Headlines News :
Home » » Syariat ibadat korban tonggak perpaduan

Syariat ibadat korban tonggak perpaduan

Written By zabidi on Saturday 10 August 2019 | August 10, 2019

 Oleh Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim

ISLAM agama yang sangat prihatin terhadap manusia, tidak hanya mementingkan kebajikan golongan atasan tetapi turut memberi perhatian kepada fakir dan miskin. Oleh itu, Allah SWT menjadikan ibadat korban sebagai cara untuk menjamin kebajikan mereka yang kurang berkemampuan.

Ia memberi impak tinggi terhadap sosial masyarakat dengan mengeratkan hubungan silaturahim antara adik-beradik, jiran tetangga, sahabat handai dan ramai lagi. Inilah rahmat Allah SWT kepada manusia tanpa mengira pangkat, darjat, usia dan bangsa.

Korban antara ibadat yang sering dilakukan Nabi Muhammad SAW sebagai galakan kepada umatnya.

Hal ini dapat dibuktikan melalui hadis Baginda yang bermaksud:
“Perkara pertama yang kami lakukan pada Aidiladha ialah solat (hari raya), kemudian kami pulang untuk korbankan binatang, sesiapa sahaja dalam kalangan kamu yang berbuat demikian, maka kamu mendapat sunah kami, (Riwayat Muslim).

Berdasarkan hadis ini, ulama mazhab Shafie mengklasifikasikan ibadat korban sebagai sunah yang tidak pernah ditinggalkan Baginda SAW sejak ia disyariatkan. Ada banyak hikmah di sebalik pensyariatan ibadat korban.

Pertama, mendekatkan kita dengan Allah SWT menerusi ibadat dilakukan. Firman Allah SWT bermaksud: “Solatlah kamu dan kemudian lakukanlah ibadat korban.” (al-Kauthar, ayat 2). Berdasarkan ayat ini, Allah SWT menggalakkan umat Islam menunaikan solat sunat hari raya dan disusuli ibadat korban.

Menerusi dua cara ini, mereka mendapat pahala besar, sekali gus mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Hikmah kedua, korban sebagai penghubung dan pengikat silaturrahim antara manusia. Sebagai menyahut seruan ini, Imam al-Ghazali menjelaskan kaedah pembahagian daging korban seseorang itu kepada tiga bahagian, iaitu masing-masing satu pertiga kepada fakir miskin yang beragama Islam; sahabat handai, jiran tetangga, adik-beradik walaupun mereka itu daripada golongan berharta serta terakhir dimakan oleh pemilik dan dihadiahkan kepada ahli keluarganya yang terdekat.

Melaluinya daging korban dibahagikan sama rata kepada mereka yang berhak, di samping itu hubungan silaturahim dan kekeluargaan juga turut terjalin.

Inilah dinamakan kasih sayang seperti sabda Baginda Nabi SAW: “Tidak beriman seseorang itu dengan Allah dan hari kiamat sehinggalah dia menyayangi saudaranya seperti mana dia menyayangi dirinya sendiri.” (Riwayat Muslim)

Sabda Nabi SAW lagi: “Tidak patut seseorang itu dinamakan sebagai beriman selagi dia tidur dalam keadaan kenyang sedangkan jiran tetangga yang berada berhampirannya dalam keadaan lapar dan dia mengetahuinya.” (Riwayat Tabrani dan Baihaqi).

Korban juga mendidik manusia memberi sesuatu yang terbaik dan bernilai kepada orang yang dikasihinya.

Perkara ini dapat dibuktikan apabila disyaratkan terhadap haiwan yang bakal dikorbankan itu memiliki sifat yang baik dan sempurna tubuh badan tanpa sebarang kecacatan, sama ada bersifat sementara atau pun kekal.

Sabda Nabi SAW: “Empat sifat yang menyebabkan haiwan tidak sah untuk dikorbankan, (haiwan) yang buta sebelah mata, yang jelas berpenyakit, yang jelas tempang kakinya dan yang terlalu kurus hingga tidak berotak”. (Riwayat al-Tirmizi).

Hadis di atas jelas menunjukkan Islam menyuruh kita menghadiahkan sesuatu yang bernilai dan baik kepada mereka yang kita sayang. Namun, perkara ini tidak diambil peduli sebahagian pihak apabila ada yang sanggup menyimpan barangan bernilai untuk diri sendiri, manakala yang tidak bernilai dihadiahkan kepada orang lain khususnya fakir miskin.

Contohnya memberi saki-baki makanan yang tidak lagi bernilai seperti lemak, tulang, kulit, kepala, tapak kaki haiwan korban dan sebagainya kepada golongan yang memerlukan. Perbuatan sedemikian bercanggah ajaran Nabi SAW.

Hikmah keempat, mendidik manusia agar sentiasa bersyukur kepada Allah atas nikmat rezeki yang dikurniakan kepada kita dalam pelbagai cara; kaya dengan cara kaya, miskin dengan cara miskin.

Namun, ramai juga umat Islam hari ini tidak bersyukur dengan nikmat, sehingga ada dalam kalangan mereka sanggup meninggalkan solat, puasa, zakat dan sebagainya hanya kerana sibuk mengejar urusan dunia, sedangkan semua ibadah itu tanda kesyukuran kita kepada Allah SWT.

Berdasarkan falsafah korban, dapatlah disimpulkan ibadat ini sangat baik untuk diamalkan umat Islam yang berkemampuan. Mereka yang menghabiskan hartanya untuk kebajikan pasti akan beroleh rahmat dan pahala daripada Allah SWT.

Namun, jangan pula penerima daging korban memandang remeh balasan yang perlu dikembalikan kepada Allah atas nikmat yang diberikan melalui ibadat korban itu.

Adalah tidak adil penerima daging korban tidak menunaikan ibadat solat sama ada yang fardu ataupun sunat hari raya. Lebih menyedihkan ada sebahagian fakir miskin sanggup menunggu daging korban di pekarangan masjid tanpa menunaikan solat sunat hari raya dan mendengar khutbah sedangkan mampu berbuat demikian.

Mereka menginginkan nikmat daripada Allah, tetapi tidak pandai bersyukur kepada-Nya.

Justeru, marilah kita sama-sama menyemarakkan hari raya korban dengan ibadat dan keinsafan diri.

Penulis adalah Ketua Jaringan Industri, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER