Headlines News :
Home » » Aplikasi satelit komunikasi

Aplikasi satelit komunikasi

Written By zabidi on Tuesday 6 May 2014 | May 06, 2014

Oleh Noor Azawani Wahap

Komunikasi adalah kunci utama dan perkara kritikal dalam situasi kecemasan dan krisis bencana. Ia

penting untuk pentadbiran logistik, usaha menyelamat mangsa serta medium utama hubungan dua hala.
Aplikasi komunikasi tanpa wayar biasanya antara perkara pertama dalam mana-mana tindak balas kecemasan, menyelamat atau misi bantuan.

Walau bagaimanapun, peralatan tanpa wayar di daratan seperti telefon selular atau radio mudah alih hanya berguna apabila menara komunikasi dan peralatan tetap lain tidak terjejas akibat bencana.
Dalam kebanyakan situasi kecemasan, infrastruktur ini sama ada telah dimusnahkan oleh bencana seperti tragedi New Orleans selepas Taufan Katrina atau sememangnya tidak ada seperti kejadian gempa bumi di Pakistan.
Realiti ini menjadikan komunikasi adalah penting bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi penyelamat untuk mempunyai akses kepada rangkaian komunikasi tanpa wayar yang tidak bergantung kepada infrastruktur daratan.
Satelit komunikasi adalah satu-satunya infrastruktur komunikasi tanpa wayar yang tidak mudah terdedah kepada kerosakan akibat bencana alam, kerana pengulang (repeater) utama menghantar dan menerima isyarat dari kapal angkasa satelit yang terletak di luar atmosfera Bumi.
Pengguna hari ini mempunyai dua jenis rangkaian komunikasi satelit yang boleh didapati untuk menyokong aktiviti kecemasan iaitu Sistem Satelit Geopegun (GEO) dan Satelit Orbit Bumi Rendah (LEO).
GEO terletak 36,000 kilometer di atas bumi di kedudukan yang tetap dan memberi perkhidmatan kepada negara atau rantau yang meliputi sehingga satu pertiga Bumi.
Satelit ini mampu menyediakan pelbagai perkhidmatan komunikasi, termasuk suara, video dan data jalur lebar.
Satelit ini beroperasi dengan peralatan di stesen bumi yang terdiri daripada antena tetap yang sangat besar sehingga ke peranti mudah alih bersaiz telefon bimbit.
Kini terdapat hampir 300 satelit GEO komersial di orbit Bumi yang dikendalikan oleh syarikat satelit global, serantau dan nasional tidak termasuk satelit yang dikendalikan oleh kerajaan, tentera dan lain-lain.
Rangkaian tersebut juga digunakan sebelum bencana di kebanyakan negara untuk menyediakan data seismik dan pengesanan banjir kepada agensi kerajaan bagi membolehkan amaran awal diberikan.
Ia juga digunakan untuk tujuan penyiaran notis bencana atau amaran dan memudahkan komunikasi umum dan aliran maklumat antara agensi-agensi kerajaan, pertubuhan-pertubuhan bantuan dan orang ramai.
Satelit LEO pula beroperasi di orbit antara 780 kilometer (km) hingga 1,500 km bergantung pada sistem dan berupaya menyediakan komunikasi suara dan komunikasi data berkelajuan rendah.
Satelit tersebut boleh beroperasi dengan peranti mudah alih yang bersaiz telefon bimbit besar.
Kriteria ini memberikan satu lagi penyelesaian satelit yang bernilai bagi hubungan semasa bencana.
Walau bagaimanapun, bagi memastikan penggunaan yang efisien, pihak berkuasa dan penyelamat berkaitan perlulah mengenal pasti serta lebih bersedia dalam pemilihan teknologi, sistem dan peranti yang diperlukan mengikut kesesuaian muka bumi, tujuan dan pelbagai aspek yang lain.
Perancangan tersebut memerlukan pemahaman tentang keupayaan serta jenis sistem yang pelbagai.
Ini kerana, teknologi satelit berupaya menyediakan perkhidmatan komunikasi jalur sempit (narrowband) dan jalur lebar (broadband) serta internet, data, video, atau suara melalui protokol internet (IP) dengan kelajuan bermula daripada 64 Kbps dengan peranti pegang sehingga kepada 4 Mbps dengan VSAT (Very Small Aperture Terminal) mudah alih.
Stesen penerima atau pemancar kekal pula berupaya menyediakan perkhidmatan sehingga 40 Mbps.
Oleh itu, teknologi satelit komunikasi boleh digunakan sebelum, semasa, dan juga selepas bencana berlaku bagi membantu prosedur mitigasi, menyelamat, serta usaha pemulihan bencana seperti di berikut:
1-Sistem peranti pegang
Peranti jenis ini terdiri daripada sistem telefon satelit, alat kelui (pager) dan peranti di dalam kenderaan yang bersaiz tangan dan kecil.
Peranti jenis ini sesuai digunakan sejurus selepas bencana iaitu infrastruktur serta kemudahan komunikasi (gelombang mikro, selular) dan elektrik telah musnah.
Peranti jenis ini amat mudah digunakan dan tidak memerlukan kepakaran. Kos komunikasi pula bergantung kepada tarif pembekal dan syarikat telekomunikasi.
2-Sistem peranti mudah alih
Peranti jenis ini sesuai dan mudah untuk diangkut dan boleh beroperasi di mana-mana sahaja seperti di dalam kenderaan yang sedang bergerak seperti kereta, van, bot penyelamat atau pun pesawat.
Peranti jenis ini berguna kerana menyediakan perkhidmatan sambungan berkelajuan tinggi dan cepat bagi tujuan penilaian kerosakan, maklumat perubatan, dan menyelamat dalam bentuk suara, video dan data.
Bergantung kepada sistem yang dibekalkan, peranti ini mampu untuk beroperasi antara lima dan 30 minit di mana-mana sahaja.
Bergantung pada jenis sistem dan pemilihan perkakasan, pemasangan dan penggunaan peranti jenis ini boleh di selenggara sendiri atau dengan kehadiran bantuan teknikal.
3-Sistem Satelit Komunikasi Kekal:
Terminal jenis ini selalunya dipasang secara kekal sekiranya peralatan perlu digunakan lebih daripada seminggu dan digunakan bagi prosedur pra-bencana dan selepas bencana seperti pemantauan alam sekitar operasi pemulihan, dan komunikasi sokongan.
Sistem ini boleh dikonfigurasikan untuk menyediakan transmisi data berkelajuan rendah sehingga sangat luas, penyiaran video berkualiti tinggi untuk menggantikan infrastruktur telekomunikasi tempatan atau nasional. Sistem jenis ini memerlukan kepakaran teknikal dan melibatkan harga yang lebih tinggi.
Perancangan awal bagi jangka panjang untuk mitigasi bencana alam boleh disokong oleh rangkaian satelit bersama-sama sensor in-situ seperti data hidrologi, tolok hujan dan peralatan yang dipasang oleh pihak berkuasa tempatan.
Sistem satelit komunikasi juga dilihat sebagai salah satu cara yang paling berkesan bagi memastikan kesinambungan operasi semasa berlakunya kecemasan dan bencana.
Perlu diingatkan, sama ada kita mampu menjangkakan sesuatu bencana akan berlaku atau pun telah berlaku, komunikasi adalah satu perkara yang kritikal dan penting.
Oleh itu, perancangan awal yang menyeluruh dan berkesan perlu dilaksanakan seperti mengemaskini peralatan komunikasi yang mengiringi misi bantuan dan pemulihan bencana.
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER