RAMALLAH – Palestin mengancam untuk membekukan hubungannya dengan Amerika Syarikat (AS) jika negara itu bertegas menutup pejabat Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) di Washington.
Menurut Setiausaha Agung PLO, Saeb Erekat, pihaknya telah memaklumkan kepada Washington bahawa segala komunikasi dengan pentadbiran AS akan disekat susulan tindakan terbabit.
PLO yang merupakan organisasi mewakili seluruh rakyat Palestin perlu mendapatkan kebenaran menjalankan operasinya di premis tersebut setiap enam bulan.
Dalam pada itu, Menteri Luar Palestin, Riyad al-Malki berkata, ini adalah kali pertama sejak 1980 Jabatan Dalam Negeri AS menolak permohonan mereka.
Selain itu jelas beliau, pihaknya telah menerima surat dari Washington dua hari lalu yang memaklumkan Setiausaha Negara AS tidak menemukan alasan mencukupi bagi memastikan pejabat tersebut terus beroperasi.
“Ini tidak pernah berlaku dahulu dan kami telah meminta penjelasan Jabatan Negara AS dan White House. Kami akan mengadakan pertemuan dengan pakar undang-undang esok. Mereka akan memberikan jawapan yang lebih jelas,” katanya.
Dalam pada itu, jurucakap Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Nabil Abu Rudeina berkata, tindakan AS itu bukan satu langkah sewajarnya dalam sejarah hubungan Palestin-Amerika.
“Tindakan tersebut hanya merumitkan usaha untuk mencapai keamanan,” katanya.
Dalam perkembangan berlainan, seramai 300 penduduk Kampung Jabal al-Baba di timur Baitulmaqdis, Tebing Barat berdepan ancaman kehilangan tempat tinggal selepas rejim Zionis mengeluarkan arahan pemindahan di situ.
“Penduduk mula bimbang akan masa depan mereka yang tidak menentu. Mereka telah tinggal di sini sejak dulu lagi dan semua ini akan dimusnahkan bila-bila masa,” kata ketua komuniti tempatan, Atalah Jahalen kepada Al-Jazeera.
Arahan itu menyuruh penduduk mengosongkan kediaman dalam tempoh lapan hari dan sekiranya ingkar, mereka akan diusir keluar oleh rejim Zionis. – AGENSI
Post a Comment