Oleh USTAZ ZAINUDIN HASHIM
KETIKA muhasabah ini ditulis, hanya tinggal 4 atau 5 hari lagi akan berakhir bulan Syaaban, ia menandakan bahawa kita akan menyambut kedatangan bulan yang amat ditunggu-tunggu oleh segenap umat Islam di seluruh dunia tanpa mengira bangsa atau keturunan, kedudukan pangkat dan asal usul mereka, semuanya sama di hadapan Allah SWT.
Bulan yang semua kita maklumi bahawa terdapat ganjaran pahala yang berlipat kali ganda yang tidak ada pada bulan-bulan lain, selama sebelas bulan kita dibenarkan bebas untuk bermakan minum kecuali ada yang melakukan puasa-puasa sunat untuk meraih pahala, namun kedatangan Ramadan yang hanya sebulan sahaja tidak dibenarkan makan pada siang harinya, sudah pasti Allah Yang Maha Bijaksana mahukan agar perut-perut kita dihentikan fungsi makan pada siang hari kerana sebelas bulan kita menggunakannya.
Ibarat sebuah kereta yang baharu dibeli, kita diingatkan oleh pembuatnya ataupun yang menjualnya supaya bila kita guna dalam masa tempoh tertentu, kita disuruh untuk hantar ke bengkel untuk menukar minyak hitam dan apa yang berkaitan dengannya, ia bertujuan bagi memastikan keadaan kereta dapat berfungsi untuk jangka masa yang panjang, tidak salah jika seseorang itu mengabaikan nasihat atau pandangan pembuat atau penjual kereta dengan tidak mempedulikan perkara yang patut dilakukan terutamanya dalam perkara servis.
Justeru, muhasabah kali ini akan memperkatakan mengenai persediaan untuk menyambut Ramadan dari sudut minda, fizikal dan naluri dalaman manusia. Ini penting bagi memastikan agar pelaksanaan amal ibadat dalam bulan tersebut berjalan dengan penuh kefahaman dan maklumat yang tepat dan jelas.
Di mana persediaan dari sudut minda, baginda s.a.w. telah menegaskan dalam satu hadis yang bertaraf daif, walaupun demikian ia dibenarkan untuk tujuan beramal, di mana baginda s.a.w. menyatakan: “Sesiapa yang bergembira dengan kedatangan Ramadan, maka Allah SWT akan haramkan jasadnya dari disentuh oleh api neraka pada hari kiamat.” Ia bagaikan satu berita gembira kepada muslim agar seronok untuk berpuasa Ramadan.
Dari sudut persediaan fizikal pula, muslim tidaklah dianjurkan untuk melakukan puasa sepanjang bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan secara langsung tanpa berhenti, kerana tidak ada nas hadis yang menunjukkan bahawa seseorang itu digalakkan berpuasa yang kononnya sampai tahap sunat, kerana dibimbangi akan menyebabkan fizikalnya akan lemah dan tidak berdaya untuk melakukan puasa fardu Ramadan.
Sementara persediaan dari sudut naluri dalaman pula, puasa mampu menjadikan seseorang itu individu bertaqwa kepada Allah SWT, dan ia juga adalah matlamat daripada pelaksanaan ibadat puasa seperti yang ditegaskan Allah menerusi ayat 183 surah al- Baqarah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Telah difardukan ke atas kamu berpuasa seperti mana difardukan ke atas orangorang sebelum kamu, agar kamu menjadi orang-orang yang bertakwa.”
Menurut ilmu tasauf, bahawa persediaan paling utama bagi menyambut kedatangan Ramadan ialah melakukan ‘Muhasabah Diri’ dengan memerhatikan gelagat serta tindak-tanduk diri sepanjang tahun, apakah ia benar-benar menepati tuntutan ajaran Islam atau sebaliknya mengabaikan tanggungjawab sebagai Muslim sebenar, tidak bersolat jemaah di masjid/surau, tidak komited kepada program-program agama, banyak terlibat dengan maksiat, melakukan perkara yang terlarang dan banyak lagi.
Justeru, kedatangan Ramadan yang merupakan bulan menambahkan pahala dan pelbagai jenis keuntungan akhirat melalui tadarus al-Quran, tazkirah, bersolat jemaah, melakukan amalan wajib dan sunat akan menambahkan lagi pahala untuk sampai kepada matlamat berpuasa iaitu bertakwa kepada Allah SWT. Menurut Sayidina Ali Bin Abi Talib, taqwa itu ialah takut kepada Allah, beramal dengan isi-isi kandungan al- Quran, reda dengan apa yang sedikit ada pada diri dan bersiap untuk bertemu Allah SWT.
Di samping itu juga persiapan dari sudut naluri, jiwa atau hati muslim perlu diselesaikan segera dengan melakukan taubat yang disifatkan oleh para ulama’ sebagai wajib dilakukan sebelum masuk Ramadan, dengan memohon keampunan Allah SWT agar hati menjadi bersih suci bagi memudahkan pelaksanaan ibadat puasa dengan meraih taqwa yang dituntut.
Banyak berdoa kepada Allah agar diri, pasangan hidup, anak-anak, kaum keluarga mampu menjalani ibadat puasa dengan penuh rasa tawaduk dan khusyuk kepada Allah SWT, rasa gembira dengan kedatangan Ramadan yang menjanjikan seribu jenis pahala yang boleh membantu seseorang muslim itu keampunan Allah SWT.
Ramadan juga bulan ilmu pengetahuan, justeru muslim perlu rajin menghadiri majlismajlis tazkirah yang boleh membantu menambahkan kefahaman terhadap amalan beribadat, ia berdasarkan ayat pertama yang diturunkan Allah ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w.
Motivasi menggalak anakanak untuk berpuasa Ramadan Puasa bulan Ramadan bukan hanya dikhususkan kepada lelaki dan tidak kepada wanita, atau yang dewasa dan tidak kepada kanak-kanak sebagai latihan kepada mereka, justeru seorang ayah berperanan untuk memotivasikan anak-anaknya agar sanggup dan bersedia untuk melakukannya dengan penuh semangat dan beretika.
Di antara kaedah yang boleh dilakukan sebagai pemantauan terhadap anak-anaknya:
1.Mengajar anak-anak tentang hakikat puasa sebenar yang bukan hanya meninggalkan makan minum semata-mata, malah penerangan mengenai caea bagaimana boleh mendapatkan taqwa dalam diri.
2.Ajarkan kepada mereka adabadab serta hukum-hukum puasa dan yang berkaitan dengannya seperti menyegerakan berbuka puasa serta melambatkan untuk bersahur dan juga mengingatkan mereka dari berboros dalam makan minum pada bulan Ramadan.
3. Mengingatkan mereka agar tidak mengambil masa panjang ketika berbuka hingga luput untuk bersolat Maghrib berjemaah.
4. Mengingatkan mereka tentang falsafah puasa disyariatkan Allah agar dapat merasakan kelaparan yang dialami golongan miskin.
5. Ramadan bulan yang mengeratkan silaturahim di kalangan umat Islam dengan bersolat fardu dan Tarawih secara berjemaah.
6. Mengingatkan anak-anak perempuan agar membantu ibuibu mereka dalam menyediakan juadah berbuka puasa dan sahur.
7- Mengalakkan anakanak untuk bersahur bagi mendapatkan keberkatan dan bekalan kekuatan untuk meneruskan ibadat puasa.
8- Melaksanakan solat Subuh serta berjemaah di masjid atau surau berdekatan dan memastikan tidak meninggalkan solat witir.
9. Pada sepuluh terakhir Ramadan, si ayah memotivas diri serta isteri dan anak-anak agar dapat bangkit melakukan solat tahajjud, bertadarus al-Quran dan lain-lain.
10. Menggalakkan anak-anak yang masih kecil untuk melatih berpuasa.
11. Tidak menyusahkan para isteri untuk menyediakan juadah berbuka puasa atau sahur yang sukar untuk disediakan, berpada dengan kemampuan yang ada atau membelinya jika perlu, supaya tenaga mereka dibawa untuk bersolat Isyak dan Tarawih berjemaah di masjid/ surau.
12. Memulakan kempen membaca al-Quran sempena bulan Ramadan yang diturunkan padanya kitab suci itu, dengan mengadakan halaqah bacaan di rumah, si ayah menterjemah, mensyaraha atau mentafsirkan ayat-ayat yang dibaca dari kitabkitab terjemahan tafsir yang banyak di pasaran hari ini.
13. Menggalakkan ahli keluarga untuk suka bersedekah serta mengambil tahu kekurangan (keperluan hidup) yang ada pada jiran tetangga untuk mudah proses bantuan.
14- Melarang anak-anak dari tidur hingga larut malam hingga menjejas atau menghalang mereka daripada sukar untuk bangun bersahur yang menjadi amalan sunah Nabi Muhammad s.a.w.
Muslim di semua peringkat juga perlu mengetahui bahawa bulan Ramadan mempunyai keistimewaannya yang tersendiri, antaranya terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan yang dikenali dengan ‘Lailatul Qadr’, diturunkan padanya kitab suci al-Quran, pintu-pintu syurga dibuka, pintu neraka pula ditutup dan syaitan dibelenggu dan yang paling penting terdapat dalam bulan ini pelbagai bentuk ibadat yang boleh menambahkan koleksi pahala.
Oleh itu, Rasulullah s.a.w. menganjurkan umatnya agar menyambut Ramadan dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan, di samping persediaan sewajarnya supaya Ramadan yang bakal mendatang menjanjikan keberkatan, kerahmatan dan keredaan Ilahi juga. Perumpamaan Ramadan sama seperti kedatangan seorang tetamu besar yang datang bersama buah tangan atau hadiah khas kepada tuan rumah.
‘Keberkatan’ buah tangan atau hadiah itu tentunya hanya diberikan kepada tuan rumah yang menyambut kedatangannya dengan baik dan penuh ceria, bukannya dengan ala kadar, maka setiap individu muslim tidak boleh memandang ringan kaedah ketiga-tiga persiapan seperti yang telah disebutkan di atas.
Begitulah juga Ramadan dengan pelbagai aneka keberkatan, kerahmatan dan keistimewaannya hanya dikurniakan kepada setiap muslim bertaqwa yang menyambutnya dengan penuh kesyukuran dan pengisian amalan salih pada siang dan malamnya demi meraih keredaan Ilahi dan kenikmatan syurga di akhirat kelak.
Home »
Bicara Islam
» Ahlan Wasahlan Ya Ramadan
Ahlan Wasahlan Ya Ramadan
Written By zabidi on Saturday, 29 April 2017 | April 29, 2017
Labels:
Bicara Islam
Post a Comment