Headlines News :
Home » » Rasulullah SAW pelopor politik matang

Rasulullah SAW pelopor politik matang

Written By zabidi on Sunday 5 February 2017 | February 05, 2017

Oleh TUAN GURU HASHIM JASIN

PENDEKATAN matang dalam tindakan politik telah membolehkan Islam bangkit dalam sejarah manusia dari sebuah agama yang ditentang keras di Mekah, menjadi sebuah agama yang diterima oleh semua bangsa dan budaya di seluruh dunia. Matang ertinya bertindak mengikut pertimbangan iman dan akal, bukannya mengikut hawa nafsu, serakah, kesumat dan sentimen sehingga menolak kebenaran sebagai benar dan kebatilan sebagai batil.

Inilah ingatan Allah SWT kepada Nabi Daud AS yang menjadi ibrah sepanjang zaman untuk orang-orang yang beriman. Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Wahai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan al-Haq (wahyu Allah) dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, karena ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, karena mereka melupakan hari perhitungan" (Shad: 26).

Allah SWT memerintahkan Nabi Daud AS supaya tidak mengikuti hawa nafsu kerana ia bukan sahaja menyesatkan manusia, tetapi ia menjadi gantian terhadap hukum dan perintah Allah (al-Haq). Sesiapa yang tidak berpegang dengan wahyu Allah, pada hakikatnya dia telah mengikuti hawa nafsu, sehingga seluruh pertimbangannya adalah berasaskan sentimen yang sempit, kebencian dan dendam serta tidak berasaskan kebenaran.

Agenda bertindak berasaskan kebenaran, menyokong apa sahaja yang benar dan menolak segala kemungkaran inilah yang membentuk tindakan yang matang. Pertimbangan yang berasaskan wahyu adalah tidak dibelit oleh muslihat dan kepentingan sempit, sebaliknya mengutamakan kebenaran berasaskan syariat yang diturunkan oleh Allah. Inilah yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW dalam seerahnya.

Perihal kematangan Rasulullah SAW dalam dakwahnya telah banyak dicatat oleh para ulamak, sehingga zahir kebijaksanaan yang memberikan kemenangan besar kepada Islam. Dalam peristiwa dakwah di Taif misalnya, Baginda telah menerima layanan yang sangat buruk daripada pendudukan Taif. Baginda bukan sahaja ditolak dakwahnya, dicerca dan dimaki, bahkan dicederakan. Pada saat itu, datang malaikat menawarkan azab untuk dihempapkan ke atas penduduk Taif. Ketika Baginda mempunyai pilihan untuk melepaskan dendam terhadap kejahatan penduduk Taif, Baginda bertindak matang dengan mendoakan agar lahir dari sulbi mereka pendukung agama Allah, bah merayu kepada Allah agar mereka diberikan petunjuk.

Begitu juga ketika pembukaan Kota Mekah, Baginda telah mengambil tindakan matang dengan menjadikan rumah Abu Sufian sebagai tempat perlindungan kepada orang Mekah. Abu Sufian, pemimpin Mekah yang sangat keras memusuhi Islam telah merasakan dirinya diberikan penghormatan tinggi oleh Nabi SAW, sehingga tunduk dia akhirnya kepada Islam. Dalam masa yang sama, Nabi SAW menyenaraikan tokoh-tokoh Mekah mesti dihapuskan termasuk Ikrimah bin Abu Jahal. Tetapi apabila Ikrimah datang kepada Baginda dengan mengucapkan syahadah, beliau segera dimaafkan. Kerana dua tindakan matang ini, seluruh negeri Mekah menyerah diri kepada Islam dan terbukanya kemenangan.

Dua contoh tindakan matang Rasulullah SAW ini adalah secebis dari ratusan kisah kebijaksanaan Baginda yang sepatutnya menjadi tauladan dan ikutan terbaik kepada seluruh pejuang Islam. Bukankah Rasulullah SAW telah mempelopori politik matang dalam sejarah Islam? Maka mengapa orang yang berjuang di jalan Allah terpengaruh dengan politik sentimen? Sentimen yang dibina tanpa asas kebenaran, sebaliknya diselaputi kesempitan fikiran akan menimbulkan taksub dan perasaan asobiyah yang menyesatkan. Perjuangan sempit seperti inilah yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW sebagai "bukan dari kalangan kami!" (Riwayat Abu Daud).

Dalam hal ini, PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang berkecimpung dalam arena politik negara, kita telah memilih untuk mengikuti jejak Rasulullah SAW dengan berpolitik secara matang. Kita memilih antara dua kemudharatan  - bertaawun dengan orang Islam yang zalim atau bertahaluf dengan orang bukan Islam yang keras sikapnya terhadap Islam (juga suatu kezaliman menurut pandangan Islam). Kita tidak menyokong, bahkan menentang tanpa kompromi terhadap semua bentuk kezaliman dan penyelewengan Umno/BN. Tetapi kita harus mengakui mereka adalah kelompok orang Islam yang masih boleh dimanfaatkan untuk membela Islam seperti isu Rohingya, Palestin dan pindaan Akta 355 juga.

Berbanding dengan DAP yang mempunyai sikap yang keras terhadap Islam, anti Islam dan sentiasa menolak sebarang usaha menegakkan Islam. Kita pernah dua kali bertahaluf dengan DAP melalui Barisan Alternatif (1999-2001) dan Pakatan Rakyat (2008-2015), ketika mana DAP bersikap lunak terhadap Islam. Terkeluarnya DAP dari BA pada 2001 adalah kerana keras sikap mereka terhadap negara Islam, sedangkan pegeseran pada 2015 juga berkait usaha PAS melaksanakan undang-undang syariat di Kelantan.

Ketika kita tidak dapat menerima sama sekali politik anti Islam yang didukung oleh DAP dan tindakan zalim BN ke atas rakyat, kita sebenarnya mempunyai sasaran bahawa ahli-ahli Umno dan penyokong BN adalah mad'u kita. Seperti Nabi SAW mengharapkan lahirnya pejuangan-pejuang Islam dari sulbi penduduk Taif, PAS juga mengharapkan lahirnya penyokong-penyokong Islam dari sulbi Umno. Kebencian mereka terhadap kebobrokan Najib Razak akan menguatkan Islam dengan sikap pemaaf kita dan kesediaan kita memberikan penghormatan terhadap bekas-bekas pemimpin mereka.

Kita mempelajari seni politik Rasulullah SAW yang sangat matang itu, dan kita sepatutnya mengambil pendekatan serupa dalam menjana kemenangan Islam. Kita tidak akan biarkan diri kita tersepit atau dipermainkan oleh mana-mana pihak, sebaliknya kita memanfaatkan kekuatan yang kita miliki untuk tawar-menawar yang memberikan keuntungan kepada Islam.
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER