Oleh Farush Khan Akbar Khan
JIKA nak ke KL, kena cari pemandu yang tahu jalan ke KL. Jika pemandu hanya tahu jalan setakat Gua Musang, kita tidak akan sampai KL. Demikian juga dengan pemimpin.
Kita kena cari pemimpin yang tahu jalan ke akhirat. Jika tahu hanya memimpin setakat dunia, bagaimana kita mahu teruskan jalan ke akhirat?
Itu sedutan satu daripada banyak peringatan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang disebarkan secara meluas sejak beliau menghembuskan nafas terakhir.
Saya tidak bercadang paparkan banyak lagi kata-kata nasihat daripada Mursyidul Am Pas itu, yang, antara lain, juga Menteri Besar Kelantan selama 23 tahun. Apa lagi biodata yang sudah banyak dipaparkan.
Cuma saya ingin berkongsi serba sedikit. Saya sendiri pernah menemuinya beberapa kali dan menulis hampir dua tahun lalu bahawa seperti lagu dan irama, Nik Abdul Aziz, Pas dan Kelantan tidak dapat dipisahkan.
Beliau timbul dan tenggelam bersama parti yang memperjuangkan Islam itu sejak 47 tahun lalu.
Maka, memang patut sangatlah ramai mengalirkan air mata mendapat berita sedih itu, membanjiri masjid untuk solat jenazah dan iringinya hingga ke pusara semalam.
“Islam bukan kepunyaan saya (sahaja). ALLAH beri pengetahuan bukan (hanya) kepada saya seorang,” katanya selepas melepaskan jawatan menteri besar pada 6 Mei, 2013.
Walau apa pun, yang ketara ialah Nik Abdul Aziz meletakkan piawaian yang sangat tinggi untuk diteladani ramai pemimpin dalam dunia politik dan pentadbiran tanah air.
Kini, lebih-lebih lagi setelah beliau tiada, adalah menjadi tanggungjawab pemimpin-pemimpin yang masih ada, untuk tidak merendahkan piawaian yang diletakkan itu.
Tidak memadai dengan hanya sekadar menghargai dan mengucapkan terima kasih kepadanya.
Nik Abdul Aziz, seorang ulama berkelulusan Sarjana Perundangan Islam daripada Universiti al-Azhar di Mesir sebelum menceburi politik Pas 48 tahun lalu, sering kali dikaitkan dengan ciri-ciri seorang zuhud dalam perjalanan hidupnya.
Sejak menjadi menteri besar pada 20 Oktober 1990, beliau tidak tinggal di kediaman rasminya di JKR 10, Kampung Sirih, Kota Bharu, tetapi memilih untuk menetap di rumah kampungnya di belakang masjid, Pulau Melaka, dekat Kota Bharu.
Di masjid beliau mengimamkan solat, memberi kuliah dan melayan ramai orang yang datang.
Bahawa Nik Abdul Aziz, yang sentiasa dilihat dengan jubah dan serban itu, dikatakan memadam lampu ketika menunaikan solat di pejabat untuk mengelak daripada membelanjakan wang rakyat, sudah menjadi pengetahuan umum.
Untuk rekod, pada 2008, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) menobatkan beliau sebagai menteri besar yang mempunyai rekod paling bersih di negara ini. Anugerah itu diberikan sebagai menghargai usaha gigih beliau menentang segala gejala rasuah.
Setahun kemudian, beliau dibariskan di antara 50 tokoh Islam berpengaruh di dunia dan disenaraikan dalam buku berjudul “The 500 Most Influential Muslims” (500 orang Islam paling berpengaruh).
Nik Abdul Aziz, bagaimanapun, tidak terlepas daripada perselisihan pendapat, pergeseran dan kemelut politik. Beliau masih dikritik pihak lawan biasanya disebabkan luahan perasaannya melalui kata-kata pedas terhadap mereka yang beliau anggap sebagai musuh kepada kemajuan dan peraturan berkaitan Islam.
Dengan segala kesulitan dalam mentadbir negeri yang sentiasa diserang musuh politik di samping mengatasi masalah dalaman yang kadangkala menggugat keutuhan partinya, kemampuan Nik Abdul Aziz menghadapi cabaran dengan jayanya adalah sesuatu yang bukan mudah ditandingi.
Moga ALLAH mengumpulkan Allahyarham bersama mereka yang diredaiNya. Al-Fatihah.
Pergi, tinggalkan seribu pedoman
Written By zabidi on Sunday, 15 February 2015 | February 15, 2015
Labels:
Artikel
Post a Comment