Pada satu sidang akhbar, kementerian itu berkata, pihaknya mendedahkan nombor siri peluru berpandu BUK itu buat kali pertama. Menurutnya, misil tersebut dibina dan dihantar ke Ukraine semasa era Kesatuan Soviet dan tidak dipulangkan ke wilayah Rusia.
“Peluru berpandu dengan nombor siri 886847379 untuk sistem misil BUK pada 29 Disember, 1986 dihantar menggunakan pengangkutan kereta api ke unit tentera nombor 20152,” agensi berita rasmi, RIA Novosti memetik seorang pegawai kanan tentera, Nikolai Parshin sebagai berkata.

Katanya, unit tentera berkenaan berpangkalan di Ukraine yang ketika itu sebahagian daripada negara Kesatuan Soviet. Beliau menambah, maklumat didedahkan itu diklasifikasikan sebagai ‘sangat sulit’.
Rusia menafikan sebarang penglibatan dalam perbuatan menembak jatih Penerbangan MH17 itu dan menampilkan beberapa teori yang menyalahkan Kiev.

Pesawat jenis Boeing 777-200 itu terbang dari Amsterdam menuju ke Kuala Lumpur dan terhempas di luar kubu kuat pemberontak pro-Rusia di Donetsk pada 17 Julai 2014, mengakibatkan semua 298 penumpang dan krunya terbunuh. – AFP