Headlines News :
Home » » Hasilkan kulit daripada kulit

Hasilkan kulit daripada kulit

Written By zabidi on Wednesday 7 May 2014 | May 07, 2014

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia empat tahun melecur teruk akibat terbakar. Lebih 40
peratus bahagian badannya melecur. Kanak-kanak malang itu mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Johor. Seperti biasa, prosedur Split Skin Garfting (SSG) dilakukan dengan mengambil kulit di bahagian yang sihat dan ditampal di tempat yang melecur atau rosak.

Malangnya kanak-kanak berkenaan mengalami jangkitan kuman dan prosedur SSG boleh dikatakan tidak berjaya setelah hampir semua kulit telah diambil dan digunakan untuk menampal bahagian yang cedera sehingga tinggal hanya kulit di bahagian kepala.

Permintaan doktor untuk menggunakan kulit di bahagian kepala untuk meneruskan SSG tidak mendapat keizinan daripada keluarga mangsa. Ibu bapa kanak-kanak perempuan itu reda dan pasrah dengan keadaan anaknya dan tidak mahu dia terus menderita tanpa kulit di kepala.

Bagaimanapun dalam keadaan yang semakin mendesak, doktor di sana menghubungi Ketua Pusat Kejuruteraan Tisu, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Ruzymah Idrus bagi mendapatkan nasihat dan pertolongan.

"Mereka menghubungi saya supaya membantu kanak-kanak malang itu. Mulanya saya keberatan kerana kaedah penghasilan kulit gantian melalui kejuruteraan tisu masih belum digunakan kepada manusia tetapi berjaya digunakan pada tikus dan kambing.

"Bagaimanapun atas desakan serta kasihan melihat keadaan kanak-kanak itu, akhirnya saya bersetuju menggunakannya," katanya semasa ditemui di Puat Perubatan UKM (PPUKM), Cheras baru-baru ini.

Dalam prosedur berkenaan, Prof. Ruzymah mengambil sebahagian kecil sel kulit kanak-kanak berkenaan untuk dikultur di dalam makmal kepada saiz dua kali ganda lebih besar.

Kulit berkenaan akan dipotong kecil manakala lapisan dermi dan epidermis diasingkan menggunakan enzim. Kedua-dua lapisan dibiakkan secara berasingan kerana keperluan untuk pertumbuhan yang berbeza.

Secara histologi kulit gantian dwilapisan menyerupai kulit biasa. Pengamatan menggunakan mikroskop elektron juga mendapati pembentukan sambungan dermis dan epidermis bercantum dengan baik seperti kulit biasa.

Kajian juga mendapati kulit gantian ini dapat menyembuhkan luka lebih cepat berbanding kulit normal.

Kelebihan kulit gantian ini ialah ia boleh dibuat terlebih dahulu, disimpan dan digunakan apabila diperlukan semasa kecemasan.
Beliau kemudiannya memindahkan kulit itu ke bahagian yang melecur dan rosak. Kaedah berkenaan dilakukan berkali-kali sehingga seluruh bahagian yang melecur berjaya ditampal dengan kulit baharu.

"Ketika itu saya amat risau kerana tidak pasti sama ada kaedah ini berjaya atau tidak," katanya.
Bagaimanapun hasilnya amat menakjubkan, kanak-kanak itu kini bukan sahaja telah pulih tetapi berjaya berjalan keluar dari hospital apabila selesai menjalani rawatan.

Menurut Prof. Ruzymah, parut yang dialaminya amat kurang dibandingkan dengan parut yang dihasilkan dengan rawatan SSG.

Beberapa bulan kemudian kanak-kanak kembali ke Pusat Kejuruteraan Tisu untuk menyambut hari lahirnya yang kelima.

Sejak itu teknologi yang dihasilkan oleh UKM dipatenkan dan sekarang sedang menjalani ujian klinikal sebelum ia dapat digunakan oleh pesakit secara meluas bagi membolehkan pesakit yang memerlukan kulit ganti mendapat rawatan yang lebih baik daripada SSG.
Semua tugas membiakkan sel kulit dilakukan dalam keadaan yang terkawal.
 
Pada masa ini Prof. Ruzymah yang telah menjalankan kajian lebih 10 tahun lalu itu kini sedang menjalankan kajian menghasilkan organ-organ lain dan telah berjaya menghasilkan tulang manusia.
"Kejuruteraan tisu amat berguna kepada manusia dan saintis meramalkan mungkin pesakit jantung tersumbat tidak lagi perlu melakukan pembedahan pintasan jantung.

Hanya dengan menyuntikkan sel stem, suatu saluran darah baru akan dapat ditumbuhkan di jantung untuk memintas saluran yang tersumbat.

Dr. Ruzymah menambah tidak lama lagi, mereka yang menderita sakit sendi seperti lutut akibat osteoartritis juga tidak perlu lagi menderita kerana dengan kejuruteraan tisu, sakit disebabkan kehausan tulang dapat dihilangkan dengan menumbuhkan kembali ligamen bagi tempurung lutut.

"Rawatan demikian boleh menjadi kenyataan pada suatu hari nanti," kata Prof. Ruzymah.

Kejururuteraan tisu dan perubatan regeneratif ialah satu teknologi bagi menghasilkan tisu, organ atau sel hidup yang boleh digunakan bagi merawat atau menggantikan tisu atau organ yang hilang akibat kecederaan atau masalah konginital.

Sel, organ atau tisu dibuat menggunakan sebahagian daripada tisu pesakit sendiri dan dapat mengelakkan proses penolakan tubuh.

Tubuh pesakit mengenali sel, tisu dan organ tersebut dan dapat menerimanya dengan baik dan terus sebati dengan pesakit. Ini dapat mengelakkan penggunaan ubat imonopenindasan sepanjang hayat yang mahal dan meningkatkan kos perubatan selepas transplantasi.

Perubatan regeneratif merangkumi tiga bidang utama iaitu kejuruteraan tisu, terapi sel dan terapi dengan molekul bioaktif atau biobahan iaitu kerangka. Kesemua bahan ini boleh digabungkan antara satu sama lain.

Berpotensi

Bidang kejuruteraan tisu berpotensi menghasilkan organ bagi mengatasi kekurangan penderma organ dan pesakit tidak perlu mengharapkan penderma organ sama ada penderma hidup atau mati.

Penggunaan kulit gantian yang dihasilkan dengan kejuruteraan tisu secara autologous adalah terbaik tetapi prosesnya mengambil masa tiga hingga empat minggu kerana perlu dibiakkan terlebih dahulu.

"Ini adalah proses yang unik kerana semuanya menggunakan bahan daripada pesakit itu sendiri dan tiada bahan asing digunakan, cuma lapisan kain sutera digunakan bagi meletakkan lapisan kulit yang sensitif dan mudah pecah," katanya.

Bidang kejuruteraan tisu bermula pada pertengahan 1980-an melalui Dr. Joseph Vacanti dari Children's Hospital dan Dr. Robert Langer dari Massachusets Institute of Technology (MIT) dari Boston, Amerika Syarikat (AS).

Di Malaysia, penyelidikan kejuruteraan tisu dimulakan oleh Dr. Aminuddin Saim di penghujung tahun 1999 dengan mendapat pendidikan di bawah Dr. Charles Vacanti ketika Fellowship di UMass dan Harvard Medical School.

Dr. Amuinuddin menubuhkan Makmal Kejuruteraan Tisu di PPUM tetapi kemudian beliau berpindah ke Hospital Ampang Puteri dan makmal berkenaan diambil alih oleh Prof. Ruzymah sehingga sekarang.

Pada Januari 2008, makmal berkenaan dinaik taraf ke Pusat Kejuruteraan Tisu dan Prof. Ruzymah dilantik sebagai ketuanya sehingga kini.

Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER