Oleh SYAHIR SULAIMAN
"WAHAI jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha lagi diredhaiNya. Maka masuklah dalam kalangan hamba-hambaKu. Dan masuklah ke dalam syurgaKu.” (Al- Fajr: 27-30)
1995 – Darjah 6
“Baik murid-murid, sila tulis karangan bertajuk, Tokoh Yang Saya Kagumi”, ujar guru kami.Hampir separuh rakanku memilih Perdana Menteri dengan Wawasan 2020, dan hampir separuh lagi menulis tentang ketokohan Timbalan Perdana Menteri ketika itu.
Seperti biasa, hanya pemimpin yang dijadikan idola, bukan artis mahupun ahli sukan, kerana pada zaman itu, tiada lagi fenomena Akademi Fantasia dan K-Pop, apatah lagi tablet dan internet di tangan.
Seminggu kemudian, karangan kami dipulangkan oleh guru dengan markah dan pembetulan, namun aku mendapat satu teguran, “Jangan berpolitik di sekolah”.
1996 – Tingkatan 1
“Baik pelajar-pelajar, sila tulis karangan bertajuk, Tokoh Yang Saya Kagumi”, ujar guru kami.
Seperti biasa, hampir separuh memilih (Tun) Dr Mahathir dan sebahagian lagi tentang Datuk Seri Anwar Ibrahim, manakala beberapa rakan yang kreatif menulis tentang datuk dan ayah masing-masing.
Seminggu kemudian, karangan kami dipulangkan oleh guru dengan markah dan pembetulan, namun aku mendapat teguran yang sama, “Jangan berpolitik di sekolah”. Malah, pada malamnya, aku dipanggil senior tingkatan tiga untuk menegur perkara yang sama, mujur tidak disentuh (baca: buli), hanya diberi amaran keras agar “Jangan berpolitik!”.
Pada hujung tahun, pada hari penyampaian rekod pelajar, guru kelas sempat menegur ibuku, “Dia ini bijak, tapi gemar berpolitik di sekolah”. Ibuku hanya tersenyum.
2013
Aku berkesempatan menziarahi tokoh yang sangat aku kagumi ini bersama beberapa sahabat.
Pada awal bicara beliau menyebut, “Ana tenang sekarang walaupun uzur”. Satu lafaz yang sangat dalam maknanya, terbit dari sanubari yang damai di hujung usia, sambil berkongsi tertib medikasi yang perlu dilalui badannya, selepas tidak lagi menjawat jawatan penting yang disandangnya selama 23 tahun.
Beliau memberi pesanan khusus untuk anak muda, “Kena kuat bertaqwa pada Allah, pada waktu terang atau sulit. Bagaimana? Kena ikut nabi. Allah hantar nabi sebagai tok wakil dia di bumi untuk sampaikan perintah pada kita”.
Beliau menyebut, Kelantan sudah melaksanakan tuntutan taqwa sejak dulu. “Antara perkara pertama yang ambo buat masa jadi MB, ambo panggil pegawai kewangan negeri, minta pindah akaun kerajaan ke bank Islam. Ambo buat ni tanpa mesyuarat sebab ini perkara nas, tak perlu mesyuarat, kena buat”.
Pesan beliau, “pemuda dengan kekuatan tenaga, kena perkuatkan taqwa, sama ada dengan menulis, ceramah, program, pandai-pandailah”.
Ketika ditanya bagaimana mahu istiqamah, beliau sebut, “Istiqamah ni 24 jam, tak boleh sekejap-sekejap. Pada peribadi kita, kena jaga solat, solat awal waktu, berjemaah. Biar orang tahu kita orang PAS, lebih baik dari orang Umno. Kedua hal peribadi, kena banyak senyum. Antum nanti jadi orang besar, jadi tok wakil, kena senyum sokmo walaupun letih”.
Ditanya apakah aktiviti harian selepas tidak lagi bergelar MB, beliau menjawab, “Ambo banyak kena rehat. Ambo suka baca buku. Nampak buku baru, semangat nak baca. Belum sempat habis, nampak buku baru pulak. Lepas tu, suka menulis. Apabila mari cetusan, kena cepat menulis. Kadang-kadang masa nak tidur, mari idea, kena tulis. Kita kena bawa sokmo, kertas dan pen”.
Tok guru turut berkongsi, dalam munajat dan doanya, antara doa yang paling kerap dibaca, “Doa ambo pada mak ayah ambo. Kedua, doa pada orang yang beri ambo makan minum”. Tok guru turut berpesan, “Banyak-banyak ingat Allah, masa senang dan susah. Kadangkala Allah sengaja uji kita supaya kita sebut ‘Allah’. Senang susah ni makjun hidup. Orang kaya pun ada senang susah. Pak Mat kampung pun ada senang susah. Lazimi zikir, sebutlah apapun, asal hati ingat Allah. Ambo berasa tenang sekarang”.
“Ambo setakat ni je la, nak rehat”, sambil mengusap dada, ungkap beliau mengakhiri pertemuan. Tatkala bersalaman selepas bergambar sambil berkenalan dengan kami yang pelbagai profesion, tok guru sebut, “Zaman ambo dulu, ada seorang sahaja lulusan universiti yang terlibat dengan PAS di sini. Kami panggil dia, ‘Deraman Intelek’. Sekarang ni ramai dah orang bijak masuk PAS”.
2015
Kini beliau telah pergi buat selamanya, meninggalkan ilmu sebagai warisan. Ia sebuah kematian yang menghidupkan, menjadi teladan setiap insan.
“Tok Guru, ilmumu mengajarku erti Islam, hidupmu mengajarku erti zuhud, tabahmu mengajarku erti sabar, lembut bicaramu mengajarku hikmah berdakwah.
Nasihatmu sentiasa bernada sederhana, tidak pernah kulihat dikau bersedih kerana dihina, kesedihanmu hanya kerana agamamu dihina, tahajud dan doa sebagai senjata.
Ya Allah, jadikan kami seteguh tok guru, jadikan kami sekuat tok guru, jadikan kami semulia tok guru, jadikan kami pewaris perjuangan tok guru.
Ya Allah, semoga tok guru sentiasa dirahmati, tenang berkelana di alam abadi, gembiralah amat hati kami, bertemu tok guru di sana nanti.”
Tokoh yang saya kagumi, Tuan Guru Nik Aziz.
Penulis ialah Exco Pemuda PAS Malaysia.
Semoga Tok Guru tenang berkelana di alam abadi
Written By zabidi on Monday, 16 February 2015 | February 16, 2015
Labels:
Artikel
Post a Comment