Headlines News :
Home » » Pesanku pada hujan

Pesanku pada hujan

Written By zabidi on Tuesday 19 August 2014 | August 19, 2014

I

Berita penutupan pusat sejak beberapa bulan lalu bukan obralan. Atau sembang politik di warung kopi. Ia adalah satu kepastian. Sesungguhnya perkembangan yang berlaku di pusat tahanan itu sangat ketara. Satu petanda yang jelas ialah akhir-akhir ini tiada lagi kemasukan tahanan baru. Sejak itu aku tahu pusat tahanan hanya menunggu hari untuk ditutup. Seperti kata hikayat-hikayat lama, pusat kini sunyi sepi bagai dilanggar garuda. Hanya tinggal tiga orang saja yang menghuni pusat tahanan - Datuk S, Kiai Mutalib dan aku. Hanya kami yang masih berdegil. Aku tidak lagi ke pusat sumber untuk membaca surat khabar atau novel-novel. Kantin juga sudah tidak beroperasi sejak minggu lalu. Aku akan merindukan laksa dan pulut intinya yang hebat.

“Minggu depan kami tutup..." jelas Pak Ucip operator kantin yang dipilih oleh pusat.

"Cukuplah...dah lima belas tahun di pusat ini," sambungnya, tanpa diminta.

Itulah kali terakhir aku minum di kantin pusat bersama Datuk S.

“Tentu mereka akan gantikan kamu tempat lain..." celah bekas YB, Datuk Ribuan. Aku memanggilnya Datuk S.

Bahasa Datuk S memang kasar. Dia memanggilku “kau" mungkin disebabkan umurku yang jauh lebih muda daripadanya. Kadang-kadang dia memanggilku “orang muda" dan pada ketika-ketikanya dengan kependekan “Om" sahaja. Aku tidak pernah ambil hati.

“Saya balik kampung. Dah jemu berniaga makan ni. Saya nak rehat. Lagipun anak-anak dah lepas semuanya. Yang bongsu pun dah tahun akhir universiti...dah pandai berdikari."

“Kiai tak sarapan?" tanya Pak Ucip kerana kebiasaannya Kiai datang sarapan awal. Dan kami bertiga tinggal di blok yang sama.

“Atas sejadah kut...dhuha..." sambut Datuk S selamba.

Aku tidak pasti kenapa Datuk S perlu mengandai-andai begitu. Kalaupun benar Kiai masih solat sunat, Datuk S tidak sepatut mempersendakannya.

Orang politik memang begitu, fikirku. Datuk S petah orangnya. Tetapi kepetahannya kadang-kadang disalahgunakan. Dan mulutnya lancap. Lebih-lebih jika ada hal yang dia tidak tahu atau yang merunsingkan fikirannya. Dan panggilan Datuk S yang kuberikan kepadanya adalah salah satu daripadanya.

“Apa yang kau maksudkan dengan S?"

“Tak ada apa-apa, hanya huruf..."

“Mana boleh tak ada apa-apa..." bentaknya.

Namun tentangannya mati setakat itu saja. Tetapi daripada air mukanya aku tahu dia tidak menyukai nama baru yang kuberikan kepadanya.

Kiai Mutalib juga pernah bertanyakan hal itu kepadaku. Kepadanya juga kuberikan jawapan yang sama, tetapi dengan sedikit tambahan.

“Tak ada apa-apa Kiai...ramai orang politik di luar sana tu patut pakai nama “S".

Kiai nampak terkebil-kebil dengan penjelasanku.

Sesungguhnya pengasingan yang berlaku ke atas diriku memberikan banyak pengajaran berguna, terutama sekali aku sudah mengenali siapa kawan dan siapa lawan. Benarlah seperti kata orang-orang lama - “teman ketawa ramai, teman menangis susah dicari". Ada yang menganjurkan kepada isteriku supaya dia menuntut fasakh.

“Apa yang diharapkan pada laki kau lagi. Dia akan reput di pusat tahanan."

Wanita itu seorang ustazah yang ada “bau serai bau kemangi" dengan isteriku.

Mujurlah Rehan masih taat kepadaku walaupun berdepan dengan berbagai kepayahan. Walaupun kini gajiku ditahan oleh jabatan, tetapi Rehan juga seorang guru. Gajinya cukup untuk menanggung tiga orang anakku yang bersekolah.

“Macam mana?" tanya Rehan ketika melawatku bulan lalu.

“Ada syarat-syarat yang tak masuk akal, jadi abang tetap tolak."

“Datuk S dan Kiai?"

“Mereka pun macam abang juga. Kami mahu bebas tanpa syarat. Barangkali kami akan ditempatkan di pusat tahanan lain...entahlah.."

II

“Ism nasionalime sudah jumut, sudah kojol, sama seperti komunisme, sosialisme..."
“Kapitalisme?" pintasku.
“Itu pun laksana industri matahari terbenam..." tegas Datuk S.
“Habis?"

“Di mana-mana orang mahukan kebebasan...tak perlu lagi acuan lama. Itu yang terbaik..."
“Datuk, bikinan manusia tidak pernah sempurna...tetap ada cacat celanya."
Hujah pendekku membuatkan Datuk S tersentak. Kiai yang menyepi sejak tadi turut mencelah.
“Kebebasan hanyalah suatu ilusi, seperti angan-angan..."

“Dunia sekarang bukan lagi dunia pondok, tapi sudah tanpa sempadan. Teropong di langit sudah dapat mengira bulu hidung Kiai!" Datuk S menyerang Kiai pula.
“Dunia pondok memang cara lama Datuk, tapi yang melahirkan LGBT adalah dunia moden dan dunia tanpa sempadan..."

“Manusia harus bebas..." balas Datuk S.
“Tapi janganlah sampai martabat manusia jadi lebih rendah daripada kambing..." tukas Kiai Mutalib.
“Apa maksud Kiai?" Datuk S merasakan sukar untuk memahami analogi Kiai.
“Kambing pun kenal yang mana jantan dan yang mana betina..."
Datuk S menghirup baki kopinya dan meninggalkan kantin.
Sudut pandangan Kiai Mutalib terhadap sesuatu memang keras dan sukar diubah. Dia juga orang berilmu, belajar di Timur Tengah. Sewaktu remaja pernah belajar agama di sebuah pesantren di Jawa Timur.

Sekembalinya ke tanah air dia menentang kalangan liberalime dan LBGT habis-habisan. Berkali-kali dia ditahan kerana mengajar di surau dan masjid tanpa tauliah.

Akhirnya apabila dia dan pengikut-pengikutnya mula menyerang dan mencederakan kalangan LBGT secara fizikal, dia terpaksa ditahan di bawah ISA kerana menimbulkan keresahan awam.

Berubah-ubah

Aku merasakan apa saja yang terpancut dari mulut Datuk S adalah berita-berita yang dikutipnya daripada surat khabar. Seringkali dia menceritakannya semula tanpa suntingan. Dia terlupa tentang konteks situasi. Jika dia berucap di kampung, agaknya sudah ramai yang bertepuk dan memuji-mujinya.

Dua penggal sebagai wakil rakyat dia gagal belajar sesuatu. Cakapnya berubah-ubah. Semalam lain, hari ini lain, esok lain, tulat lain. Tonggeng sudah pasti lain. Sekejap dia berketayap putih, sekejap dia bersongkok, dan kalau perlu dia bertarbus dan bertopi koboi.
Dia bertukar warna dan menjadi apa saja. Dan dia memasang strategi untuk bertanding bagi kali ketiga. Namun hajat besar itu akhirnya terbang bagai debu di kaki petang apabila dia ditangkap berkhalwat dengan janda beranak dua.

“Aku mangsa sabotaj dan konspirasi politik!" dia mengaum bagai harimau hilang anak.
Sayang, dia tidak pernah mengakui bahawa dia ditumpaskan oleh nafsu gelojohnya sendiri.
“Hari ini ism yang paling popular ialah SSB," kataku pada Datuk S.
“Ha? SSB bukankah hanya untuk kakitangan kerajaan. Orang politik pun pakai SSB?"
“Orang politik sudah lama menerima pakainya..."
“Iya? Apa dia?"

“Nanti kalau kita berjaya keluar tanpa syarat, saya akan terangkan," jawabku ringkas.
Mata Datuk S nampak terkedip-kedip.

Tetapi Datuk S tidak serik. Selepas kes khalwat dia menghadapi tuduhan rasuah kerana menggunakan nama keluarga dan orang-orang tertentu bagi mendapatkan tanah industri. Skandal tersebut mendapat liputan meluas di media cetak dan elektronik kerana melibatkan nilai jutaan ringgit.

Namun, kononnya oleh sebab tiada bukti lengkap, dia ditahan di bawah ISA. Maklum, kalau didakwa di mahkamah terbuka, nanti ada pula nama-nama besar akan terpalit. Lagipun Datuk S masih memegang jawatan ketua bahagian parti dan pengaruhnya masih kuat.

Datuk S. tidak menganalis secara ilmiah fenomena-fenomena yang sedang merubah geopolitik dunia.
Ya, geopolitik dunia dan warisan ketamadunan sudah berubah. Konsep global telah menjahanamkan semua yang telah terbangun selama ini. Dunia maya telah mengambil alih dunia nyata. Orang boleh diwakili oleh ikon dan lambang - tidak perlu nama, tidak perlu identiti.

III

“Abang hanya seorang guru yang giat menulis...." aku seakan-akan merintih.
“Dosa abang ialah menjadi seorang nasionalis, bukan disebabkan abang giat menulis. Nasionalis tidak mungkin apologetik. Dan nasionalis tulen membangkitkan sejarah silam dan meniupkan lagu bangsa dengan jujur..."

Rupa-rupanya Rehan juga pandai bercakap tentang siasah tanah air.
“Kau sudah layak bertanding pilihan raya,.."
“Mungkin..."
“Sudah ada partinya?"
“Saya akan bertanding sebagai calon bebas - dengan cap kuda teji!"
Kami berdua ketawa sambil menikmati pisang abu rebus di beranda rumah kayu pesaka ayahku.
Itulah sedikit kenangan ketika aku masih bebas menulis dan berceramah tentang nasionalisme dan riwayat bangsaku.
“Akhirnya kalian juga yang membunuhku..." dia menujukan kata hatinya kepada kawan-kawan anggota kanan sebuah parti yang dominan.

Aku tidak dapat bergerak di pentas yang sama dengan mereka kerana mereka tidak menghargai budaya intelektual. Mereka memainkan lagu etnik dari piring hitam yang sama, tetapi hanya untuk membangkitkan perasaan asabiah yang sempit. Bagiku, nasionalisme tidak pernah sirna.
Hanya bangsaku yang tidak tahu mencari makna nasionalisme dan kaitannya dengan ibu pertiwi. Retorik agama, bangsa dan tanah air belum cukup untuk memperjelas terma keramat itu. Ia menyangkut tasawur bangsa dan seluruh kompendium ilmu yang terhimpun di sepanjang koridor sejarah bangsaku.

“Abang hentikanlah berceramah dulu. Ini musim pilihan raya. Bahangnya luar biasa. Nanti abang disalah anggap. Ada desas-desus cawangan khas sedang mengekori abang..."
“Abang bukan menentang kerajaan. Abang hanya memberi penerangan kepada orang ramai bahawa pemansuhan ISA itu satu keputusan yang silap."

IV

Aku nasionalis tulen. Aku sayangkan tanah air dan institusi-institusi yang diwariskan oleh nenek moyang sejak turun-temurun.

“Apakah orang lain itu sayangkannya, atau sekurang-kurangnya menghormati institusi-institusi tersebut - perlembagaannya, kesultanannya dan kontrak sosial yang sudah termeterai sejak lama? Saudara harus faham, atas janji-janji tersebutlah satu juta orang asing itu diberikan kewarganegaran menjelang kemerdekaan," hujahku kepada pegawai kementerian yang baru kukenali.
“Kita membina bangsa Malaysia," ujarnya.

“Saya harap saudara dapat membezakan antara bangsa dan negara bangsa. Apakah orang Australia bercakap bahasa Australia dan orang Amerika menggunakan bahasa Amerika? Bukankah kedua-duanya menggunakan bahasa Inggeris?" aku memberikan analogi.

Walaupun itu pertama kali aku berbual dengan pegawai dari kementerian di kantin sekolahku, namun aku tidak peduli. Bagiku, hujah tidak sama dengan hasutan. Guru besar memberitahu guru-guru bahawa pegawai itu datang dari Kuala Lumpur untuk membuat penilaian bagi kenaikan gred sekolah.

V

“Kau menjolok sarang tebuan," getus seorang sahabat lama yang juga AJK sebuah parti yang dominan.

Kata sahabatku ceramah penentangan terhadap pemansuhan ISA yang kulakukan minggu lalu mengundang padah. Apatah lagi ceramahku bertembung dengan lawatan PM ke daerahku bagi merasmikan sebuah hospital.

“Aku bersedia kena sengat," balasku.
Ketika aku dibawa untuk disoal siasat di ibu pejabat polis di ibu negeri, aku seakan-akan ternampak seseorang yang seiras dengan pegawai kementerian yang pernah berbual denganku di kantin sekolah. Orang itu mengalihkan mukanya apabila mata kami bertembung.
Ah, pandai kau berlakon...detak hati kecilku.

VI

Aku bangun awal pagi itu. Selepas solat subuh kubawa beg-begku, dua buah kesemuanya, ke ruang menunggu. Semua urusan menandatangani borang-borang dan surat akujanji sudah dilakukan semalam. Surat-surat peribadi, dompet, beberapa buah buku dan gambar-gambar famili sudah kuambil semula dari pejabat pentadbiran.

Akhirnya pusat tahanan bersetuju membebaskan kami bertiga tanpa syarat - kecuali syarat-syarat biasa seperti melapor diri setiap bulan ke balai polis terdekat dan memberitahu balai jika hendak meninggalkan kawasan. Dengan kata lain, KDN menggugurkan semua pertuduhan terhadapku. Aku bersyukur ke hadrat Allah SWT yang telah memberikan kekuatan kepadaku. Kata pengarah, Kiai Mutalib telah dijemput keluarganya pada awal pagi.

Mulai tengah malam semalam hujan turun mencurah-curah. Begitulah sejak seminggu lalu. Kalau tidak hujan malam, hujan akan turun di sebelah petang, menjadikan hawa di sekitar pusat tahanan sejuk dan nyaman. Anehnya kata warder majlis perbandaran akan memulakan catuan air kerana kolam takungan surut secara mendadak. Aku tidak dapat mewaraskan tindakan majlis perbandaran.
Siapakah yang harus dipersalahkan? Hujan, kolam takungan atau politik yang mentadbirkan majlis perbandaran? Mujurlah beberapa jam lagi aku akan mengucapkan selamat tinggal pada pusat tahanan.

VII

Ketika menghayun langkah ke luar pusat tahanan, aku ternampak seekor sesumpah yang agak besar di daun akar sekentut yang melilit pagar pusat tahanan. Hijau kekuningan warnanya. Aku tahu ia juga boleh bertukar menjadi biru kemerah-merahan. Atau kuning, atau coklat. Memang itu sifat semula jadinya - boleh menukar warnanya, bergantung kepada keadaan dan persekitarannya. Matanya tidak berkedip. Sesekali lidahnya disorong sentapkan.

Sebaik-baik limosin Datuk S dan pemandunya sampai, Datuk merapatiku dan dengan suara yang perlahan menuntut janjiku kepadanya.

“Jangan lupa janji OM tentang SSB..."
“Oh, itu....Sapu Sementara Berkuasa," terangku, juga dengan nada suara yang sengaja kuperlahankan.
Tanpa menoleh ke arahnya lagi, aku terus melangkah ke kereta kecil yang berhenti betul-betul di belakang limosin Datuk S. Rehan dan tiga orang anakku melambai-lambai. Aku nampak Datuk S terpegun seketika sebelum melangkah masuk ke limosinnya. Mujurlah dia tidak bertanyakan kepadaku makna huruf “S".

“Tak nak pesan apa-apa pada istana hinggap abang," gurau Rehan sebaik saja dia memotong limosin Datuk S.
“Sudah," jawabku.
“Apa?"
“Abang dah pesan pada hujan. Suatu masa nanti, ketika pusat ini sudah tiada lagi, kau basuhlah semua kesan, termasuk air mata dan jejakku..."

Rehan menjeling ke arahku. Di matanya ada tanda tanya.

Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER