Headlines News :
Home » » 11 Ciri Individu Yang Amat Judgmental

11 Ciri Individu Yang Amat Judgmental

Written By zabidi on Tuesday 4 May 2021 | May 04, 2021


 Oleh Ainon Mohd

Semua orang mempunyai sikap judgmental, isunya apakah sikap itu sedikit. sederhana, ataupun ekstrem.
 
Apakah kita sendiri seorang yang amat judgmental terhadap orang-orang yang tidak serupa dengan kita?
 
Menurut pakar-pakar psikologi, antara tanda-tanda kita seorang yang bersikap amat judgmental adalah seperti di bawah ini:
 
1. Kita rasa semua orang tidak ikhlas kepada kita, semua orang ada kepentingan, semua orang ada udang di sebalik batu, semua orang cuma hendakkan sesuatu dari kita, semua orang hendak pergunakan kita.
 
2. Kita tidak suka orang-orang yang tidak konsisten pendapatnya dan tingkah lakunya, yang berubah-ubah ikut situasi dan konteks. Bagi kita, sikap macam itu salah, tidak ada prinsip, tidak ada pegangan, munafik, hipokrit, tak boleh diterima. 
 
3. Terhadap orang-orang yang tidak serupa dengan kita, kita susah hendak nampak di mana baiknya mereka, di mana bagusnya, di mana kebijaksanaannya.
 
4. Kita tidak pandai menangguhkan daripada membuat pendapat. Kita gopoh, kita terus menghukum, terus membuat keputusan, terus melabel. Baru nampak satu sisi, terus kita katakan perkara itu salah, tak betul, bodoh, haram, berdosa dll.
 
5. Kita tidak suka pada sesuatu persoalan yang tidak jelas, yang tidak pasti, yang tidak berapa lurus, yang tidak simpel, yang kompleks dan komplikated. Kita cuma hendak berfikir secara simpel, secara yang mudah. Kita tidak suka berfikir secara konseptual.
 
6. Kita susah hendak bertoleransi terhadap orang-orang yang fahamnnya berbeza, yang cara mereka berfikir tidak macam kita, yang perangainya tidak macam kita, yang rupa dan penampilannya tidak sama macam kita. Kita payah hendak terima mereka sebagai kawan dan sahabat. Kita tidak mahu bercampur-gaul dan bekerjasama dengan mereka.
 
7. Kita cenderung berfikir secara pesimistik, yakni kita memikirkan perkara-perkara buruk yang akan berlaku pada masa depan. Kita memikirkan dan kita meramalkan macam-macam musibah yang akan berlaku dan menimpa semua orang jikalau sesuatu perkara itu tidak dibuat macam yang kita fikir, macam yang kita mahukan.
 
8. Bagi kita, semua orang dapat digolongkan ke dalam 2 jenis manusia saja, iaitu manusia baik dan manusia jahat. Tidak ada golongan lain selain yang dua itu. 
 
9. Sangat payah kita hendak nampak di mana bagusnya, di mana baiknya, di mana pintarnya, di mana bijaknya, di mana kelebihannya, di mana mulianya, di mana istimewanya orang-orang yang tidak serupa macam kita, yang pemikiran dan penampilannya sangat berlainan dengan diri kita.
 
10. Kita berasa amat tidak selesa apabila berada di dalam kumpulan orang-orang yang bukan kawan-kawan sendiri, yang tidak dikenali, yang tidak serupa macam kita. Kita tak tahan duduk lama dengan mereka. Kita tidak ada mood hendak berkenalan dan bercakap-cakap dengan mereka.
 
11. Kita selalu sangsi, ragu, khuatir, dan menaruh syak terhadap niat sebenar orang-orang yang tidak kita kenali, yang tidak serupa macam kita. Kita susah hendak percaya mereka itu berniat baik terhadap kita. 
 
Senarai di atas itu adalah dalam kes judmentalism yang ekstrem. Bagi golongan tidak ekstrem, mereka cuma mempunyai beberapa sikap itu sahaja, bukan semua.
 
Apabila kita terjumpa dengan individu-individu yang sangat judgmental, apakah yang sebaiknya kita lakukan?
 
Pakar-pakar psikologi memberi paduan ini: Jangan ambil hati dengan label-label negatif yang mereka gunakan terhadap diri kita. Masalahnya bukan pada diri kita. Masalahnya adalah pada diri mereka sendiri.

Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER