Ini melibatkan bukan sahaja pengeluaran senjata berbahaya dan pemusnah besar-besaran, tetapi juga membabitkan perubahan taktik perangan mengikut peredaran masa dengan penggunaan senjata canggih.

Senjata yang digunakan dalam perang era moden sekarang jauh berbeza daripada apa yang dilihat dalam filem-filem koboi atau Hollywood yang biasa memaparkan penggunaan kuda, senapang patah, dan meriam dalam pertempuran.

Meriam misalnya merupakan senjata terkuat semasa perang kemerdekaan antara Amerika Utara dan Amerika Selatan sebelum pembentukan Amerika Syarikat (AS) pada 1860-an.

Taktik pepe­rangan berubah selepas itu iaitu semasa Perang Dunia Pertama pada 1914 hingga 1918 apabila kapal terbang dan kereta kebal digunakan, namun teknologi ketika itu masih terhad kerana askar masih memainkan peranan utama dalam strategi pertempuran.

Perang Dunia Kedua pada 1935 hingga 1945 pula menyaksikan bom atom digunakan buat pertama kali selepas AS menggugurkan senjata pemusnah tersebut di Hiroshima dan Nagasaki yang mengakibatkan kematian sehingga ratusan ribu orang, angka korban paling tinggi dalam sejarah konflik manusia.

Bagaimanapun, perang yang berlaku seterusnya tidak lagi menyaksikan bom atom digunakan walaupun negara-negara kuasa besar termasuk AS dan Rusia selain India, Pakistan, dan Israel mempunyai senjata pemusnah itu dalam sistem pertahanan mereka.

Taktik peperangan kemudian bertukar kepada kaedah pengeboman dari jarak jauh ketika Perang Dingin pada 1947 dan berterusan semasa Perang Teluk pada 1991 serta pencerobohan Iraq pada 2003 oleh tentera bersekutu dipimpin AS.

Bedilan udara dilancarkan dari jarak jauh menggunakan peluru berpandu, dalam usaha memastikan angka kematian askar yang dihantar ‘pasukan penyerang’ dapat dikurangkan.

Nama seperti Scud yang merupakan peluru berpandu Rusia dan sistem pertahanan peluru berpandu Patriot buatan AS mula disebut-sebut dan digunakan oleh pelbagai negara.

Dalam tempoh yang sama, kuasa-kuasa besar cuba mencipta senjata baharu, kali ini membabitkan pembinaan senjata biologi, antara ciptaan senjata yang menakutkan dan boleh menyebabkan jumlah kematian yang tinggi.

AS dan tentera bersekutu menggunakan alasan Iraq mempunyai senjata terbabit untuk menceroboh negara itu pada 2003.

Penggunaan senjata biologi yang menjadi perhatian adalah apabila kumpulan ajaran sesat Aum Shinrikyo melepaskan gas sarin di dalam kereta api bawah tanah di Tokyo pada 1995 yang menyaksikan 12 orang maut dan berpuluh-puluh orang cedera.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) me­laporkan gas sarin digunakan dalam beberapa serangan terhadap penduduk Syria ketika konflik di negara itu semakin teruk.

Dalam pada itu, sebelum pesawat kawalan jauh atau drone dipasarkan di pasaran komersial ketika ini, pesawat tersebut terlebih dahulu digunakan sebagai senjata dalam memerangi musuh.

Drone digunakan sebagai alat pemantau jarak jauh yang membolehkan kerja-kerja pemantauan musuh dilaksanakan tanpa penghantaran seorang pun askar atau pengintip, menyebabkan jumlah korban dalam peperangan dapat dikurangkan jika berlaku pertempuran atau serangan hendap.

Tambahan lagi, drone juga boleh dilengkapkan dengan peluru berpandu jika pesawat itu digunakan untuk menyerang musuh.

Walaupun beberapa negara dikatakan mempunyai teknologi membina drone, tetapi dilaporkan hanya AS, Pakistan, China, Israel, dan Turki membina pesawat perang kawalan jauh terbabit.

Sementara itu, bom hidrogen menjadi perhatian baru-baru ini apabila Korea Utara mengumumkan ujian bom terbabit pada minggu lepas, tindakan yang menggemparkan dunia ekoran kekuatan dan pemilikan senjata pemusnah negara komunis tersebut.

Keadaan itu kerana kekuatan bom hidrogen yang dikenali sebagai bom termonuklear dilaporkan lebih kuat daripada bom atom.

Bom hidrogen menggunakan bahan asas berbeza daripada bom atom iaitu plutonium atau uranium, dan pertama kali diuji oleh AS pada November 1952 yang menghasilkan kekuatan letupan sebanyak 10,000 kiloton.

Perjanjian Pengharaman Ujian Komprehensif 1996 yang mengha­ramkan ujian dan pembinaan bom nuklear telah ditandatangani oleh 183 negara, namun ekoran negara-negara kuasa dunia termasuk AS tidak menyertainya, penguatkuasaan perjanjian terbabit tidak pernah berlaku.

Dilaporkan, Pakistan, India, dan Korea Utara telah melaksanakan ujian nuklear sejak 1996.
Dalam pada itu, peralatan menggunakan laser kini banyak digunakan dalam pelbagai industri termasuk pembuatan, pengilangan, dan sebagainya dan tidak hairanlah alatan tersebut digunakan dalam peperangan.

Tentera Laut AS menggunakan Sistem Senjata Laser (LAW) sebagai satu sistem pertahanan yang menyaksikan pancaran inframerah yang dilancarkan boleh memusnahkan atau melumpuhkan peralatan sensor.

Ciptaan-ciptaan senjata berkenaan sangat mengagumkan, namun pada masa sama amat menakutkan.
Mungkin pada masa depan, pe­perangan akan berlaku di angkasa lepas seperti dalam filem Star Wars karya George Lucas.- utusan.com.my