, adalah pulau ketiga terbesar, menyusuli Greenland dan New Guinea. Borneo kini merangkumi tiga negara iaitu Malaysia dengan Sabah dan Sarawak, Brunei dan Indonesia dengan Kalimantan.
4 Sama waktu
Pada 1 Januari 1982, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika dalam era pertama beliau sebagai Perdana Menteri telah mengarahkan waktu di Semenanjung dianjak 30 minit untuk menyamai waktu di Sabah dan Sarawak. Singapura yang keluar Malaysia pada 1965, pun mengikut langkah Malaysia pada hari sama!
Mengikut satu catatan, waktu di Malaysia telah diubah sebanyak lapan kali dalam sejarah modennya iaitu pada 1932, waktu dicepatkan 20 minit untuk 'memanjangkan’ waktu siang; 1941, waktu dicepatkan lagi 10 minit; 1942, dicepatkan dua jam untuk menyamai waktu Tokyo (Jepun menakluk ketika itu) dan selepas tamat perang pada 1945, British mengembalikan kepada waktu 1941.
5 Gua Mulu
Taman Negara Gua Mulu di utara Sarawak adalah gua terbesar di dunia yang dianggarkan boleh memuatkan 40 pesawat Boeing 747. Selain itu Mulu juga diiktiraf sebagai gua terpanjang di Asia Tenggara.
Secara umumnya, pengunjung tidak gerun sangat bila meneroka gua ini sebab ruangnya yang luas, kecuali bila waktu senja apabila beribu-ribu kelawar pulang ke sarang di dalam gua. Tetapi inilah fenomena alam semula jadi yang mesti anda saksikan bila berada di Mulu.
6 Jelajah pulau di Sabah
Semua mengenali Pulau Sipadan sebagai syurga penyelam. Cuma, pulau ini ada kuota pengunjung yang tidak boleh begitu ramai pada satu-satu masa. Tidak apa. Pilihan kedua yang anda boleh pergi ialah Pulau Mabul yang terletak berhampiran.
Warna air Laut Sulu di perairan Sabah ini biru kehijauan, yang benar-benar memukau. Sabah memiliki puluhan pulau lain seperti Pulau Mantanani, Mamutik, Kapalai dan banyak lagi. Anda tidak perlu ke Maldives atau Bali. Sabah saja sudah dekat bah!
7 Asal-usul Kuching
Tiap kali lalu di hadapan arca kucing di Padungan, begitu ramai pelawat mengambil gambar di situ. Arca itu dibina oleh Dewan Bandaraya Kuching Selatan sebagai tarikan pelancong.
Kelakarnya, di belakang arca, sebuah bangunan menempatkan restoran makanan segera terpampang besar logonya yang pasti 'merosakkan’ gambar. Ada beberapa versi asal-usul nama Kuching, tetapi ramai percaya nama itu tiada kaitan pun dengan haiwan kesayangan ramai tersebut.
Sebaliknya ia diambil daripada nama anak sungai yang kini sudah tiada iaitu Sungai Kuching di mana wujud banyak pokok buah tempatan, 'mata kucing’ yang tumbuh melata di bukit yang kini menempat hotel dan pusat makanan terkenal Top Spot.
Keyakinan ini mengukuh dengan penemuan 280 duit syiling dari abad ke-16 semasa kerja perobohan bangunan panggung Rex pada 1995. Pengkaji percaya Sungai Kuching wujud dengan dermaga di situ.
Tetapi tidak mengapalah kalau ramai mengaitkan Kuching dengan kucing. Kedua-duanya disukai ramai.