Headlines News :
Home » » Saya tidak sentuh dadah

Saya tidak sentuh dadah

Written By zabidi on Tuesday 19 August 2014 | August 19, 2014

NAMANYA tiba-tiba saja menjadi perhatian apabila ditahan dalam serbuan pihak berkuasa beberapa bulan lalu. Bagaimanapun ketika itu, Along Eyzendy gagal dihubungi pihak media untuk mengesahkan kejadian tersebut. Hampir beberapa bulan berlalu, Hits berjaya menemui Along di tayangan perdana filem terbarunya Kawan Aku Mati Dalam Rumah Sewa.

Menjelaskan kejadian itu Along tidak menolak dia berada di tempat kejadian, bagaimanapun kontroversi yang mengatakan dia terlibat dengan dadah itu sama sekali tidak benar. Kepada wartawan Aida Rizmariza Kamaruddin, dia memberitahu sehingga kini masih ralat apabila ada pihak yang terus mengaitkan dia dengan benda haram tersebut.

Hits: Apa sebenarnya yang berlaku malam itu?

Along: Saya ke pusat hiburan itu dengan niat untuk menemani rakan saya yang juga salah seorang pembantu produksi. Jadi tujuan kami ke sana adalah untuk melihat kawasan tersebut yang akan dijadikan sebagai lokasi untuk penggambaran. Tidak sampai lima minit saya berada di dalam pusat hiburan tersebut, tiba-tiba sahaja pihak polis membuat serbuan.

Hits: Kemudian?

Along: Saya diminta untuk menjalani prosedur biasa, seperti ujian air kencing. Tetapi terbukti saya memang tidak mengambil sebarang bahan terlarang. Jadi malam itu juga saya dibebaskan. Oleh kerana ujian kencing itu negatif, saya dibebaskan serta merta.

Hits: Masalahnya, kenapa Along mengambil masa yang lama cerita benda ini?

Along: Memang saya cuba diamkan diri sementara perkara ini sejuk, tetapi pihak pengurusan (MIG) tahu apa yang sebenarnya yang berlaku. Apa yang saya ralat apabila tulisan yang terus menghentam saya tanpa usul periksa sehingga menimbulkan rasa tidak senang di kalangan ahli keluarga saya sendiri. Saya akui memang saya berada di tempat kejadian, namun saya tidak pernah menggunakan bahan terlarang tersebut.

Hits: Apa yang Along belajar dari kejadian tersebut?

Along: Saya belajar jangan mudah percayakan orang, mungkin melalui kejadian ini juga sebenarnya membuka mata saya. Selain itu juga, apa yang saya tahu kini sejak bergelar pelakon dari tahun 2000, adalah cerita-cerita seperti ini senang mendapat tempat di media berbanding kerjaya saya. Benda ini memang mendewasakan saya, buat saya lebih berhati-hati.

Hits: Penurunan berat badan juga seperti menguatkan lagi, kisah bahan terlarang ini. Sebab sehingga kini ada pihak yang tidak sudah-sudah mempertikaikannya, apa solusi Along untuk keadaan ini?

Along: Orang akan terus bercakap, sebagai pelakon saya tahu ini adalah normal. Memang berat badan saya sebelum ini 120 sekarang 75, tetapi kalau mereka tidak puas hati mereka boleh memeriksa saya. Saya tidak kisah, sebab saya tahu diri saya. Saya tidak pernah menggunakan bahan terlarang tersebut.

Hits: Bagaimana kerjaya Along kini, adakah kesannya masih menghantui?

Along: Syukur pihak pengurusan saya tahu apa sebenarnya yang berlaku. Soal kerjaya, masih lagi berjalan seperti biasa, malah saya kini juga sedang sibuk menyiapkan sebuah skrip filem. Masa depan saya masih lagi terlalu jauh, sebab itu saya sangat serius dalam soal ini.

Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER