Hakikatnya, musibah dan bencana akan sering berlaku dalam kehidupan. Inilah sebenarnya takdir dan ketentuan Allah. Allah berfirman dalam surah al Baqarah, ayat 155-157 yang bermaksud: “Demi sesungguhnya, Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, merasai kelaparan, dan berlakunya kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar, iaitu orang yang apabila ditimpa sesuatu kesusahan, mereka berkata, sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah, dan kepada-Nya jualah kami kembali.” 

Ayat ini menyatakan bahawa di dalam kehidupan akan terdapat pelbagai musibah sebagai ujian kepada manusia. Malah ujian dan musibah adalah sesuatu yang perlu mereka terima sebagai rencah kehidupan. Mereka juga dituntut untuk menerima dan melaluinya dengan penuh kesabaran. Kesabaran itu perlu sebagai membuktikan bahawa mereka ialah insan lemah, kesabaranlah yang akan memberi kekuatan kepada mereka untuk menjadi hamba Allah yang ikhlas dan bertakwa.

Gambaran sabar itu ialah tabah dan tenang ketika ditimpa musibah dengan menyerahkan diri dan urusan kehidupan hanya kepada Allah sahaja tanpa ada rasa menyesal dan duka, ataupun putus asa. Sifat sabar adalah dituntut untuk diamalkan dalam kehidupan, manakala sifat duka lara dan bersedih hati serta gundah gulana adalah amat dilarang. Sifat hati yang mudah luntur dan bersedih ketika ditimpa musibah dan bencana adalah satu sifat yang amat lemah, malah ia akan melemahkan manusia dan menjadikan mereka itu berterusan di dalam keadaan yang lemah dan tidak produktif.

Sesuai dengan kejadian setiap manusia, bahawa mereka itu dijadikan amat lemah, tidak tetap pendirian, dan mudah terpedaya pada ketika susah dan senang, serta sentiasa berhajat kepada Allah dalam setiap masa. Lantaran itu, dengan sifat sabar, mereka mampu untuk berserah kepada Allah.

Bersabar akan membuatkan mereka memperoleh ketenangan, lalu ketenang­an itu akhirnya akan memberi kekuatan kepada mereka untuk meneruskan kehidupan dan mampu untuk terus beribadah kepada-Nya.

Kajian sains menunjukkan bahawa sifat sabar hanya akan terbentuk dan berkembang sesuai dengan tahap kematangan umur, pemikiran dan pengalaman individu terhadap persekitaran dan perhubungannya dengan masyarakat. Ia juga tidak akan tercapai tanpa pendidikan dan latihan pengukuhan yang sempurna dan teratur. Malah, sejak lahir, tiada istilah sabar dalam diri manusia. Boleh dikatakan, manusia dilahirkan tanpa sifat sabar dalam diri mereka.

Oleh itu, dari manakah mereka memperoleh sifat sabar ini? Di manakah mereka perlu belajar untuk menjadi sabar?

Bahagian otak manusia yang berkaitan dengan sikap sabar dikenali sebagai lateral prefrontal cortex. Bahagian otak paling hadapan ini memiliki tahap perkembangan dan kematangan yang agak lambat berbanding dengan mana-mana bahagian lain otak manusia seperti bahasa dan persepsi. Oleh yang demikian, ia menjadikan sifat sabar ini merupakan satu sifat yang amat sukar sekali untuk dipelajari, diamalkan dan dilaksanakan oleh mana-mana individu. Namun, manusia boleh belajar dan menerima tazkirah.

Atas faktor ini, al Quran seringkali mengingatkan manusia agar sentiasa bersabar dalam apa jua keadaan, dan mereka perlu belajar untuk menjadi sabar. Tetapi bagaimana untuk menjadi sabar?

Junjungan besar Nabi Muhammad SAW telah diutuskan oleh Allah kepada umat manusia sebagai pemberi rahmat kepada seluruh alam. Bersesuaian dengan tarikh kelahiran baginda pada 12 Rabiulawal setiap tahun, terpancar jugalah sikap dan amalan baginda dalam mendidik diri dan tingkah laku sabar dalam kehidupan. Telah terpampang di depan mata kita sikap sabar baginda yang perlu kita contohi dan pelajari serta diamalkan dalam kehidupan kita sendiri, lebih-lebih lagi ketika ditimpa bencana dan musibah.

Baginda telah banyak menunjukkan sikap sabar ketika menjalankan dakwah di Kota Mekah, Madinah dan lain-lain. Lebih-lebih lagi bagaimana sikap sabar baginda ketika berhadapan dengan pihak lawan.

Selain anjuran untuk bersifat sabar dan menjauhkan diri daripada bersikap sedih serta berputus asa di saat-saat ditimpa musibah dan bencana, manusia juga seringkali diingatkan bahawa musibah dan bencana bukan sesuatu yang kekal lama. Ia hanya sementara. Ia akan sering disusuli dengan rahmat dan keampunan yang bertitik-tolak da­ripada amalan sikap sabar itu juga.

Bersabar akan menjadikan manusia lebih rasional dan matang. Malah bersabar akan menjadikan mereka lebih bekerjasama dan tolong-menolong. Malah, sesuatu yang lebih baik ialah bersabar akan menjadikan mereka lebih hampir dengan janji Allah iaitu balasan syurga.

PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan IKIM.