Headlines News :
Home » » Had aktiviti luar kurangkan ancaman jerebu

Had aktiviti luar kurangkan ancaman jerebu

Written By zabidi on Saturday 10 August 2019 | August 10, 2019

Oleh Oleh Prof Mohd Talib Latif

JEREBU adalah fenomena pengurangan jarak penglihatan akibat peningkatan kepekatan jumlah zarah terampai halus di atmosfera. Jumlah zarah terampai halus ini akan menyebabkan cahaya pantulan daripada sesuatu objek dan cahaya daripada matahari diserakkan menyebabkan jarak penglihatan berkurangan.

Fenomena jerebu dikhaskan kepada proses pengurangan jarak penglihatan akibat peningkatan jumlah zarah terampai halus yang tinggi dan humiditi relatif yang rendah. Fenomena ini sering terjadi disebabkan peningkatan suhu permukaan bumi dan pengurangan jumlah hujan serta wap air di udara.

Fenomena jerebu berlaku saban tahun di rantau Asia Tenggara akibat peningkatan jumlah zarah yang dibebaskan oleh proses pembakaran bahan biojisim daripada pembakaran sisa pertanian, pembakaran hutan dan pembakaran dari kawasan tanah gambut yang sukar dipadamkan.

Proses pembakaran ini biasanya berlaku mengikut kitaran pembuangan sisa pertanian dan juga akibat daripada merebaknya sesuatu pembakaran disebabkan cuaca panas. Keadaan panas yang melampau akibat pengurangan hujan pada waktu El-Nino yang berlaku dalam kitar empat atau lima sekali akan menyebabkan proses pembakaran ini merebak dengan cepat.

Dua fenomena El-Nino kuat yang berlaku pada 1997 dan 2015 adalah contoh di mana jerebu boleh berlaku dalam masa yang panjang.

Proses pembakaran biojisim akan menyebabkan pembebasan zarah terampai dan pelbagai gas inorganik seperti gas karbon monoksida (CO), sulfur dioksida (SO2), nitrogen dioksia (NO2) dan juga gas-gas organik yang akan bertukar dengan cepat membentuk aerosol sekunder akibat proses pengoksidaan di atmosfera.

Zarah halus yang ringan dan stabil akan menyebabkan ia berupaya untuk dibawa oleh angin dominan ke kawasan lebih jauh. Gas yang terhasil daripada proses pembakaran ini akan cepat bertukar ke bentuk yang lebih stabil seperti pertukaran gas karbon monoksida kepada gas karbon dioksida atau akan berasosiasi dengan zarah untuk membentuk bahagian daripada partikel seperti pertukaran gas sulphur dioksida kepada sulfat dan nitrogen dioksida kepada nitrit dan nitrat.

Oleh sebab itu zarah terampai halus yang biasanya disebut sebagai zarah yang mempunyai diameter aerodinamik lebih kecil daripada 2.5 mikrometer atau PM2.5 adalah parameter yang sering menjadi bahan ukur semasa jerebu berlaku.

Sejak 2017 Jabatan Alam Sekitar memulakan proses pengawasan PM2.5 di stesen pengawasan kualiti udara berterusan di seluruh negara. Kepekatan PM2.5 ini adalah salah satu daripada enam parameter bahan pencemar udara utama yang digunakan bagi pengiraan Indeks Pencemar Udara (IPU) Malaysia (http://apims.doe.gov.my/public_v2/home.html).

Tahap kepekatan PM2.5 biasanya akan menjadi parameter tertinggi bagi pengiraan IPU yang diasosiasikan dengan kesan kepada kesihatan manusia. Saiz zarahan PM2.5 yang halus menyebabkan ia mudah disedut ke dalam sistem pernafasan dan mendatangkan masalah kepada kesihatan manusia.
Beberapa kajian sebelum ini mengaitkan kehadiran zarah halus dengan beberapa penyakit seperti asma, bronkhitis, radang paru-paru, jantung dan alahan. Zarah terampai halus biasanya akan mempunyai komposi bahan organik dan inorganik yang tinggi.

Bahan organik seperti levoglukosan dan logam kalium seta bahan ion seperti sulfat dan ammonium dalam PM2.5 sering menjadi penunjuk utama kehadiran pembakaran daripada bahan biojisim. Antara bahan organik dan inorganik toksik yang sering didapati dalam zarah terampai halus adalah seperti sebatian hidrokarbon poli-aromatik dan logam surih seperti plumbum, kromium, kadmium, zink dan ferum.

Bahan ini berpotensi untuk mendatangkan kesan akut dan karsinogenik bagi pendedahan masa yang panjang. Kanak-kanak yang mempunyai sistem paru-paru yang sedang membesar, menyedut lebih banyak udara seunit berat badan daripada orang dewasa di samping sering berada dalam keadaan aktif adalah golongan yang sering menerima kesan akut akibat peningkatan zarah halus ini.

Kehadiran jerebu disebabkan peningkatan jumlah peningkatan pembakaran terbuka di rantau ini memerlukan kita bersiap sedia untuk menghadapi situasi ini. Asap yang mengandungi zarah halus terhasil daripada pembakaran di negara jiran akan dibawa oleh angin dominan monsun barat daya ke negara.

Asap ini mengandungi zarah terampai halus yang tinggi yang diterjemahkan dalam bentuk IPU oleh Jabatan Alam Sekitar Malaysia. Kita di negara ini dinasihatkan untuk mengurangkan pembakaran terbuka di samping mengawal emisi lain termasuk daripada kenderaan bermotor dan industri.

Keadaan udara yang stabil pada masa jerebu menyebabkan pencemar dari sumber tempatan terperangkap dalam udara ambien. Kita seharusnya memastikan langkah penjagaan kesihatan dituruti. Kanak-kanak adalah mangsa utama kejadian pencemaran udara seperti jerebu.

Oleh itu pengawalan dengan mengehadkan aktiviti luaran sedikit sebanyak dapat mengurangkan pendedahan mereka kepada zarah halus ini.

Penulis adalah Timbalan Dekan (Siswazah) Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER