Headlines News :
Home » » Muhammad Ali dan Kebebasan

Muhammad Ali dan Kebebasan

Written By zabidi on Tuesday 2 May 2017 | May 02, 2017

Oleh The Other Other Guy  

Cassius Marcellus Clay Jr. atau lebih dikenali sebagai Muhammad Ali dilahirkan di Louisville, Kentucky pada 17 Januari 1942. Bapanya, Cassius Marcellus Clay Sr. seorang pembuat papan iklan dan tanda manakala ibunya Odessa Grady Clay bekerja sambilan sebagai pembantu rumah.

Muhammad Ali memulakan karier tinjunya pada usia 12 tahun. Pada usia 18 tahun, beliau memenangi pingat emas pertamanya dalam kategori light heavyweight pada tahun 1960. 25 Februari 1964, pada usia 22 tahun, beliau menumpaskan Sonny Liston dan meraih gelaran juara heavyweight dunia. Dua hari selepas itu, beliau mengisytiharkan secara rasmi penyertaannya ke dalam Nation of Islam yang dianggotainya semenjak tahun 1962, sebuah organisasi yang diasaskan oleh Elijah Muhammad.

Pada bulan Februari 1966, Muhammad Ali telah dipilih untuk direkrut sebagai tentera Amerika Syarikat untuk dihantar berperang di Vietnam. Muhammad Ali atas dasar suara hati, telah menyatakan bantahannya (conscientious objection) untuk direkrut dengan menyatakan sebagai seorang Muslim, beliau mencintai kedamaian serta membenci keganasan (pacifist) dan agama Islam yang dianutinya melarang untuk membunuh manusia lain.

Apatah lagi Muhammad Ali pula tidak pandai menulis dan gagal ujian kelayakan ketenteraan seperti yang pernah diceritakan oleh salah seorang daripada anak Allahyarham, Rasheda Ali sewaktu singgah ke Malaysia dalam majlis ‘Reviving the Islamic Spirit 2017 (RIS 2017)’ lepas. Sewaktu ujian untuk kerahan tentera, Muhammad Ali sekadar mendapat markah ‘substandard’ atau dalam erti kata lain gagal. Namun demikian markahnya telah diubah kepada gred cemerlang oleh pihak tentera untuk membolehkan beliau berkhidmat di Vietnam demi merosakkan karier Muhammad Ali, seorang peninju hebat berbangsa Afrika dan beragama Islam.

Namun bantahannya juga telah ditolak dan kes beliau telah dirujuk kepada Lembaga Rayuan Negeri di Kentucky yang kemudiannya memanjangkan rayuan beliau ke Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) bagi mendapatkan nasihat dan syor sepertimana kelaziman pada waktu itu. Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menemuramah ahli keluarga, rakan-rakan dan individu-individu yang mengenali beliau manakala DOJ telah memanggil Muhammad Ali untuk memberi peluang beliau menjelaskan maksud bantahannya di hadapan seorang hakim. Hakim tersebut, Lawrence Grauman merupakan seorang bekas hakim di Kentucky telah mendapati Muhammad Ali jujur dalam bantahannya terhadap apa jua bentuk keganasan termasuk peperangan dan beliau mengesyorkan Muhammad Ali diberi status sebagai pembantah atas dasar suara hati (conscientious objector).

Walau bagaimanapun, DOJ tidak memaklumkan keputusan hakim Grauman kepada Lembaga Rayuan mahupun Muhammad Ali sendiri. Akan tetapi, DOJ telah menulis surat rayuannya sendiri kepada Lembaga Rayuan, mengesyorkan supaya bantahan beliau ditolak.

Pada bulan April 1967, Ali telah menolak untuk direkrut di Pusat Pemilihan bagi lantikan Khidmat Ketenteraan di Houston di mana beliau tinggal ketika itu. Muhammad Ali telah disabitkan di atas kesalahan mengelak daripada direkrut sebagai tentera dan Hakim Persekutuan, Joe Ingraham menjatuhkan hukuman 5 tahun penjara dan denda sebanyak sepuluh ribu Dollar Amerika. Dalam pada itu, beliau juga dihalang daripada bertinju dan gelaran kejuaraannya dalam kategori heavyweight dunia telah ditarik balik. Lesen tinju beliau telah digantung oleh Edwin Dooley, Presiden New York State Athletic Commission.

Untuk 3½ tahun berikutnya, beliau menghabiskan masa, tenaga dan duit untuk membela diri dan membuat rayuan dalam mahkamah sehingga kes beliau dibawa ke Mahkamah Agung Amerika Syarikat. Muhammad Ali juga telah memulakan saman terhadap New York State Athletic Commission (NYSAC) kerana menggantung lesen tinju beliau. Beliau mendakwa NYSAC telah melanggar Klausa Due Process dan Pindaan Kelapan dalam Perlembagaan Amerika Syarikat.

Muhammad Ali kemudiannya dinasihatkan untuk menyaman NYSAC menggunakan Klausa Equal Protection dimana beliau mesti mencari dan membuktikan bahawa sebelum ini NYSAC tidak pun menggantung lesen peninju-peninju sebelum beliau walaupun mereka mempunyai rekod jenayah lampau. Akhirnya, Muhammad Ali berjaya membawa bukti-bukti yang diperlukan dan Hakim Mansfield mengarahkan NYSAC untuk memberi beliau lesen tinjunya semula.

Pada 28 Jun 1971, Mahkamah Agung Amerika Syarikat telah mengisytiharkan dalam Clay v. United States, bahawa Muhammad Ali tidak bersalah atas tuduhan beliau cuba mengelak untuk direkrut menjadi tentera dan dakwaan pembantah atas dasar suara hati beliau adalah sah.

Kerajaan Amerika Syarikat sering melaung-laungkan ke seluruh pelosok dunia bahawa mereka memperjuangkan kebebasan, hak samarata dan menentang keras unsur perkauman. Namun, apa yang terjadi kepada Muhammad Ali membuktikan sebaliknya sehingga memaksa beliau untuk berjuang mempertahankan haknya demi mengamalkan ajaran agamanya sebagai seorang warganegara yang sah sebagaimana diperuntukan dalam Perlembagaan Amerika Syarikat.

Muhammad Ali juga berjaya mendedahkan kejahatan pihak-pihak tertentu yang memanipulasi sistem kehakiman mahkamah Amerika Syarikat demi memenuhi kepentingan golongan tertentu dan sikap pilih kasih yang ketara apabila melibatkan orang kulit hitam apatah lagi jika orang berkulit hitam itu beragama Islam. Kes ini juga merupakan teladan yang baik bagi membuktikan bahawa perdamaian yang dibawa Islam (peace) yang cuba dipertahankan oleh Muhammad Ali tidak dilayan Amerika Syarikat atas nama hegemoni ketenteraan yang sehingga sekarang telah membunuh jutaan jiwa diseluruh dunia.-menara.my

Rujukan
1. The Importance of Muhammad Ali
2. Muhammad Ali, conscientious objection, and the Supreme Court’s
struggle to understand “jihad” and “holy war”: The story of Cassius Clay v. United States
3. When Muhammad Ali Took on America

Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER