Brunei yang pada asalnya juga dirancang bagi menjadi anggota persekutuan, tidak menyertainya pada saat-saat akhir. Singapura keluar daripada Persekutuan pada Ogos 1965 kerana masalah yang sukar diselesaikan.
Malaysia yang ada sehingga pada hari ini terdiri daripada negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Persekutuan Malaysia tidak terbentuk dengan sendirinya, tetapi melalui satu proses yang mempunyai hubungan dengan faktor perkembangan politik dalaman dan juga percaturan politik antarabangsa.

Adakah pembentukan Persekutuan Malaysia hanya dapat difahami dengan hanya memahami perkembangan dan keperluan politik dalaman sahaja? Memadaikah memahami bagaimana ia dibentuk hanya dengan memahami politik yang berlaku di peringkat domestik semata-mata?

Adalah tidak mungkin seseorang itu dapat memahami proses pembentukan Persekutuan Malaysia 1963 hanya dengan memahami perkembangan politik dalaman tanpa menghubungkannya dengan hubungan antarabangsa dan politik serantau Asia Tenggara yang berlaku dalam tahun-tahun awal 1960-an, ketika persekutuan dibentuk.

Masalah politik yang berlaku di Singapura tidak dinafikan menjadi asas dan permulaan yang penting dalam memahami idea pembentukan Persekutuan Malaysia 1963. Adakah masalah politik yang berlaku di Singapura mampu menerangkan secara jelas dan menyeluruh? Jawapanya tidak memadai.

Walaupun perkembangan Barisan Sosialis yang condong dan dipengaruhi unsur-unsur komunis serta kedudukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) pimpinan Lee Kuan Yew yang terancam adalah faktor penting untuk dijadikan asas penyatuan Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu. Kedudukan PAP berada dalam ancaman dan berbahaya apabila pengaruh serta kedudukan Barisan Sosialis semakin kuat di Singapura.

Dalam Pilihan Raya Kecil Hong Lim pada April 1961, calon Barisan Sosialis yang dikatakan telah dipengaruhi ideologi komunis mendapat kemenangan besar. Calon PAP hanya mendapat sebanyak 2,820 undi, manakala calon Barisan Sosialis, Ong Eng Guam mendapat 7,747 undi.

Majoriti diperolehi calon Barisan Sosialis adalah 4,927 undi iaitu satu jumlah majoriti besar. Pencapaian ini amat berbahaya bagi PAP dalam menghadapi pilihan raya akan datang. Penduduk Singapura yang terdiri daripada majoriti penduduk daripada kaum Cina dipercayai akan mudah dipengaruhi pihak komunis.

Sekiranya perkembangan politik ini tidak disekat maka kedudukan PAP yang pro-Barat dan anti-komunis akan berada dalam keadaan sangat bahaya. Kemenangan Ong Eng Guam bukan hanya dilihat kepada kemenangan calon Barisan Sosialis, tetapi sebagai kemenangan puak yang menyokong komunis dan tamparan kepada puak PAP yang pro-Barat.

Bagaimana kedudukan politik PAP di Singapura ini mungkin boleh diselamatkan? Jalan mudah adalah menggabungkan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu. Kedudukan sosio-budaya dan struktur penduduk Tanah Melayu yang majoritinya terdiri daripada bangsa Melayu akan lebih sukar dipengaruhi dan dikuasai ideologi komunis.

Darurat yang bermula dari tahun 1948 adalah bukti gagalnya pihak komunis dalam usaha menguasai politik Tanah Melayu dengan perisytiharan berakhirnya darurat dalam tahun 1960. Andainya Barisan Sosialis menguasai sebahagian besar kawasan Parlimen di Singapura, kekuatan Parti Perikatan yang anti-komunis di Tanah Melayu akan dapat mengimbanginya.

Atas dasar ini gabungan dengan Tanah Melayu adalah sangat penting bagi menjamin Singapura terselamat daripada dikuasai pengaruh komunis. Dalam masa sama, kedudukan Tanah Melayu yang terlalu dekat dengan Singapura juga tidak akan selamat dan terancam jika ditakdirkan Singapura dikuasai komunis.

Membentuk

Bagaimanapun, Tunku tidak boleh hanya menerima gabungan Singapura dan Tanah Melayu sahaja kerana persoalan imbangan kaum antara Melayu dan bukan Melayu serta jaminan masa depan politik orang Melayu. Tunku berpendapat kedudukan politik didominasi orang Melayu akan terancam jika Tanah Melayu yang bergabung dengan Singapura kerana kaum bukan Melayu menjadi penduduk majoriti dalam gabungan baru ini.

Bilangan penduduk bukan Melayu adalah berjumlah 3,424,351 orang iaitu lebih besar daripada jumlah penduduk bangsa Melayu yang berjumlah 3,322,554 orang.

Ini boleh melemahkan dan menghakis kuasa politik orang Melayu sekali gus memberi kesan buruk kepada penguasaan jangka panjang politik Melayu. Persoalan ini dilihat penting kerana Tanah Melayu merdeka 1957 adalah kerana ingin mengembalikan semula kuasa politik kepada orang Melayu.

Secara tersirat Perlembangaan Persekutuan mempunyai falsafah kepada pembentukan one state one nation dalam jangka panjang atau paling tidak kedudukan kuasa politik Melayu yang kuat dan terjamin dalam Persekutuan Tanah Melayu merdeka. Unsur yang mungkin memberi kesan buruk kepada persoalan ini perlu diambil berat.

Tunku mempunyai cadangan membentuk gabungan lebih besar iaitu meliputi semua wilayah British di pulau Borneo, iaitu Sabah, Sarawak dan Brunei. Tunku boleh menerima gabungan antara Singapura dan Tanah Melayu membentuk Malaysia jika wilayah British di Borneo turut serta. Ketika awal tahun 1960-an, wilayah-wilayah British di pulau Borneo ini masih belum merdeka.

Tunku mencadangkan agar semua wilayah British yang belum merdeka ini perlu diberikan kemerdekaan dan menjadi anggota Persekutuan Malaysia yang bakal dibentuk. Gabungan wilayah-wilayah British di Borneo ini perlu bagi membentuk kesimbangan penduduk yang stabil antara kaum-kaum bumiputera dan kaum bukan Melayu.

Sila rujuk jadual di bawah bagi melihat imbangan penduduk secara terperinci. Dengan gabungan wilayah British di pulau Borneo, penduduk Melayu dan bumiputera menjadi kumpulan penduduk majoriti. Penduduk asal di Sabah, Sarawak dan Brunei mempunyai banyak persamaan dengan orang Melayu di Persekutuan Tanah Melayu. Ini akan mampu membentuk imbangan kaum dan mampu membentuk kekuatan politik Melayu yang lebih dominan serta kestabilan politik Melayu yang didominasi oleh orang Melayu dan bumiputera.

Dalam memahami pembentukan Persekutuan Malaysia 1963, ia tidak dapat dipisahkan daripada percaturan kuasa politik yang bersifat bipolar iaitu Perang Dingin yang berlaku antara pihak komunis-sosialis dan demokrasi-kapitalis.

Generasi kini harus memahami hubungan antara perkembangan politik antarabangsa dan percaturan politik dalaman. Sambutan 16 September perlu disematkan dalam hati generasi kini. Ia bukan hanya sekadar merayakan 16 September setiap tahun, tetapi jauh lebih penting roh kesedaran mempertahankan persekutuan.

Apa saja yang boleh melemahkan kekuatan Persekutuan Malaysia mesti dibendung. Usaha perlu dilakukan bagi membentuk hubungan yang lebih rapat khususnya antara Sabah, Sarawak dan negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu.

Gerakan-gerakan seperti Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) harus dibendung dan disekat. Apa yang berlaku di Sudan (pembentukan Sudan Selatan dan Sudan Utara), pemisahan Timor Leste dari Indonesia harus diteliti.

Aktor utama dan struktur kuasa yang mendominasi politik antarabangsa harus difahami dengan teliti. Dalam masa yang sama, usaha bagi mengukuhkan hubungan antara anggota persekutuan perlu diperkuatkan dari semasa ke semasa. Membina dan menguatkan negara adalah tugas semua warganegara.

Penulis ialah pensyarah Program Hubungan Antarabangsa, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah, (UMS).